More

    Ulasan OPPO Reno12 F 5G – Telefon OPPO murah yang dilengkapi AI

    Sepanjang tahun 2024 ini, “kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI)” merupakan perkataan yang paling hangat ditimbulkan dalam setiap iklan telefon pintar baharu. Sama ada daripada Samsung dengan “Galaxy AI”, Apple dengan “Apple Intelligence” atau OPPO dengan “Tap Into AI”, pelbagai jenis peranti yang dilancar pada tahun ini mempunyai teknologi AI generatif yang siap dibina di dalamnya bagi memudahkan penggunaan harian buat para pelanggan.

    Kebanyakan fungsi AI ini masih dihadkan untuk telefon pintar andalan (flagship) yang mahal, namun OPPO mengambil langkah yang berlainan di mana fungsi AI mereka turut ditawarkan dalam siri telefon kelas pertengahan OPPO Reno12. Jika anda berminat untuk menggunakan fungsi AI namun tidak ingin berbelanja besar, OPPO Reno12 F 5G merupakan telefon termurah daripada OPPO yang dilengkapi fungsi AI.

    Dengan harga bermula RM1,399 ia membenarkan lebih ramai pengguna untuk mencuba fungsi AI generatif yang selalunya dipagari dalam kategori telefon mahal sahaja. Jadi adakah ini telefon kelas pertengahan yang terbaik untuk fungsi AI? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Berapi-api!

    Sepanjang saya bekerja sebagai pengulas peranti, saya tidak pernah nampak sebuah OPPO Reno yang mempunyai rekaan belakang seperti Reno12 F 5G. Jika Reno sebelum ini biasanya nampak menawan dan elegan, Reno12 F 5G yang dipinjamkan kepada saya mempunyai warna Amber Orange dan jika anda melihatnya dengan dekat, anda boleh nampak corak api yang membuatkannya nampak seperti api yang membakar daripada bawah telefon.

    Reno12 F dalam warna Amber Orange
    Bahagian hadapan dengan sempadan bezel yang nipis

    Pada pendapat saya, ini membuatkannya sangat belainan dengan Reno sebelum ini yang selalunya menampilkan rekaan berkilauan. Sungguh pun begitu, jika anda masih berminat dengan Reno12 F 5G namun tidak inginkan corak api Amber Orange, ia ditawarkan dalam satu lagi pilihan warna yang berporfil rendah iaitu hijau Olive Green. Warna hijau itu membuatkannya nampak seperti kebanyakan telefon kelas pertengahan dalam pasaran sekarang.

    Bonggol kameranya pula berbentuk bulat dan terletak di bahagian tengah, berbeza dengan siri Reno11, Reno10 dan Reno9 yang meletakkannya di bahagian bucu atas kiri. Selain menempatkan tiga lensa kamera dan satu lampu denyar LED, bonggol tersebut turut mempunyai satu gimik khas iaitu satu lampu Halo Light yang mengelilinginya (dalam iklan disebut “Halo Light”, tetapi dalam tetapan disebut “Breathing Light”).

    Bonggol kamera berbentuk bulat
    Ia akan menyala sewaktu anda mengecas atau menerima panggilan

    Lampu cincin yang nipis ini akan menyala sewaktu anda mengecas, menerima panggilan atau notifikasi, memainkan muzik serta memainkan game. Warnanya boleh diubah dalam tetapan, namun hanya dalam pilihan warna yang ditetapkan oleh pihak OPPO sendiri. Cahaya belakang ini mungkin tidak secanggih dalam Nothing Phone (2) atau ROG Phone 7 Ultimate, namun ia sudah cukup untuk menunjuk-nunjuk kepada rakan.

    Bahagian sisinya pula rata sahaja dengan rangka metalik seperti model-model Reno sebelum ini, dengan port USB-C dan slot dwi-kad SIM di bahagian bawah serta butang volume dan butang kuasa di bahagian kanan telefon.

    "
    "

    Spesifikasi – Pelbagai ciri AI baharu

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk OPPO Reno12F 5G:

    • Skrin AMOLED 6.67 inci, resolusi 1080×2400, kadar segar semula 60/120Hz, kecerahan puncak 2,100 nits, gamut warna sRGB, DCI-P3 100%
    • Cipset MediaTek Dimensity 6300
    • RAM LPDDR4X 12GB
    • Storan dalaman UFS2.2 256GB atau 512GB
    • Kamera utama 50MP + kamera ultra-lebar 8MP + kamera makro 2MP
    • Kamera swafoto 32MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan SUPERVOOC 45W
    • Pembesar suara stereo
    • Port USB-C
    • Sistem operasi Android 14 dengan ColorOS 14.0

    Secara umumnya, spesifikasi telefon ini boleh dijangka untuk telefon kelas pertengahan yang dijual pada harganya. Ada beberapa perkara yang menarik, seperti RAM 12GB untuk semua varian serta pengecasan pantas 45W (dan pengecasnya turut disertakan dalam kotak). Cipset MediaTek Dimensity 6300 yang dibuat dengan nod proses 6nm sudah cukup bagus untuk kegunaan harian, manakala skrin OLED 120Hz dengan resolusi Full HD+ boleh menghasilkan tontonan yang mengasyikkan untuk video dan filem.

