fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy S24+ – Varian yang lebih sesuai untuk kebanyakan orang

    Dengan pelancaran siri telefon flagship Samsung Galaxy S24 pada pertengahan Januari lalu, Samsung menawarkan Samsung Galaxy S24+ sebagai varian pertengahan di antara Galaxy S24 standard yang mempunyai skrin lebih kecil dan Galaxy S24 Ultra yang mempunyai skrin lebih besar dan stilus S-Pen dalaman. 

    Sungguh pun begitu, Galaxy S24+ dilengkapi segala fungsi-fungsi baharu yang ditawarkan untuk siri Galaxy S pada tahun ini, termasuklah ciri-ciri baharu Galaxy AI yang dibina berdasarkan Kecerdasan Buatan (AI). Galaxy AI menjanjikan proses yang lebih pantas untuk kegunaan harian serta memudahkan komunikasi dengan orang lain, walaupun dalam bahasa yang berlainan. 

    Dengan harga bermula RM4,899, adakah Galaxy S24+ boleh memberikan fungsi-fungsi yang berbaloi untuk harga tersebut? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Tidak banyak beza dengan Galaxy S23+

    Jika anda pernah melihat rekaan Samsung Galaxy S23+ pada tahun lepas, anda boleh lihat yang rekaan tersebut dibawa hampir bulat-bulat kepada Samsung Galaxy S24+. Ia masih mempunyai bahagian bucu yang membulat (berbeza dengan Galaxy S24 Ultra yang mempunyai bucu tajam) serta tiga bulatan ikonik di belakang yang menempatkan tiga lensa kameranya.

    Rekaan belakang Galaxy S24+
    Bonggol kamera yang ikonik, tidak terlalu tebal dan mengekalkan rekaan tahun lepas

    Satu perbezaan adalah Galaxy S24+ sebenarnya lebih besar sedikit berbanding Galaxy S23+, di mana Galaxy S24+ berukuran 6.7 inci, lebih besar sedikit sahaja daripada Galaxy S23+ yang berukuran 6.6 inci. Terdapat sebuah kamera swafoto 12MP dalam lubang tebuk (punch-hole) kecil di bahagian atas, manakala sempadan bezel pula nampak nipis sahaja pada semua sisi.

    Sebuah pengimbas cap jari ultrasonik turut berada di bahagian bawah dan ia berfungsi dengan pantas. Anda juga boleh gunakan pengimbasan muka untuk membuka kunci skrin.

    Satu perkara yang saya suka pada Galaxy S24+ adalah pilihan warna yang ditawarkan untuk tahun ini iaitu biru Sapphire Blue, hijau Jade Green, oren Sandstone Orange, ungu Cobalt Violet, kuning Amber Yellow, hitam Onyx Black dan kelabu Marble Grey. Sewaktu pelancarannya, Samsung menyifatkan warna-warna ini sebagai bebas jantina (gender-neutral colours), saya sendiri tidak faham istilah tersebut namun saya hanya lega ia ditawarkan dalam banyak pilihan warna. 

    Unit yang dipinjamkan kepada kami mempunyai warna ungu Cobalt Violet dan ia nampak sangat kemas. Lebih menarik, ia langsung tidak meninggalkan kesan cap jari jadi anda tidak perlu menggunakan sarung (casing) untuk melindungi telefon ini. Walapun telefon ini tidak dibina dengan Gorilla Glass Armor seperti pada Galaxy S24 Ultra, ia dibina dengan Gorilla Glass Victus 2 yang masih menawarkan ketahanan tinggi.

    Selain itu, bahagian sisinya lebih rata berbanding Galaxy S23+ dan pada pendapat saya, ia rasa kurang selesa kerana saya lebih menggemari bahagian sisi yang melengkung sedikit supaya bucunya rasa lebih selesa pada tapak tangan.

    Bahagian sisi kanan yang rata, menempatkan butang kuasa dan kawalan volume
    Bahagian bawah menempatkan dulang dwi-kad SIM, port USB-C, pembesar suara

    Bahagian sisi kanan menempatkan butang kawalan volume dan butang kuasa, manakala di bawah pula terdapat port USB-C, dulang dwi-kad SIM dan satu pembesar suara. Memandangkan ia mempunyai pembesar suara stereo, satu lagi pembesar suara berada di bahagian atas (earpiece).

