fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy Tab S10 FE+ – Tablet serba boleh dengan sentuhan AI dan bateri “power”

    Samsung sekali lagi hadir dengan tablet dalam siri Fan Edition yang berbaloi untuk pengguna arus perdana. Dengan pelancaran Samsung Galaxy Tab S10 FE+, jenama Korea Selatan ini menyasarkan pengguna yang inginkan kombinasi hiburan, produktiviti dan ketahanan tanpa perlu membayar harga premium seperti Galaxy Tab S10 Ultra.

    Tablet ini hadir dalam pakej yang lebih seimbang dengan skrin besar, bateri tahan lama, pengalaman stylus S Pen yang hampir setanding dengan model lebih mahal serta ciri-ciri kecerdasan buatan (AI) yang semakin relevan untuk tugasan harian. Jadi, adakah Galaxy Tab S10 FE+ layak digelar tablet paling praktikal Samsung tahun ini? Ikuti ulasan mendalam ini selepas lebih 2 minggu saya menggunakannya sebagai peranti harian untuk kerja, hiburan dan produktiviti.

    Pakej yang anda akan dapat jika membelinya
    Butang kuasa termasuk pengimbas cap jari
    Slot kad MikroSD

    Daripada segi rekaan, tablet ini kelihatan cukup kemas dan profesional. Dengan kerangka aluminium di belakang dan sisi serta permukaan kaca di hadapan, tablet ini memberi rasa premium pada sentuhan. Beratnya sekitar 664 gram menjadikannya sedikit berat berbanding tablet bersaiz 11 inci tetapi dengan skrin sebesar 13.1 inci, berat ini adalah munasabah dan masih selesa untuk penggunaan atas riba atau stand.

    Ketebalannya hanya 6mm yang menjadikannya antara tablet nipis di pasaran dengan struktur tahan lasak. Tambahan, ia juga mempunyai pensijilan IP68 yang membolehkan tablet ini bertahan dalam air sehingga 1.5 meter selama 30 minit. Ia merupakan sesuatu yang jarang ditawarkan pada tablet lain, bahkan dalam kategori premium sekalipun. Samsung turut menyertakan sokongan stylus S Pen dalam kotak. Jadi, anda tidak perlu beli berasingan seperti iPad atau tablet lain.

    Bahagian hadapan tablet
    Bahagian belakang dengan kemasan matte

    Pengalaman menggunakan S Pen sangat responsif dan tepat dengan tahap latensi rendah serta tekanan berbeza. Saya menggunakan S Pen untuk melakar, menanda PDF, mencatat nota harian dan juga melakukan cut-out imej menggunakan fungsi Circle to Search. Sokongan magnetik untuk pengecasan S Pen melalui sambungan khas di sisi sangat memudahkan pengguna dan ia kekal melekat dengan kukuh semasa dibawa.

    Skrin tablet ini menggunakan panel IPS LCD bersaiz 13.1 inci dengan resolusi 1800 x 2880 piksel dalam nisbah 16:10 dan kadar segar semula 90Hz. Walaupun bukan AMOLED, paparan ini tetap memberi kecerahan dan kejelasan yang sangat baik dengan ketumpatan piksel sekitar 259 ppi. Saya mendapati pengalaman menonton filem HDR dan menatal laman web sangat lancar serta memuaskan dengan warna terang dan butiran yang masih tajam.

    Tajam, terang dan puas!
    Bekerja sambil melayan filem

    Kelebihan saiz besar skrin ini adalah jelas apabila membuka dua atau tiga aplikasi serentak contohnya seperti menonton YouTube sambil mencatat nota dan membaca dokumen dalam satu masa. Tablet ini dikuasakan cip Exynos 1580 dengan binaan 4nm dan digabungkan dengan GPU Xclipse 540 yang dioptimumkan untuk grafik dan pemprosesan AI.

    Prestasi harian adalah memuaskan untuk tugasan seperti suntingan dokumen, melakar menggunakan stilus, membuat panggilan video dan menyemak e-mel. Saya juga mencuba beberapa permainan seperti Genshin Impact dan Asphalt Legend walaupun menggunakan tetapan grafik sederhana, namun prestasi keseluruhan stabil pada kadar bingkai yang konsisten. Walaupun bukan tablet untuk gaming tegar, ia masih boleh memainkan banyak game dengan memuaskan jika disesuaikan dengan tetapan grafik sederhana.