    Satu perkara baharu yang menimbulkan minat saya pada telefon ini adalah ciri AI yang ditawarkan seperti AI Eraser 2.0 untuk membuat objek yang tidak diingin pada latar belakang gambar anda, AI Smart Image Matting 2.0 untuk memotong (crop) gambar anda kepada bentuk pelekat (sticker) yang boleh diguna dalam aplikasi permesejan serta AI Studio yang menggunakan teknologi AI generatif untuk menghasilkan gambar yang baharu berdasarkan muka anda.

    Sepanjang penggunaan saya, AI Eraser 2.0 berfungsi dengan agak baik, selagi objek yang ingin dibuang dalam gambar anda itu bersaiz kecil sahaja. Jika jumlah objek yang ingin dibuang itu banyak atau bersaiz besar, anda boleh lihat efek yang tidak kemas apabil AI cuba menggantikan objek yang ingin dibuang itu dengan warna tiruan.

    AI Smart Image Matting 2.0 pula seronok digunakan, namun saya tidak pasti jika ia akan kerap digunakan oleh pengguna kerana saya rasa ini hanyalah gimik yang boleh digunakan bersama rakan-rakan sewaktu bermesej.

    Objek kon dalam gambar kiri, dibuang menggunakan AI Eraser 2.0, hasilnya boleh dilihat pada gambar kanan
    AI Smart Matting boleh mencipta “sticker” daripada muka saya, dan ia berfungsi dengan agak baik

    AI Studio pula akan menghasilkan seni AI menggunakan muka anda kepada gambar pelbagai tema seperti tepi pantai, resume, sekolah, tentera, pengantin, angkasawan dan banyak lagi. Gambar yang dihasillkan nampak menarik juga, namun selalunya ia nampak agak terlebih proses dan tidak menyerupai muka saya langsung.

    Perlu diingati bahawa setiap kali anda ingin mencipta gambar dalam AI Studio, anda perlu membelanjakan mata Star Balance. Saya tidak pasti bagaimana anda boleh membeli semula mata Star Balance ini jika ia habis.

    (Kiri) Beberapa pilihan tema untuk gambar janaan AI, (tengah) setiap gambar janaan AI Studio memerlukan 10 mata Star Balance, (kanan) hasil gambar janaan AI saya dalam tema Mecha Boy

    Satu perkara yang saya perlu diingati tentang fungsi AI dalam telefon ini. Dalam laman web rasmi OPPO, ia mengatakan Reno12 F 5G menawarkan fungsi AI Recording Summary, AI Summary, AI Writer dan AI Speak, namun saya tidak boleh mencarinya dalam Reno12 F 5G yang dipinjamkan kepada saya pada waktu ini. Mungkin ia akan ditawarkan dalam kemas kini akan datang.

    Jika dilihat pada iklan OPPO (kiri), sepatutnya saya boleh tekan butang “Summarise” untuk membuat AI Recording Summary daripada rakaman audio. Padahal dalam Reno12 F 5G sebenar (kanan), butang “Summarise” itu tidak wujud

    Prestasi – Lengkap untuk kegunaan harian

    Berikut adalah markah penanda aras untuk OPPO Reno12 F 5G:

    Penanda aras 3DMark
    Penanda aras Geekbench

    OPPO bukanlah syarikat yang asing dalam industri telefon pintar kerana mereka merupakan jenama yang boleh dipercayai dan mempunyai pengalaman luas dalam menghasilkan peranti bermutu tinggi. Reno12 F 5G menawarkan prestasi yang bagus untuk kegunaan harian seperti melayari media sosial dan laman web, membalas mesej atau menonton video.

    Bagaimana pula dengan prestasi sewaktu bermain game? Untuk game yang popular seperti COD Mobile dan PUBG Mobile, saya tidak mengalami masalah yang ketara sewaktu memainkannya walaupun dalam tempoh yang berpanjangan dan dalam tetapan grafik yang tinggi.

    Seperti kebanyakan telefon kelas pertengahan lain, anda boleh mengakses pelbagai fungsi dengan pantas melalui menu yang boleh dileret daripada bahagian bucu atas kiri skrin.

