fbpx
More

    Ulasan Sony Xperia 5 II – Telefon “flagship” Sony yang lebih praktikal

    Pada 2020, Sony telah melancarkan sebuah telefon pintar andalan (flagship) yang sangat canggih iaitu Xperia 1 II. Lengkap dengan skrin 4K HDR10+, fungsi fotografi mirip kamera sebenar dan cipset Snapdragon 865, ia mampu untuk bersaing dengan pelbagai jenama telefon andalan dalam pasaran.

    Walau bagaimanapun, harganya yang mahal iaitu RM4,999 membuatkan ia sukar untuk dibeli oleh kebanyakan pengguna telefon pintar. Selain itu, tarikh penjualannya pada bulan Oktober 2020 yang sangat jauh daripada pengumumannya pada bulan Februari, membuatkan ramai pelanggan hilang minat terhadap Xperia 1 II.

    Oleh yang demikian, saya berpendapat bahawa Sony Xperia 5 II merupakan telefon andalan yang lebih masuk akal berbanding abangnya kerana ia masih dilengkapi majoriti ciri-ciri Xperia 1 II namun dijual pada harga lebih murah iaitu RM3,999. Untuk mengetahui mutu penggunaan telefon ini, ayuh baca ulasan kami di bawah.

    Rekaan – Licin betul

    Perkara pertama yang anda akan lihat pada Sony Xperia 5 II adalah pada reka bentuknya yang agak lonjong berbanding kebanyakan telefon lain. Ini adalah kerana Xperia 5 II mempunyai nisbah aspek 21:9, sesuatu yang lazim dalam peranti Xperia dan berbeza dengan 20:9 yang biasanya dipraktikkan oleh jenama telefon. Skrin lonjong berukuran 6.1 inci ini bertujuan untuk memberikan pengalaman yang lebih sinematik sewaktu menonton video.

    Perkara kedua yang unik tentang Xperia 5 II adalah pada badannya yang sangat licin. Saya berpeluang untuk mengulas beberapa telefon andalan pada 2020 dan walaupun semua telefon tersebut mempunyai badan yang diperbuat daripada kaca licin, saya berpendapat Xperia 5 II adalah telefon yang paling licin untuk tahun tersebut.

    Saya perlu akui bahawa sepanjang dalam tempoh saya mencuba telefon licin ini, ia telah terjatuh beberapa kali kerana ia terlepas daripada genggaman (maafkan saya, Sony Malaysia!). Mujur, buatan kukuh yang terdiri daripada Gorilla Glass 6 dan rangka aluminium berjaya menahan impak jatuhan tersebut dan tidak meninggalkan sebarang kesan calar.

    Bahagian sisinya pula lebih melengkung (rounded) berbanding Xperia 1 II. Apabila digabungkan dengan badannya yang sangat licin, membuatkan telefon ini sukar dipegang di bahagian sisi untuk mengambil gambar. Anda mungkin ingin memasangkan sebuah sarung (casing) yang kesat agar telefon ini lebih mudah dipegang, namun Sony tidak menyertakan sebarang sarung di dalam kotak Xperia 5 II. Oleh itu, saya amat mencadangkan anda untuk membeli sarung rasmi Sony atau dari pihak ketiga untuk memelihara badan telefon ini.

    Selain itu, Xperia 5 II turut menawarkan susunan butang dan port yang agak unik untuk telefon kelas andalan. Di bahagian kiri, ia menampilkan ruang dwi-kad SIM yang boleh ditarik dengan jari sahaja dan tidak memerlukan sebarang jarum untuk membukanya. Di bahagian atas, Xperia 5 II menawarkan bicu audio 3.5mm, sesuatu yang semakin pupus di kalangan peranti andalan jenama lain atas alasan untuk meningkatkan tahap kalis air. Sungguh pun begitu, Sony masih mampu mengekalkan rating kalis air IP65/68 untuk telefon ini. 

