Setiap tahun, model baharu Samsung Galaxy S Ultra akan tiba dan ia menawarkan fungsi dan spesifikasi yang mengalahkan telefon lain dalam kategori andalan (flagship) dengan prestasi yang tinggi. Sungguh pun begitu, dengan rekaan yang mengikuti trend terkini (seperti bahagian sisi yang rata dan bucu yang membulat), cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite X dan lebih banyak fungsi Galaxy AI, adakah Samsung Galaxy S25 Ultra berbaloi dengan harganya yang setinggi RM5,999? Ayuh baca ulasan yang dikarang oleh penulis TechNave Bahasa Inggeris ini untuk mengetahuinya.
Rekaan – Seperti generasi sebelumnya, dengan sedikit perubahan
Selepas bertahun-tahun tidak menuruti trend bahagian sisi yang rata dan bucu membulat, pada tahun ini Samsung Galaxy S25 Ultra akhirnya mengikuti trend ini. Seperti telefon andalan lain yang dilancar pada 2025, ia mempunyai bahagian sisi yang rata yang dibuat daripada titanium dan bahagian bucu yang agak membulat.




Buat para pengguna Samsung Galaxy S Ultra yang lebih lama seperti Galaxy S24 Ultra atau Galaxy S23 Ultra, anda akan perasan bahawa Galaxy S25 lebih ringan sedikit, dengan berat sekitar 218 gram. Tanpa sebarang sarung, telefon ini juga rasa lebih nipis, membuatkannya sesuai digunakan dengan satu tangan.
Bahagian sisinya adalah sangat selesa dipegang. Ia menempatkan butang kuasa yang standard dan butang kawalan volume di bahagian tepi, serta pembesar suara, USB Type-C, stilus S pen yang disimpan di dalamnya serta ruang kad SIM di bahagian bawah.





Bahagian belakangnya rata sahaja dengan permukaan matte dan kalis cap jari. Di hadapan, ia mempunyai skrin 6.9 inci yang dibina dengan kaca Gorilla Armor 2 dan salutan anti-silau, serta mempunyai lubang punch hole yang menempatkan kamera swafoto 12MP. Seperti telefon andalan 2025 yang lain, skrin ini mempunyai sempadan bezel yang ultra-nipis.
Bonggol kamera di belakang mempunyai rekaan “terapung” atau lensa yang timbul sedikit daripada permukaan telefon. Ini termasuklah kamera utama 200MP dengan zum optikal 2x, kamera ultra-lebar 50MP, kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 5x dan kamera telefoto 10MP dengan zum optikal 3x. Secara jujurnya, hanya susunan kamera dan logo Samsung di belakang sahaja yang membuatkan Galaxy S25 mudah dikenali dengan sekilas pandang.
Unit ulasan yang dipinjamkan kepada kami mempunyai warna Titanium Silverblue, dengan warna besi kebiruan yang pudar. Terdapat juga pilihan warna hitam, Titanium Whitesilver dan kelabu, manakala warna-warna terpilih seperti Titanium Jetblack, Jadegreen dan Pinkgold hanya boleh didapati dalam talian.
Stilus S Pen yang baharu masih nampak sama seperti generasi sebelumnya, dengan bau ozon yang boleh dihidu apabila ia dikeluarkan dan kini hanya boleh digunakan pada Samsung Galaxy S25 Ultra.
Spesifikasi – Lebih banyak perubahan pada perisian berbanding perkakasan
Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Samsung Galaxy S25 Ultra:
- Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite
- 12GB RAM | storan 256GB / 512GB / 1TB
- Skrin 6.9 inci Dynamic LTPO AMOLED 2X (QHD+ 1440 x 3120s, kadar segar semula 1-120Hz, kecerahan puncak 2,600 nits, Corning Gorilla Armor 2)
- Empat kamera belakang: 200MP (utama), 50MP (ultra-lebar), 10MP (3x telefoto), 50MP (5x telefoto periskop) | Kamera hadapan: 12MP
- Bateri 5,000mAh (pengecasan 45W berwayar, 15W wayarles)
- Ciri-ciri lain: Sensor pengimbas cap jari bawah skrin, rating kalis air IP68, rakaman video 8K@30fps, HDR10+, stilus S Pen, rangka titanium (gred 5)
- Sokongan: 5G, NFC, Bluetooth 5.4, up to WiFi 7
- Android 15, One UI 7
- Ukuran: 162.8 x 77.6 x 8.2 mm | 218g
- Hubungan: Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4, UWB

