Semua jenama kamera aksi selalunya berkongsi falsafah penggunaan yang sama: kamera tahan lasak bersaiz kecil yang sangat mudah digunakan dalam sebarang situasi. Inilah kenapa kamera seperti GoPro HERO Black, DJI Action dan Insta 360 menampilkan rekaan yang kukuh dan kaedah penggunaan yang sangat ringkas, dengan jumlah butang yang minimal.
Namun adakah anda boleh cipta kamera yang lebih ringkas daripada itu? GoPro nampaknya cuba menjawab soalan itu dengan GoPro HERO 4K, sebuah kamera aksi yang lebih kecil berbanding model utama GoPro HERO13 Black (dilancar pada hari yang sama pada tahun ini) dan berfungsi seperti kamera GoPro yang paling awal dahulu, pada awal 2000-an.
Berbeza dengan HERO13 Black, HERO 4K mempunyai saiz yang lebih kecil, tidak mempunyai skrin hadapan, tidak mempunyai bateri yang boleh dikeluarkan dan dijual pada harga lebih murah iaitu RM999 sahaja. Jelas sekali, HERO 4K tidak setanding HERO13 Black, namun dengan harga yang lebih murah sebanyak 50%, adakah kamera kecil ini lebih berbaloi untuk anda? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.
Kamera ini berukuran 56.6×47.7×29.4mm yang lebih kecil berbanding HERO13 Black, manakala beratnya yang sekadar 86 gram sahaja membuat kamera ini sebuah peranti yang sangat mudah dibawa, malah sering kali saya terlupa bahawa saya letakkan kamera ini dalam poket seluar. Jika anda mahu kamera aksi dengan fizikal yang sangat minimalis dan ringan, ini adalah produk yang sukar untuk ditandingi oleh jenama lain.
Walaupun dengan saiz yang kecil, ia masih mempunyai sebuah skrin sentuh LCD di belakang yang berukuran 1.76 inci, di mana anda boleh lihat apa yang sedang dirakam dan mengubah tetapan melalui ikon ringkas dan mudah difahami. Ketiadaan skrin hadapan akan menyukarkan anda merakam diri sendiri, jadi ini mungkin kamera yang tidak sesuai untuk vlog.
Ia mempunyai dua butang sahaja iaitu satu butang kuasa di bahagian tepi dan satu lagi butang rekod di bahagian atas. Di bawah, ia mempunyai Folding Fingers yang boleh dipasangkan dengan puluhan aksesori GoPro, namun ketiadaan lubang skru ¼-20 mount bermaksud anda tidak boleh pasangkan tripod pihak ketiga pada kamera ini.
Berlainan dengan HERO13 Black, bateri HERO 4K yang berkapasiti 1,255mAh ini tidak boleh dicabut, jadi jika anda merancang untuk merakam video dengan durasi yang lama, pastikan anda bawa power bank supaya anda boleh mengecas bateri dalamannya melalui port USB-C. Baterinya dilindungi oleh pintu khas yang membuatkan kamera ini boleh tenggelam sehingga paras kedalaman air 5 meter sahaja (HERO13 Black boleh tenggelam sehingga dua kali ganda lebih dalam).
Kini saya ingin beralih kepada pengalaman saya merakam video menggunakan kamera ini. Dalam mod Video ia boleh merakam pada resolusi 4K 30fps dalam mod biasa, atau anda boleh rendahkannya kepada 1080p 30fps dalam mod penjimatan kuasa (Battery Saver). Anda hanya boleh pilih antara dua tetapan ini sahaja, anda tidak boleh tukar kadar fps dalam mod Video.
Jika anda ingin rekod video gerak perlahan (slow motion), mod Slo-Mo Video boleh merakam pada 2.7K 60fps, atau 1080p 60fps dalam mod penjimatan kuasa. Seperti mod Video yang dihuraikan tadi, anda hanya boleh pilih antara dua resolusi ini sahaja dalam mod Slo-Mo Video. Kekangan seperti ini mungkin akan mengehadkan kebolehan rakaman anda, namun memandangkan ini kamera yang lebih murah, ini adalah sesuatu yang boleh difahami.
Kualiti videonya baik, setanding dengan HERO13 Black, dengan penghasilan warna yang cantik jika anda merakam video dalam situasi yang terang. Rakaman dalam situasi malap nampak agak kabur, namun ini adalah satu kelemahan yang terdapat pada setiap kamera aksi. Ketiadaan fungsi standard seperti Horizon Leveling, HindSight, Live Streaming, TimeWarp dan Star Trails mungkin akan dirindu oleh para pengguna GoPro, namun ia boleh difahami kerana harga HERO 4K yang lebih murah berbanding kamera GoPro lain.
Hayat baterinya agak singkat, namun saya boleh memahaminya kerana baterinya lebih kecil daripada kamera aksi lain yang lebih konvensional. Laman web GoPro mengatakan bateri HERO 4K boleh bertahan sehingga 141 minit jika merakam video dalam mod Batter Saver (1080p 30fps), namun ujian saya mendapati ia hanya boleh bertahan sekitar 110 minit.
Satu kebaikan bateri dengan kapasiti kecil ini adalah tempoh pengecasannya yang cepat. Menggunakan pengecas telefon saya dengan kadar 25W, ia boleh mengecas HERO 4K daripada 0% hingga 100% dalam masa bawah 40 minit.
Kini saya ingin sentuh isu yang sangat besar tentang kamera ini iaitu penstabilannya. Wajar untuk kita jangkakan bahawa video yang dihasilkan pada HERO 4K ini nampak sangat stabil walaupun anda merakam sambil berlari. Dengan teknologi penstabilan HyperSmooth, memang video nampak sangat stabil (kualiti penstabilannya sama seperti HERO13 Black), namun satu masalah yang menghantui saya adalah implementasi teknologi penstabilan ini.
Jika anda merakam video kemudian terus memindahkannya kepada komputer melalui kabel USB, anda akan dapati videonya nampak bergegar dan sangat tidak stabil. Kenapa? Anda sebenarnya perlu memindahkan fail secara wayarles terlebih dahulu kepada telefon anda melalui aplikasi Quik, kemudian barulah aplikasi tersebut akan menstabilkan video anda menggunakan HyperSmooth.
Sebagai seorang yang kerap merakam video panjang untuk vlog dan projek profesional, ini adalah satu langkah tambahan yang amat remeh. Saya tidak sanggup dan tidak mempunyai masa untuk memindahkan semua fail video saya ke dalam telefon, kemudian tunggu lagi untuk aplikasi Quik menstabilkan semua fail video, kemudian pindahkan fail-fail video tersebut kepada komputer atau GoPro Cloud. Proses penstabilannya tidak mengambil masa yang lama untuk satu video, namun ini akan menambah satu lagi langkah ke dalam aliran kerja dan akan menambah masa sahaja.
Jika anda sekadar ingin merakam video 30 saat atau 1 minit kemudian ingin terus dimuat naik ke media sosial, mungkin kaedah penstabilan HERO 4K ini boleh diterima. Tetapi jika anda ingin menyunting video panjang berdurasi 5 minit dan ke atas serta lebih gemar menyunting video dalam komputer, saya merasakan kamera ini tidak sesuai langsung dengan anda. Saya lebih gemar jika penstabilan HyperSmooth itu sudah siap dilakukan dalam kamera terus, seperti dalam HERO13 Black.
Mungkin masalah ini tidak besar jika aplikasi Quik itu ditawarkan dalam komputer, namun buat masa ini Quik hanya ditawarkan dalam komputer dengan sistem operasi macOS sahaja, manakala untuk sistem operasi Windows pula “akan ditawarkan pada masa hadapan”.
Jadi, siapakah yang sesuai menggunakan HERO 4K ini? Pada pendapat saya, ia sesuai digunakan oleh pencipta kandungan yang fokus pada mencipta video pendek (seperti TikTok, Instagram Reels dan YouTube Shorts) kerana klip video yang dirakam selalunya pendek sahaja, kemudian anda boleh sunting klip-klip pendek ini dalam telefon sahaja kemudian boleh terus dimuat naik ke platform media sosial. Memandangkan lanskap media sosial pada waktu ini didominasi oleh video pendek, mungkin inilah sebabnya GoPro menghasilkan HERO 4K.
Ia juga sesuai dianggap sebagai kamera tambahan kepada telefon anda, mungkin sebagai kamera ultra-lebar yang jauh lebih tahan lasak dan mudah digunakan. HERO 4K memerlukan aplikasi Quik dalam telefon untuk dimanfaatkan sepenuhnya, berbeza dengan HERO13 Black yang boleh digunakan secara bersendiri. Aplikasi Quik boleh dimuat turun melalui Apple App Store atau Google Play Store.
Namun, jika anda seorang yang kerap merakam video dalam tempoh yang panjang seperti perakam vlog melancong, penunggang motosikal yang merakam video pengembaraan mereka, peluncur (surfer) yang merakam video mencari dan meluncur ombak serta lain-lain sukan, saya nasihatkan anda supaya tidak gunakan HERO 4K. Lebih elok anda dapatkan HERO13 Black atau DJI Osmo Action 5 Pro. Model HERO Black yang lama juga lebih baik berbanding HERO 4K untuk video berdurasi panjang.
Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Spesifikasi
- Ukuran: 56.6mm x 47.7mm x 29.4mm, berat 86 gram
- Sensor kamera CMOS 1/2.8” 12MP, resolusi 4000×3000
- Rakaman resolusi video 4K 30fps, atau 1080p 30fps dalam mod Battery Saver
- Rakaman gerak perlahan 2.7K 60fps, atau 1080p 60fps dalam mod Battery Saver
- Penstabilan HyperSmooth (memerlukan aplikasi Quik dalam telefon)
- Skrin belakang 1.76 inci (boleh disentuh)
- Bateri Enduro 1,255mAh (tidak boleh dicabut)
- Boleh tenggelam sehingga 5 meter
- Boleh digunakan dalam suhu -10º C hingga 35º C
- Port USB-C
- Dua mikrofon dalaman
Kelebihan: Saiz kecil, ringan, mudah diguna
Kekurangan: Memerlukan pemprosesan lanjut dalam aplikasi Quik untuk menstabilkan video
Kesimpulan: Kamera aksi yang sesuai untuk mencipta video durasi pendek sahaja