    Di bahagian belakang, Xperia 5 II mempunyai bonggol kamera yang dihuni tiga kanta, namun bonggol tersebut tidaklah terlalu tebal. Saya rasa ia tidak akan tersangkut pada kain seluar jika anda ingin memasukkannya ke dalam poket. Warna hitam pada bonggol kamera ini nampak sebati dengan Xperia 5 II hitam yang kami dapat, namun untuk warna lain iaitu biru dan merah, warna hitam pada bonggol kamera itu mungkin akan nampak janggal sedikit.

    Spesifikasi – Hampir sama macam Xperia 1 II

    Sony Xperia 5 II menampilkan spesifikasi yang boleh dijangkakan untuk telefon andalan yang dilancar pada 2020. Jika dibandingkan dengan Xperia 1 II pula, telefon ini tidak mempunyai banyak perbezaan. Berikut adalah senarai spesifikasi penuh untuk Xperia 5 II:

    • Cipset Snapdragon 865
    • Skrin OLED HDR Full HD+ (2520×1080) 120Hz 6.1 inci, dengan nisbah aspek 21:9 dan nisbah skrin-ke-badan 80.9%
    • RAM 8GB
    • Storan dalaman 256GB, boleh dibesarkan sehingga 1TB dengan microSD
    • Kamera utama 12MP + kamera telefoto 12MP + kamera ultra-lebar 12MP
    • Kamera swafoto 8MP
    • Bateri 4,000mAh
    • Pengecasan pantas 18W (pengecas disertakan dalam kotak)
    • Android 10 (pada waktu artikel ditulis, ia sudah mendapat kemas kini Android 11)
    • Pembesar suara stereo Dolby Atmos
    • Ruang dwi-kad SIM yang boleh ditarik dengan jari
    • Pengimbas cap jari di sisi, butang shutter kamera dan Google Assistant
    • Bicu audio 3.5mm, port USB-C

    Skrin OLED yang terdapat pada Xperia 5 II adalah sangat cantik dan warna yang dihasilkan agak jelas, namun keterangannya (brightness) tidak cukup tinggi untuk digunakan di bawah matahari terik. Selain itu, anda mungkin hairan dengan nisbah skrin-ke-badan yang agak rendah pada 80.9% sahaja, berbanding kebanyakan telefon andalan yang sudah pun mencapai sehingga 90%. Ini telefon 2020 atau 2015?

    Ini adalah kerana skrin Xperia 5 II tidak mempunyai sebarang takuk (notch) atau lubang (punch-hole) untuk menempatkan kamera swafoto, sebaliknya ia mempunyai bezel yang agak tebal di bahagian atas untuk kamera tersebut. Ini membuatkan skrin tidak memenuhi ruang hadapan Xperia 5 II tetapi sekurang-kurangnya tidak ada sebarang lubang pelik pada skrin yang akan menganggu anda sewaktu menonton video atau bermain game.

    Kamera swafoto berada di dalam bezel di bahagian atas skrin

    Xperia 5 II juga mempunyai susunan butang yang agak menarik di bahagian sisi kanan. Selain butang kawalan audio dan butang suis yang bertindak sebagai pengimbas cap jari, telefon ini mempunyai dua lagi butang iaitu butang shutter untuk kamera dan butang Google Assistant. Sebenarnya butang shutter adalah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan dalam telefon Xperia dan memandangkan telefon ini lengkap dengan pelbagai fungsi fotografi, membuatkan butang ini sesuatu yang amat praktikal. 

    Walau bagaimanapun, perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk butang Google Assistant kerana saya tidak pasti jika ramai orang menggunakan sistem pembantu suara itu. Samsung sendiri sudah membuang butang Bixby sejak Galaxy S20, jadi saya tidak pasti jika butang Google Assistant ini adalah sesuatu yang diminta oleh peminat Sony.

    Dari kiri: butang shutter, butang Google Assistant, butang kuasa+pengimbas cap jari, butang kawalan suara

    Prestasi – Pengalaman multimedia dan fotografi yang paling syok!