Galaxy S25 Ultra mempunyai saiz skrin yang lebih besar sebelum ini, dengan Dynamic LTPO AMOLED 2X berukuran 6.9 inci, resolusi Quad HD+ dan kadar segar semula yang boleh berubah antara 1Hz hingga 120Hz. Kecerahannya boleh cecah setinggi 2,600 nits, membuatkannya mudah dilihat walaupun dalam situasi yang terang. Selapis Corning Gorilla Glass Armor 2 menyediakan ketahanan yang lebih tinggi, manakala sempadan bezel yang nipis membuatkan skrin ini rasa lebih besar berbanding model tahun lepas.
Untuk spesifikasi dalaman, telefon ini menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite for Galaxy yang menyediakan lonjakan prestasi yang jauh lebih tinggi berbanding Snapdragon generasi sebelumnya. Cipset ini telah diubahsuai secara overclock dan kini terdapat kamar wap yang lebih besar untuk menyejukkan haba yang terhasil daripada prestasi lebih tinggi ini. Ia didatangkan sekali dengan RAM 12GB dan pilihan storan 256B, 512GB atau 1TB.


Seperti sebelum ini, kamera belakang terdiri daripada kamera utama 200MP, kamera ultra-lebar 50MP, kamera telefoto 10MP dengan zum optikal 3x dan kamera telefoto periskop 50MP dengan zum optikal 5x. Kamera hadapan mempunyai sensor 12MP untuk swafoto dan panggilan video. Satu-satunya ciri kamera baharu adalah AI ProVisual Engine yang saya akan ulas lebih lanjut dalam seksyen Prestasi.
Bateri 5,000mAh menyediakan tenaga untuk telefon ini, dan ia menyokong kadar pengecasan pantas 45W, pengecasan wayarles 15W dan pengecasn wayarles berbalik 4.5W. Ia menggunakan sistem operasi Android 15 dengan antara muka One UI 7 yang menyokong pelbagai fungsi, termasuklah Wi-Fi 7 dan Bluetooth 5.4, serta rating kalis air dan debu IP68.
Selain fungsi Galaxy AI sedia ada seperti Circle to Search, Sketch to Image, Chat Assist dan lain-lain, Samsung menambah pelbagai fungsi AI tambahan yang difokuskan pada rakaman video. Ini termasuklah rakaman video LOG untuk penggubahan warna (colour grading), Audio Eraser untuk membuang bunyi bising di sekeliling dan Auto Trim untuk menyunting video secara automatik dan hanya membiarkan detik-detik penting.



Ciri Galaxy AI yang paling jelas adalah Now Brief yang bertindak sebagai pembantu dan penjadual peribadi anda. Terdapat juga Now Bar yang membenarkan anda mengakses aplikasi aktif daripada skrin kunci (lock screen), seperti muzik dan lain-lain. Ia nampak mirip Dynamic Island pada iPhone, namun kedudukannya di bahagian bawah dan bukannya atas.
Salah satu daripada fungsi-fungsi baharu adalah anda boleh tekan lama (long-press) pada butang kuasa untuk bercakap terus kepada Google Gemini, walaupun aplikasi lain sedang dibuka. Ini membenarkan anda menyalin butiran daripada video YouTube dan tampal ke dalam Note, dan banyak lagi tugas lain.

