fbpx
More

    Ulasan OPPO Reno11 Pro 5G – Telefon kelas pertengahan atau “flagship”?

    Siri OPPO Reno11 telah dilancarkan di China pada November 2023 membawa dua model iaitu OPPO Reno11 dan Reno11 Pro. Untuk pasaran Malaysia pula, siri ini baru sahaja dilancarkan pada hari ini bermula pada julat harga RM1,899.

    Dalam artikel ini, saya akan mengulaskan lebih lanjut mengenai OPPO Reno11 Pro 5G sebagai telefon pintar kelas pertengahan premium dan bukanlah sebagai telefon andalan. Namun, ulasan ini akan mungkin akan mengubah pandangan anda mengenai OPPO Reno11 Pro sebagai antara telefon pintar terbaik dalam kelasnya.

    Reka bentuk – Berbeza berbanding pendahulunya

    OPPO Reno11 Pro menawarkan reka bentuk yang eksklusif, berbeza berbanding generasi sebelumnya. Peranti ini ringan, memberikan pegangan yang selesa dengan perkakasan belakang kaca yang melengkung, dihiasi dengan lapisan berkilauan yang tidak hanya menambah sentuhan elegan tetapi juga menyumbang kepada cengkaman peranti yang sempurna.

    Kaca melengkung 3D pada Reno11 Pro tidak hanya meningkatkan daya tarikan visualnya tetapi juga menunjukkan ia seolah-olah sebagai satu peranti mewah. Hiasan satin halus dan tiga lapisan kaca pada warna Pearl White ini memberikan permukaan berkilauan memastikan ia bebas daripada kesan cap jari sambil mengekalkan penampilan segar seolah-olah baru keluar daripada kotak.

    OPPO Reno11 Pro dalam Pearl White

    Bagi mereka yang berminat dengan warna lain, anda hanya mendapat satu lagi pilihan iaitu Rock Grey yang menampilkan warna yang lebih klasik. Telefon ini agak ringan pada 181g dan berukuran 7.59mm, cukup standard seperti telefon pintar terkini.

    Pada panel belakang, anda akan dapati pulau kamera yang tidak telalu tebal berwarna perak dengan reka bentuk gerigi di sekelilingnya seperti duit syiling Malaysia. Pulau kameranya menempatkan tri-kamera di mana dua kamera di bahagian atas berbentuk bulat dan satu lagi di bawah dalam bentuk pil. Namun, saya agak hairan kerana kedudukan LED flash tidak diletakkan sekali di atas pulau kamera, tetapi di sisi kanannya.

    Pulau kamera seperti duit syiling, bergerigi di sekelilingnya
    Bonggol kamera tidak terlalu tebal
    Skrin lengkung OLED 6.7 inci, kadar segar semula 120Hz
    Kamera swafoto 32MP

    Beralih ke panel hadapan, terdapat satu kamera swafoto di tengah bahagian atas yang cukup bagus untuk panggilan video. Butang audio dan kuasa terletak pada posisi yang sama seperti OPPO Reno10 Pro manakala satu pembesar suara, port USB-C dan slot kad SIM berada di bahagian bawah.

    Seperti varian sebelum ini, OPPO menyediakan pengecas 80W, kabel USB-C, dokumen, sarung silikon dan pin SIM. Ini sudah cukup memadai kerana terdapat beberapa telefon terkini yang tidak menyediakan keperluan seperti di atas.

    Sisi kanan: Butang audio dan kuasa
    Bawah: Slot kad SIM, port USB-C dan pembesar suara
    OPPO sediakan pengecas 80W, kabel USB-C, dokumen, sarung silikon dan pin SIM

    Spesifikasi – Lengkap dengan standard terkini

    • Cipset MediaTek Dimensity 8200
    • RAM 12GB, mempunyai pengembagan RAM sehingga 12GB dan storan 512GB
    • Skrin lengkung OLED 6.7 inci, kadar segar semula 120Hz
    • 950 nits, gamut warna DCI-P3 100%
    • Berat 181g dan berukuran 7.59mm
    • Tri-kamera belakang: Kamera utama 50MP, telefoto 32MP dan ultra lebar 8MP
    • Kamera swafoto 32MP
    • Bateri 4,600mAh dengan pengecasan SUPERVOOC 80W
    • Warna: Pearl White dan Rock Grey
    • Spesifikasi lain: Pengimbas cap jari bawah paparan, pengimbas muka, Bluetooth 5.4, Wi-Fi 6, dwi SIM, NFC dan ColorOS 14 berdasarkan Android 14
    • Harga: RM2,499

    OPPO Reno11 Pro menawarkan visual dengan paparannya yang licin dan warna yang pekat membawa bezel yang sangat nipis pada 1.57mm. Skrinnya yang luas menawarkan lebih satu bilion warna sesuai untuk penstriman, gaming atau menavigasi melalui aplikasi. Skrin melengkung 3D bersaiz 6.7 incinya menampilkan resolusi 2412 x 1080 dan kadar segar semula 120Hz tanpa sebarang masalah ketika menatal suapan di sosial media serta tontonan hiburan.

    Walaupun ia menggunakan cipset MediaTek Dimensity 8200, prestasinya cukup cemerlang, 80% lebih pantas daripada rakan generasi lalu. Seni bina 4nm termaju bagi cipset ini mengendalikan berbilang tugas dengan lancar merentas pelbagai aplikasi. Sama ada anda terlibat dalam sesi gaming yang sengit atau penyuntingan video 4K, Reno11 Pro masih memberikan pengalaman yang pantas dan responsif tanpa sebarang masa menunggu.

    Akan tetapi, saya mengalami sedikit masalah ketika membuka aplikasi gaming seperti Mortal Kombat di mana aplikasi tersebut terpadam sendiri ketika saya klik untuk membukanya. Walaupun demikian, anda tidak perlu bimbang kerana ini tidak berlaku ketika permainan sengit atau aplikasi produktif yang lain.

    OPPO juga telah meningkatkan jumlah RAM kepada 24GB dan storan pada 512GB bagi memastikan kecekapan prestasi dan ruang simpan yang mencukupi untuk kenangan dan tugasan pejabat. Daripada segi sistem operasi, ColorOS 14 pada OPPO Reno11 Pro menawarkan gabungan keselamatan dan produktiviti.

    Antara ciri yang menonjol adalah dock Fail yang memudahkan penjimatan masa dan akses pantas kepada imej, teks atau fail merentas pelbagai aplikasi. Ia juga menyokong fungsi Smart Touch membolehkan pengguna menangkap imej dan teks yang tidak boleh dipilih sebelum ini dengan mudah. Anda perlu leret tiga jari ke bawah untuk tangkapan skrin dan pengguna boleh memilih kandungan imej atau teks dan pindahkan ke dock fail.

    ColorOS 14 pada Reno11 Pro memperkenalkan Smart Image Matting untuk menganalisis imej, memilih objek latar depan dan menukarnya kepada format PNG lutsinar, menawarkan fleksibiliti dalam menyimpan dan berkongsi. Saya amat mengesyorkan telefon ini kepada pengguna yang kreatif dan sesuai digunakan untuk tugasan universiti dan kerja pejabat.

    Dock Fail
    Smart Image Matting

    Prestasi – Seperti telefon andalan

    Berikut adalah keputusan Geekbench 6 dan 3DMark untuk OPPO Reno11 Pro 5G:

    Geekbench 6
    3DMark

    Untuk gaming, saya mencuba Mortal Kombat dan Mobile legend pada 60fps dan saya boleh katakan kepada anda bahawa telefon ini adalah antara yang terbaik untuk gaming. Walaupun ia hanyalah telefon kelas pertengahan premium, prestasi grafik adalah cukup baik tanpa lag dan sangat responsif. Seperti yang dinyatakan di atas, kelemahan telefon ini adalah ketika membukanya tetapi ia tidak berlaku dengan kerap.

    Siri kali ini agak mengejutkan saya kerana prestasi baterinya cukup mengagumkan jika dibandingkan dengan OPPO Reno10 Pro. Telefon ini juga tidak terlalu panas ketika bermain game atau tontonan yang lama. Berdasarkan maklumat daripada OPPO, Enjin Kesihatan Baterinya dilengkapi dengan algoritma yang dibangunkan sendiri oleh OPPO bagi memastikan jangka hayat bateri berganda dengan mengurus kedua-dua komponen perkakasan dan perisian secara cekap.

    60fps pada Mortal Kombat
    Mobile legend

    Ini boleh dilihat ketika pengecasan di mana Reno11 Pro dicas dalam hanya 5 minit dan kuasa bateri meningkat sebanyak 24% dengan teknologi pengecasan SUPERVOOC 80W. Reno11 Pro mampu mencapai kuasa penuh 100% dalam masa 35 minit, menunjukkan keupayaan pengecasan pantasnya hampir setanding dengan telefon andalan.

    Sebagai peminat drama Korea, saya selalu menonton Netflix berjam-jam tanpa henti. Dengan itu, saya mendapati kuasa bateri hanya menurun 4% untuk penggunaan 30 minit, manakala penggunaan satu jam 30 minit tanpa henti hanya mengambil kuasa 11%. Sekiranya anda dalam perjalanan yang panjang dan terlupa untuk membawa bank kuasa, ini tidak akan menjadi satu isu yang berat.

    Daripada segi kamera dan fotografi, telefon ini menampilkan kamera utama 50MP dengan apertur f/1.8, penstabilan imej optikal (OIS) dan sensor Sony IMX890 1/1.56 inci yang besar. Gabungan ini boleh dilihat pada imej di bawah memberikan butiran terperinci tidak kira dalam cahaya malap atau waktu malam. Walaupun noise kelihatan ketara ketika diambil pada zum 5x, butiran dinding kedai dan daun pada pokok masih boleh dilihat dengan jelas.

    Sekiranya anda ingin memotong gambar untuk fokus pada suatu subjek, imej masih kelihatan baik hasil sokongan kamera telefoto 32MP peranti ini. Setelah suntingan, kualiti imej kelihatan hampir sama seolah-olah anda menangkap gambar tanpa dizum. Untuk pengetahuan anda, sistem kameranya menggabungkan ciri seperti Pengecaman Muka, Pemisahan Subjek/Adegan dan Warna Kulit, memastikan pengoptimuman semula jadi dan pengekalan ciri individu.

    Ciri-ciri di atas boleh dilihat ketika anda menggunakan mod potret. Mod potretnya berfungsi dengan baik tidak kira pada kamera hadapan ataupun belakang, tetapi ini tidak asing lagi kerana OPPO cukup terkenal dengan kualiti kamera potretnya. Tanpa mod ‘Beauty‘, ia masih mengekalkan ciri-ciri dalam ton dan tekstur kulit anda. Latar belakangnya juga kabur secara lembut dan tidak terlalu tajam dengan noise.

    Selain itu, mod potret kali ini lebih efektif dalam menangkap subjek, hampir seperti kamera DSLR. Ia tidak menyebabkan subjek menjadi kabur, berbeza dengan berbeza dengan peranti lain di mana anda boleh melihat bahawa sekurang-kurangnya sebahagian kecil sisi subjek akan turut menjadi kabur. Tidak dilupakan juga, anda boleh menggunakan kesan bokeh untuk menghasilkan gambar yang lebih menarik, terutama ketika diambil pada waktu malam dengan latar belakang lampu yang banyak.

    Untuk penstriman dan rakaman video, Reno11 Pro antara peranti yang sesuai kerana ia boleh merakam video 4K yang jelas pada 30fps. Anda juga boleh merakam video 4K melalui kamera hadapan dengan kulaiti yang hampir sama seperti kamera belakang. Namun, saya tidak mengesyorkan anda untuk merakam vlog pada waktu malam menggunakan kamera swafoto kerana kualitinya tidak begitu memuaskan.

    Mod kamera lain

    Kesimpulan – Pilihan baik untuk fotografi dan videografi

    Meskipun merupakan telefon kelas pertengahan premium, pengalaman gaming tanpa lag dan responsif membuatnya antara yang terbaik dalam kategorinya. Kelemahan dalam membuka aplikasi bukanlah isu yang sering berlaku, menjadikannya pilihan yang sangat baik untuk pengguna yang menginginkan keunggulan dalam permainan.

    Dengan kemampuan fotografi yang canggih, Reno11 Pro juga memuaskan keperluan fotografi dan videografi pengguna terkini terutamanya untuk pencipta kandungan. Bukan itu sahaja, ia juga sesuai digunakan untuk produktiviti dengan aplikasi dan ciri-ciri yang memudahkan tugasan kerja.

    Anda juga boleh mencari pilihan lain seperti OnePlus Nord 3 5G pada harga RM2,199 yang dilengkapi oleh cipset MediaTek Dimensity 9000 4nm, RAM LPDDR5X 16GB, kamera utama Sony IMX890 50MP dan bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan SUPERVOOC 80W. Anda juga boleh mempertimbangkan Samsung Galaxy M54 5G dengan cipset Exynos 1380 5nm, kmera utama 108MP dan bateri 6,000mAh pada harga RM2,099.

    Pada harga RM2,499, ia menawarkan spesifikasi yang cukup bagus, namun harganya mungkin masih boleh dikurangkan sedikit. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Ulasan HONOR X7b 5G – ‘Entry level’ tapi macam ‘mid-range’?

    HONOR X7b versi 5G telahpun dilancarkan pada 22 April 2024 di pasaran Malaysia dengan harga RM899 memberikan spesifikasi tersendiri dan membawa storan...

    Kerjasama PETRONAS, CelcomDigi bakal transformasi tekno-digital 5G untuk sektor tenaga

    PETRONAS dan CelcomDigi bekerjasama melalui satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memacu usaha transformasi digital dan kemampanan untuk industri tenaga dengan memanfaatkan kuasa...

    TSMC bakal hasilkan cip dengan proses 1.6nm menjelang 2026

    TSMC mengumumkan proses pembuatan 1.6nm untuk cip dan ia juga termasuk rangkaian penghantaran kuasa yang meningkatkan kecekapan kuasa dan ketumpatan transistor dengan...

    Kejohanan MLBB Infinix GT 20 Pro tawar hadiah sehingga RM10,000, acara bakal diadakan pada...

    Sempena pelancaran Infinix GT 20 Pro pada 2 Mei ini, Infinix Malaysia akan menganjurkan Kejohanan MLBB Infinix GT 20 Pro iaitu sebuah...

    Samsung Galaxy Unpacked kedua dijadualkan pada 10 Julai 2024

    Acara Samsung Galaxy Unpacked yang akan datang dijadualkan pada 10 Julai 2024 di Paris, bertepatan dengan penganjuran City of Love Sukan Olimpik...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X