fbpx
More

    Ulasan ASUS ROG Phone 6 Pro – Raja segala telefon bagi segmen “gaming”!

    Apabila bercakap mengenai segmen telefon gaming, tiada apa yang menyinggah ke dalam pemikiran saya selain daripada ASUS ROG Phone. Kali ini, saya akan memberikan sedikit ulasan mengenai telefon terbaharu dalam barisan ROG Phone iaitu ASUS ROG Phone 6 Pro. Segala perkakasan terkini ada di dalam telefon ini seperti Snapdragon 8 Plus Gen 1, dwi pembesar suara hadapan, dua port USB-C dan juga bicu audio 3.5mm. Ia mempunyai semua ciri yang gamers perlukan!

    Gunakan pembesar suara untuk bermain game? Saya tidak galakkan anda untuk membuat sedemikian tetapi melalui pengalaman saya, pembesar suaranya berfungsi dengan mantap. Baik untuk bermain game mahu pun mendengar muzik. Namun, setiap telefon mesti ada kekurangannya dan telefon ini kekurangannya adalah daripada segi kamera. Tetapi, ia bukan tidak bagus, cuma tidak sehebat kamera dengan harga yang sama untuk telefon pintar jenama lain.

    Pakej yang anda akan dapat jika membelinya

    Ini adalah telefon dengan spesifikasi yang luar biasa dan jika anda tidak kisah mengenai kamera, maka ASUS ROG Phone 6 Pro pastinya berbaloi. Harganya agak premium tetapi ia mempunyai spesifikasi yang saya boleh gambarkan sebagai ‘paling gila’. Ia benar-benar mempunyai segala-galanya. Anda berminat dengan telefon gaming ini? Jom baca ulasan ini sehingga habis!

    Rekaan – Futuristik!

    Ia hadir dengan kotak putih berbentuk heksagon yang luar biasa. Pada pandangan pertama melihat kotak ini saya sudah tidak sabar untuk membukanya. Bahagian terbaik ASUS ROG Phone 6 Pro ialah walaupun ia sebuah telefon gaming yang sarat dengan perkakasan terkini dan skrin pada bahagian belakang, namun ia tidak kelihatan pelik. Saya suka bagaimana ASUS tidak takut untuk melakukan suatu pembaharuan tetapi tidak menjengkelkan.

    ASUS membuat kemasan yang cantik pada butang kuasa dan dulang SIM dengan memberikan kemasan berwarna biru metalik. Bingkai aluminium juga mempunyai penjenamaan ROG di mana Air Triggers ultrasonik berada. Bahagian belakangnya terdapat bonggolan yang menempatkan tiga kamera, tulisan “DARE TO PLAY” yang menyala apabila anda bermain game dan paparan.

    Paparan di bahagian belakang juga merupakan salah satu bahagian paling unik dalam reka bentuk telefon ini. Anda boleh menetapkan animasi pra-muat turun yang boleh dipilih. Anda boleh tidak mengaktifkannya atau menggunakannya sebagai tempat pemberitahuan. Bercakap mengenai paparan, ASUS ROG Phone 6 Pro tiada takuk dan tiada lubang tebuk untuk kamera tetapi skrin ini masih ada sempadan bezel yang agak tebal pada bahagian atas dan bawah. Kamera swafoto dan LED pemberitahuan terletak pada bahagian bingkai atas kanan.

    Selain itu, terdapat dua pembesar suara menghadap hadapan. Paparan ASUS ROG Phone 6 Pro sangat baik yang mampu mencapai sehingga 1200 nits kecerahan pada panel AMOLED 165Hz terutamanya apabila cuba mencapai kadar bingkai yang lebih tinggi seperti 165Hz. ASUS ROG Phone 6 Pro mempunyai kadar pensampelan sentuhan lebih tinggi iaitu pada 720Hz. Ia mengatasi kebanyakan pesaingnya. Ini bermakna ia mengimbas input setiap 1.4ms dan mempunyai kependaman (latency) sentuhan 23ms.

    Port USB-C ke-2 untuk pengecasan

    Walaupun ia boleh membaca input setiap 1.4ms, ia masih perlu memproses input tersebut. Paparannya bukan sahaja pantas, ia juga menyokong HDR10+ dan ia dikuasakan oleh pemproses Pixelworks i6. Pemproses Pixelworks i6 boleh digunakan untuk pemetaan warna dalam HDR dan juga digunakan untuk penentukuran kadar penyegaran. Terdapat juga gerak isyarat ketika skrin mati supaya anda boleh melukis huruf pada skrin untuk mencetuskan tindakan.

    Terdapat port USB-C kedua di sebelah kiri telefon yang menyokong output HDMI dan di situlah beberapa aksesori seperti penyejuk AeroActive boleh digunakan. Port USB-C yang pertama terletak pada bahagian bawah telefon sebaris dengan bicu audio 3.5mm. Satu lagi spesifikasi hebat terdapat pada ASUS ROG Phone 6 Pro ialah penambahan Pencetus Udara (Air Triggers).

    Air Triggers dengan tulisan ROG

    Ia menggunakan teknologi ultrasonik di sisi telefon yang boleh digunakan untuk mengesan pelbagai input dan boleh ditetapkan untuk tindakan dalam permainan melalui pemetaan sentuh. Anda juga boleh menggunakannya di seluruh sistem. Pada peranti ini, saya telah menetapkan tetapan apabila saya menggenggam kuat sedikit telefon, Google Assistant akan muncul. Anda juga boleh menetapkan cara sentuhan seperti tekan lama atau sapuan (sweep) pendek dan anda juga boleh menekan lama kedua-dua pencetus.

    Ketika bermain game, ASUS Air Triggers boleh mengesan sentuhan, sentuhan serentak kedua-dua pencetus, leret, leret dengan lebih perlahan, sentuh dan leretkan serta sentuh dan gelongsor (slide). Haptik ASUS ROG Phone 6 Pro terasa sangat baik di tangan. Anda tidak akan terlepas panggilan telefon atau pemberitahuan apabila telefon berada di dalam poket anda jika anda bergantung pada getaran.

    Spesifikasi – Sempurna untuk sebuah telefon gaming

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk ASUS ROG Phone 6 Pro:

    • Skrin FHD+ AMOLED (2448 x 1080 piksel) 6.78 inci, segar semula 165Hz dan kadar pensampelan sentuh 720Hz
    • Kecerahan puncak 5-800nits @APL100 + HBM, 1200nits @APL1, gamut warna DCI-P3 111.23%, sRGB 150.89%, 1,000,000: 1 dan Corning Gorilla Glass Victus
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Plus Gen 1 dan GPU Adreno 730
    • RAM LPDDR5 18GB dan storan dalaman UFS 3.1 storage 512GB
    • Kamera utama IMX766 50MP  + ultra-lebar 13MP + makro 2MP
    • Kamera swafoto IMX663 12MP
    • Bateri 6,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 65W
    • Sistem operasi ROG UI & Zen UI berdasarkan Android 12
    • Sambungan 5G, 4G LTE, Wi-Fi 6E, bluetooth 5.2, LDAC, aptX, aptX HD, aptX adaptive dan AAC
    • Penarafan kalis air IPX4, pengimbas cap jari pada skrin, pemproses Pixelworks i6, bicu audio 3.5mm, dua sambungan USB-C 3.1 Gen 2, pembesar suara Super Linear 5 magnet 12×16, 2x Cirrus Logic CS35L45 dengan kuasa 15V, tiga mikrofon, 5G, bluetooth 5.2
    • Ukuran :  173 x 77 x 10.3mm
    • Berat: 239g
    • 2 tahun kemas kini sistem operasi dan keselamatan
    • Harga: RM4,999

    Telefon ini mempunyai storan UFS 3.1, RAM LPDDR5 18GB dan cipset paling berkuasa pada ketika ini iaitu Qualcomm Snapdragon 8 Plus Gen 1. Di atas kertas, telefon ini ialah telefon pintar Android terpantas dan ia terbukti. Snapdragon 8 Plus Gen 1 menampilkan CPU Qualcomm Kryo yang dipertingkatkan dengan teras utama Cortex-X2 3.2Ghz, tiga teras prestasi Cortex A710 2.8GHz dan empat teras Cortex A510 2.0GHz.