Untuk fotografi, Samsung berkata AI Pro Visual Engine digunakan untuk memproses imej dan meningkatkan kualiti dalam mod gambar makro dan gambar zum. Anda juga boleh salin tetapan daripada foto yang diambil, kemudian gunakannya dalam seksyen Filter dalam aplikasi kamera atau anda boleh perhalusi lagi tetapan Filter tersebut. Terdapat juga fungsi Choose Best Face, yang… membolehkan anda pilih ekspresi muka terbaik untuk gambar, namun anda perlu aktifkan mod Motion Photo.
Selain Sketch to Image, Samsung kini membenarkan anda jana imej daripada arahan teks (text prompts). Walau bagaimanapun, anda hanya dihadkan pada enam gaya yang disediakan dalam Drawing Assist iaitu Watercolour, Illustration, Pop Art, Sketch, 3D Cartoon dan Oil Painting. Perlu diingati bahawa ia tidak boleh menjana gambar manusia, sama seperti Gemini sebelum ini.

Selain penambahan fungsi-fungsi AI baharu, Samsung mengambil keputusan untuk membuang hubungan Bluetooth yang terdapat pada S Pen. Ini bermaksud ia tidak boleh lagi digunakan sebagai butang kawalan jauh untuk kamera telefon ini.
Walaupun saya pernah menggunakan stilus sebagai alat kawalan jauh untuk kamera, saya jarang menggunakan fungsi kawalan jauh Air Commands selepas membuat ulasan untuk Galaxy S24 Ultra, jadi ketiadaan Air Commands pada Galaxy S25 Ultra bukanlah isu yang besar melainkan anda penggemar fungsi ini. Tambahan lagi, Samsung telah mengubah menu Air Commands kepada fungsi AI Select di mana anda boleh tukar sebarang imej yang dipilih kepada imej AI generatif, fail GIF atau lain-lain.


Prestasi – Lebih pantas, terlalu banyak fungsi Galaxy AI baru


Dalam penanda aras kami, Samsung Galaxy S25 Ultra kebanyakannya mengalahkan lain-lain telefon yang dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite, dengan markah 3DMark dan Geekbench yang tinggi. Game yang memerlukan prestasi tinggi seperti Genshin Impact boleh dimainkan dengan sangat lancar walaupun dalam tetapan grafik tertinggi, namun telefon akan jadi panas dengan lebih cepat berbanding sebelum ini. Saya tidak pernah mengalami isu terlalu panas, namun mungkin ada baiknya jika anda gunakan sarung untuk tidak memanaskan jari anda.
Mungkin kerana kehadiran AI yang lebih banyak pada Samsung Galaxy S25 Ultra, hayat baterinya telah ditingkatkan. Ia kini boleh bertahan lebih lama sekitar 2 hingga tiga jam berbanding model sebelumnya, walaupun dengan penggunaan berat selama dua hari. Sewaktu mengecas, ia mengambil masa sekitar sejam untuk cas penuh hingga 100% dengan pengecas yang mampu menyediakan kadar pengecasan sesuai. Malangnya, kami tidak boleh uji fungsi ini sepenuhnya kerana ia tidak disertakan bersama telefon.

Pembesar suaranya agak kuat, cukup lantang untuk memenuhi sebuah bilik tidur pada tahap kelantangan tertinggi, tanpa sebaran distortion atau bunyi statik. Walaupun demikian, saya rasa ia tidak sekuat model tahun lepas yang boleh jadi terlalu kuat pada tahap kelantangan tertinggi. Jelasnya, menonton filem dengan kecerahan puncak 2,600 nits adalah cantik dan terang, dengan butiran yang jelas.
Bercakap lebih banyak tentang fungsi Galaxy AI, saya berpendapat bahawa ia mempunyai jumlah yang terlalu banyak. Menu Galaxy AI dalam Tetapan (Settings) memang menjelaskan tugas yang ia boleh lakukan, namun ia tidak memaparkan kaedah untuk menggunakannya, jadi saya perlu lihat video demonstrasi dalam saluran YouTube Samsung, namun itu pun tidak meliputi semua kegunaan Galaxy AI.