    Game Asphalt Legend
    Game Genshin Impact

    Unit yang saya uji ialah versi 256GB storan dalaman dengan RAM 12GB dan terdapat juga varian 128GB dengan RAM 8GB. Apa yang lebih menarik ialah Samsung masih mengekalkan sokongan kad microSD sehingga 1TB melalui slot khusus. Satu ciri yang amat dihargai oleh pengguna profesional yang kerap menyimpan fail bersaiz besar seperti rakaman video, gambar RAW atau dokumen kerja. Untuk mereka yang sentiasa bergerak, model dengan sokongan selular turut tersedia lengkap dengan nano-SIM dan eSIM serta sokongan 5G.

    Samsung telah melengkapkan tablet ini dengan Android 15 dan antaramuka One UI 7 yang lebih matang dan mesra tablet berbanding versi sebelumnya. Pengalaman penggunaan dalam mod tablet amat menyenangkan dengan sokongan multi-tugas sebenar. Contohnya, saya boleh membuka tiga aplikasi secara serentak dalam mod skrin belah dan tetingkap apung. Selain itu, saya boleh aktifkan mod DeX untuk menjadikan paparan antaramuka seperti desktop Windows, sesuai apabila tablet disambung ke papan kekunci dan tetikus.

    Antara muka pengguna One UI versi 7.0 yang bersih dan ringkas
    3 dalam 1 skrin
    Ciri pintar agak standard untuk AI sekarang

    Fungsi AI juga diperluas dalam peranti ini termasuk Note Assist yang boleh merumuskan kandungan nota panjang, AI Keyboard yang boleh menukar nada ayat serta menterjemah secara langsung dan Transcript Assist untuk menukar rakaman audio kepada teks yang termasuk dalam Bahasa Melayu. Saya menggunakan AI Note Assist untuk meringkaskan artikel dan pengalaman ini mempercepatkan proses penulisan saya dalam tugasan kerja.

    Fungsi Circle to Search yang boleh mengenal pasti objek atau teks dalam skrin juga amat memudahkan untuk carian pantas tanpa keluar aplikasi. Untuk hiburan dan audio, terdapat empat pembesar suara stereo yang ditala oleh AKG serta sokongan Dolby Atmos. Kualiti audio yang dihasilkan adalah seimbang, kuat dan jelas memberikan pengalaman menyeronokkan untuk menonton filem, bermain game mahupun mendengar muzik.

    Bulat untuk…
    Ya! Cari apa-apa saja 🙂
    Pembesar suara di bahagian kiri dan kanan yang ditala AKG sangat syahdu

    Namun, seperti kebanyakan peranti moden, tiada bicu audio 3.5mm disediakan, jadi penggunaan fon telinga Bluetooth adalah pilihan utama. Kamera utama 13MP di belakang mampu merakam video sehingga 4K 30fps dan cukup baik untuk tujuan seperti mengimbas dokumen, menangkap nota atau membuat rakaman pembentangan. Kamera hadapan pula menggunakan sensor 12MP ultralebar dan juga mampu merakam 4K.

    Saya mendapati sudut pandang yang luas sangat membantu semasa panggilan Google Meet terutama dalam mod landskap. Kekuatan utama tablet ini pastinya terletak pada kapasiti baterinya yang besar iaitu 10,090mAh. Saya memperoleh purata masa skrin hidup sekitar 12 ke 14 jam bergantung kepada beban kerja harian. Jika hanya digunakan untuk membaca, menonton video atau mencatat nota, bateri boleh bertahan hampir dua hari.

    Boleh sampai 3 hari. Tapi kebiasaannya saya akan caj pada hari kedua penggunaan
    Kamera zum sampai 8x

    Tablet ini menyokong pengecasan pantas 45W melalui USB-C dan menggunakan pengecas rasmi Samsung, ia boleh dicas penuh dalam masa sekitar 90 minit. Pengecasan juga menyokong QC 2.0, menjadikannya fleksibel jika anda menggunakan pengecas pihak ketiga yang berkeupayaan serupa. Sambungan Wi-Fi adalah pantas dan stabil melalui sokongan Wi-Fi 6E dengan sokongan Bluetooth 5.3. Walaupun saya menggunakan model Wi-Fi, tetapi model selular menawarkan syokong sistem penentududukan lengkap termasuk GPS, Galileo, GLONASS, BDS dan QZSS.

