fbpx
More

    Ulasan ROG Phone 2 – Ini benar-benar satu peranti pintar gaming yang jahat

    Telah menjadi semakin jelas bahawa pelbagai jenama peranti pintar cuba untuk memenangi hati para gamer. ASUS telah memperkenalkan perisian pengoptimuman game, paparan waterfall baru untuk butang tambahan dan turut membuat peranti gaming mereka sebagai peranti yang mampu dimiliki ramai. Kemudian, munculnya ASUS ROG Phone 2.

    ROG Phone pertama pada tahun lalu menjadi kesukaan peminat dan telah memenangi hati semua. Ketika itu, peranti tersebut mempunyai prestasi yang terbaik dalam gaming yang tidak disangka oleh para gamer dan agak susah jika kita fikirkan, bagaimana pengganti seterusnya dapat menjadi lebih baik. Cukuplah dengan menyatakan bahawa ROG Phone 2 adalah diibaratkan seperti Evolusi Pokemon Mega kerana ia sememangnya mantap. Untuk mengetahui tentang peranti gaming hebat ini, baca di bawah.

    Reka bentuk – Benar-benar gagah

    Rekaan ROG Phone 2 pada tahun ini tidak jauh berbeza daripada reka bentuk yang pertama. Paling banyak, peranti telah menjadi lebih panjang iaitu pengukurannya sehingga 6.59 inci dan sensor cap jari (fingerprint) telah dipindahkan ke hadapan sebagai pengimbas dalam paparan (in-display). Terdapat juga beberapa efek warna pelangi yang berkilauan dari nama jenama ROG dan garis di sepanjang permukaan jika anda menghalakan peranti ke arah cahaya, hebat kan?

    ROG Phone 2 kini diibaratkan seperti lelaki gagah
    Reka bentuk belakang hanya terdapat sedikit perubahan
    Bicu audio 3.5 mm masih kekal disini, leganya!
    AirTriggers II di bahagian atas dan bawah (sebelah kanan), ASUS juga mengeluarkan simbol AirTrigger ketiga di bahagian bawah kiri peranti tetapi fungsi picit masih kekal
    Penyambung AeroActive Cooler II juga kembali, diingatkan bahawa kipas AeroActive Cooler pertama tidak serasi dengan ROG Phone 2

    Selain itu, ROG Phone mengekalkan kebanyakan ciri reka bentuk yang penting seperti AirTriggers II, bicu audio 3.5mm, paparan AMOLED, pembesar suara dwi-stereo di hadapan dan penyambung untuk AeroActive Cooler II. Tiada apa yang boleh dirungutkan di sini kecuali satu peringatan bahawa peranti ini adalah bukan untuk pengguna biasa.

    Ciri dan spesifikasi teknologi – Pada tahap yang lebih baik

    Berikut adalah spesifikasi teknologi ASUS ROG Phone 2:

    • Qualcomm Snapdragon 855+, mencapai sehingga 2.96GHz, Adreno 640
    • RAM 12GB LPDDR4X
    • Storan dalaman 512GB dan 1TB (UFS 3.0)
    • Berukuran 170.99 x 77.6 x 9.48mm, dengan berat 240g
    • Paparan AMOLED 6.59 inci (Gorilla Glass 6, capaian clocking sehingga 120Hz)
    • Dwi-kamera belakang – 48MP (f/1.79) + 13MP(125° ultra-lebar), kamera hadapan 24MP (f/2.0)
    • Menampilkan Pengimbas Cap Jari dalam Paparan, nyahkunci wajah (Face Unlock), penyambung side-mounted, USB Type-C, pembesar suara dwi-stereo berhadapan dilengkapi dengan DTS: X Ultra, AirTriggers II, Cas Pantas 30W 4.0
    • Menyokong WiFi 802.11a/b/g/n/ac (2×2 MIMO), 4G LTE, WLAN 802.11ad 60GHz, Bluetooth 5.0, NFC, DTS: X Ultra 7.1 virtual surround sound, Qualcomm aptX Adaptive
    • ROG Gaming UI berasaskan Android Pie
    • Bateri 6000 mAh

    Daripada mengintegrasikan cipset Qualcomm Snapdragon 855, pihak ASUS memilih untuk terus kepada SD 855+, apa salahnya kan? Selain itu, kemampuan capaian masih boleh diselaraskan kepada 2.96Hz dan tidak lupa, terdapat RAM 12GB serta jumlah storan yang tidak masuk akal sehingga 1TB! Kadar segar semula juga telah dinaik taraf kepada 120Hz, tetapi adakah kita benar-benar memerlukannya? Tak salah kan?