    Qualcomm mendakwa bahawa CPU yang dinaik taraf adalah 10 peratus lebih pantas daripada yang ada pada Snapdragon 8 Gen 1 dan menawarkan kecekapan kuasa CPU 30 peratus lebih baik. ASUS X-Mode ialah ciri untuk memaksimumkan prestasi dan anda boleh mengaktifkannya pada bila-bila masa. Sebagai contoh, anda boleh menetapkan untuk mematikan penyegaran aplikasi latar belakang, mengaktifkan HyperFusion secara automatik dan mengaktifkan Wi-Fi Dwi-Jalur secara automatik.

    Apa yang menarik ialah ia secara automatik menetapkan kadar penyegaran skrin kepada 144Hz. Wi-Fi dwi-jalur yang diperkenalkan oleh ASUS juga menarik kerana ia membantu bagi penstabilan sambungan internet ketika bermain game. Ia menggunakan frekuensi 5GHz untuk kependaman (latency) yang lebih rendah.

    ASUS Game Genie pula ialah papan pemuka yang dilancarkan bersama game anda. Ia menawarkan akses kepada ciri yang mungkin anda ingin ubah suai atau lihat seperti rakaman skrin, pemetaan Pencetus Udara, statistik masa nyata dan banyak lagi. Selain daripada membantu melancarkan game, Armory Crate juga dicipta untuk menukar kesan pencahayaan dan lain-lain.

    Ciri OptiFlex

    Selain itu, ASUS juga memperkenalkan ciri lain seperti Optiflex. Optiflex mempercepatkan pelancaran aplikasi, mengurangkan muat semula aplikasi dan menjimatkan kuasa. Ia diaktifkan secara automatik untuk Google Chrome, Facebook, Gmail dan YouTube pada peranti saya.

    Prestasi – Game berat, rasa ringan

    Satu kata yang boleh digambarkan pada ROG Phone 6 Pro adalah gaming. Hampir segala-galanya tentang telefon ini direka bentuk dengan mengambil kira bagaimana ia akan mempengaruhi pengalaman gaming. Telefon ini benar-benar berkuasa dan terpantas yang pernah saya gunakan.

    Hampir setiap game yang dimainkan tidak menemukan apa-apa isu berkaitan lag. Semua game sempurna dimainkan dan saya telah bermain Mobile Legends Bang Bang, Genshin Impact serta PUBG dengan tempoh yang lama. Saya boleh mengekalkan 60 FPS dengan mudah tanpa merasakan haba yang berlebihan pada bahagian belakang telefon ini.

    Salah satu game yang saya mainkan pada telefon ini ialah Mobile Legends Bang Bang. Saya tidak menemui sebarang masalah seperti lagging, telefon menjadi panas dan kadar bingkai tidak stabil. Situasi ini hampir sama jika saya memainkan game Genshin Impact dan PUBG di mana kedua-dua game ini menggunakan banyak RAM dan pemproses.

    Saya rasa sedikit panas apabila memainkan kedua-dua game ini. Tapi perlu diingatkan bahawa panas yang saya rasakan ini masih boleh diterima. Tambahan, telefon ini akan rasa sedikit panas jika dimainkan tanpa pengudaraan yang baik. Jika anda bermain dalam suhu bilik dan pengudaraan yang baik, tiada masalah kerana anda tidak akan rasa panas yang melampau.

    Ia merupakan kejayaan terbaik dalam menghasilkan telefon gaming dengan pelepasan haba yang baik. Untuk game PUBG, saya boleh tetapkan grafik kepada Ultra HD dan kadar bingkai kepada Ultra. Ini bermakna, telefon ROG Phone 6 Pro boleh menjalankan game ini pada tahap optimum tanpa sebarang masalah.

    Geekbench dan Wild Life Extreme ialah ujian berpusatkan CPU yang menggunakan beberapa beban kerja pengiraan termasuk penyulitan, pemampatan teks dan imej, imej janaan dan simulasi fizik. Ia menguasai hampir semua peranti Android dan hanya dalam julat prestasi 10% daripada iPhone 13 Pro dalam ujian Wild Life Extreme 3DMark.

