fbpx
More

    Ulasan iPhone 15 Plus – Peningkatan mahal tapi berbaloi!

    Siri iPhone 15 telahpun dilancarkan pada September lepas membawa empat model yang terdiri daripada iPhone 15, iPhone 15 Plus, iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max. Dalam artikel ini, saya akan mengulaskan perkara yang anda perlu tahu mengenai iPhone 15 Plus. Apakah model kali ini lebih membanggakan dan apakah peningkatan yang anda perlu tahu? Baca ulasan ini sepenuhnya sekiranya anda berminat untuk bertukar ke iPhone 15 Plus.

    Reka bentuk – Kelihatan dan memberikan rasa mewah

    Komitmen Apple untuk membawa ciri mewah pada perantinya sentiasa berjaya. Mulai daripada pandangan luaran, kemasannya cukup bersih, minimal dan premium. Perkakasan yang digunakan juga tidak mempamerkan sebarang kualiti yang rendah malah ia menunjukkan kemasan yang digunakan adalah berkualti daripada skrin hadapan hingga ke permukaan matte di bahagian belakang.

    Daripada segi saiz, iPhone 15 Plus menampilkan skrin sebesar 6.7 inci yang terletak dalam badan seberat 201 gram. Kebanyakan pengguna pasti sudah biasa dengan saiz sebegini yang merupakan perkara biasa terutamanya pada peranti Android terkini. Peranti ini selesa dimasukkan ke dalam poket dan masih boleh dipegang dalam satu tangan. Walau bagaimanapun, keutamaan individu mungkin berbeza, terutamanya bagi pengguna yang mempunyai tangan lebih kecil.

    Paparan OLED berukuran 6.7 inci
    Kemasan matte dan tri-kamera dalam dua modul kamera
    Bonggol kamera yang sebenarnya tebal tetapi tidak kelihatan begitu

    Kemasan matte di bahagian belakang turut menyokong penampilan tri-kameranya dalam susunan dua modul cincin dan lampu flash LED. Dataran kamera lutsinar menambah kontras yang halus memberikan sedikit keperibadian pada telefon ini. Mungkin juga disebabkan dataran kamera lutsinar itu, bonggol kamera tidak terlalu ketara apabila dilihat daripada atas walaupun sebenarnya ia agak tebal.

    Kembali ke bahagian hadapan, bezel pada skrin masih tebal tetapi disebabkan saiz skrinnya yang besar, ini sepatutnya tidak memberi kesan yang banyak ketika tontonan. Namun, kerana adanya ciri Dynamic Island di bahagian atas yang turut menempatkan kamera swafoto 12MP, pengalaman menonton TikTok saya agak kurang memuaskan. Saya mencadangkan agar Apple mempertimbangkan untuk mengubah saiz atau posisi baharu bagi ciri Dynamic Island ini supaya pengalaman menonton video atau bermain game menjadi lebih mengasyikkan.

    Ciri Dynamic Island turut menempatkan kamera swafoto

    Kemudian, bahagian sisi iPhone 15 Plus juga perlu diberi perhatian. Jika dilihat dengan teliti, bahagian penjuru di bahagian sisi iPhone 15 Plus lebih melengkung berbanding iPhone 14. Ia disalut kemasan aluminium memberikan rasa kaca apabila dipegang. Walaupun secara keseluruhan reka bentuk telefon ini kelihatan estetika, saya mencadangkan anda untuk mendapatkan sarung yang selesa dan mudah melekat pada tangan anda. Ini kerana, dengan telefon ini saja, ia terasa mudah tergelincir.

    Model standard kali ini membawa perubahan ketara yang terletak pada bahagian bawah peranti iaitu penggantian port Lightning kepada port USB-C. Ini disebabkan oleh perubahan yang berlaku di negara Eropah untuk memudahkan rakyatnya, tetapi mungkin tidak sesuai untuk pengguna iPhone yang setia. Namun, pembelian iPhone 15 Plus tidak terlalu mengecewakan kerana Apple menawarkan kabel pengecasan USB-C di dalam kotak.

    Sisi kiri: Butang senyap, butang audio dan slot kad SIM
    Sisi kanan: Butang kuasa
    Di bawah: port USB-C, mikrofon, pembesar suara stereo

    Untuk pengetahuan anda, kabel USB-C kali ini hadir dengan kemasan jahitan atau braided dan bukanlah disalut getah seperti kabel terdahulu. Port USB-C pada iPhone 15 Plus dihadkan pada pemindahan data 480Mbps, tidak seperti port 10Gbps yang lebih canggih pada model Pro. Berbeza dengan model Pro, iPhone 15 Plus tidak termasuk beberapa perubahan reka bentuk seperti butang Tindakan dan kemasan titanium, selaras dengan strategi peningkatan berperingkat Apple.