    Berbanding dengan pesaing seperti OPPO Pad 3, Xiaomi Pad 6 Pro, HUAWEI MatePad 11.5s atau iPad Gen-10, Samsung Galaxy Tab S10 FE+ menonjol dengan kombinasi skrin besar, stilus terbina, sokongan AI produktiviti serta ketahanan bateri yang sangat baik. Ciri seperti IP68, microSD dan stilus percuma meletakkan nilai tambah yang sangat ketara.

    Kamera standard pada cahaya bilik
    Pemandangan luar
    Swafoto satu kali!

    Secara keseluruhannya, Galaxy Tab S10 FE+ ialah sebuah tablet serba boleh yang mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai gaya hidup sama ada anda seorang pelajar, pereka grafik, profesional ataupun pengguna kasual yang mahukan tablet untuk hiburan dan panggilan video. Jika anda sedang mencari tablet dengan skrin besar, produktiviti AI dan ketahanan jangka panjang tanpa perlu belanja seperti andalan, ini adalah pilihan terbaik Samsung pada tahun 2025.

    Spesifikasi penuh Samsung Galaxy Tab S10 FE+:

    • Skrin: 13.1 inci IPS LCD, 1800 x 2880, 90Hz
    • Pemproses: Exynos 1580 (4nm)
    • CPU: 1×2.9GHz Cortex-A720, 3×2.6GHz Cortex-A720, 4×1.9GHz Cortex-A520
    • GPU: Xclipse 540
    • RAM dan storan: 8/128GB atau 12/256GB
    • Slot kad MikroSD hingga 1TB
    • Kamera belakang: 13MP f/2.0, rakaman 4K@30fps
    • Kamera hadapan: 12MP ultralebar, rakaman 4K@30fps
    • Audio: 4 pembesar stereo AKG, Dolby Atmos
    • Bateri 10,090mAh, pengecasan 45W, QC2.0
    • Sistem Operasi Android 15 dengan One UI 7
    • Berat dan ukuran: 664g, 300.6 x 194.7 x 6 mm
    • Sambungan: Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3, USB-C, NFC dan 5G (model selular)
    • Lain-lain: IP68, sokongan S Pen, Circle to Search dan DeX mode

    Kelebihan: S Pen diberi dalam kotak, skrin besar yang sesuai untuk multitugas, bateri tahan lama, fungsi AI bantu produktiviti, ada mod DeX, storan boleh ditambah dengan microSD

    Kekurangan: Paparan LCD bukan AMOLED, agak berat untuk guna dengan satu tangan, tiada pengecas dalam kotak, prestasi gaming tidak sekuat cip kelas andalan

    Kesimpulan: Tablet seimbang untuk kerja, belajar dan hiburan harian. Sesuai ganti komputer riba ringan bagi pengguna produktif

     
    10 top hit harian

    Artikel Terkini

    Ulasan Samsung Galaxy Tab S10 FE+ – Tablet serba boleh dengan sentuhan AI dan...

    Samsung sekali lagi hadir dengan tablet dalam siri Fan Edition yang berbaloi untuk pengguna arus perdana. Dengan pelancaran Samsung Galaxy Tab S10...

    AI semakin pintar, tapi kita semakin lemah? Ancaman senyap dalam era generatif

    Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif kini semakin meluas daripada chatbot yang menulis emel hinggalah sistem yang mampu menghasilkan imej dan video...

    HarmonyOS 6 tampil dengan sistem AI baharu, beta pembangun kini tersedia

    HUAWEI secara rasmi melancarkan HarmonyOS 6 pada Persidangan Pembangun baru-baru ini. Pelancaran disampaikan sendiri oleh Pengarah Eksekutif, Richard Yu, yang memperkenalkan sistem...

    Meta lancar Oakley Meta HSTN – Kacamata pintar dengan rakaman 3K, bateri 8 Jam...

    Meta secara rasmi melancarkan kacamata pintar terbaharu dengan Oakley Meta HSTN (disebut “HOW-stuhn”), sebagai lanjutan kepada Ray-Ban Meta. Menariknya kali ini adalah...

    Siri OPPO Reno14 bakal dilancar di Malaysia 1 Julai ini, tempahan kini dibuka

    OPPO Malaysia bakal melancarkan siri telefon pintar OPPO Reno14 terbaharu secara rasmi pada 1 Julai 2025 ini. Ia merangkumi tiga model utama...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured