fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy A73 5G – Telefon kelas pertengahan dengan ciri “flagship” dan kamera yang mantap

    Kepada mereka yang mengikuti perkembangan teknologi telefon pintar pasti mengetahui bahawa siri Samsung Galaxy A merupakan siri yang paling laris dalam pasaran dunia. Untuk pengetahuan, Samsung tahun ini telah mengemas kini barisan dalam siri Galaxy A dengan tiga model berbeza iaitu Galaxy A 73 5G, A53 5G dan A33 5G.

    Samsung Galaxy A73 5G merupakan telefon pintar yang paling berkuasa dan memiliki saiz skrin yang paling besar jika dibandingkan dengan Galaxy A33 5G dan Galaxy A53 5G. Ia hadir dengan cipset yang berbeza daripada kedua-dua ‘adiknya’ yang mana ia dilengkapi cipset Snapdragon 778G 5G. Bagi telefon kelas pertengahan, cipset ini merupakan antara pilihan terbaik yang anda boleh miliki.

    Ia merupakan cipset yang berkuasa yang dihasilkan bersama GPU Adreno 642L dan mampu menawarkan pengalaman hebat berbaloi dengan harga yang anda bayar. Jika anda seorang kaki game tetapi dalam masa yang sama mementingkan kualiti kamera, Samsung Galaxy A73 5G sesuai untuk anda.

    Samsung Galaxy A73 5G didatangkan dalam kotak kadbod putih biasa yang nipis. Namun, palam pengecas tidak disertakan. Kotak itu mengandungi-

    • Samsung Galaxy A73
    • Kabel USB-C
    • Alat pengeluar SIM
    • Panduan ringkas dan dokumen
    Pakej yang anda terima jika membeli Samsung Galaxy A73 5G

    Rekaan – Ringkas dengan warna yang menawan

    Samsung Galaxy A73 5G kelihatan cantik pada pandangan pertama. Peranti buatan polikarbonat kelihatan dan terasa premium di tangan. Warna yang saya terima ialah Mint dan kelihatan cantik dari setiap sudut. Telefon ini mempunyai kemasan metalik yang berkilat pada bahagian sisi yang menjadikannya lebih menarik manakala panel belakang mempunyai kemasan matte memastikan ia tidak mudah comot.

    Bahagian belakang Samsung Galaxy A73 5G

    Sisi kanan telefon mempunyai butang kawalan kelantangan dan butang kuasa manakala bahagian sisi kiri tidak mempunyai apa-apa butang kawalan. Jari saya boleh menyentuh butang kawalan kelantangan suara dan butang kuasa dengan mudah tetapi peranti ini perlu dikendalikan dengan kedua-dua tangan pada masa-masa tertentu.

    Bahagian bawahnya mempunyai mikrofon, port pengecasan USB-C dan gril pembesar suara manakala bahagian atas mempunyai mikrofon kedua dan dulang SIM. Pada bahagian belakang peranti terdapat persediaan empat kamera dengan lampu LED. Kamera dan lampu LED diletakkan pada bahagian bonggol berbentuk segi empat tepat dan terdapat penjenamaan Samsung pada bahagian bawahnya.

    Dulang SIM dan slot kad mikroSD
    Bonggol berbentuk segi empat tepat yang menempatkan kamera

    Walaupun reka bentuk telefon pintar itu kelihatan cukup ringkas, peranti ini memberikan rasa premium apabila dipegang di tangan. Bahagian hadapannya dilengkapi panel AMOLED 6.7 inci dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 5.

    Untuk membuka kunci, peranti ini mempunyai ciri pengimbas cap jari dalam paparan. Ia beroperasi dengan sangat pantas dan tidak pernah lag.

