fbpx
More

    Ulasan OPPO Reno10 Pro 5G – Reka bentuk kamera baharu dengan kualiti imej terbaik

    Pada 6 Julai 2023, siri OPPO Reno10 5G telah dilancarkan di Malaysia yang membawa tiga varian iaitu OPPO Reno10 5G, OPPO Reno10 Pro 5G dan OPPO Reno10 Pro+ 5G. Dalam artikel ini, saya akan mengulaskan varian Reno10 Pro 5G daripada segi reka bentuk, spesifikasi yang ditawarkan dan prestasinya.

    Reka bentuk – Perubahan bahagian kamera berbanding siri sebelumnya

    Bermula pada bahagian hadapan, ia tidak membawa banyak perubahan jika dibandingkan dengan OPPO Reno8 Pro 5G. Kamera swafoto masih terletak di bahagian atas tengah menampilkan sensor 32MP. Bezel kiri dan kanannya berukuran 1.57mm manakala di bawahnya berukuran 2.32mm pada skrin lengkungnya. Sekiranya anda melihat dengan teliti, terdapat satu pembesar suara untuk panggilan di bahagian atas.

    Beralih ke bahagian belakang, seperti namanya Glossy Purple, belakangnya berkilauan serta meninggalkan kesan cap jari tetapi tidak terlalu jelas. Sekiranya anda tidak meminati warna ini, anda mempunyai satu lagi pilihan iaitu Silvery Grey.

    Berwarna Glossy Purple
    Kamera utama ultra-jelas 50MP dengan sensor IMX890, kamera potret telefoto

    Apa yang menarik perhatian saya kali ini adalah bahagian kameranya dengan bonggolan tebal membawa sedikit perubahan pada susunannya. Seperti dalam imej, kamera utama 50MP boleh dilihat dengan jelas membawa bulatan paling besar, diikuti oleh kamera potret telefoto 32MP dan ultra lebar 8MP di bawahnya. Flash LED tidak ditinggalkan tetapi kali ini ia berbentuk pil panjang di antara kamera utama dan dua kamera bawah.

    Di bahagian sisi kanan membawa butang kuasa dan butang kelantangan audio manakala di bahagian bawah terdapat pembesar suara, port USB-C dan slot kad dwi-SIM. Perkakasan belakang yang digunakan seperti plastik apabila diketuk dengan jari, manakala bahagian sekelilingnya dibuat daripada aluminium. Seperti kebanyakan telefon pintar lain, anda akan mendapat pin-SIM, dokumen, pengecas SUPERVOOC 80W dan kabel USB-A ke USB-C.

    Bonggol kamera yang tebal, sisi kanan membawa butang kuasa dan kelantangan audio
    Skrin OLED 3D Curved 6.7 inci
    Kamera swafoto 32MP dan pembesar suara
    Bahagian bawah: Pembesar suara, port USB-C, slot kad dwi-SIM
    Dalam kotak: Kabel USB-C, dokumen, sarung silikon, pin SIM dan pengecas 80W

    Spesifikasi – Terbaik sebagai telefon kelas pertengahan

    • Cipset Snapdragon 778
    • RAM 12GB yang mempunyai pengembangan RAM dan storan 256GB
    • Skrin OLED 3D Curved 6.7 inci dengan kaca penutup AGC DragontrailTM Star 2
    • Nisbah skrin-ke-badan 93%, kadar penyegaran semula yang boleh dilaraskan sehingga 120Hz dan resolusi 2412 × 1080
    • Nipis 7.89mm dan berat 185g
    • Tri-kamera belakang: Kamera utama ultra-jelas 50MP dengan sensor IMX890, kamera potret telefoto IMX709 32MP dan ultra lebar 112° 8MP. 
    • Kamera swafoto IMX709 32MP dengan autofokus (AF)
    • Bateri 4,600mAh dengan pengecasan SUPERVOOC 80W
    • Warna: Glossy Purple dan Silvery Grey
    • Sepesifikasi lain: Pengimbas cap jari bawah paparan, Bluetooth, Wi-Fi 6, dwi SIM, NFC, dwi pembesar suara Dirac dan ColorOS 13.1 berdasarkan Android 13
    • Harga: RM2,199

    OPPO Reno10 Pro 5G menampilkan cipset Snapdragon 778, RAM 12GB yang mempunyai pengembangan RAM sehingga 12GB memberi jumlah 24GB dan storan 256GB. Bahagian hadapannya menggunakan skrin OLED 3D Curved 6.7 inci dengan kaca penutup AGC DragontrailTM Star 2. Reno10 Pro 5G menawarkan nisbah skrin-ke-badan 93%, kadar penyegaran semula yang boleh dilaraskan sehingga 120Hz dan resolusi 2412 × 1080 yang memaparkan sehingga 1 bilion warna berbeza pada kecerahan HDR 950 nits.

    Ia agak nipis dan ringan pada 7.89 mm dan 185g walaupun dengan alat tambahan untuk perkakasan pengimejan yang dipertingkatkan. Bezel kiri dan kanannya berukuran 1.57 mm manakala di bawahnya berukuran 2.32mm yang cukup kelihatan.

    Reno10 Pro 5G menawarkan tri-kamera belakang yang terdiri daripada kamera utama ultra-jelas 50MP dengan sensor IMX890 bersaiz besar 1/1.56 inci menampilkan piksel bersaiz 4-dalam-1, 2.0μm, kamera potret telefoto IMX709 32MP dan ultra lebar 112° 8MP. Bahagian hadapan telefon membawa sensor IMX709 32MP dengan autofokus (AF).

    Telefon ini menggunakan bateri 4,600mAh dengan pengecasan SUPERVOOC 80W memberikan pengecasan penuh dalam masa 28 minit dan boleh meningkat 48% pada 10 minit pengecasan. Sistem penyejukannya termasuk kawasan penyejukan cecair kamar wap (VC) yang sangat besar.

    Untuk pembesar suara, ia menghasilkan bunyi yang jelas walaupun pada kelantangan tertinggi dan tidak memberikan sebarang masalah. Namun, audio akan menjadi lebih baik sekiranya bunyi bass ditingkatkan.

    Sistem operasi ColorOS 13.1 berdasarkan Android 13 menawarkan antara muka pengguna yang dipenuhi dengan banyak aplikasi aplikasi perisian remeh, bloatware termasuk beberapa aplikasi pihak pertama daripada aplikasi Market OPPO seperti HotApps, HotGames, Hot Free Games dan banyak lagi. Sepesifikasi lain termasuk pengimbas cap jari bawah paparan, sambungan bluetooth, Wi-Fi 6, dwi SIM dan fungsi NFC. Ia boleh didapati dalam warna Glossy Purple dan Silvery Grey.

    Prestasi – Tidak bermasalah, kualiti imej tahap profesional

    Seterusnya, mari kita selami lebih mendalam mengenai prestasi OPPO Reno10 Pro 5G. Sehubungan itu, berikut adalah keputusan daripada 3DMark Wild Life Stress dan penanda aras Geekbench 6:

    Walaupun ia tidak menggunakan cipset Snapdragon 8+ Gen 1 seperti OPPO Reno10 Pro+ 5G, prestasi telefon ini cukup memuaskan untuk gaming, produktiviti dan kamera dengan lancar. Seperti yang dinyatakan di atas, RAM boleh dikembangkan sehingga 12GB menunjukkan ia cukup bagus untuk gaming serta penyimpanan ruang.

    Saya bermain Mortal Kombat yang merupakan salah satu game dengan grafik yang tinggi. Kemudian, saya turut memuat turun Genshin Impact dan seperti Mortal Kombat, ia dimainkan pada tetapan grafik tertinggi pada 120Hz dan tidak memberi sebarang masalah serta berfungsi dengan lancar. Terdapat juga mod Hyperboost untuk tingkatkan prestasi sewaktu bermain game.

    Namun, setelah bermain game selama 30 minit, bateri menurun dengan cepat daripada 50% ke 35% dan suhu telefon menjadi agak panas. Sebagai pengguna, saya berasa kurang selesa dan terpaksa meletakkan telefon untuk beberapa minit. Mungkin juga anda perlu membeli kipas penyejukan luaran untuk bermain game dengan lebih selesa.

    Saya terus menggunakan telefon sehingga bateri mencecah 10%. Secara automatik, telefon memberi pemberitahuan untuk mengaktifkan mod penjimatan bateri. Setelah diaktifkan, telefon boleh bertahan sehingga 3 jam dan 20 minit untuk 10% kuasa bateri.

    Kamera telefoto OPPO Reno 10 Pro 5G sebenarnya boleh mengambil gambar potret yang hebat jika diambil dengan betul. Kameranya mampu memberikan tangkapan yang sangat terperinci seolah-olah anda sedang menyertai pertandingan fotografi. Namun, saya bukanlah seorang jurugambar profesional maka imej-imej di bawah mungkin kurang memuaskan hati anda.

    Selain itu, walaupun saya menggunakan zum 5x menggunakan mod standard, gambar terung yang diambil masih menunjukkan butiran yang jelas pada jarak 3meter manakala gambar dapur di dalam rumah kelihatan vintaj. Kemudian, mod potret turut menghasilkan imej yang menakjubkan dengan hasil warna yang pekat manakala wajah dan tekstur kain juga kelihatan dengan baik.

    Untuk tangkapan dengan cahaya rendah, kamera mampu menghasilkan tangkapan sinematik pada waktu malam. Warna-warna dikekalkan dengan baik dan bunyi tidak terlalu kelihatan. Daripada segi video, ia boleh merakam video 4K pada 60fps dan kualitinya cukup hebat dengan tahap kejelasan, warna, pendedahan dan julat dinamik yang baik. Tetapi sekiranya anda menggunakan zum 2x dan 5x, sudah pasti hasilnya tidaklah terlalu baik.

    Kamera swafotonya fokus pada subjek dan mampu memberikan gambaran estetik. Namun untuk waktu malam, terdapat sedikit noise yang tidak begitu jelas dan mampu menunjukkan tekstur kulit anda. Secara keseluruhannya, OPPO Reno10 Pro 5G sudah cukup bagus untuk fotografi.

    Kesimpulan – Harga berpatutan dan kualiti imej terbaik

    Keseluruhannya, saya mendapati ia berpatutan dengan harganya RM2,199 yang cukup bagus untuk gaming dan produktiviti. Selain daripada itu, siri kali ini telah membawa peningkatan sistem pengimejan yang lebih fokus pada kamera telefotonya. Peminat fotografi amat digalakkan untuk mencuba OPPO Reno10 Pro 5G ini.

    Kekurangannya adalah telefon mudah panas dan hayat bateri cepat menurun apabila bermain game dalam jangka masa sekurang-kurangnya satu jam walaupun ia menyokong pengecasan pantas 80W.

    Sekiranya anda ingin telefon yang menawarkan spesifikasi yang lebih baik, fokus pada fotografi dan prestasi yang lancar ketika bermain game, anda boleh pertimbangkan Xiaomi 12T pada harga RM1,999. Telefon ini menawarkan cipset MediaTek Dimensity 8100-Ultra 5nm, bateri 5,000mAh, HyperCharge 120W serta kamera utama gred pro 108MP, ultra lebar 8MP dan sensor makro 2MP.

    Kemudian, OnePlus Nord 3 5G juga boleh dimasukkan dalam senarai pertimbangan anda yang membawa harga yang sama pada RM2,199. Ia dilengkapi dengan cipset MediaTek Dimensity 9000 4nm, RAM LPDDR5X 16GB dengan gabungan RAM-Vita OnePlus, pengecasan SUPERVOOC 80W untuk bateri 5,000mAh.

    Tidak dinafikan, OPPO amat dikenali dengan gelaran ‘Pakar Potret’ menghasilkan imej yang berkualiti untuk pengguna, jadi adakah OPPO Reno10 Pro 5G menjadi salah satu pilihan anda?Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Siri iQOO Z9 5G dilancar di Malaysia: SD 7 Gen 1 & bateri 6,000mAh...

    Seperti khabar angin sebelum ini, iQOO Malaysia telah melancarkan dua model telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan iaitu iQOO Z9 5G...

    KWSP umumkan Akaun 3, penstrukturan semula bermula 11 Mei 2024

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X