    Skrin OLED dalam Xperia 5 II menampilkan penghasilan warna yang sangat cantik walaupun dalam mod standard. Jika anda amat teliti tentang pewarnaan dalam video atau filem, anda boleh aktifkan Creator Mode untuk pemprosesan imej BT.2020 dan warna HDR 10-bit namun pada mata saya, ia tidak mempunyai banyak beza dengan mod standard. Walaupun ia tidak mempunyai resolusi 4K seperti dalam Xperia 1 II, ia digantikan dengan kadar segar semula 120Hz yang pastinya memberikan pengalaman penggunaan yang lebih lancar. Pada pendapat saya, kadar segar semula yang lebih pantas adalah lebih seronok berbanding resolusi tinggi.

    Sewaktu menonton filem pula, pembesar suara stereo yang terdapat pada Xperia 5 II adalah sangat menakjubkan. Bunyi yang dihasilkan oleh pembesar suara Dolby Atmos adalah amat kuat dan jelas. Telefon ini turut mempunyai fungsi Dynamic Bass yang akan menggetarkan sedikit badan telefon untuk menghasilkan bass yang lebih dalam. Sepanjang penggunaan telefon ini, saya tidak pernah mematikan Dynamic Bass kerana bunyi yang dihasilkan daripada mod ini adalah sangat jelas. Satu perkara yang mungkin tidak begitu digemari dalam mod Dynamic Bass ini adalah getarannya mungkin terlalu ketara buat sesetengah pengguna.

    Dengan cipset Snapdragon 865, Xperia 5 II juga boleh memainkan sebarang game dengan sempurna. Berikut adalah beberapa keputusan ujian penanda aras yang saya telah lakukan untuk telefon ini:

    Jika ujian penanda aras ini dibandingkan secara kasar, Xperia 5 II tidak setaraf dengan telefon Snapdragon 865 lain seperti OnePlus 8 atau Samsung Galaxy S20 Ultra. Sungguh pun begitu, telefon ini masih mampu mengoperasikan pelbagai aplikasi berat dengan cemerlang dan lebih daripada memadai untuk keperluan kebanyakan pengguna. Xperia 5 II mampu memainkan pelbagai game popular seperti COD Mobile, Genshin Impact dan PUBG Mobile dengan tetapan grafik tertinggi tanpa sebarang masalah.

    Jika anda ingin menjadikan Xperia 5 II sebagai peranti gaming mudah alih utama, perisian Game Enhancer menawarkan pelbagai fungsi khas untuk anda seperti mengutamakan prestasi atau hayat bateri, mematikan notifikasi mesej atau panggilan dan merakam sesi permainan. Walau bagaimanapun, ia tidak menunjukkan suhu CPU.

    Game Enhancer boleh diaktifkan pada bila-bila masa sewaktu bermain game

    Antara muka (interface) yang terdapat pada Xperia 5 II juga adalah sangat intuitif dan mesra pengguna kerana ia amat hampir dengan Android 10 asal (stock). Perisian remeh (bloatware) pun tidak dipasang dengan banyak dalam peranti ini, sesuatu yang pasti dihargai oleh ramai pengguna. Sewaktu artikel ini ditulis, telefon ini sudah pun mendapat kemas kini terbaru untuk Android 11.  

    Bateri 4,000mAh yang terdapat pada telefon ini adalah agak standard dan ia mampu untuk bertahan selama sehari. Terdapat Stamina Mode yang anda boleh aktifkan untuk memanjangkan lagi hayat bateri sehingga sekitar dua hari. Daripada segi pengecasan pula, pengecas 18W yang disertakan dalam kotak mampu mengecas penuh sekitar 1 jam 50 minit.

    Pengecasan dari 6% ke 99% mengambil masa 1 jam 52 minit

    Selain skrin dan pembesar suara yang mantap, satu lagi ciri utama pada Xperia 5 II adalah pada kameranya. Walaupun ia tidak mempunyai sensor kedalaman TOF 3D seperti yang terdapat pada abangnya atau kamera dengan megapiksel setinggi 108MP, kamera ini mampu mengambil gambar yang sangat cantik dalam pelbagai situasi. Ingat, bilangan megapiksel tidak menentukan kualiti gambar yang dihasilkan.

    Kamera ultra-lebar menghasilkan gambar yang sangat cantik tanpa efek herot (distortion) yang melampau. Untuk kamera telefoto pula, Xperia 5 II mampu zum sehingga 3x namun pada pendapat saya, mutu gambar jatuh dengan agak mendadak selepas 2x. Untuk kamera swafoto pula, kamera 8MP sekadar menghasilkan gambar yang memuaskan.

    Walau bagaimanapun, perkara yang paling menarik tentang fotografi Xperia 5 II bukanlah pada lensanya tetapi pada perisiannya iaitu Photo Pro. Perisian ini menawarkan antara muka dan kawalan fotografi manual mirip kamera sebenar seperti kelajuan shutter, tahap ISO, mod autofokus, mod metering cahaya, imbangan putih (white balance) serta banyak lagi. Ia juga menampilkan beberapa fungsi kamera sebenar seperti kadar 20 gambar sesaat, jejakan autofokus mata dan jejakan autofokus sentuh. Kawalan ini mungkin agak rumit buat pengguna biasa, namun saya pasti ia akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penggemar fotografi.

    Perkara yang sama juga boleh dikatakan untuk video. Xperia 5 II boleh merakam video 4K sehingga kadar 120fps dan semua kawalan aplikasi Cinema Pro menawarkan pelbagai fungsi profesional termasuklah profil warna, pemfokusan, kelajuan shutter dan kawalan ISO. Untuk video gerak perlahan (slow-motion), kamera ini akan merakam dalam kadar 120fps dan boleh diperlahankan ke 60fps, 30fps atau 25fps. Selain ciri-ciri ini, penstabilan lima paksi Optical SteadyShot berfungsi dengan mantap untuk menstabilkan video anda walaupun sewaktu berjalan kaki.

    Kesimpulan – Peranti multimedia yang sangat mengasyikkan

    Sony Xperia 5 II adalah telefon andalan yang sempurna jika anda inginkan pengalaman menonton filem yang menyeluruh, terutamanya dengan skrin OLED dan pembesar suara Dolby Dynamic Bass. Memanglah anda boleh lihat resolusi 4K yang lebih tinggi dalam Xperia 1 II, tetapi harga Xperia 5 II yang jauh lebih murah iaitu RM3,999 adalah jauh lebih praktikal. Lagipun perbezaan di antara 4K dengan 1080p pun tidak begitu ketara dalam skrin kecil.

    Pada pendapat saya, tidak banyak telefon lain yang menawarkan fungsi seperti Xperia 5 II. Jika anda inginkan telefon pintar andalan yang dikhaskan untuk gaming, saya syorkan ASUS ROG Phone 3 (RM3,799) atau Lenovo Legion Phone Duel (RM3,399). Untuk mencari harga Xperia 5 II yang termurah dan berhampiran dengan anda, boleh semak di sini atau aplikasi TechNave (iOS/Android).

    Beritahu kami di Facebook jika anda ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Apple mengalih keluar WhatsApp dan Thread daripada App Store di China

    Menurut Reuters, Apple melaporkan bahawa Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) meminta Apple untuk mengalih keluar aplikasi WhatsApp dan Threads daripada App Store...

    Nubia Neo 2 5G akan dilancar di Malaysia pada 22 April 2024

    ZTE Malaysia telah memberi petunjuk ketibaan telefon pintar gaming jarak pertengahan di halaman Facebook yang akan dilancarkan pada 22 April 2024. Telefon...

    Meta AI umum akan datang ke Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram kelak

    Meta AI yang dibina dengan Meta Llama 3 kini tersedia untuk beberapa negara di luar AS tetapi Malaysia masih belum menerimanya...

    HUAWEI nova 12i dilancar di Malaysia: SD 680, kamera 108MP dan storan 256GB pada...

    HUAWEI memperkenalkan HUAWEI nova 12i di seluruh negara, tambahan terbaru kepada siri nova dengan reka bentuk anggun. Ia menampilkan reka bentuk Cincin...

    Sony menukar polistirena kepada biopolimer biodegradasi dalam bungkusan untuk pelihara alam

    Sony merupakan syarikat pertama dalam industri yang menghapuskan penggunaan bahan kusyen buih polistirena untuk TV besar melibatkan BRAVIA 9 dan TV LED...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X