    Spesifikasi – Nampaknya kita dapat yang Exynos

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Samsung Galaxy S24+: 

    • Cipset Exynos 2400
    • Skrin Dynamic AMOLED 2X QHD+ 6.7 inci dengan resolusi 3120×1440 piksel, segar semula skrin 120Hz, Vision booster 
    • Berat badan: 197g | Ukuran: 75.9 x 158.5 x 7.7mm
    • Kamera utama sudut lebar 50MP OIS (F1.8, FOV 85˚ ) + telefoto 10MP OIS (F2.4, 3x, FOV 36˚ ) + sudut ultra lebar 12MP (F2.2, FOV 120˚)
    • Kamera swafoto 12MP (F2.2, FOV 80˚ )
    • RAM 12GB + storan 256GB/512GB
    • Kapasiti bateri: 4,900mAh dengan pengecasan pantas 45W
    • Pengimbas cap jari dan muka bawah skrin, Wi-Fi 6E, 5G
    • Warna: Hitam Onyx/Kelabu Marmar/Violet Cobalt/Kuning Ambar | Eksklusif atas talian – Hijau Jed/Jingga/Biru Nilam
    • Harga: 512GB – RM5,399 | 256GB – RM4,899

    Nampaknya resolusi skrin Galaxy S24+ telah dinaikkan kepada QHD+ (3120×1440) daripada FHD+ (1080×2340) sahaja pada Galaxy S23+ tahun lalu. Anda boleh tetapkan resolusi Galaxy S24+ pada QHD+ atau FHD+, saya sendiri suka tetapkannya pada FHD+ untuk menjimatkan bateri, namun saya pasti ada di luar sana yang akan menghargai kualiti imej yang lebih tajam dengan QHD+.

    Seperti yang boleh dijangka, ia mempunyai kadar segar semula adaptif sehingga 120Hz, namun satu ciri baharu pada Galaxy S24+ adalah kecerahan puncaknya yang boleh mencapai 2,600 nits, jauh lebih tinggi berbanding Galaxy S23+ (1,750 nits). Saya telah menggunakan Galaxy S24+ di bawah cahaya matahari Malaysia yang sangat terik dan saya masih boleh melihat skrinnya dengan selesa.

    Skrin Galaxy S24+ boleh menghasilkan warna yang cantik

    Sewaktu menonton video pula, anda boleh yakin bahawa panel Dynamic AMOLED 2X boleh menghasilkan kualiti imej dan warna yang sangat cantik. Selain itu, skrin ini mempunyai perlindungan Gorilla Glass Victus 2 yang boleh melindunginya daripada kesan calar atau retak.

    Penghasilan audio daripada pembesar suara stereo juga sangat jelas dan kuat dengan kualiti bass yang agak rendah, namun ini adalah sesuatu yang boleh dijangka untuk pembesar suara dalam telefon. Jika anda ingin kualiti pembesar suara yang terbaik, lebih baik anda beli telefon gaming.

    Kini mari kita beralih kepada ciri yang paling menarik dalam seluruh siri Galaxy S24 iaitu Galaxy AI. Galaxy S24+ mempunyai sistem operasi Android 14 dengan antara muka One UI 6.1 yang sudah dilengkapi Galaxy AI. Ia mempunyai banyak fungsi berdasarkan AI yang saya rasa boleh diulas dalam sebuah artikel berasingan, namun saya akan tulis secara ringkas di sini.

    Antara ciri yang paling berguna dan boleh diharap adalah Circle to Search with Google, di mana anda boleh cari maklumat lanjut tentang sebarang imej yang dipaparkan pada skrin Galaxy S24+ dengan melukis sebuah bulatan di sekeliling objek tersebut.

    Antara muka One UI 6.1
    (Kiri) Jika anda ternampak sesuatu yang menarik pada skrin, (tengah) anda boleh aktifkan Circle to Search dan lukis satu bulatan mengelilingi objek tersebut, (kanan) Google akan memaparkan lebih banyak info mengenainya

    Sebelum ini, anda boleh melakukan fungsi serupa dengan mengambil tangkapan skrin (screenshot) kemudian melakukan carian gambar (image search) daripadanya, namun Circle to Search memudahkan proses ini dan sepanjang penggunaan saya, hasil cariannya nampak tepat. Ia juga akan memaparkan maklumat tentang di mana anda boleh beli produk yang serupa.

