fbpx
More

    Ulasan OPPO Find N3 Flip – Lebih elegan, lebih fotografi!

    Yang patah tumbuh, yang hilang berganti, begitulah konsep setiap tahun bagi pengeluar telefon pintar memperbaharui barisan peranti mereka. Bagi OPPO, pembaharuan kali ini nampaknya tidak berapa banyak tetapi menarik lebih-lebih lagi untuk bahagian kamera. Sebelum itu, terdapat banyak lagi perkara yang kita perlu bincangkan dalam ulasan ini.

    Terima kasih kepada OPPO Malaysia kerana telah memberikan N3 Flip seminggu sebelum pelancarannya di Malaysia. Saya telah mengujinya selama seminggu dan mendapati ciri skrin penutup baharu sangat membantu dalam menjimatkan masa untuk menyemak notifikasi atau aplikasi dan saya rasa seperti mempunyai telefon mini pada bahagian hadapan. Tanpa buang masa, jom kita selami pengalaman saya menggunakan OPPO N3 Flip!

    Pakej yang anda dapat jika membelinya

    Reka Bentuk – Elegan!

    OPPO Find N3 Flip hadir dengan reka bentuk yang padat (solid), anggun dan rasa premium apabila anda memegangnya. Bahagian belakang kaca dan bingkai logam menambah sentuhan elegan pada penampilannya. Walau bagaimanapun, bahagian belakang kaca menjadikannya agak licin, jadi saya terpaksa berhati-hati semasa menggunakannya. 

    Bahagian penutup telefon terdapat bonggol kamera berbentuk bulat dengan penjenamaan Hasselblad memberikan rupa yang unik walaupun ia menonjol sedikit. Bagi saya, rekaanya adalah lebih baik daripada OPPO N2 Flip di mana N2 Flip mempunyai dua bulatan kamera dan nampak sedikit stereotaip. Estetika keseluruhan telefon ini sangat menarik dan saya sangat menyukai varian warna Krim yang saya terima. 

    Bonggol kamera dengan penjenamaan Hasselblad

    Jika anda melihat dengan lebih dekat, modul kamera kelihatan seperti versi mini kamera pada OnePlus 11 dengan penjenamaan Hasselblad padanya. Telefon ini dilengkapi dengan dua paparan yang terletak pada skrin penutup dan skrin utama pada bahagian dalam. Skrin AMOLED pada bahagian penutup berukuran 3.26 inci yang cukup terang merupakan pilihan berguna untuk melihat aplikasi yang tersuai. 

    Saya boleh membuka hampir semua aplikasi harian yang sering kita gunakan seperti X, WhatsApp, Telegram dan Spotify. Satu perkara yang saya tidak suka mengenainya ialah ketiadaan ciri sentuh untuk hidup. Untuk menghidupkan skrin penutup, saya terpaksa menekan butang kuasa. Skrin penutup juga mempunyai ciri sentiasa hidup yang memaparkan masa apabila anda mengangkat peranti.

    Skrin utama pada bahagian dalam mempunyai paparan AMOLED 6.8 inci dengan kecerahan puncak 1600 nits dan kadar segar semula 120Hz. Walaupun dalam cahaya matahari langsung, skrin tetap boleh dibaca dengan sempurna. Bentuknya yang memanjang meningkatkan pengalaman menonton video.

    Saya perhatikan bahawa skrin kekal rata apabila anda membukanya. Namun, jika diteliti, anda akan dapat melihat sedikit kesan lipatan dan ia adalah lebih baik daripada kebanyakan telefon lipat di pasaran. Saya masih boleh merasakan kesan lipatan jika sentuh pada bahagian tengah skrin tetapi tidak menonjol.

    Kesan lipatan yang hampir jelas
    Alert slider

    Satu lagi ciri baharu yang menarik ialah alert slider, iaitu butang gelongsor yang dipopularkan oleh OnePlus (anak syarikat OPPO) yang menjadikannya mudah untuk bertukar-tukar antara mod dering, senyap dan bergetar. Saya gembira OPPO membuat perubahan ini yang mana ia sangat membantu saya untuk menetapkan mod senyap tanpa mengeluarkan telefon dari dalam poket.

    Spesifikasi – Berbaloi sebab kamera

    Ini adalah spesifikasi lengkap OPPO Find N3 Flip:

    • Cipset: Mediatek Dimensity 9200+ (4 nm)
    • Paparan utama LTPO AMOLED boleh lipat 6.8 inci, segar semula 120Hz, HDR10+, 1600 nits (puncak), resolusi 1080×2520 px, nisbah bidang 21:9, 403 ppi
    • Paparan penutup AMOLED 3.26 inci, Corning Gorilla Glass Victus, 250 PPI, 900 nits (puncak)
    • Memori RAM 12GB, storan UFS 4.0 256GB
    • Kamera utama 50 MP, f/1.8, 24mm (lebar), 1/1.56″, 1.0µm, PDAF berbilang arah, OIS, kamera telefoto 32 MP, f/2.0, 47mm, zum optik 2x, PDAF dan kamera ultra lebar 48 MP, f/2.2, 14mm, 114Ëš
    • Kamera swafoto 32 MP, f/2.4, 22mm (lebar), AF
    • Bateri berkapasiti 4,300mAh dengan sokongan pengecasan 67W
    • Ukuran badan: 166.4 × 75.8 × 7.8mm, berat 198g.
    • Pengimbas cap jari pada bahagian sisi, pembesar suara stereo, Android 13, ColorOS 13.2, Alert slider
    • Warna: Cream Gold, Misty Pink dan Sleek Blac
    • Harga: RM4,399

    OPPO Find N3 Flip dikuasakan oleh pemproses MediaTek 9200 dipasang bersama RAM 12GB dan storan UFS 4.0 256GB. Seminggu selepas menggunakannya, saya tidak menghadapi sebarang masalah prestasi. Menatal telefon, melancarkan aplikasi dan bermain game, semuanya memberikan pengalaman yang lancar.

    Walaupun bentuknya elegan, N3 Flip juga menunjukkan prestasi yang mantap untuk sesi gaming. Tetapi perkara berkaitan gaming, saya akan ulas pada bahagian prestasi. Apa yang benar-benar menarik perhatian saya ialah maklum balas haptik pada telefon ini seimbang. Orang putih kata smooth sahaja.

    Paparan utama menyokong kadar penyegaran sehingga 120Hz dan menawarkan pemalapan PWM 1440Hz menjadikannya pilihan yang sangat baik untuk mereka yang mempunyai kepekaan PWM. Ia menyerlahkan kecerahan warna dan OPPO menawarkan pelbagai mod warna skrin untuk memenuhi pilihan anda. Salah satu mod ialah mod “Sinematik” yang menjanjikan pembahagian warna yang tepat. 

    Dengan kecerahan puncak 1600 nits, paparan kekal mudah dibaca walaupun dalam cahaya matahari yang silau. Ia menyokong HDR10+ yang memastikan kandungan dipaparkan jelas daripada segi warna, butiran dan kontras. Selain tu, ia juga merupakan paparan bebas polarizer, OPPO berkata ia sepatutnya lebih mudah dilihat dengan cermin mata hitam dan mengurangkan penggunaan kuasa sebanyak 20%.

    Untuk memori, OPPO N3 Flip tidak mempunyai slot kad memori microSD untuk memori tambahan. Satu perkara yang menarik adalah RAM 12GB yang boleh dikembangkan secara maya (virtual) sebanyak 12GB lagi, membuatkan RAM keseluruhan kepada 24GB. Saya mengandaikan OPPO berbesar hati memberikan RAM 24GB yang ‘agak keterlaluan’ kerana memori standard sudah cukup untuk memastikan kelancaran telefon.

    Terdapat ruang untuk penambahbaikan perisian pada OPPO kerana ia disertakan dengan beberapa aplikasi prapasang yang mungkin tidak sesuai dengan pilihan semua orang. Faktor tambahan yang perlu dipertimbangkan ialah kehadiran App Market yang boleh dilihat sebagai berlebihan oleh sesetengah pengguna.

    Perlu dinyatakan bahawa OPPO berjanji untuk menyampaikan kemas kini Android selama empat tahun dan kemas kini keselamatan selama lima tahun. Malangnya, walaupun lebih banyak telefon boleh lipat dilancarkan dengan perlindungan tambahan, OPPO Find N3 Flip tidak mempunyai penarafan IP untuk rintangan air dan habuk.

    Prestasi – Mencapai jangkaan

    Seterusnya, mari kita lihat prestasi yang ditawarkan oleh OPPO Find N3 Flip melalui ujian penanda aras 3DMark Wild Life Stress dan Geekbench 5.

    Untuk gaming, telefon ini tiada masalah untuk memainkan game PUBG Mobile dan Mobile Legends pada tetapan yang tinggi sambil mengekalkan kadar bingkai pada 60fps. Yang menariknya, OPPO dapat menyelesaikan masalah kehangatan pada telefon ketika bermain game tidak seperti OPPO N2 Flip yang pernah saya ulas sebelum ini.

    Mari kita bergerak kepada perkara yang menarik pada OPPO N3 Flip iaitu bahagian kamera. Peranti ini mempunyai tiga kamera pada bahagian penutup dengan kamera utama 50MP, ultra lebar 48MP dan telefoto 32MP. Untuk fotografi pada siang hari, telefon ini benar-benar menyinar. Imej yang diambil pada siang hari sangat terperinci, terang dan semula jadi.

    Ton kulit dihasilkan semula dengan tepat dan kamera telefoto 5X sangat baik untuk menangkap gambar untuk jarak yang jauh. Kameranya serba boleh untuk pelbagai situasi. Terdapat penambahbaikan untuk tangkapan malam dan apa yang ketara ialah betapa pantasnya menangkap imej dalam mod malam berbanding dengan telefon lain.

    Mod malam

    Ciri yang seronok ialah saya boleh menggunakan kamera utama 50MP sebagai kamera swafoto apabila menggunakan skrin penutup. Ini adalah pilihan yang mudah terutamanya apabila anda tidak mahu membuka telefon untuk swafoto.

    Untuk kamera zumnya juga sangat mengagumkan. Anda boleh lihat butiran pada pokok walaupun dengan 20x zum.

    Saya pada mulanya bimbang tentang hayat bateri dengan mengambil kira dwi-paparan dan ciri sentiasa hidup. Walau bagaimanapun, Find N3 mengejutkan saya. Saya boleh menggunakan dan menguruskan urusan harian dengan sekali caj walaupun dengan aktiviti biasa seperti penstriman video, main game dan penggunaan media sosial.

    Bateri berkapasiti 4,300mAh terbukti boleh dipercayai yang datang dengan pengecasan pantas 67W. Ia boleh mengecas sehingga 50 peratus dalam masa setengah jam sahaja dan sekitar satu jam untuk pengecasan penuh bagi peranti ini.

    Palam pengecas 67W

    Kesimpulan – Mewah dan fotografi “A”

    Saya mendapati OPPO Find N3 Flip agak menarik sebagai telefon boleh lipat. Ia mempunyai reka bentuk yang anggun, prestasi yang mantap dan beberapa ciri kamera yang berguna untuk fotografi siang hari. Bahagian engselnya juga dipertingkatkan menambah ketahanannya dan paparan dwi memudahkan kerja berbilang tugas.

    Dalam situasi cahaya malap, prestasi kamera tidak cukup memenuhi jangkaan saya. Jika anda berminat dengan fotografi waktu malam, anda mungkin perlu menggunakan mod Pro untuk mendapatkan tetapan yang sempurna. Jika anda berminat dengan reka bentuk yang inovatif, prestasi kamera siang hari yang mantap dan pengalaman menggunakan telefon boleh lipat, anda patut mempertimbangkannya.

    Terdapat juga pilihan lain yang mungkin anda perlu ambil kira seperti Samsung Galaxy Z Flip5 yang terbukti mempunyai tanda aras tersendiri tetapi harganya agak sedikit tinggi iaitu RM4,499. Jika mahukan telefon lipat dengan harga yang lebih murah, saya syorkan anda untuk melihat TECNO PHANTOM V Flip 5G yang dilancarkan di Malaysia baru-baru ini dengan harga RM2,899.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Redmi Note 13R dilancar: SD 4 Gen 2 dan skrin 120Hz bermula ~RM907

    Selepas mengeluarkan Redmi Note 13R Pro tahun lepas, anak syarikat Xiaomi kini melancarkan varian standard peranti tersebut iaitu Redmi Note 13R di...

    Samsung sindir iklan Apple iPad Pro 2024 dengan video “Uncrush”

    Apple telah melancarkan iPad Pro 2024 baharunya dengan cip M4. Walau bagaimanapun, kemunculannya telah mencipta kontroversi dengan iklan Crush!. Iklan itu mungkin...

    Samsung Galaxy Z Fold6 muncul dalam Geekbench dengan Snapdragon 8 Gen 3, RAM 12GB

    Peranti boleh lipat Samsung Galaxy generasi seterusnya akan dikeluarkan pada 10 Julai dan kini, salah satu telefon pintar dalam barisan tersebut telah...

    Twitter secara rasmi telah tamat, beralih kepada domain X.com

    Landskap media sosial telah mengalami perubahan ketara dengan peralihan lengkap Twitter kepada X. Ini berikutan langkah besar yang dimulakan oleh pengambilalihan Elon...

    Anthony Loke: Tiada rancangan untuk mewajibkan pemasangan “dashcam”

    Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata bahawa tiada rancangan untuk mewajibkan pemasangan dashcam (kamera papan pemuka) di semua kenderaan di negara...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X