    Skrin AMOLED 6.7 inci yang jelas dan cantik

    Spesifikasi dan ciri – Cipset lama, banyak ciri flagship baharu

    • Skrin Super AMOLED Infinity-O berukuran 6.7 inci, resolusi FullHD+, kadar segar semula 120Hz
    • Cipset Snapdragon 778 5G
    • RAM 8GB, boleh ditambah dengan DRE sebanyak 2GB, 4GB atau 6GB
    • Storan dalaman 256GB, boleh ditambah dengan kad microSD sebanyak 1TB
    • Kamera utama 108MP OIS + kamera ultra-lebar 12MP + sensor kedalaman 5MP + kamera makro 5MP
    • Kamera swafoto 32MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas 25W
    • Rating kalis air IP65
    • Harga: RM2,099

    Selain itu, terdapat juga ciri Link to Windows di mana anda boleh menyegerakkan antara peranti Galaxy A anda bersama ekosistem Windows. Dengan cara ini, anda boleh mengawal telefon pintar melalui komputer sama ada ingin memeriksa pemberitahuan, memindahkan fail, membalas mesej atau menjawab panggilan termasuk penggabungan kalendar.

    Seterusnya, bagi pengguna yang memiliki tablet dan telefon pintar Samsung Galaxy, anda boleh menggabungkan aktiviti secara serentak dengan ciri App Continuity. Anda boleh menyambung aktiviti aplikasi dalam peranti Galaxy yang terdekat dengan anda sama ada menggunakan tablet atau telefon pintar. Ia akan menyimpan dan menyegerakkan aktiviti antara kedua-dua peranti.

    Samsung Galaxy A73 5G juga mempunyai ciri Buds Auto Switching. Contoh ciri ini berfungsi adalah seperti jika anda menikmati muzik pada Galaxy tab dan panggilan masuk pada telefon pintar, fon telinga wayarles Galaxy Buds anda akan menggunakan ciri penukaran automatik untuk beralih ke telefon supaya anda boleh menerima panggilan tersebut.

    Tambahan, terdapat juga ciri Bixby Routine dalam peranti ini yang menggunakan kecerdasan AI untuk mempelajari corak penggunaan dan pilihan anda. Ciri ini boleh melaraskan tetapan secara automatik, mengawal aplikasi, mengoptimumkan bateri dan banyak lagi.

    Anda juga boleh menyediakan rutin sendiri secara manual berdasarkan tempat anda berada dan perkara yang anda lakukan. Contohnya, rutin sebelum tidur di mana anda boleh tetapkan pada masa tertentu untuk mod senyap diaktifkan, mod malam dihidupkan dan pintasan skrin kunci anda berubah.

    Samsung telah membekalkan spesifikasi yang penting dalam peranti terbaharunya dengan unit pengembangan RAM maya. Dengan penambahan RAM maya sebanyak 6GB, keseluruhan jumlah RAM yang boleh dihasilkan oleh peranti ini ialah sebanyak 14GB.

    Terdapat ciri Adaptive Power Saving di mana ia berfungsi sebagai mod penjimatan bateri. Apabila kuasa bateri telefon berada pada kadar 50% dan ke bawah, secara automatik ia akan masuk ke mod Adaptive Power Saving untuk penjimatan bateri yang optimum.

    Salah satu fungsi istimewa yang terdapat pada Samsung Galaxy A73 5G ialah AI Power Management. Kita semua mempunyai aplikasi pada telefon yang hanya kadang-kadang kita gunakan tetapi tidak mahu memadamkannya. Walaupun tidak digunakan, aplikasi ini masih akan beroperasi pada latar belakang untuk mengurangkan hayat bateri.

    Pengurusan Kuasa AI Samsung akan mengenal pasti aplikasi yang jarang digunakan dan meletakkannya dalam mod tidak aktif. Dengan hayat bateri yang dijimatkan, anda boleh menggunakan aplikasi kegemaran anda dengan lebih lama.

    Jika anda perlu menggunakan aplikasi tidur, cuma klik padanya dan peranti ini akan membuka aplikasi seperti biasa. Samsung juga memudahkan pengguna mengakses dan menetapkan senarai aplikasi yang telah diletakkan di bawah Device Care.

    Prestasi – Lancar dan bagus untuk gaming

    Galaxy A73 5G benar-benar pantas dan lancar. Malahan, semasa mengaktifkan kamera dan merakam gambar, ia tidak menghadapi sebarang masalah atau tersangkut seperti yang terjadi pada telefon segmen pertengahan yang lain. Navigasi umum melalui antara muka pengguna, menatal atau menukar aplikasi semuanya dilakukan dengan mudah dan lancar.

