fbpx
More

    Ulasan Acer Predator Triton 500 SE – Ini komputer riba bisnes atau “gaming”?

    Sering kali apabila kita berfikir tentang “komputer riba gaming”, kita akan membayangkan sebuah komputer yang mempunyai rekaan agresif dengan corak-corak garisan, lampu RGB di sekeliling, logo yang besar serta warna yang agak menonjol. Jika anda menginginkan sebuah komputer riba berkuasa tinggi namun dengan rekaan yang lebih berprofil rendah seperti sebuah komputer riba bisnes, anda tidak mempunyai banyak pilihan.

    Mujur sekali, Acer Predator Triton 500 SE (Special Edition) adalah sebuah produk yang sangat menarik buat gamers yang inginkan komputer riba berkuasa tinggi namun tidak tertarik dengan estetika “gamer” yang sering terdapat pada komputer riba gaming. Dengan spesifikasi seperti Nvidia RTX3080 dan cipset Intel i9-11900H, komputer ini menjanjikan prestasi gaming yang mantap dalam reka bentuk nipis. Untuk mengetahui prestasi komputer ini dengan lebih lanjut, ayuh baca ulasan kami untuk mengetahuinya.

    Sekali pandang, sukar untuk mengatakan bahawa Acer Predator Triton 500 SE ini adalah sebuah komputer riba berkuasa tinggi. Rekaan keseluruhannya mempunyai warna kelabu yang rata tanpa sebarang corak atau hiasan. Di belakang skrin, sebuah logo Acer Predator bersaiz kecil berada di bahagian atas kiri, sesuatu yang jarang diamalkan dalam komputer riba gaming lain kerana logo selalunya diletakkan di bahagian tengah dengan saiz besar.

    Rekaan pada bahagian hadapan
    Logo Predator di bawah skrin
    Rekaan belakang
    Logo Predator kecil di bahagian atas kanan
    Lohong pengudaraan yang nampak agresif

    Rekaan kelabu premium ini membuatkan Triton 500 SE sangat sesuai untuk digunakan dalam suasana korporat atau persidangan. Malah, jika komputer ini ditunjukkan kepada orang ramai, mereka pasti akan mengandaikan bahawa ini hanyalah sebuah komputer Acer Swift atau Acer Aspire yang hanya digunakan untuk kerja-kerja harian.

    Satu unsur kecil yang mungkin menunjukkan sifat komputer riba gaming adalah pada lohong pengudaraan (ventilation vents) di bahagian belakang yang agak tebal dan ditutupi dengan corak garisan agresif. 

    Di bahagian sisi kanan, ia mempunyai port HDMI, USB-C dengan sokongan Thunderbolt 4, USB-A 3.1 dan ruang kad memori SD, manakala di sisi kiri pula mempunyai port ethernet, USB-C, USB-A 3.1 dan bicu audio 3.5mm. Kebanyakan komputer riba gaming berprestasi tinggi selalunya meletakkan kebanyakan port di bahagian belakang, namun Triton 500 SE masih mempunyai port di bahagian sisi seperti sebuah komputer riba biasa.

    Port kiri: Palam pengecas, port ethernet, port USB-A, port USB-C, bicu audio 3.5mm
    Port kanan: Pembaca kad memori, port USB-A, port USB-C, port HDMI
    Susunan papan kekunci

    Selain rekaan yang berprofil rendah, satu lagi penarik Triton 500 SE adalah pada skrinnya yang mempunyai ukuran 16.0 inci dan nisbah aspek 16:10 dengan resolusi WQXGA 2560×1600, membuatkannya nampak lebih tinggi berbanding skrin 16:9 dan meningkatkan pengalaman sewaktu bermain game. Satu lagi ciri khas adalah kadar segar semula yang tinggi iaitu 165Hz, jadi ini boleh membantu anda mengatasi pihak lawan dalam game e-sukan sengit seperti Counter Strike atau Valorant.