Selain itu, saya perlu akui yang saya menggemari fungsi yang memfokuskan pada video seperti Audio Eraser dan LOG Video yang amat berguna, namun saya risau jika saya tidak akan gunakannya kerana saya lupa tentangnya. Saya merasakan ia pasti lebih bagus jika AI sendiri boleh mengenal pasti video yang terlibat dan beri cadangan untuk gunakan fungsi-fungsi AI baharu ini.
Sebagai contoh, jika saya menyunting atau merakam video dengan bunyi persekitaran yang bising, ini adalah waktu yang baik jika Galaxy AI muncul dan beri nasihat seperti “Bunyi bising dikesan, guna Audio Eraser?” atau sesuatu seperti itu. Atau fungsi Choose Better Face sepatutnya dihidupkan setiap masa, bukan hanya sewaktu Motion Mode diaktifkan, kerana pada bila-bila masa sahaja kita boleh terpejam mata atau membuat ekspresi muka yang aneh dalam gambar.
Fungsi Now Brief adalah langkah yang bagus dalam arahan ini kerana ia memang memberi cadangan kepada pengguna. Akan tetapi, ia hanyalah sebagus sejauh mana anda berikan maklumat kepadanya. Tambahan lagi, fungsi-fungsi lama seperti Generative Edit dalam Photo Gallery nampak seperti sudah dinaik taraf kerana ia kini berfungsi dengan lebih pantas dan pintar dalam memilih objek yang ingin dipadamkan.
Walaupun fungsi kawalan jauh S Pen tidak lagi ditawarkan, ia masih lagi boleh menulis dan melukis dengan responsif. Dengan fungsi Drawing Assist dan AI Select, anda kini boleh jana karya AI atau buat GIF sendiri dengan S Pen.


Untuk fotografi, Samsung Galaxy S25 Ultra boleh mengambil gambar yang bagus seperti model tahun lepas, dengan AI Pro Visual Engine yang boleh memberikan hasil yang memberangsangkan. Untuk gambar makro, kami biasanya perlu tukar kepada kamera ultra-lebar kemudian dekatkan telefon pada subjek, namun kini kami boleh mengambil gambar objek yang sangat kecil pada resolusi 12MP kemudian potong (crop) gambarnya dan kami masih boleh dapat butiran makro yang tajam.
Ia tidak berfungsi dengan baik pada setiap masa, jadi mungkin terdapat kaedah spesifik untuk menggunakannya. Mungkin lebih mudah jika terdapat mod makro atau panduan pintar yang memberi tips apabila anda cuba mengambil gambar dengan jarak dekat.
Selain itu, gambar-gambar zum seperti zum 100x untuk mengambil gambar bulan, kami perlu ambil beberapa gambar untuk mendapatkan butiran yang benar-benar jelas. Mungkin kemas kini pada masa hadapan mungkin akan menyediakan pemprosesan yang lebih baik. Anda boleh lihat beberapa contoh gambar di bawah:











Rakaman video dalam suasana malap nampak lebih jelas dan kurang noise berbanding model sebelumnya. Fungsi LOG Video juga membantu dalam penggubahan warna automatik, terutamanya jika anda ingin gabungkan beberapa klip ke dalam satu video panjang. Fungsi Audio Eraser boleh memberikan hasil yang bagus dan versatil, membenarkan anda buang bunyi bising di latar belakang sewaktu merakam video atau sewaktu menyuntingnya, dan ia berfungsi dengan lebih baik berbanding beberapa perisian suntingan video profesional. Sungguh pun begitu, Auto Trim tidak berfungsi dengan begitu baik kerana ia sekadar membuang kebanyakan B-roll dan juga membuang sesetengah detik yang kami suka, jadi fungsi ini mungkin jarang diguna berbanding fungsi Galaxy AI lain.
Kesimpulan – Satu lagi pilihan untuk telefon Samsung Galaxy AI terbaru
Secara keseluruhannya, Samsung Galaxy S25 Ultra adalah telefon andalan yang padu dengan pelbagai fungsi AI baharu, namun hanya terdapat penambahbaikan kecil sahaja pada aspek perkakasannya. Atas sebab itu, ini adalah telefon yang sukar dicadangkan kepada mereka yang menggunakan Galaxy S24 Ultra. Kami juga menjangkakan pembaharuan Galaxy AI ini akan turut diberikan kepada semua telefon dalam siri Galaxy S24 dan Galaxy S23.

Sugguh pun begitu, jika anda inginkan Galaxy S Ultra yang lebih ringan, nipis dan hayat bateri lebih lama, Galaxy S25 Ultra adalah pilihan yang sesuai. Ia mungkin kini nampak lebih serupa dengan kebanyakan telefon andalan jenama lain, dengan bahagian sisi yang rata dan bucu yang membulat, namun ia kini lebih mudah dibawa dan diguna berbanding telefon-telefon Galaxy S Ultra dan Galaxy Note yang lain.
Jika anda menggunakan Samsung Galaxy S23 dan ke bawah, jumlah naik taraf yang ditawarkan dalam telefon ini seperti kamera, rekaan dan perkakasa yang lebih pantas akan membuatkan ini naik taraf yang berbaloi. Beberapa fungsi Galaxy AI yang bagus seperti Audio Eraser dan LOG Video membuatkan telefon ini lebih sesuai berfungsi sebagai telefon videografi dan mungkin akan melakukan perkara yang sama kepada Galaxy S24 Ultra apabila ia menerima kemas kini terkini kelak.
Tentang Galaxy AI, kami menjangkakan lebih banyak fungsi baharu untuk datang pada bulan-bulan akan datang, mungkin seperti Generative Fill yang boleh meluaskan gambar, fungsi Green Screen atau penukar latar belakang untuk video, atau mod zum dan makro yang lebih dipandu oleh AI. Buat masa ini, rasanya seperti Samsung masih lagi bereksperimen dengan pengalaman keseluruhan Galaxy AI, jadi kami berharap untuk mendapatkan pengalaman Galaxy AI yang lebih lancar dalam kemas kini akan datang. Dalam keadannya pada waktu ini, besar kemungkinan kebanyakan pengguna tidak akan menggunakan fungsi Galaxy AI atau sedar tentang kewujudannya.

Walaupun kami menghargai fungsi fotografi makro dan zum yang lebih bagus dengan AI ProScaler Engine, ia masih mempunyai ruang untuk diperbaiki. Kami menggemari hasil yang dikeluarkan apabila ia berfungsi dengan baik, namun lebih bagus jika ia berfungsi pada setiap masa dan bukannya kadang-kala seperti yang kami alami.
Tambahan lagi, ketiadaan mod spesifik seperti Light Painting dan mod Makro yang ditawarkan dalam siri HONOR Magic, atau Pan Shot dan Long Exposure yang ditawarkan dalam siri Google Pixel 9, membuatkan Galaxy S25 Ultra agak kurang mesra untuk mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan fotografi. Mungkin Samsung boleh sertakannya dalam kemas kini akan datang dan bukannya sebagai aplikasi tambahan seperti Expert RAW?

Ketiadaan Bluetooth dalam Samsung S Pen pada kali ini mungkin tidak akan dirindui oleh pengguna, melainkan anda kerap menggunakan S Pen sebagai alat kawalan jauh. Mujur sekali, S Pen dan Samsung Dex masih menjadikan Galaxy S25 Ultra telefon produktiviti yang mantap. Atas sebab ini, pesaing utama kepada Galaxy S25 Ultra pastinya adalah Galaxy S24 Ultra (kerana S Pen-nya masih mempunyai Bluetooth, spesifikasi yang hampir serupa dan Galaxy AI) yang kini dijual pada harga lebih murah.
Apakah pendapat anda? Adakah terdapat telefon bukan Samsung yang boleh menyaingi Samsung Galaxy S25 Ultra? Adakah anda berminat untuk menaik taraf kepadanya? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
[Diterjemahkan daripada TechNave]