fbpx
More

    Ulasan realme C67 – Satu lagi telefon bajet dengan kamera 108MP

    realme Malaysia telah melancarkan telefon pintar kelas permulaan realme C67 sebagai peranti pertamanya untuk tahun 2024. Buat mereka yang tidak tahu, realme C adalah siri telefon pintar mampu milik yang selalunya dijual pada harga ratusan Ringgit sahaja dan menampilkan spesifikasi yang sekadar mencukupi untuk kegunaan asas.

    realme C67 dijual dalam pasaran Malaysia pada harga bermula RM799, menjadikannya sebuah peranti yang amat mudah dibeli oleh pelbagai lapisan masyarakat. Namun, adakah ia boleh berfungsi dengan baik untuk situasi harian dan adakah ia telefon yang berbaloi untuk dibeli pada harga tersebut jika dibandingkan dengan jenama lain? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Nampak lebih mahal daripada harganya

    Selalunya telefon yang dijual pada harga ratusan Ringgit mempunyai rekaan yang sangat asas, dengan bahagian belakang yang dibuat daripada plastik dan nampak seperti mainan. Perkara itu mungkin ada benarnya untuk realme C67 kerana ia masih mempunyai badan yang dibuat daripada plastik, namun sekurang-kurangnya ia mempunyai permukaan belakang yang berkilauan bagi menghasilkan penampilan mirip telefon yang lebih mahal.

    Warna yang dipinjamkan kepada kami adalah hijau Sunny Oasis yang agak berkilauan dan memantulkan cahaya dengan corak pelangi jika anda menyengetkan telefon ini pada pelbagai sudut. Menariknya, ia mempunyai corak garisan berpepenjuru (diagonal) sebagai hiasan, namun ia hanya boleh kelihatan daripada jarak dekat dalam sudut tertentu. Ia nampak seperti garisan bintang (comet trails) yang jatuh pada waktu malam.

    realme C67 dalam warna Sunny Oasis
    Jika anda lihat pada logo “realme”, terdapat beberapa garisan diagonal, coraknya akan berubah jika anda menyengetkan telefon
    Bahagian hadapan realme C67, dengan sempadan bezel yang agak tebal di bahagian bawah

    Walaupun dengan permukaan yang agak berkilauan, sebarang kesan cap jari tidak kelihatan langsung pada telefon ini. Dalam kotak, telefon ini turut didatangkan dengan sebuah sarung lutsinar yang boleh dipakai untuk melindunginya daripada sebarang kesan calar atau retak. Ia turut mempunyai pengiktirafan IP54 untuk melindunginya daripada percikan air atau semburan debu.

    Bonggol kameranya agak tebal dan menempatkan dua lensa dan satu lampu denyar LED. Menariknya, bahagian di sekeliling bonggol kamera mempunyai permukaan yang berlainan daripada keseluruhan telefon, di mana ia nampak lebih berkilauan dan boleh meninggalkan kesan cap jari.

    Bahagian sekeliling bonggol kamera nampak lebih berkilauan daripada keseluruhan telefon
    Bahagian bawah realme C67 yang menempatkan bicu audio 3.5mm, port USB-C dan pembesar suara
    Satu lagi pembesar suara berada di bahagian atas
    Bahagian kiri menempatkan slot untuk dua kad SIM dan satu kad memori microSD

    Bahagian sisinya pula rata sepenuhnya dan dibuat daripada rangka plastik dan mempunyai warna yang sama dengan bahagian belakang. Bahagian sisi kiri menempatkan slot dwi-kad SIM, manakala bahagian sisi kanan pula menempatkan butang volume dan butang kuasa yang turut bertindak sebagai pengimbas cap jari.

    Di bahagian bawah, realme C67 mempunyai bicu audio 3.5mm dan port USB-C, sesuatu yang sudah standard untuk telefon kelas permulaan sepertinya. Apa yang saya lebih hargai adalah ia mempunyai pembesar suara stereo untuk meningkatkan pengalaman audio anda, kerana pembesar suara stereo boleh dikatakan sukar dicari untuk telefon bawah seribu Ringgit. Pembesar suara stereo bermaksud ia mempunyai dua pembesar suara, iaitu satu di bawah telefon dan satu lagi di bahagian atas skrin. Bercakap tentang skrin, kini mari kita beralih kepada spesifikasi telefon ini pula untuk bercakap lebih lanjut tentangnya.