    Prestasinya adalah serupa dengan Galaxy A52s yang juga menggunakan cipset yang sama iaitu Snapdragon 778G. Tetapi, Galaxy A73 5G terasa lebih lancar daripada A52s dan saya rasa ia mungkin hasil daripada pengoptimuman tambahan kerana Samsung kini mempunyai pengalaman yang lebih lama bersama cipset Snapdragon 778G.

    Menyentuh mengenai gaming, Galaxy A73 5G melakukan tugasnya dengan baik. Saya telah mencuba beberapa game yang popular untuk melakukan ujian kepada prestasi telefon ini dengan memainkan game PUBG Mobile dan Mobile Legend.

    Untuk game PUBG Mobile, saya telah bermain beberapa ketika dan mendapati ianya lancar. Kehangatan terasa pada bahagian belakang berhampiran kamera selepas 45 minit bermain. Namun, ia tidak mengganggu perhatian anda ketika memainkannya. Ketahanan bateri juga begitu baik kerana saya kehilangan 10% bateri selepas bermain sekitar 25 minit.

    Pilihan grafik yang ditawarkan juga sangat membantu ketika bermain game. Saya dapat memilih grafik HDR dan Frame Rate tetapan Ultra. Jika anda mendapati peranti anda panas, saya menyarankan anda untuk meletakkan kipas kecil yang menggunakan sambungan kuasa USB pada bahagian belakang ketika bermain game.

    Ketika bermain game Mobile Legends pula saya tidak menghadapi sebarang masalah sama ada daripada segi prestasi dan grafik yang ditawarkan. Ia berjalan dengan sangat lancar dan tiada sebarang masalah kepanasan yang melampau sehingga mengganggu tumpuan anda ketika bermain game.

    Tetapi, mungkin ada dalam kalangan anda yang mempersoalkan tentang ketahanan bateri telefon ini jika membuka banyak aplikasi secara serentak. Jangan risau kerana ia juga dilengkapi kapasiti bateri yang cukup besar iaitu dengan kuasa 5,000mAh yang mampu bertahan sehingga dua hari dengan sekali pengecasan.

    Samsung Galaxy A73 hadir dengan pengecasan pantas 25W dan Samsung mengatakan bahawa ia memerlukan 30 minit sahaja untuk pengecasan 50%. Namun, harus diingatkan bahawa palam pengecasan tidak disertakan di dalam kotak. Di bawah ini merupakan ujian pengecasan terhadap Galaxy A73 5G.

    Kamera – 108MP yang sangat mengagumkan!

    Istimewanya untuk model tahun 2022, ia hadir dengan beberapa ciri yang terdapat pada telefon andalan seperti yang tersedia di dalam Samsung Galaxy S22. Sebagai contoh, bagi pengguna yang sudah memiliki siri Samsung Galaxy A akan berpeluang menggunakan ciri Single Take. Ciri Single Take ini berfungsi seperti kamera pemasa dengan kiraan 10 saat.

    Pilihan mod yang terdapat pada tetapan

    Namun, berbeza dengan pemasa standard, dalam kiraan 10 saat tersebut anda bebas untuk melakukan pelbagai gaya. Unit pemproses imej akan menghasilkan pelbagai hasil tangkapan secara automatik termasuk video, boomerang dan filter untuk anda pilih gambar atau video manakah yang terbaik.

    Galaxy A73 mempunyai lima kamera secara keseluruhan iaitu empat di bahagian belakang dan kamera 32MP di bahagian hadapan. Sistem kamera belakang diketuai kamera utama 108MP, ultra-lebar 12MP, kamera kedalaman 5MP dan kamera makro 5MP. Pada waktu siang, kamera 108MP boleh menangkap gambar dengan sangat terperinci.