    Sememangnya, terdapat banyak game yang tidak boleh melepasi 60Hz, tetapi yang leganya Game Genie ROG Phone 2 (a.k.a. Armory Crate) sebenarnya boleh menunjukkan kepada kita jenis game yang tersedia untuk 120Hz (lihat senarai penuh di sini) dan game yang dioptimumkan untuk TwinView Dock II. Dengan ini, tidak seperti aplikasi pengurusan game dari jenama lain, Game Genie secara automatik membuat penambahan dalam mana-mana game yang dipasang dan di aplikasi, anda boleh memilih untuk penyesuaian FPS, kelajuan clocking, gaya warna RGB dan lebih banyak lagi yang anda suka.

    Game Genie telah diubah suai!
    Seperti biasa, ini adalah tempat anda memantau butiran dan membuat penyesuaian tetapan
    Semua game memiliki profil tersendiri yang boleh diubah

    ASUS juga telah membuat beberapa penambahbaikan kepada teknologi penyejukan. GameCool II pada kali ini mempunyai reka bentuk ruang wap 3D yang baru. Dengan AeroActive Cooler II yang baru, teknologi ini pasti membantu untuk menyejukkan alat gaming hebat ini dengan lebih baik daripada yang sebelumnya. Sebagai penambahan, saya juga menyedari tentang pembesar suara dwi-stereo berhadapan yang telah dinaik taraf dengan DTS: X Ultra. Daripada pengalaman saya, anda sebenarnya dapat menentukan jejak langkah dan tembakan dalam COD Mobile dengan lebih baik. Memaksimumkan muzik latar tidak akan menjadi seperti cubaan memecahkan pembesar suara telefon sendiri.

    AirTrigger adalah salah satu ciri terbaik pada ROG Phone pertama, jadi jelas sekali ia membuat kemunculan semula untuk versi kali ini juga. AirTrigger II kini menawarkan kedua-dua gerakan menekan dan menyeret (slide) yang lebih sensitif dengan latensi getaran hanya 20ms.

    Secara teknikal, ini bermakna anda hanya perlu merehatkan jari anda dan hanya membuat tolakan ringan untuk mengaktifkannya. Walau bagaimanapun, ini bukanlah perkara yang baik kerana kadang-kadang saya mendapati rakaman terhenti sendiri di COD Mobile walaupun saya masih menekannya. Sedikit tekanan akan menyahaktifkannya dan saya sangat berharap ASUS akan mengemas kini tetapan ini.

    Anda boleh mencari AirTriggers II di dalam tetapan lanjutan (advanced settings)
    Antaramuka (interface) kamera pengguna, ROG Phone 2 juga berkebolehan dalam menangkap imej berformat RAW
    ROG Superpack berkos RM6999 disertakan dengan semua aksesori gaming!

    Sebelum saya lupa, adalah penting untuk saya menyatakan bahawa ASUS telah mengintegrasikan sistem multiple-antenna yang mana turut menjadikan peranti ini sebagai peranti ASUS pertama dengan kelengkapan multiple-antenna. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan kerana terdapat 4 antena secara strategik yang ditempatkan di sekitar peranti untuk isyarat WiFi terbaik semasa dalam game. Tentang WiFi, pemain game dapat menukar di antara WiFi atau 4G melalui Game Genie. Selain itu, saya tidak menghadapi sebarang masalah dalam rangkaian panggilan dan GPS.