    Spesifikasi – Sangat berbaloi untuk harganya

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk realme C67:

    • Skrin IPS LCD 6.72 inci, resolusi Full HD+ (1080×2400), nisbah skrin-ke-badan 91.4%, kadar segar semula 90Hz, kecerahan puncak 950 nits, menawarkan Mini Capsule
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 685, dibuat dengan nod proses 6nm
    • RAM 8GB, boleh dibesarkan secara maya sebanyak 8GB
    • Storan dalaman 128GB atau 256GB, boleh dibesarkan sehingga 2TB dengan kad microSD
    • Kamera utama 108MP + kamera hitam putih (B&W) 2MP
    • Kamera swafoto 8MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas 33W SUPERVOOC
    • Sistem operasi Android 14 dengan realme UI
    • Bicu audio 3.5mm, port USB-C
    • Menyokong rangkaian 4G sahaja, dwi-kad SIM
    • Pembesar suara stereo
    • Pembesar cap jari sisi
    • Menyokong NFC 360°
    • Rating kalis air IP54
    Ringkasan spesifikasi realme C67

    Secara keseluruhan, realme C67 mempunyai spesifikasi yang lengkap untuk telefon kelas permulaan. Skrinnya mempunyai resolusi Full HD+ dan kadar segar semula 90Hz yang boleh menghasilkan pengalaman tontonan yang selesa, dengan butiran yang tajam dan gerakan animasi lancar. Walaupun ia tidak menggunakan panel OLED, ini adalah sesuatu yang boleh dijangka untuk telefon ini dan kualiti warna yang dihasilkan pada panel LCD ini masih nampak memuaskan.

    Telefon ini mempunyai sempadan bezel yang agak tebal, terutamanya pada bahagian bawah. Di atas pula, kamera swafoto diletakkan dalam potongan lubang tebuk (punch-hole) yang kecil dan tidak terlalu mengganggu tontonan anda.

    Walaupun sempadan bezel agak tebal, anda masih boleh menonton video dengan kualiti baik pada skrinnya
    Mini Capsule 2.0 yang akan muncul di bahagian atas skrin sewaktu anda mengecas

    Satu ciri menarik pada skrin realme C67 adalah ciri Mini Capsule 2.0 yang bertindak seperti Dynamic Island dalam siri iPhone. Apabila anda melakukan tugas-tugas tertentu seperti mengecas atau memainkan muzik, sebuah bar hitam akan “dibesarkan” daripada potongan kamera swafoto. Ini sebenarnya adalah ciri yang sudah diperkenalkan dalam siri realme C pada tahun lepas dan untuk realme C67, ia kini menyokong lebih banyak fungsi seperti menunjuk situasi cuaca, mengingatkan acara yang sudah disimpan dalam kalendar dan memaparkan jumlah langkah kaki (step statistics) apabila anda sudah mencapai sasaran.

    Apabila menonton video atau filem, pembesar suara stereonya menghasilkan kualiti audio yang jelas pada setiap tahap kelantangan (volume). Bicu audio 3.5mm juga bermaksud anda tidak perlu gunakan fon telinga wayarles untuk pengalaman audio yang lebih bersendirian.

    Untuk RAM, realme C67 hanya ditawarkan dalam satu sahaja pilihan iaitu 8GB, namun anda boleh membesarkannya lagi secara maya (virtual) sebanyak 4GB, 6GB atau 8GB, selagi anda mempunyai ruang yang mencukupi dalam storan dalaman. Pada pendapat saya, RAM asal 8GB itu sudah cukup untuk telefon kelas permulaan seperti ini, namun jika anda ingin membesarkannya sehingga 16GB untuk mencepatkan prestasi multi-tugas, terpulang kepada anda.