    Seterusnya, Galaxy AI menawarkan fungsi penterjemahan langsung dengan Live Translate, di mana Galaxy S24+ boleh menterjemahkan suara anda kepada bahasa lain sewaktu membuat panggilan telefon. Ia masih boleh digunakan walaupun anda membuat panggilan dengan telefon jenama lain.

    Live Translate memudahkan komunikasi di antara dua bahasa berlainan

    Saya telah membuat panggilan telefon dengan Live Translate untuk menterjemah daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Jepun, dan saya mendapati terdapat lag yang agak ketara apabila ia ingin menterjemah suara saya kepada Bahasa Jepun. Ini membuatkan perbualan rasa janggal, jadi ia mungkin hanya sesuai digunakan untuk perbualan ringkas.

    Fungsi penterjemahan Chat Assist pula lebih bagus kerana ia boleh menterjemahkan mesej teks anda kepada bahasa lain dengan lebih mudah. Sebelum ini, kita sering perlu menggunakan perkhidmatan pihak ketiga seperti Google Translate untuk menterjemahkan teks, namun kini fungsi penterjemahan teks sudah disediakan dalam Galaxy AI.

    Chat Assist boleh menterjemah teks pelbagai bahasa sewaktu bermesej
    Sewaktu mendapat mesej, Chat Assist akan terus menterjemah mesej tersebut secara automatik

    Selain itu, Galaxy AI turut menawarkan beberapa fungsi yang meningkatkan produktiviti anda, seperti Web Summary yang menyediakan ringkasan untuk sebarang laman web. Saya menggunakan fungsi ini sewaktu membaca pelbagai jenis ulasan produk dalam TechNave dan laman-laman web lain dan saya mendapati ringkasannya agak tepat dan menjimatkan masa saya untuk mendapatkan maklumat penting.

    Dengan Note Assist, ia boleh membantu anda merumuskan sebarang nota panjang yang anda telah tulis daripada kuliah atau ceramah. Saya mendapati ringkasannya agak tepat, malah ia boleh menyusunnya dalam perenggan dan isi-isi (bullet points) penting.

    Galaxy AI boleh ringkaskan artikel/laman web yang panjang
    Nota anda boleh diformatkan secara automatik (Auto Format) atau diringkaskan (Summarise)

    Jika anda telah merakam seseorang bercakap dengan aplikasi Voice Recorder, Galaxy AI menawarkan fungsi Transcript Assist yang akan menukarkan suara kepada teks (speech-to-text) dengan tepat. Lebih menarik, jika terdapat beberapa orang yang bercakap dalam rakaman suara tersebut, Transcript Assist boleh membezakan teks mengikut orang yang sedang bercakap.

    Galaxy AI juga menawarkan beberapa fungsi visual yang menarik. Contohnya, Generative Wallpaper boleh menghasilkan latar belakang (wallpaper) yang unik untuk telefon anda, namun anda perlu tahu bahawa anda tidak boleh masukkan sebarang perkataan (word prompt) rawak untuk menyuruh Galaxy AI menghasilkan gambar. Sebaliknya, anda hanya dihadkan dengan beberapa perkataan terpilih yang sudah disediakan dalam Galaxy S24+. Ini agak mengecewakan saya kerana saya sangka boleh buat seni AI yang ganjil seperti “dinosaurs roaming in Kuala Lumpur” atau “airport in the middle of Kuala Lumpur”, tapi apakan daya, cuma kekal sebagai angan-angan sahaja.

    Transcript Assist akan menyenaraikan teks yang berbeza, menurut orang yang sedang bercakap
    (Kiri) Beberapa tetapan asas yang disediakan dalam Generative Wallpaper, (tengah) lebih banyak pilihan untuk peribadikan seni AI, (kanan) seni AI yang dihasilkan berdasarkan perkataan-perkataan pilihan anda

    Dan yang terakhir, Galaxy AI menawarkan beberapa fungsi suntingan gambar Photo Editing yang sangat unik. Sebagai contoh, jika anda mengambil gambar yang senget dan ingin membetulkan sudutnya, anda boleh mendatarkan gambar tersebut dan sebarang ruang kosong di bahagian tepi akan diisikan dengan bantuan AI. Saya melihat imej yang dijana oleh AI untuk mengisi ruang kosong ini adalah agak bagus.