    Prestasi – SINI LA BRO

    Jika ROG Phone adalah peranti gaming terbaik 2018, adalah wajar untuk melihat ROG Phone 2 sebagai pelopor seterusnya dan benar sekali, peranti ini mendapat tempat teratas dalam skor AnTuTu dan skor 3DMarknya meningkat ekstrem dengan skor gabungan lebih daripada 9000 mata (Nampak atau tidak di situ?). Semasa ujian GameBench, saya terkejut apabila mendapati peranti ini berjaya menjangkaui had FPS Asphalt 9 yang hampir mencapai 60Hz (biasanya hanya 30Hz pada peranti hebat yang lain), manakala Call of Duty Mobile yang baru boleh mencecah sehingga 60Hz dengan sempurna pada tetapan maksima. Peranti ROG Phone 2 ternyata berada pada tahap yang berbeza.

    Satu-satunya peranti yang mengalahkan peranti lain dan mendapat tempat pertama
    Hebat, lihat skor 3DMark itu!
    Keputusan GameBench dari COD Mobile, sungguh impresif!
    Asphalt 9 mencapai lebih 50fps pada ROG Phone 2, ini merupakan rekod baru!
    Pada tangkapan skrin kiri, rakan sekerja saya bermain game ePSXe selama 4 jam dan bateri hanya mencecah 44% selepas seharian bermain, manakala di sebelah kanan, secara teorinya anda boleh meneruskan game selama 17 jam dengan penggunaan yang minimal.

    “Tetapi adakah bateri akan kehabisan dengan pantas?”. Secara teorinya, lebih senang kita anggap bahawa ianya benar. Hal ini kerana peranti ini mempunyai paparan yang menakjubkan, ditambah dengan RGB dan perkakasan pada steroid. Oleh itu, jika anda memaksimumkan segala-galanya, ia sememangnya benar. Lebih mengejutkan kami; ia boleh bertahan beberapa jam walaupun dengan game bergrafik tinggi iaitu selama kira-kira 6 jam, lebih atau kurang (keputusan mungkin berbeza pada game yang berbeza).

    Berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang pekerja, waktu bekerja akan tamat sebelum peranti itu perlu dicas semula, (tetapi mungkin berbeza untuk beberapa gamer mudah alih yang tegar). Di samping itu, game yang lama pastinya akan menjadikan peranti agak panas. Jadi, anda perlu sentiasa memastikan kipas AeroActive Cooler aktif sepanjang masa jika anda merancang untuk melakukan maraton permainan digital. Oh! Dengan pengecasan pantas 30W 4.0, peranti mendapat pengecasan penuh dalam masa 1 jam setengah atau kurang. Masa yang diambil untuk menghabiskan jangka hayat bateri 6000mAh terlalu lama, jadi penggunaan biasa tanpa game boleh bertahan dengan baik selama dua hari.

    Setakat ini, semuanya kelihatan hebat di ROG Phone 2, tetapi bukan semuanya sempurna. Walaupun prestasi dwi-kamera belakang turut dipertingkatkan, saya tidak menemui peningkatan dalam kualiti foto. Bukan mahu mengatakan ia sememangnya teruk. Kamera berfungsi dengan baik dan fungsi ultra-lebar adalah lebih baik kali ini tanpa kesan fish-eye, tetapi ketika berada di dalam rumah dengan lampu yang malap, kualiti foto kehilangan kehebatannya. Walaupun demikian, pelanggan yang ingin mendapatkan peranti ini tidak akan peduli dengan kamera. Bagaimanapun, anda boleh menyemak gambar-gambar kami di bawah, serta beberapa gambar hebat dari Duta Global ASUS Zenfone, Peter M Tan (lihat laman Instagramnya di sini!).

    Kontras warna hebat di sana! (kredit gambar kepada Peter M Tan)
    Di tangan pakar jurugambar, kamera kelihatan hebat (kredit foto kepada Peter M Tan)
    Tangkapan ultra-lebar sangat berguna untuk gambar seperti ini (kredit gambar kepada Peter M Tan)
    Apa yang melegakan, perisian kamera ROG Phone 2 tidak mengubah pemandangan terlalu banyak, yang mana menawarkan keaslian gambar. (kredit gambar kepada Peter M Tan)
    Untuk menyelesaikan masalah pencahayaan rendah, penggunaan filter adalah sangat berguna (kiri) atau anda boleh mencuba Mod Pro untuk penyesuaian sensitiviti cahaya (kredit foto kepada Peter M Tan)
    Tangkapan jarak dekat (close-up) mempunyai batasan jarak, tetapi anda masih dapat melihat butiran dan tekstur kasarnya (kredit foto kepada Peter M Tan)
    Tangkapan panorama
    Gambar selfie dengan mod potret aktif
    Gambar dengan pencahayaan rendah (kiri), mod malam (kanan) sangat membantu

    Kesimpulan – Semestinya pembelian yang wajar bagi peminat game yang serius

    Melihat kembali kepada ROG Phone yang pertama, ROG Phone 2 pastinya merupakan satu peningkatan kerana ia telah membaik pulih beberapa perkara yang saya tidak suka pada ROG Phone pertama. Hal ini termasuk prestasi bateri yang sangat baik, kualiti bunyi yang lebih baik dan aplikasi Game Genie yang dipertingkatkan. AirTrigger adalah seada-adanya sahaja kerana saya mempunyai masalah menekan akibat ianya terlalu sensitif. Apa pun, secara keseluruhannya, hanya terdapat sedikit kekecewaan sahaja.

    Sebagai peranti pintar gaming, adalah adil untuk membandingkannya dengan peranti setara yang lain seperti Razer Phone 2 dan Black Shark 2 Pro yang telah banyak dipromosikan di Malaysia. Di antara ketiga-tiga peranti, malangnya Razer Phone 2 adalah yang paling lemah dengan menggunakan spesifikasi teknologi tahun lepas (SD 845) dan berharga RM3449. Dalam hal ini, lebih baik jika anda membeli ROG Phone 2 yang bermula dari RM3499 dan menawarkan lebih banyak tawaran.

    Walau bagaimanapun, Black Shark 2 Pro adalah lebih murah dengan harga permulaan RM2499. Yang dinyatakan merupakan harga peranti dengan varian 8GB + 128GB, manakala peranti dengan varian 12GB + 256GB adalah masih lebih murah dengan harga RM2999. Walau bagaimanapun, Black Shark 2 Pro dan ROG Phone 2 mempunyai banyak ciri yang sama. Apa pun, peranti yang terkini ini mempunyai AirTrigger dan pelbagai aksesori gaming. Pilihan terletak di tangan anda.

    Apa pendapat anda? Adakah ROG Phone 2 sememangnya peranti pintar gaming? Adakah ia peranti pintar gaming terbaik tahun 2019 seperti yang kita fikirkan? Beritahu kami di ruang komentar di bawah dan nantikan ulasan gajet seterusnya di TechNaveBM.com.

    Diterjemahkan daripada TechNave.com

     

    Artikel Terkini

    BYD Hiace 07 EV diperkenal, dilengkapi “God’s Eye” dan jarak pemanduan sehingga 610 km

    Semasa Pameran Auto Beijing, BYD telah memperkenalkan kereta terbaharunya iaitu BYD Hiace 07 EV. Salah satu ciri menonjol Hiace 07 EV ialah...

    CelcomDigi tawarkan internet 1TB pada harga RM15 dan banyak lagi promosi sempena Hari Gaji...

    Seperti biasa, syarikat telekomunikasi CelcomDigi menawarkan promosi Hari Gaji Specials pada hujung bulan dan untuk kali ini ia akan berlangsung daripada hari...

    HONOR Band 9 dilancar di Malaysia: Jam tangan pintar dengan skrin AMOLED 1.57″ berharga...

    HONOR Malaysia telah melancarkan jam tangan pintar terbaru iaitu HONOR Band 9. Ia menampilkan skrin AMOLED berukuran 1.57 inci dengan kadar segar...

    Acer Malaysia lancarkan desktop, monitor dwi-paparan dan projektor bermula RM1,699

    Acer Malaysia hari ini melancarkan barisan komputer desktop, monitor dwi-paparan mudah alih dan sebuah projektor yang direka untuk meningkatkan kelancaran alir kerja...

    HONOR Pad 9 5G dilancar di Malaysia: Tablet 12.1 inci dengan skrin 2.5K bermula...

    HONOR Malaysia telah melancarkan tabletnya yang terbaru iaitu HONOR Pad 9 5G. Sebagai tablet kelas pertengahan, ia dilengkapi skrin berukuran 12.1 inci...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X