    RAM boleh dibesarkan secara maya sebanyak 4GB, 6GB atau 8GB
    Antara muka realme UI

    Storan dalaman pula ditawarkan dalam dua varian iaitu 128GB atau 256GB. Jika ia masih tidak cukup, anda boleh besarkannya dengan kad memori microSD sehingga 2TB. Daripada segi antara muka (UI), realme UI memberikan pengalaman yang mesra pengguna dan tidak jauh berbeza dengan Android 14 versi stock.

    Prestasi – OK, selagi anda tidak bermain game

    Berikut adalah markah untuk ujian penanda aras:

    Keputusan penanda aras Geekbench, jelasnya markah realme C67 jauh lebih rendah walaupun apabila dibandingkan dengan telefon flagship 2021
    Markah penanda aras 3DMark Wild Life Extreme Stress Test, walaupun prestasinya tidak tinggi, sekurang-kurangnya ia boleh mengekalkan prestasi yang stabil sepanjang masa dengan markah Stability 98.5%

    Seperti yang anda boleh lihat, keputusan penanda arasnya tidaklah setinggi mana dan ini adalah sesuatu yang boleh dijangka. Tetapi penanda aras itu boleh ditolak tepi, bagaimana dengan pengalaman penggunaan harian?

    Sepanjang penggunaan saya, realme C67 boleh membuka pelbagai aplikasi harian seperti menonton video, membaca laman web dan melayari media sosial dengan baik. Ada kalanya, apabila saya ingin membuka sebuah aplikasi baharu atau tukar aplikasi yang sedang dibuka, ada lag sedikit namun ini adalah sesuatu yang boleh dijangka untuk telefon kategori ini.

    Sungguh pun begitu, satu perkara yang agak mengecewakan sedikit adalah prestasi gaming. Apabila saya bermain game yang sangat popular seperti COD Mobile, PUBG Mobile dan Asphalt 9, walaupun saya sudah meletakkan tetapan grafik yang paling rendah, telefon ini masih tidak boleh menjana kadar bingkai (frame rate) yang sekata, malah rasa agak tersangkut-sangkut.

    Walaupun dengan tetapan grafik PUBG terendah, game ini masih rasa tersangkut-sangkut
    COD Mobile boleh dimainkan dengan lancar, namun sebaik sahaja keadaan menjadi sengit, kadar bingkai akan turun mendadak
    Untuk Asphalt 9 pula, ia hanya boleh dimainkan dengan selesa pada tetapan grafik rendah, itu pun masih ada sedikit lag

    Satu berita baik daripada isu ini adalah mungkin kerana cipsetnya tidak boleh menjana prestasi yang tinggi, saya rasa suhu telefon tidak naik langsung apabila bermain game. Jadi, jika anda tidak begitu kisah tentang prestasi grafik, mungkin ini adalah telefon yang sesuai untuk anda.

    Dengan kapasiti 5,000mAh, hayat bateri juga cemerlang. Sudah standard bahawa telefon kelas permulaan seperti ini mempunyai kapasiti bateri yang besar dan pastinya boleh bertahan lebih daripada sehari dengan mudah. Malah, ia boleh bertahan sehingga dua hari jika anda mengaktifkan mod penjimatan kuasa.

    Saya juga berpuas hati dengan pengecasan pantas 33W pada telefon ini, di mana ia mengambil masa sekitar satu jam suku untuk pengecasan penuh daripada kosong.

    Pengecasan 33W daripada 5% kepada 99% mengambil masa 75 minit

    Kini saya ingin bercakap tentang prestasi kameranya. Sebagai sebuah telefon kelas permulaan, saya berpendapat realme C67 boleh menghasilkan gambar yang memuaskan, selagi anda berada dalam situasi yang terang. Satu kekurangan yang agak ketara adalah ketiadaan kamera ultra-lebar, jadi jika anda kerap menggunakan kamera ultra-lebar seperti saya, realme C67 bukan telefon yang sesuai.

    realme mengetengahkan sensor kamera 108MP dengan in-sensor zoom 3x dalam telefon ini, tetapi apa maknanya dengan kegunaan dalam dunia sebenar? Pada pendapat saya, fungsi 108MP itu tidak mempunyai banyak kegunaan, melainkan jika anda ingin mengambil gambar dengan butiran maksimum dan anda ingin potong (crop) gambar itu sewaktu menyuntingnya. Jika anda sekadar ingin mengambil gambar untuk dikongsi dalam media sosial atau WhatsApp, mod Auto sahaja sudah memadai.