    Selain itu, jika terdapat sebarang objek yang tidak diingini dalam gambar anda, anda boleh ‘padam’ atau ‘pindah’ objek tersebut kemudian Galaxy AI akan cuba sebaik mungkin untuk mengisi ruang kosong yang terhasil selepas objek itu dibuang. Sepanjang penggunaan saya, fungsi ini boleh diharap jika anda sekadar ingin membuang objek yang kecil, namun untuk objek yang besar dalam gambar, hasilnya nampak agak cacat.

    (Kiri) Gambar senget, (kanan) gambar lurus yang dibetulkan oleh Galaxy AI
    (Kiri) Gambar asal, (kanan) pad hitam telah dipadam dengan kemas oleh Galaxy AI
    (Kiri) Gambar asal, (kanan) objek itu dipadamkan oleh Galaxy AI, namun masih ternampak efek yang pelik di situ

    Perlu diingati bahawa setiap gambar yang disunting oleh Galaxy AI akan mempunyai sebuah logo kecil di bahagian bawah kiri untuk menandakan bahawa ia adalah gambar yang telah diubahsuai.

    Prestasi – Sangat laju!

    Berikut adalah markah untuk penanda aras yang kami lakukan untuk Galaxy S24+:

    Hasil penanda aras 3DMark
    Hasil penanda aras Geekbench, jelas sekali Galaxy S24+ menghasilkan prestasi yang lebih pantas berbanding model andalan tahun lepas, malah boleh mengalahkan Galaxy S23 Ultra

    Seperti yang anda boleh jangkakan untuk telefon kategori ini, segala prestasi aplikasi dan penggunaan dalamnya rasa sangat lancar. Walaupun mungkin ada yang akan merungut tentang ketiadaan cipset Snapdragon 8 Gen 3, cipset Exynos 2400 yang dilengkapi dalam Galaxy S24+ masih boleh hasilkan prestasi yang sangat cemerlang.

    Saya telah memainkan beberapa game dengan keperluan grafik tinggi seperti Asphalt 9 dan Genshin Impact, dan Galaxy S24+ boleh memainkannya dengan tetapan tertinggi tanpa sebarang masalah. Permukaan belakangnya rasa suam selepas bermain selama sekitar 30 minit, namun ia tidak pernah menjadi terlalu panas sehingga memerlukan kipas luaran.

    Asphalt 9 boleh dimainkan dengan lancar pada tetapan grafik tertinggi
    Genshin Impact juga boleh dimainkan pada kadar 60fps

    Hayat baterinya boleh bertahan selama lebih daripada sehari dengan yakin, manakala kadar pengecasan pula dikekalkan daripada Galaxy S23+ sebelum ini iaitu pengecasan pantas 45W dan pengecasan wayarles 15W. Pengecasan penuh secara berwayar mengambil masa sekitar satu jam.

    Untuk hubungannya pula, ia menyokong rangkaian 5G dan Wi-Fi 6E. Malangnya, ia tidak mempunyai Wi-Fi 7 yang ditawarkan dalam Galaxy S24 Ultra. Ia juga menyokong hubungan Bluetooth 5.3 dan NFC, namun ia tidak mempunyai pemancar infra-merah (IR blaster)

    Pengecasan daripada 1% kepada 99% dengan kadar 45W mengambil masa 57 minit (12:00 hingga 12:57 tengah hari)

    Kini saya ingin beralih kepada prestasi kameranya pula. Daripada segi spesifikasi kamera dan fungsi fotografi, ia tidak mempunyai banyak perbezaan dengan Galaxy S23+. Walaupun dengan teknologi tahun lepas, Galaxy S24+ masih boleh menghasilkan gambar yang sangat cantik dalam situasi terang dan gelap, dengan penghasilan warna yang seimbang dan jurang dinamik yang tinggi. Ia tidak mempunyai warna ‘pekat’ yang sinonim dengan telefon Samsung pada beberapa tahun lalu.

    Gambar ultra-lebar tidak mempunyai efek herotan (distortion) yang melampau dan masih mengekalkan kualiti ketajaman yang tinggi. Untuk zum pula, Galaxy S24+ hanya boleh zum optikal sejauh 3x dan zum digital 30x. Ia tidak menyokong zum sehingga 100x seperti Galaxy S24 Ultra, namun kita semua tahu bahawa gambar selepas zum 10x nampak tidak begitu cantik.

    Gambar pada waktu malam juga nampak cantik, walaupun anda tidak mengaktifkan Night Mode. Apabila anda mengaktifkannya, pemprosesannya nampak kemas dengan jumlah noise yang rendah.