    Daripada ujian yang dibuat pada kedua-kedua aplikasi, ASUS ROG Phone 6 Pro memperoleh 2802 mata untuk ujian Wild Life Extreme dan skor GeekBench sebanyak 1325 untuk teras tunggal dan 4399 untuk teras berbilang. Mata yang diperoleh telefon ini cukup memberikan gambaran kepada anda betapa berkuasanya telefon ini.

    ASUS ROG Phone 6 Pro mempunyai bateri 6,000 mAh yang merupakan antara bateri berkapasiti terbesar dalam mana-mana telefon andalan pada masa ini. Gabungan cipset Snapdragon 8 Plus Gen 1 baharu dan bateri yang besar adalah sangat sempurna. Saya telah menguji ketahanan baterinya dengan penggunaan yang berat termasuk bermain game, mengambil gambar, mesej, penggunaan media dan banyak lagi. Saya berjaya memperoleh 8 jam dengan penggunaan yang berat dan sehari setengah tanpa pengecasan dengan penggunaan biasa.

    Palam pengecas ASUS ROG Phone 6 Pro

    Bagi pengecasan, ASUS ROG Phone 6 Pro mempunyai palam pengecas PD USB 65W di dalam kotak berwarna hitam. Saya memperoleh kuasa daripada 0% hingga 100% dalam masa kurang daripada 45 minit. Gabungan cipset Snapdragon 8 Plus Gen 1 yang lebih cekap dan bateri yang besar adalah kombo yang sempurna.

    ASUS mempunyai dua perlindungan terbina dalam yang akan membantu untuk melindungi hayat bateri anda. Yang pertama ialah pengecasan pintasan (bypass charging) di mana anda boleh aktifkan dan menggunakan telefon tanpa mengecas bateri atau tanpa menggunakannya. Ia pada asasnya memberi kuasa kepada telefon terus daripada palam pengecas. Jadi, kurang haba yang dijana dan bateri anda boleh “berehat”.

    Selain itu, perlindungan kedua ketika pengecasan ialah ciri Steady charging. Steady charging akan mengecas telefon anda dengan lebih perlahan dengan pengurangan lebih sedikit haba dan anda boleh mengehadkan pengecasan telefon kepada 80%, 90% atau 100% jika anda ingin melindungi kesihatan bateri anda.

    Jika anda seorang gamers, anda sudah boleh agak kualiti kamera yang ditawarkan pada telefon ini kerana ia dibuat untuk gaming bukan fotografi. Jadi, aspek kamera adalah yang paling tidak penting. Walau bagaimanapun, anda jangan merendahkan kameranya kerana saya juga secara jujur agak terperanjat dengan kualiti gambar dan video yang dihasilkan. Anda boleh lihat contoh gambar yang diambil menggunakan ROG Phone 6 Pro di bawah.

    Bahagian bonggol kamera ROG Phone 6 Pro
    Contoh gambar pada waktu malam
    Contoh gambar swafoto ASUS ROG Phone 6 Pro
    Contoh video di ambil menggunakan ASUS ROG Phone 6 Pro

    ASUS ROG Phone 6 Pro dilengkapi sensor Sony IMX766 50MP pada kamera utama, ultra-lebar 13MP dan makro 5MP. Saya boleh menerima kualiti dan sedia untuk menjadikan telefon ini sebagai telefon harian saya. Bagi rakaman video 8K, saya rasa ia agak sedikit gimik. Tiada EIS, tiada pemprosesan HDR tambahan dan pada asasnya ia hanyalah video “mentah”. Anda boleh menggunakannya jika anda mahu, tetapi saya mengesyorkan rakaman dalam 4K jika anda mahukan rakaman video resolusi tinggi.

    Selepas menceritakan tentang banyaknya kelebihan pada telefon ini, saya akan menyentuh sedikit kekurangan yang terdapat padanya. Yang pertama, saya rasa ia agak terlalu berat untuk sebuah telefon pintar bagi kegunaan harian. Dalam penggunaan untuk suatu tempoh yang lama, saya dapat rasakan lenguh pada bahagian pergelangan tangan kerana berat yang ditampung.