    Contoh pilihan gambar, video dan Boomerang untuk dipilih dalam mod Single Take
    Gambar yang diambil daripada kamera swafoto 32MP
    Contoh gambar swafoto menggunakan mod Potrait

    Saya tidak mengatakan Galaxy A73 5G memberikan kualiti gambar yang baik seperti yang anda perolehi pada iPhone 13 atau Galaxy S22 Plus, tetapi kameranya serba boleh dan saya rasa sangat berpuas hati dengannya. Kamera Galaxy A73 5G menghadapi sedikit masalah dalam pencahayaan yang malap.

    Saya rasa mod malam kurang memberangsangkan dan tidak menghasilkan kualiti yang begitu baik. Gambar yang ditangkap pada waktu malam mempunyai banyak noise dan apabila mod malam dimatikan, telefon ini menghadapi masalah untuk menangkap gambar yang cantik.

    Contoh gambar jika mod malam diaktifkan
    Contoh gambar menggunakan sensor 108MP
    Contoh gambar menggunakan mod Panorama
    Contoh video yang diambil menggunakan Samsung Galaxy A73 5G

    Kesimpulan – Berbaloi dengan setiap ringgit yang dibelanjakan

    Dengan harga sekitar RM2,000, anda ditawarkan dengan skrin yang besar, cantik dan lancar serta kamera 108MP yang sangat sempurna. Kami jamin anda tiada masalah dengan kualiti kamera swafoto yang dihasilkan Samsung untuk selfie bersama keluarga atau rakan-rakan. Jarang untuk menemui peranti Android dengan harga tersebut yang memberikan kepuasan pemakaian serta terdapat penarafan IP.

    Tambahan, peranti ini juga kelihatan cantuik dan ringan. Lebih penting, ia dilengkapi dengan cipset yang berkebolehan bukan sahaja untuk digunakan dalam tugasan harian, tetapi juga boleh menjalankan game pada tetapan grafik yang baik. Dengan tanda harga RM2,099, Samsung Galaxy A73 5G menawarkan spesifikasi yang mantap dan cukup sempurna daripada segi prestasi serta kualiti kamera.

    Cuma kekurangan yang terdapat pada telefon ini ialah pilihan warna yang agak membosankan dan palam pengecasan yang tidak disertakan. Sebelum ini, Apple dikecam kerana tidak menyertakan palam pengecas dalam kotak dan kini Samsung entah mengapa mengikut langkah yang tidak berapa bernas ini dengan tidak menyertakan palam pengecas.

    Jika anda berfikiran seperti saya, terdapat beberapa pilihan telefon lain. Anda boleh membandingkan telefon ini dengan vivo V23 5G yang berharga RM2,099, Redmi Note 11 Pro+ 5G dengan harga RM1,599 atau realme 9 Pro+ 5G yang berharga RM1,599.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Nubia Neo 2 5G akan dilancar di Malaysia pada 22 April 2024

    ZTE Malaysia telah memberi petunjuk ketibaan telefon pintar gaming jarak pertengahan di halaman Facebook yang akan dilancarkan pada 22 April 2024. Telefon...

    Meta AI umum akan datang ke Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram kelak

    Meta AI yang dibina dengan Meta Llama 3 kini tersedia untuk beberapa negara di luar AS tetapi Malaysia masih belum menerimanya...

    HUAWEI nova 12i dilancar di Malaysia: SD 680, kamera 108MP dan storan 256GB pada...

    HUAWEI memperkenalkan HUAWEI nova 12i di seluruh negara, tambahan terbaru kepada siri nova dengan reka bentuk anggun. Ia menampilkan reka bentuk Cincin...

    Sony menukar polistirena kepada biopolimer biodegradasi dalam bungkusan untuk pelihara alam

    Sony merupakan syarikat pertama dalam industri yang menghapuskan penggunaan bahan kusyen buih polistirena untuk TV besar melibatkan BRAVIA 9 dan TV LED...

    Nothing Ear dan Ear (a) dilancar dengan ChatGPT terbina dalam bermula RM459

    Fon telinga terbaharu Nothing datang dalam dua model iaitu Nothing Ear dan Nothing Ear (a). Nothing Ear ialah tawaran perdana baharu yang...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X