    Saya juga tidak mempunyai banyak rungutan untuk kamera swafoto, kerana kualiti yang dihasilkan nampak jelas, dengan jurang dinamik yang luas dan warna seimbang. Jika anda lebih gemar mengambil gambar swafoto dalam mod potret, pemisahan antara subjek dengan latar belakang nampak kemas.

    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama, zum 3x
    Gambar kamera ultra-lebar
    Gambar kamera ultra-lebar
    Gambar kamera ultra-lebar
    Gambar waktu malam
    Gambar ultra-lebar waktu malam
    Gambar swafoto mod potret
    Gambar mod potret
    Gambar swafoto waktu malam

    Untuk rakaman video, Galaxy S24+ boleh merakam sehingga resolusi 8K pada kadar 30fps. Penstabilannya nampak sangat kukuh walaupun pada tetapan lalai (default) dan anda boleh tingkatkan lagi penstabilannya dengan mod Super Steady.

    Satu ciri yang menarik adalah Galaxy AI boleh hasilkan video gerak perlahan (slow motion) yang lancar walaupun video tersebut dirakam dengan kadar bingkai 30fps. Hasilnya nampak sangat memuaskan, walaupun terdapat beberapa artefak yang pelik di dalamnya.

    Kesimpulan – Varian yang lebih sesuai untuk kebanyakan orang

    Secara keseluruhan, Samsung Galaxy S24+ menyediakan pakej yang lengkap untuk kebanyakan pengguna. Saya pasti lebih ramai pengguna di luar sana yang tidak begitu kisah tentang stilus yang ditawarkan dalam Galaxy S24 Ultra, jadi Galaxy S24+ adalah pilihan yang lebih sesuai.

    Malah, fungsi-fungsi Galaxy AI sangat meningkatkan pengalaman pengguna harian saya. Saya sedar bahawa ini masih lagi produk generasi pertama dan masih banyak ruang yang boleh diperbaiki pada masa hadapan, namun produk sedia ada ini pun sudah cukup bagus jika anda ingin menjinakkan diri dengan fungsi berdasarkan AI.

    Lebih menarik, Galaxy S24+ akan menerima kemas kini Android selama tujuh tahun, jadi walaupun harganya agak mahal, anda boleh anggapnya sebagai pelaburan jangka panjang kerana telefon ini boleh kekal relevan dengan fungsi terkini sehingga 2031.

    Jika anda inginkan fungsi yang sama dengan reka bentuk lebih kecil, Samsung Galaxy S24 (RM4,099) standard mempunyai skrin yang berukuran 6.2 inci namun dengan kapasiti bateri yang lebih kecil iaitu 4,000mAh sahaja. Alternatif yang sesuai termasuklah Xiaomi 13 Ultra (RM5,199)  jika anda inginkan prestasi kamera yang lebih tinggi dengan sensor 1 inci, atau HONOR Magic5 Pro (RM4,299) jika anda ingin nikmati ciri-ciri telefon andalan dengan harga yang lebih rendah.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    realme 12x 5G akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    realme Malaysia bakal melancarkan varian terbaru dalam siri telefon pintar kelas pertengahan realme 12 iaitu realme 12x 5G. realme mengatakan ia adalah...

    MediaTek Dimensity 6300 diumum, cipset 5G untuk telefon pintar segmen pertengahan

    MediaTek menawarkan pasaran telefon segmen pertengahan dengan cipset Dimensity 6300 5G terbaharu. Cip ini dihasilkan dengan proses 6nm dan menawarkan peningkatan sederhana...

    vivo V30e dengan SD 6 Gen 1, skrin 120Hz bakal dilancarkan pada 2 Mei...

    Mengikut pengumuman rasmi, vivo akan memperkenalkan vivo V30e di India pada 2 Mei 2024. Peranti ini dijangka menggunakan paparan AMOLED melengkung 6.78...

    Blackview Hero 10 mungkin jadi telefon boleh lipat paling murah di dunia

    nubia Flip 5G yang dilancarkan awal bulan ini dengan harga RM2,499 merupakan telefon boleh lipat paling murah dalam pasaran. Namun, itu tidak...

    Maybank bakal gantikan pemberitahuan SMS kepada pop timbul aplikasi bermula 22 April ini

    Maybank mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan dasar pemberitahuan baharu mulai 22 April 2024 dan akan menggunakan pemberitahuan pop timbul aplikasi (APP) untuk...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X