    Bersebelahan port USB-C, terdapat dua pembesar suara stereo dan dua mikrofon, butang kuasa di sisi kanan serta butang senyap, butang audio dan slot kad SIM di sisi kiri. Hanya kabel pengecas USB-C, dokumen dan pin SIM sahaja yang ditawarkan dalam kotak pembelian iPhone terkini.

    Dalam kota: iphone 15 Plus, kabel pengecas USB-C, dokumen dan pin SIM

    Secara keseluruhan, iPhone 15 Plus telah berhasil memberikan keperibadian yang mewah tetapi masih perlu dijaga dengan rapi kerana iPhone amat dikenali dengan kecenderungan perkakasannya yang mudah tercalar atau pecah apabila terjatuh. Dengan ini, anda pasti memerlukan sarung tahan lasak dan perlindungan skrin tambahan.

    Spesifikasi – Peningkatan ketara untuk model standard

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk iPhone 15 Plus:

    • Cipset Apple A16 Bionic
    • RAM 8GB dan storan 128/256/512GB
    • Paparan OLED Super Retina XDR 6.7 inci, dan resolusi 2796×1290 piksel pada 460 ppi
    • Ukuran badan: 160.9 x 77.8 x 7.8mm | Berat 201g
    • Kamera utama 48MP: Panjang fokus 26mm, apertur Æ’/1.6, penstabilan imej optik (OIS) generasi kedua, Piksel Fokus 100%, menyokong foto resolusi ultra tinggi (24MP dan 48MP)
    • Kamera ultra lebar 12MP: Panjang fokus 13mm, apertur Æ’/2.4 dan sudut tontonan 120°, piksel fokus 100%
    • Telefoto 2x 12MP (melalui penderia piksel 4-dalam-1): Apertur Æ’/1.6, penstabilan imej optik (OIS) generasi kedua, Piksel Fokus 100%
    • Kamera swafoto 12MP
    • Sokong rakaman video 4K pada 24 fps, 25 fps, 30 fps atau 60 fps
    • iOS 17, Dynamic Island, Face ID, port USB-C, pengecasan berwayar 20W ke atas, pengecasan wayarles MagSafe 15W, pengecasan wayarles Qi sehingga 7.5W
    • Warna: Hitam, Biru, Hijau, Kuning, Merah Jambu
    • Harga: RM4,899 (128GB), RM5,399 (256GB) , RM6,399 (512GB)

    Dikuasakan oleh cipset Apple A16 Bionic, iPhone 15 Plus menjanjikan prestasi yang luar biasa. Dengan RAM sebanyak 8GB, pengguna dapat mengalami pengendalian pelbagai tugas yang lancar tanpa sebarang lag. Storan yang besar dengan pilihan 128GB, 256GB atau 512GB memberikan ruang yang mencukupi untuk menyimpan segala keperluan pengguna. Sudah tentu, berlainan storan membawa harga yang berlainan.

    Skrin OLED Super Retina XDR 6.7 inci membawa pengalaman visual ke tahap baru. Resolusi sebanyak 2796×1290 piksel pada 460 ppi menjanjikan ketajaman dan kualiti visual yang memukau. Setakat ini, tontonan pada skrin iPhone 15 Plus cukup memuaskan dengan warna dan ketajaman yang jelas. Cahaya matahari yang terik tidak akan mengganggu penggunaan skrin kerana kecerahannya mencukupi.

    Pilihan untuk rakaman video

    Sistem kamera iPhone 15 Plus memukau dengan peningkatan kamera daripada 12MP kepada 48MP pada kamera utama, ultra lebar 12MP dan kamera telefoto 2x 12MP. Apertur yang besar dan penstabilan imej optik generasi kedua memastikan hasil gambar yang jelas dan tajam dalam pelbagai keadaan walaupun ketika rakaman video. Sokongan untuk rakaman video 4K pada pelbagai kelajuan sehingga 60fps memberikan kepuasan kepada pencipta kandungan untuk dimuat naik ke laman media sosial mereka.

    Berjalan dengan sistem operasi iOS 17, iPhone 15 Plus menawarkan antara muka yang intuitif dan ciri-ciri terkini seperti Dynamic Island dan Face ID untuk keselamatan tambahan. Pergantungan pada port USB-C dan pengecas wayarles MagSafe 15W menunjukkan langkah Apple ke arah kecekapan dan kemudahan penggunaan walaupun pada model standard.

    Tontonan TikTok diganggu oleh Dynamic Island

    Walaupun ciri Dynamic Island mempunyai fungsi dan membantu pengguna daripada segi notifikasi, pengecasan dan banyak lagi, ciri ini mengganggu tontonan TikTok dan Shorts pada YouTube serta ketika bermain game. Perkara ini tidak berlaku ketika saya menonton Netflix dan YouTube dalam keadaan skrin mendatar. Kemudian, sokongan pemindahan data melalui USB-C hanya menyokong kelajuan pada 480Mbps, berbanding dengan iPhone 15 Pro pada 10Gbps.

    Bagi pengguna iPhone baharu dan iPhone 15, Dynamic Island daripada Apple merupakan ciri yang fleksibel direka untuk menyesuaikan saiz dan bentuk secara dinamik berdasarkan kandungan yang dipaparkan. Sebagai contoh, semasa panggilan, ia berkembang menjadi segi empat besar untuk akses cepat ke kawalan telefon. Keupayaannya merangkumi pelbagai fungsi, dari pengesahan transaksi ‌Apple Pay‌ hingga penunjuk privasi, pemindahan AirDrop dan pelbagai amaran status peranti.

    Dynamic Island memberitahu telefon sedang dicas

    Dengan iOS 17, pengguna iPhone dapat menikmati lebih banyak ciri yang memudahkan pengguna. Antara peningkatan baharu adalah fungsi Standby, poster kenalan, voicemail langsung, antara muka baharu aplikasi Phone dan banyak lagi. Anda boleh membaca ciri dan fungsi iOS 17 di sini untuk tahu lebih lanjut.

    Prestasi – Fotografi terbaik dan baterinya sangat membantu!

    Berikut merupakan data Geekbench 6 dan 3DMark:

    Data Geekbench 6
    Data 3DMark

    Penggunaan untuk bekerja dan gaming cukup memuaskan. Skrin sentuh bekerja dengan lancar tanpa lag, manakala grafik ketika bermain game Mortal Kombat dan Asphalt 9 tidak memberi sebarang masalah. Melalukan kerja anda melalui iPhone 15 Plus juga antara perkara yang saya galakkan dengan skrinnya yang besar, sesuai untuk penggunaan ketika dalam perjalanan.

    iPhone 15 Plus menonjol kerana kapasiti baterinya yang besar, mempunyai bateri 4,383mAh, lebih besar daripada iPhone 15 standard pada 3,349mAh. Anggaran Apple mencadangkan 26 jam main balik video yang mengagumkan, melebihi 20 jam untuk iPhone 15 dan 23 jam untuk 15 Pro. Dalam penggunaan praktikal, iPhone 15 Plus melebihi jangkaan, selesa bertahan sehingga 89% untuk penggunaan selama tiga jam tanpa henti.

    Mortal Kombat
    Asphalt 9

    Saya telah membuat ujian pengecasan menggunakan pengecas Macbook 61W daripada 0% meningkat kepada 100% dalam masa satu jam 40 minit. Di sini saya ingin mengingatkan anda kembali bahawa iPhone 15 menyokong pengecasan berwayar 20W dan ke atas, pengecasan wayarles MagSafe 15W dan pengecasan wayarles Qi sehingga 7.5W.

    Menariknya, peranti ini masih kekal dalam keadaan suhu suam tetapi tidak terlalu panas semasa tiga jam penggunaan tanpa henti. Oleh itu, anda tidak perlu risau untuk menggunakan peranti ini dalam jangka masa yang lama tanpa membawa pengecas atau bank kuasa.

    Bagi pembesar suara pula, iPhone 15 Plus dilengkapi dengan pembesar suara stereo terbina dalam memberikan kualiti bunyi kali memuaskan dengan penambahbaikan yang ketara dalam penyamaan dinamik dan kualiti bunyi. Untuk pengguna yang tinggal dalam kondominium, pembesar suara iPhone 15 Plus sudah cukup kuat untuk didengari dari setiap penjuru rumah anda.

    Beralih kepada fotografi, iPhone 15 Plus membawa pengenalan kamera telefoto yang meningkatkan keupayaan zum optik memberikan pilihan zum 0.5x, 1x dan 2x. Ia masih mampu menangkap subjek yang lebih kecil seperti manusia, haiwan dan bunga dengan jelas dan terang. Siri iPhone kali ini turut memberikan ciri “potret generasi seterusnya”, lanjutan daripada mod potret sedia ada.

    Fungsi baharu ini mengesan orang, anjing dan kucing secara automatik, memberikan hasil kabur bokeh. Anda tidak perlu lagi menekan skrin untuk fokus pada suatu subjek yang sedang bergerak melalui ciri potret. Saya tidak menggalakkan penggunaan kamera ultra lebar untuk merakam video kerana kualitinya kelihatan sedikit pecah, serupa dengan iPhone 14 dan model iPhone sebelum ini. Bagi pencipta kandungan, anda mungkin perlukan perakam video peribadi atau batang pemegang telefon bagi mengelakkan kualiti rakaman rendah.

    Dengan teknologi Smart HDR, gambar swafoto menghasilkan tona kulit yang realistik. Pengguna wanita tidak perlu menggunakan cermin untuk memakai alat solek kerana kamera swafoto iPhone 15 Plus sudah mencukupi. Walaupun begitu, hasil kualiti gambar potret pada waktu malam melalui kamera swafoto kurang memuaskan. Noise masih kelihatan banyak mungkin juga kerana ia tidak mendapat peningkatan megapiksel seperti kamera belakangnya.

    Kamera belakang: Mod standard 0.5
    Kamera belakang: Mod standard 1x
    Kamera belakang: Mod standard 2x
    Kamera belakang: Mod Potret
    Kamera belakang: Mod Potret
    Kamera belakang: Mod standard 0.5
    Kamera belakang: Mod standard 1x
    Kamera belakang: Mod standard 2x
    Kamera belakang: Mod Potret
    Kamera swafoto: Mod standard
    Kamera swafoto: Mod Potret
    Kamera swafoto: Mod standard
    Kamera swafoto: Mod Potret

    Kesimpulan – Berbaloi untuk menaik taraf ke iPhone 15 Plus

    Walaupun ia adalah salah satu daripada versi standard siri iPhone 15, varian 15 Plus memberikan prestasi yang mengagumkan tanpa lag, kualiti bunyi memuaskan dan hasil gambar yang baik. Peningkatan kamera pada peranti ini tidaklah sia-sia kerana saya merasakan ia sesuai untuk pencipta kandungan dengan saiznya yang besar dan ringan.

    Keupayaan bateri juga harus diberi penghargan tinggi terutamanya kerana Apple pernah terkenal dengan isu kehabisan bateri yang cepat tetapi ini tidak berlaku pada iPhone 15 Plus. Sekiranya anda pengguna iPhone 14 standard atau ingin menukar kepada siri iPhone 15, ia adalah pilihan yang berbaloi dengan beberapa peningkatan ciri pada harga RM4,899.

    Bagi mereka yang inginkan saiz yang lebih kecil, Apple turut menawarkan iPhone 15 pada saiz 6.1 inci bermula pada harga RM4,399. Hampir kesemua spesifikasinya sama dengan iPhone 15 Plus. Kini, saya tertanya-tanya, apakah perubahan dan peningkatan yang akan dibawa oleh versi standard siri iPhone 16 akan datang?

    Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Ulasan HONOR MagicBook X 16 – Berbaloi jika anda peminat skrin besar!

    Dalam pasaran komputer riba segmen pertengahan yang sesak, mungkin sukar untuk mencari peranti yang menawarkan keseimbangan ciri, prestasi dan nilai yang menarik....

    OPPO A60 dilancar di Malaysia: Snapdragon 680, RAM 8GB dan kamera 50MP bermula RM699

    OPPO Malaysia memperkenalkan tambahan baharu kepada telefon pintar siri A iaitu OPPO A60 yang menawarkan reka bentuk premium dan tahan lama yang...

    Kad Visa TNG eWallet tawarkan ‘markup’ 0% untuk transaksi luar negara

    Touch 'n Go eWallet (TNG eWallet) menawarkan pilihan pembayaran rentas sempadan yang lancar untuk pengembara, membolehkan mereka menggunakan sama ada pembayaran QR...

    Acer Chromebook Plus 514 dilancar: Intel Core i3-N305 & skrin FHD 14″ berharga ~RM1,671

    Acer telah melancarkan Acer Chromebook Plus 514, tambahan kepada barisan Chromebook Plus yang menekankan prestasi, mudah alih dan ketahanan. Dengan paparan FHD...

    MSI Claw berikan diskaun RM250 sehingga akhir Mei 2024 dengan pemacu BIOS dan GPU...

    MSI mengumumkan peningkatan ketara dalam prestasi permainan tangannya, Claw dengan pemacu BIOS dan GPU baharu. Claw kini memberikan peningkatan sehingga 150% dalam...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X