    Gambar waktu malam juga nampak okey, namun sebaik sahaja anda zum sedikit, gambar sudah mula nampak pecah (pixelated) dan kabur. Untuk sebuah telefon pada kategori ini, saya berpendapat kualiti gambar dalam Night Mode (jika tidak zum) nampak bagus seperti telefon kelas pertengahan.

    Untuk gambar swafoto pula, kualitinya nampak memuaskan jika diambil dalam cahaya terang. Jika diambil dalam suasana gelap, butirannya nampak pudar dan mudah nampak kabur sekiranya tangan anda bergetar sewaktu mengambil gambar.

    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar zum 3x
    Gambar zum 3x
    Gambar zum 3x
    Gambar Night Mode
    Gambar Night Mode
    Gambar swafoto potret
    Gambar swafoto mod potret pada waktu malam

    Untuk rakaman video, realme C67 boleh merakam dalam resolusi sehingga 1080p pada kadar 60fps dan kualitinya boleh dijangka untuk telefon kelas permulaan. Tunjuk sahaja videonya kepada sesiapa pun dan mereka boleh mengandaikan bahawa video ini memang dirakam dengan sebuah telefon Android yang murah.

    Sekurang-kurangnya, kamera realme C67 mempunyai penstabilan imej elektronik (EIS) dan ia berfungsi dengan baik dalam menstabilkan rakaman. Walaupun anda merakam video sambil berjalan, video yang dihasilkan masih nampak stabil.

    Kesimpulan – Telefon yang OK jika anda tidak mahu banyak benda

    Untuk pengguna awam yang sekadar inginkan sebuah telefon murah yang boleh melakukan semua tugas harian dengan baik, saya merasakan realme C67 yang berharga RM799 ini adalah pilihan yang memuaskan. Sungguh pun begitu, jika anda inginkan kamera yang lebih baik atau prestasi gaming yang lebih tinggi, terdapat telefon lain yang lebih sesuai untuk anda.

    Sebagai contoh, HONOR X7b yang turut berharga RM799 menawarkan kamera ultra-lebar yang tidak terdapat pada realme C67 dan bateri 6,000mAh yang lebih besar. Selain itu, TECNO Pova 5 Pro 5G (RM799) pula mempunyai skrin dengan kadar segar semula 120Hz yang lebih lancar, pengecasan pantas 68W yang lebih tinggi, cipset MediaTek Dimensity 6080 5G yang boleh jana prestasi gaming lebih tinggi, serta mempunyai rekaan yang lebih agresif dan bersifat gamer.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Pertandingan PUMA x PLAYSTATION Social Media Fit Check, berpeluang menang PlayStation 5

    PUMA Malaysia melancarkan koleksi eksklusif PLAYSTATION dengan hebat dengan menawarkan aktiviti yang menarik untuk meraikan acara tersebut. Salah satu acara yang menarik...

    vivo Y18 dilancar di Malaysia: Helio G85, RAM 8GB dan bateri 5,000mAh berharga RM599

    vivo telah melancarkan vivo Y18 baharu di pasaran Malaysia secara senya-senyap membawa harga RM599. vivo Y18 merupakan telefon pintar dalam segmen permulaan yang memuatkan...

    Anda boleh dapatkan set urut OGAWA dengan pembelian telefon vivo terpilih

    vivo Malaysia kini sedang menganjurkan promosi khas yang dibuat dengan kerjasama jenama kelengkapan urut OGAWA. Dengan setiap pembelian vivo V30, vivo V30...

    JPJ dan MOT tidak pernah beri kelulusan kepada BJAK untuk pembaharuan LKM dan cukai...

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia memberikan perhatian serius terhadap iklan yang dikeluarkan oleh BJAK Sdn. Bhd. berkaitan perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor...

    Menteri Pendidikan Tinggi umum Fakulti AI pertama Malaysia akan dilancar pada 10 Mei ini

    Kerajaan Malaysia memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran tempatan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong permintaan tenaga kerja yang akan dipacu oleh...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X