More

    5 telefon Snapdragon 865 terbaik untuk dibeli pada 2021

    Pada bulan lalu, Sony telah mula menjual sebuah telefon kelas profesional yang dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 865 iaitu Xperia Pro. Mungkin anda agak pelik mengapa sebuah telefon sebegitu yang dilancar pada 2021 masih dilengkapi cipset yang agak ketinggalan pada waktu ini, terutamanya dengan kehadiran Snapdragon 888.

    Walaupun Snapdragon 865 bukan lagi cipset yang tercanggih, tidak bermakna ia sudah lapuk. Cipset tersebut masih lebih daripada mampu untuk mengoperasikan pelbagai jenis aplikasi dan game berat. Malah, dengan kehadiran pelbagai telefon Snapdragon 888 yang pasti akan datang tidak lama lagi, telefon Snapdragon 865 akan dijual pada harga yang lebih murah namun anda perlu membelinya cepat sebelum syarikat telefon pintar tidak lagi menghasilkannya.

    Lagipun, semua telefon Snapdragon 865 masih dipasarkan bersama pengecas, sesuatu yang kita boleh lihat semakin pupus pada tahun ini. Jika anda merancang untuk membeli telefon Snapdragon 865 pada masa terdekat, berikut adalah lima peranti Snapdragon 865 terbaik yang anda boleh beli:

    Samsung Galaxy S20 FE 5G

    Walaupun siri Samsung Galaxy S21 telah pun dilancar, telefon Samsung Galaxy S20 FE 5G yang dilancar pada September 2020 masih lagi relevan pada tahun ini. Galaxy S20 FE 5G dilengkapi majoriti fungsi dan spesifikasi yang terdapat dalam siri Galaxy S20 seperti skrin AMOLED 120Hz namun dijual pada harga yang paling murah.

    Satu perkara fizikal yang membezakan Galaxy S20 FE 5G dengan varian Galaxy S20 lain adalah permukaan belakangnya yang dibuat daripada plastik berkualiti tinggi, bukan kaca. Jika anda merancang untuk beli Galaxy S20 FE yang dilengkapi Snapdragon 865, pastikan anda membeli varian 5G kerana varian 4G dilengkapi cipset yang berlainan.

    Lihat harga termurah Samsung Galaxy S20 FE 5G di sini.

    Mi 10T

    Buat mereka yang menginginkan peranti Snapdragon 865 tanpa perlu berbelanja besar, lihat sahaja pada siri Mi 10T yang dilancar pada bulan Oktober 2020 dan dijual pada harga bermula RM1,699. Walaupun dengan harga sedemikian, ia mempunyai spesifikasi yang boleh menyaingi telefon lain dalam senarai ini termasuklah skrin 144Hz, RAM LPDDR5, storan UFS3.1 dan bateri 5,000mAh.

    Jika anda lebih berkenan untuk mengambil gambar, Mi 10T Pro yang berharga RM1,999 mempunyai kamera utama 108MP untuk butiran yang lebih banyak dalam gambar. Siri Mi 10T juga boleh merakam video dalam resolusi 8K, sesuatu yang tidak selalu ada dalam telefon Snapdragon 865 lain.

    "
    "

    Lihat harga termurah Mi 10T di sini.

    Sony Xperia 5 II

    Buat penggemar filem dan fotografi di luar sana, Sony Xperia 5 II adalah telefon yang sempurna buat anda. Ia menampilkan skrin 120Hz yang boleh menghasilkan warna amat cantik dengan sokongan HDR10 melalui Creator Mode serta pembesar suara Dolby Atmos Dynamic Bass yang menghasilkan bunyi sangat jelas walaupun pada kelantangan tertinggi.

    Untuk penggemar fotografi pula, mod Photo Pro dan Cinema Pro membenarkan anda untuk mengambil gambar menggunakan antara muka (interface) dan kawalan manual mirip kamera Sony Alpha. Jika anda menginginkan skrin yang lebih beresolusi tinggi, anda boleh dapatkan Xperia 1 II yang mempunyai skrin 4K namun ia tidak mempunyai kadar segar semula 120Hz.

    Lihat harga termurah Sony Xperia 5 II di sini.

    ASUS ROG Phone 3

    Penggemar telefon pasti sudah mengenali siri ASUS ROG Phone yang sering dilengkapi spesifikasi tercanggih pada setiap tahun. ASUS ROG Phone 3 yang dilancar pada Julai 2020 pasti akan memuaskan hati gamers yang paling tegar, dengan spesifikasi seperti Snapdragon 865+, skrin 144Hz, RAM LPDDR5 12GB dan storan UFS3.1 sehingga 512GB.

    ROG Phone 3 juga datang dengan pelbagai jenis aksesori untuk meningkatkan pengalaman gaming anda. Jika anda lebih cenderung untuk menyiarkan (streaming) game, Lenovo Legion Phone Duel mungkin lebih sesuai untuk anda kerana ia mempunyai spesifikasi yang sangat serupa dengan ROG Phone 3 namun mempunyai kamera swafoto di bahagian sisi untuk memudahkan siaran langsung.

    Lihat harga termurah ROG Phone 3 di sini.

    OnePlus 8T

    OnePlus 8T adalah satu lagi telefon Snapdragon 865 yang lebih mampu milik berbanding kebanyakan jenama lain, dengan harga bermula RM2,699 sewaktu ia dilancar pada bulan Oktober 2020. Ia masih dilengkapi spesifikasi canggih untuk telefon andalan 2020 seperti skrin AMOLED 120Hz, storan UFS 3.1, pengecasan pantas 65W serta empat kamera. Ia juga sudah pun dipasangkan dengan sistem operasi OxygenOS 11 berdasarkan Android 11.

    Lihat harga termurah OnePlus 8T di sini.

    Telefon lain yang turut dilengkapi Snapdragon 865 adalah OPPO Find X2, realme X50 dan POCO F2 Pro. Setiap telefon di atas mempunyai pautan (link) pada namanya yang akan membawa anda ke seksyen TechNave BM yang menyenaraikan pelbagai harga untuk telefon tersebut. Beritahu kami di Facebook jika anda akan membeli mana-mana telefon di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    BYD One Charge Challenge: 509KM tanpa cas, baki purata bateri masih 21%

    BYD Sime Motors mengumumkan kejayaan penganjuran One Charge Challenge yang melibatkan perjalanan pergi balik sejauh 509km antara Kuala Lumpur dan Gambang, Kuantan...

    Samsung pamer skrin masa depan untuk robot, kereta swapandu dan peranti AI

    Samsung Display baru-baru ini telah memperkenalkan beberapa inovasi paparan OLED terbaharu dalam acara IMID 2026. Acara itu menyaksikan penampilan julung kali teknologi...

    Redmi Watch 6 Active tiba dengan skrin AMOLED 1.85″ dan bateri tahan 18 hari...

    Terbaharu, Redmi Watch 6 Active dilancarkan di pasaran China dengan fokus kepada kelengkapan skrin jenis AMOLED, ketahanan bateri dan fungsi pemantauan kesihatan....

    HUAWEI cuba reka bentuk baharu? Pura X View dilancar dengan nisbah skrin 16:9.5

    HUAWEI melancarkan Pura X View di China sebagai telefon pintar rekaan paparan lebar pertama jenis standard tanpa skrin boleh lipat. Ia menjadi...

    Samsung Galaxy S26 FE makin hampir, Samsung umum acara pelancaran 27 Ogos ini

    Samsung Electronics mengumumkan penganjuran acara Galaxy Event August 2026 secara rasmi pada 27 Ogos 2026 jam 8 malam waktu Malaysia. Acara maya...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured