fbpx
More

    Ulasan POCO X5 Pro 5G – Untuk telefon kelas pertengahan, lebih baik dari jangkaan

    Pada awal tahun ini, POCO Malaysia telah melancarkan siri telefon pintar kelas pertengahan POCO X5 sebagai peranti pertama untuk 2023 dan varian tercanggih ialah POCO X5 Pro 5G yang harganya bermula daripada RM1,299.

    Dengan harga yang setanding dengan lambakan telefon lain dalam segmen kelas pertengahan, adakah ia telefon yang sesuai untuk anda? Ayuh baca ulasan oleh pengarang TechNave Bahasa Cina ini untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Unik, bergaya dan ringan

    Untuk sekian lama, banyak telefon POCO hadir dengan penampilan fesyen dan “sepantas kilat” untuk peranti e-sukan, terutamanya dengan warna hitam dan kuning. POCO X5 Pro meneruskan lagi corak seperti ini yang memang akan menarik perhatian orang lain.

    Permukaan belakangnya mempunyai sudahan matte, jadi anda tidak perlu risau tentang kesan cap jari padanya kerana ia tidak kelihatan langsung. Anda tidak perlu memakaikan sarung kepadanya, dan ini juga boleh dikatakan penyelamat untuk tangan yang berpeluh.

    Jika dilihat lebih dekat, bahagian belakang POCO X5 Pro 5G mempunya material pasir keemasan seperti corak bintang di langit yang sangat istimewa. Bahagian sisinya mempunyai warna hitam, manakala butang kuasa dihiasi dengan warna kuning. Ini bukan sahaja membuatkan telefon ini nampak cantik, malah lebih mudah dicam jika dilihat dari jauh. Selain warna kuning, X5 Pro turut ditawarkan dalam warna biru dan hitam.

    Dengan ketebalan 7.9mm, X5 Pro adalah telefon POCO X yang ternipis setakat ini, namun sayangnya lensa dan modul kamera di belakang agak tebal. Ini membuatkannya mudah terjengket-jengket apabila diletakkan secara rata di atas meja.

    X5 Pro menggunakan skrin AMOLED berukuran 6.67 inci dengan resolusi Full HD+ dan terdapat sebuah kamera swafoto kecil dalam lubang punch-hole di atasnya. Sempadan bezel adalah nipis di semua bahagian sisi dan tidak akan menjejaskan pengalaman tontonan anda.

    Daripada segi genggaman, X5 Pro mempunyai bahagian sisi yang rata dan bersudut tepat, namun bucunya masih rasa selesa pada permukaan tangan. Secara peribadi, saya berpendapat telefon ini agak ringan dan tidak akan rasa beban jika diletakkan dalam poket seluar.

    Spesifikasi – Tiada yang menonjol, sekadar lengkap

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk POCO X5 Pro 5G:

    • Skrin AMOLED 6.67 inci, resolusi 2400×1080, kadar segar semula 120Hz, kecerahan 900 nits, gamut warna lebar DCI-P3, kaca Corning Gorilla Glass 5
    • Cipset Snapdragon 778G
    • RAM 6GB atau 8GB
    • Storan dalaman 128GB atau 256GB
    • Kamera utama 108MP + kamera ultra-lebar 8MP + kamera makro 2MP
    • Kamera swafoto 16MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas 67W
    • Ukuran: 162.91mm x 76.03mm x 7.9mm | Berat: 181g
    • Warna hitam, biru dan kuning
    • Sistem operasi MIUI 14 untuk POCO
    • Sokongan NFC
    • Pengimbas cap jari sisi

    Antara spesifikasi menarik pada POCO X5 Pro 5G adalah cipset Qualcomm Snapdragon 778G, bateri 5,000mAh, dan skrin AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz.

    Seperti kebanyakan telefon pada waktu ini, kadar segar semula pada skrin X5 Pro boleh dilaraskan namun anda hanya mempunyai pilihan 60Hz atau 120Hz. Secara umumnya, anda disyorkan untuk gunakan kadar segar semula dalam tetapan lalai (default setting) di mana ia akan ditetapkan secara automatik berdasarkan penggunaan aplikasi.

    Skrinnya mempunyai panel AMOLED berukuran 6.67 inci dengan kecerahan 900 nits yang tidak cukup terang jika ingin digunakan di bawah cahaya matahari.

    Satu ciri menarik yang diperkenalkan dalam X5 Pro adalah pengesan denyutan jantung. Anda hanya perlu letakkan jari pada pengimbas cap jari di bahagian sisi, kemudian telefon ini boleh membaca kadar degupan jantung. Untuk menilai ketepatan, saya telah membandingkannya dengan data daripada jam tangan pintar dan ia tidak jauh berbeza, jadi fungsi pengesan denyutan jantung dalam telefon ini boleh dipercayai.

    Memori RAM dalam X5 Pro boleh dibesarkan secara maya sebanyak 2GB, 3GB dan 5GB. Ia akan menggunakan sebahagian daripada storan dalaman untuk dijadikan RAM, namun anda perlu menyediakan ruang yang secukupnya.

    X5 Pro menggunakan perisian MIUI 14 berdasarkan Android 13. Pada masa lalu, sistem MIUI dikenali sebagai perisian yang agak rumit dengan jumlah perisian remeh yang agak tinggi. Sungguh pun begitu, MIUI 14 tidak lagi mengalami masalah yang sama.

    Selain mengurangkan jumlah aplikasi yang dipra-pasang, ia mempunyai penampilan yang lebih bersih dan ringkas, manakala pengalaman dalam semua aspek telah dipertingkatkan dengan banyak. Contohnya, MIUI 14 menawarkan fungsi pecutan Game Turbo yang membenarkan anda mengosongkan ruang dengan cepat sewaktu bermain game serta meningkatkan prestasi telefon.

    Fungsi pecutan satu klik, anda juga boleh membuka aplikasi lain semasa permainan
    Tetapan sentuhan sewaktu bermain game

    Pengguna juga boleh buka tetingkap lain semasa bermain game. Dalam tetapan lanjutan, anda boleh melaraskan pelbagai tetapan sentuhan mengikut game yang berbeza, seperti tahap kepekaan (sensitivity), gelongsor sentuh (touch gesture) dan banyak lagi.

    Pada masa yang sama, Game Turbo juga boleh mengurangkan sentuhan palsu yang disebabkan oleh sentuhan tapak tangan yang tidak disengajakan. Satu ciri unik pada Game Turbo dalam telefon ini adalah fungsi perubahan suara (voice changer), di mana ia akan menukarkan suara jika anda bercakap dalam sebuah sesi game multi-pemain. Fungsi ini mungkin akan membantu jika anda ingin menyembunyikan identiti, dan juga boleh digunakan untuk bergurau-senda dengan pemain lain.

    Pelbagai pilihan untuk menukar suara anda

    Skrin X5 Pro juga boleh melaraskan warna dengan pelbagai tetapan filter seperti HDR, hitam-putih, nostalgia, sejuk, Jepun dan lain-lain. Untuk meningkatkan bunyi dialog sewaktu menonton video atau filem, anda boleh laraskan tahap audio dalam Dolby Atmos yang disediakan dalam kotak alat video (video toolbox). Kotak alat ini juga membenarkan anda untuk terus memainkan video walaupun skrin dikunci.

    Ia juga menyokong fungsi klon telefon mudah alih dengan Second Space, di mana ia membenarkan telefon ini untuk menyimpan identiti dua pengguna, kemudian pemilik akaun boleh membuka telefon melalui kata laluan dan cap jari yang berbeza. Aplikasi dan data antara setiap identiti akan diasingkan dan disulitkan sepenuhnya.

    Saya berpendapat fungsi ini agak menarik untuk membezakan penggunaan harian dan penggunaan kerja, supaya pengguna tidak akan diganggu oleh perkara yang berlebihan semasa bekerja atau semasa bercuti.

    Walau bagaimanapun, apabila avatar ditukar, telefon akan tersekat sedikit dan ia akan mengambil sedikit masa untuk membuka kunci dan log masuk. Saya berharap isu ini boleh diperbaiki dalam kemas kini akan datang.

    Untuk audio pula, X5 Pro dilengkapi dwi-pembesar suara stereo. Tiada yang istimewa tentang kualiti bunyi yang dihasilkan, namun tahap kelantangan maksimumnya cukup tinggi dan sesuai digunakan sebagai pembesar suara dalam bilik kecil.

    Prestasi – Agak mengejutkan dalam hayat bateri dan pelesapan haba

    POCO X5 Pro 5G dilengkapi cipset Snapdragon 778G dan prestasi gaming adalah lebih baik daripada yang dijangkakan. Selepas saya menetapkan kadar grafik tertinggi dalam Genshin Impact, game itu masih boleh dimainkan namun kadar bingkainya (frame rate) jatuh dengan agak ketara. Jika tetapan grafik sederhana digunakan, ia boleh dimainkan dengan baik.

    X5 Pro 5G bukan sahaja tidak mengalami masalah pemanasan yang serius semasa bermain game, hayat baterinya juga agak bagus. Selepas bermain Genshin Impact selama sejam, saya hanya menggunakan kuasa hampir hanya 12% ke 14%.

    Saya sedar bahawa Genshin Impact memerlukan pemprosesan yang tinggi terhadap prestasi cipset dan hayat bateri. Biasanya, telefon lain akan menggunakan bateri sebanyak 20% ke 30% untuk tempoh permainan sejam, bergantung kepada kapasiti bateri. Ini menunjukkan bahawa Snapdragon 778G dalam X5 Peo mampu menawarkan prestasi tinggi sambil mengekalkan kecekapan tenaga yang memuaskan.

    Untuk penggambaran, POCO X5 Pro dilengkapi kamera utama 108MP, kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Kualiti gambar yang dihasilkan adalah bagus dengan warna yang tidak berbeza dengan objek sebenar, tiada chromatic aberration yang serius dan butiran juga nampak jelas.

    Sungguhpun begitu, kamera makro tidak boleh menghasilkan gambar yang memuaskan. Jika dibandingkan dengan gambar yang diambil dengan kamera utama, anda boleh lihat bahawa gambar mod makro mempunyai chromatic aberration yang agak serius, dengan tona warna dan pendedahan cahaya yang salah. Memandangkan ini adalah kamera makro 2MP, jadi ia mungkin mempunyai sedikit masalah hingar (noise).

    Untuk kamera ultra-lebar, ia masih mempunyai kesan herotan (distortion) yang agak jelas di bahagian hujung gambar. Anda boleh lihat bagaimana kereta putih di bahagian kiri gambar mempunyai bentuk yang agak aneh. Selain daripada itu, gambar ultra-lebar tidak mempunyai masalah yang serius.

    Kamera utama (kiri) dan kamera ultra-lebar (kanan)
    Herotan (distortion) pada kereta putih

    Pada waktu malam pula, X5 Pro menawarkan Night Mode yang boleh menghasilkan gambar yang agak memuaskan.

    Mod auto (kiri) dan Night Mode (kanan)

    Kamera X5 Pro turut menyediakan pelbagai pilihan penapis (filter). Secara peribadi, saya suka menggunakan penapis hitam dan putih. Walaupun semua gambar boleh disunting kemudian, lebih intuitif jika penapis diaktifkan terus sewaktu anda mengambil gambar.

    Kesimpulan – Berbaloi, tetapi tidak banyak beza dengan telefon lain

    Dengan harga yang berpatutan, POCO X5 Pro 5G menawarkan penggunaan yang sangat lengkap tanpa memerlukan jumlah wang yang besar. Sungguh pun begitu, saya berpendapat ia tidak membawa inovasi baharu untuk segmen telefon ini.

    Mungkin sewaktu prestasi telefon pintar tidak terlalu berbeza di antara satu sama lain, Xiaomi memilih untuk melakukan tugas yang baik dalam fungsi sedia ada pada POCO X5 Pro 5G itu sendiri seperti menawarkan lebih banyak fungsi praktikal, mengurangkan jumlah aplikasi pra-pasang, memanjangkan hayat bateri dan meningkatkan pelesapan haba. Saya menyimpulkan bahawa telefon ini mempunyai prestasi tahap telefon andalan, walaupun ia dikategorikan sebagai telefon kelas pertengahan.

    Pada harga ini, satu telefon lain yang agak kompetitif ialah Samsung Galaxy A34 yang dilengkapi cipset MediaTek Dimensity 1080, skrin Super AMOLED 6.6 inci dan bateri 5,000mAh. Selain itu, POCO X5 5G juga menawarkan spesifikasi kelas pertengahan menarik pada harga lebih murah.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Whatsapp kini benarkan ‘pin’ 3 mesej dalam sembang

    WhatsApp telah meningkatkan ciri-cirinya untuk menampung interaksi kumpulan besar, bertujuan untuk bersaing dengan platform seperti Telegram dan Discord. Baru-baru ini, ia meningkatkan...

    ASUS akan lancarkan komputer berfokuskan AI pada 21 Mei 2024

    Syarikat komputer dari Taiwan, ASUS, telah mengumumkan acara pelancaran virtual Next Level. AI Incredible. yang akan berlangsung pada hari Selasa, 21 Mei...

    Instagram ingin mudahkan pencipta kandungan kecil dapat lebih banyak tontonan dan pendedahan

    Pada waktu ini, kandungan video pendek yang dipaparkan dalam Instagram Reels kerap merupakan video yang dimuat naik semula (reposted) oleh pemilik akaun...

    Semua kaunter khidmat pelanggan Rapid KL kini terima kad debit, kredit

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan awam rel Rapid KL mengumumkan bahawa semua kaunter perkhidmatan pelanggannya sudah mula...

    Assassin’s Creed Mirage akan ditawarkan untuk iPhone dan iPad pada 6 Jun 2024

    Siri iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max serta tablet iPad yang dilengkapi cip M1 sudah mempunyai kuasa pengkomputeran yang cukup...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X