    Seterusnya, saya mencadangkan ASUS untuk membuat skrin yang merangkumi lubang tebuk kamera kerana bezel yang tebal menampakkan ia agak sedikit hodoh dan tidak nampak seperti telefon andalan. Tetapi, saya percaya ASUS sudah melakukan hasil kerja yang terbaik. Mereka mungkin menggunakan skrin seperti ini untuk menyesuaikan setiap penggunaan aksesori.

    Yang terakhir, saya berharap ASUS boleh meningkatkan kuasa pengecasan pantas kepada 120W seperti Xiaomi tawarkan kepada Xiaomi 12 Pro kerana kapasiti baterinya yang besar. Saya tiada masalah dengan kuasa palam pengecasan yang diberikan tetapi jika diberi peluang yang lebih baik, kita boleh menjimatkan masa pengecasan.

    Kesimpulan – Prestasi tiada tandingan

    ASUS ROG Phone 6 Pro lengkap dengan pelbagai perkakasan terkini dan sistem operasi yang membantu dalam bermain game. Jika anda sedang mencari telefon dengan ciri gaming yang juga berfungsi sebagai telefon pintar biasa, maka ini adalah telefon terbaik untuk anda. Namun, masalah yang terbesar untuk mendapatkan telefon ini adalah kerana harganya. Harga bagi ROG Phone 6 Pro ialah RM4,999.

    Ia merupakan satu angka yang cukup besar untuk dilaburkan. Tetapi, jika anda mempunyai bajet yang lebih, apa salahnya! Walau bagaimanapun, saya fikir telefon pintar seperti ini mempunyai tujuan dan jelas bahawa ASUS menyasarkan sesuatu yang lain sedikit daripada telefon pintar kebiasaan.

    Kameranya mungkin tidak berapa baik jika hendak dibandingkan dengan harga yang ditawarkan, tetapi ia boleh dimaafkan kerana ciri lain yang terdapat pada telefon ini. Anda juga boleh membandingkan telefon ini dengan telefon gaming yang terdapat dalam pasaran sekarang seperti Black Shark 5 Pro yang berharga RM3,999, POCO F4 GT berharga RM2,499 dan OnePlus 10T 5G berharga ~RM2,900.

    Anda boleh melayari laman rasmi ASUS ROG Phone 6 Pro untuk maklumat lebih lanjut beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini serta teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    CelcomDigi beri laporan program integrasi dan pemodenan rangkaian di Malaysia

    Menurut CelcomDigi, mereka telah menyelesaikan 44% daripada program integrasi dan pemodenan rangkaian seluruh negara (NIM). Kerja-kerja ini mengambil masa lebih awal daripada...

    Predator Helios Neo 14 rasmi di Malaysia dengan Intel Core Ultra 9 berharga RM7,799

    Acer Malaysia hari ini memperkenalkan Predator Helios Neo 14 baharu dalam barisan peranti gaming mereka. Kompuer riba ini menampilkan skrin 14 inci...

    Samsung Malaysia anjur pertandingan khas untuk Galaxy A, hadiah termasuk Yamaha Y15ZR dan banyak...

    Bagi mempromosikan siri telefon pintar kelas pertengahan Samsung Galaxy A35 5G, Samsung Galaxy A55 5G dan lain-lain telefon Galaxy A, Samsung Malaysia...

    Tecno Pova 6 dilancar di Malaysia: Helio G99 Ultimate, AMOLED FHD+ 6.78″ berharga RM899

    Tecno yang merupakan salah satu jenama kompetitif dalam segmennya kini telah melancarkan sebuah lagi telefon pintar iaitu Tecno Pova 6 untuk pasaran...

    Siri iQOO Z9 5G dilancar di Malaysia: SD 7 Gen 3 & bateri 6,000mAh...

    iQOO Malaysia telah melancarkan dua model telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan iaitu iQOO Z9 5Gdan iQOO Z9x 5G dengan spesifikasi menarik pada harga...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X