    Daripada segi penghasilan warna, skrin komputer ini mempunyai gamut warna sRGB 100% yang menjanjikan warna cantik sewaktu menonton filem atau bermain game. Walau bagaimanapun, ia mungkin kurang sesuai bagi kerja-kerja suntingan gambar atau video profesional yang memerlukan ketepatan warna (colour accuracy) yang lebih tinggi. Sungguh pun begitu, ini bukanlah komputer yang dipasarkan dengan tujuan kerja-kerja kreatif, jadi saya rasa ini tidak menjadi masalah besar.

    Skrin komputer ini boleh menghasilkan warna yang cantik untuk tontonan filem dan video
    Papan kekunci dengan pencahayaan RGB 3 zon
    Pad penjejak (trackpad) dengan pengimbas cap jari di bahagian atas kiri

    Papan kekuncinya pula menyediakan saiz kekunci yang standard dengan pencahayaan RGB manakala pengalaman menaip juga selesa. Walau bagaimanapun untuk sebuah komputer yang dijual pada harga ini, saya sebenarnya menjangkakan sebuah papan kekunci mekanikal namun Triton 500 SE hanya mempunyai papan kekunci standard sahaja seperti kebanyakan komputer riba lain. Di bawah papan kekunci, terdapat sebuah trackpad yang berfungsi dengan baik serta sebuah pengimbas cap jari di bahagian atas kiri trackpad. Pengimbas ini boleh membaca cap jari anda dengan pantas untuk mendaftar masuk ke dalam komputer.

    Kini mari kita beralih ke spesifikasi dalaman serta prestasinya. Triton 500 SE dilengkapi cipset Intel Core i9-11900H dengan kelajuan clock 2.50GHz, RAM 32GB, storan SSD 1TB dan unit pemproses grafik Nvidia GeForce RTX 3080 Laptop GPU dengan total graphics power (TGP) 110W serta VRAM GDDR6 8GB.

    Seperti yang boleh dijangkakan, komputer ini boleh memainkan sebarang game terkini pada tetapan grafik tertinggi dengan kadar bingkai (frame rate) yang tinggi dan sekata. Saya telah memainkan game seperti GRID (2019), God of War dan Horizon Zero Dawn dan ketiga-tiga game menawarkan prestasi cemerlang.

    Markah penanda aras dalam PCMark 10

    Komputer riba gaming biasanya terkenal dengan prestasi bateri yang singkat namun bateri Triton 500 SE boleh bertahan sehingga enam jam. Ia mungkin agak singkat jika dibandingkan dengan komputer riba biasa, namun untuk sebuah komputer riba gaming saya berpendapat sekadar memuaskan. Pengecasan baterinya pula mengambil masa sekitar dua jam untuk pengecasan penuh daripada kapasiti kosong.

    Komputer ini mempunyai pembesar suara DTS:X Ultra Sound namun kualiti audionya sangat mengecewakan untuk komputer riba yang mahal ini. Oleh itu, saya mencadangkan anda untuk gunakan fon kepala untuk pengalaman audio yang lebih mengasyikkan. Untuk webcam pula, ia boleh mengambil video dalam resolusi 720p dan kualitinya tidak banyak berbeza dengan kebanyakan komputer riba lain.

    Kualiti gambar dari webcam, tidak jauh berbeza dengan komputer riba yang lebih murah
    Perisian PredatorSense membenarkan anda untuk melaraskan tahap prestasi komputer dan meneliti suhu dalaman

    Perisian PredatorSense pula membenarkan anda untuk melaraskan tahap prestasi yang dijana oleh komputer di antara Quiet, Default, Extreme atau Turbo. Selain itu, anda juga boleh melaraskan kelajuan kipas, mengubah corak pencahayaan RGB dalam papan kekunci serta meneliti suhu dalaman komputer. Perisian ini amat berguna jika anda tidak ingin kipas dalaman komputer ini berputar dengan bunyi yang sangat bising jika anda tidak bermain game.

    Saya amat mengesyorkan anda untuk mematikan “System boot animation & sound” kerana bunyi yang dihasilkan sewaktu anda menghidupkan komputer ini adalah amat menjengkelkan.

    Satu kekunci yang unik pada papan kekunci komputer ini adalah butang Turbo yang akan meningkatkan prestasi komputer ke tahap maksimum selepas anda menekannya. Selain itu, kipas dalaman akan diputarkan kepada kelajuan maksimum dan menghasilkan bunyi yang amat kuat seperti sebuah kipas meja. Mujur sekali, saya merasakan anda tidak perlu mengaktifkan mod ini selalu kerana kelajuan kipas automatik pun sudah cukup.

    Butang Turbo akan mengaktifkan kipas dalam kelajuan tertinggi

    Secara keseluruhan, saya berpendapat Acer Predator Triton 500 SE adalah komputer riba gaming yang sangat menarik kerana rekaan luarannya yang lebih mirip kepada sebuah komputer riba bisnes. Sungguh pun begitu, satu kekurangan yang paling ketara adalah pada harganya yang sangat mahal iaitu RM12,999.

    Dengan harga yang sedemikian, anda boleh dapatkan komputer riba gaming lain yang lebih berkuasa, dengan TGP dan VRAM lebih tinggi dalam GPU, namun komputer gaming tersebut mungkin akan mempunyai rekaan yang keterlaluan dan cahaya RGB melampau serta reka bentuk yang lebih tebal. Contohnya pada Lenovo Legion 7i atau ASUS ROG Strix Scar 17.

    Oleh yang demikian, jika anda ingin miliki komputer riba yang sesuai dibawa ke pejabat dan pada masa yang sama boleh memainkan semua game terkini dengan prestasi pantas, Acer Predator Triton 500 SE adalah produk untuk anda. Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    Spesifikasi teknologi

    • Cipset Intel® Core™ i9-11900H (24MB Smart Cache, 2.5GHz dengan Intel® Turbo Boost Max Technology 3.0 sehingga 4.9GHz, DDR4)
    • GPU NVIDIA® GeForce® RTX3080 dengan GDDR6 VRAM 8GB
    • Skrin 16.0 inci IPS TFT LCD, kecerahan 500 nits, kadar 165Hz, nisbah 16:10, gamut warna sRGB 100%
    • RAM 32GB
    • Storan SSD PCIe NVMe Gen4, 16 Gb/s 1TB
    • Bateri 99.98Wh
    • Webcam
    • Port: 2x USB-A, 2x USB-C, 1x port HDMI, pembaca kad SD, 1x ethernet RJ-45
    • Ukuran: 19.9 x 358.5 x 262.4mm, berat 2.4kg

    Kelebihan: Prestasi pantas, rekaan seperti komputer profesional

    Kekurangan: Harga mahal, papan kekunci seperti komputer riba yang lebih murah

    Kesimpulan: Komputer sempurna untuk gamers yang inginkan komputer untuk kegunaan kerja dan gaming serentak

     

    Artikel Terkini

    Kerajaan jamin keselamatan siber data anda dalam PADU, gesa anda daftar segera

    Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa keselamatan dan kerahsiaan maklumat dalam Sistem Pangkalan...

    Gambar atau video anak anda dimuat naik ke media sosial tanpa kebenaran? Laporkan kepada...

    Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching mengingatkan ibu bapa dan para penjaga supaya membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)...

    vivo Malaysia anjurkan promosi khas di Lazada, tawarkan diskaun sehingga 35% untuk pelbagai telefon

    vivo Malaysia akan menganjurkan promosi khas di platform e-dagang Lazada, dengan kempen promosi Lazada Birthday KAW KAW yang akan berlangsung pada 24...

    OPPO Malaysia anjurkan Raya Super Epik Promotion, tawarkan diskaun sehingga RM500 untuk pelbagai telefon

    Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir, OPPO Malaysia sedang menganjurkan promosi khas Raya Super Epik Promotion sehingga 21 April 2024...

    realme tawarkan diskaun sehingga 57%, baucar sehingga RM200 untuk pelbagai peranti

    Bermula hari ini jam 8:00 malam sehingga 27 Mac 2024, realme Malaysia sedang menganjurkan promosi khas untuk pelbagai kategori produknya, di mana...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X