    PUBG Mobile boleh dimain dengan bagus
    Asphalt Legends Unite sukar dimainkan dengan kadar bingkai lancar pada tetapan grafik tinggi, mungkin anda perlu rendahkan sedikit tetapan grafiknya
    Pelbagai fungsi boleh diakses dengan pantas melalui Quick Menu daripada bucu atas kiri

    Hayat bateri juga cemerlang. Dengan kapasiti sebesar 5,000mAh, baterinya boleh bertahan selama sehari tanpa sebarang masalah. Walaupun dengan penggunaan yang berat, jika saya memulakan waktu pagi dengan pengecasan penuh, pada waktu malam baterinya masih berbaki sekitar 30%.

    Kini, mari beralih kepada bahagian fotografi pula. Seperti model-model Reno sebelum ini, Reno12 F 5G mempunyai kamera yang mengutamakan kualiti mod Potret dan saya amat berpuas hati dengannya. Selain daripada mod Potret, gambar yang diambil dalam mod auto, mod ultra-lebar dan zum juga nampak baik (selagi anda tidak zum sejauh 3x).

    Contoh gambar kamera utama
    Contoh gambar kamera utama
    Contoh gambar kamera utama
    Contoh gambar kamera utama
    Contoh gambar kamera ultra-lebar
    Contoh gambar kamera ultra-lebar
    Contoh gambar mod malam
    Contoh gambar mod malam
    Contoh gambar mod potret
    Contoh gambar mod potret
    Contoh swafoto mod potret
    Contoh swafoto mod potret

    Jika anda mengambil gambar dalam mod malam, anda mungkin perlu berhadapan dengan jumlah noise yang agak tinggi, walaupun untuk sebuah telefon kelas pertengahan.

    Daripada segi video, ia boleh merakam sehingga resolusi 1080p pada kadar 60fps. Namun satu perkara yang saya tidak suka mengenainya adalah kualiti penstabilan video. Walaupun dengan penstabilan imej optikal (OIS), ia nampak terlalu kaku dan menjejaskan kualiti video saya dengan sangat ketara. Saya cadangkan anda matikan terus penstabilan video, walaupun ia akan nampak bergegar, sekurang-kurangnya anda tidak akan diganggu dengan efek penstabilan yang aneh.

    Kesimpulan – Telefon yang wajar dimiliki jika anda inginkan peranti AI pada harga murah

    Dengan harga bermula RM1,399 untuk varian 12GB+256GB, OPPO Reno12 F 5G, ia merupakan telefon AI paling murah untuk pasaran Malaysia pada waktu ini. Jadi, jika anda ingin mengikuti trend AI 2024 namun tidak mempunyai wang yang banyak untuk membeli telefon pintar andalan, telefon ini adalah pilihan yang sesuai.

    Tidak banyak telefon kelas pertengahan lain yang dilengkapi teknologi AI generatif seperti Reno12 F 5G, jadi tidak banyak alternatif yang kami boleh cadangkan kepada anda. Jika anda mencari telefon alternatif pada harga yang sama, kami boleh cadangkan Infinix GT 20 Pro (RM1,299) jika anda inginkan telefon dengan estetika “gamer” dan prestasi khas untuk bermain game, vivo V30e (RM1,399) jika anda inginkan kamera dengan lampu Aura Light untuk pencahayaan mod potret yang lembut atau realme 12+ 5G (RM1,499) jika anda inginkan telefon dengan hiasan kulit di belakangnya.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    REDMI Headphones Neo, Buds 8 dan Watch 6 dilancar di Malaysia, bermula RM239

    Xiaomi hari ini mengumumkan pelancaran tiga peranti boleh pakai baharu di bawah sub jenama REDMI untuk pasaran Malaysia termasuk fon kepala over-ear...

    Catcha Digital catat untung 128 peratus hasil ambil alih syarikat media Malaysia

    Catcha Digital Berhad mencatatkan prestasi kewangan paling kukuh setakat ini apabila merekodkan pertumbuhan keuntungan sebanyak 128% bagi suku pertama tahun kewangan 2026...

    Cristiano Ronaldo kini jadi duta global Dreame Technology

    Dreame Technology mengumumkan kerjasama global bersama legenda bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo dalam usaha memperkukuh kedudukan mereka dalam pasaran perkakasan rumah pintar...

    Xiaomi Watch S5, Smart Band 10 Pro dan Buds 6 turut rasmi di Malaysia,...

    Selain siri 17T, Xiaomi turut mengumumkan pelancaran beberapa produk baharu di Malaysia menerusi pengenalan Xiaomi Watch S5 46mm, Xiaomi Smart Band 10...

    Siri Xiaomi 17T rasmi di Malaysia dengan Dimensity 9500, kamera Leica dan bateri 7,000mAh...

    Siri Xiaomi 17T secara rasmi dilancarkan di Malaysia dengan dua pilihan model iaitu Xiaomi 17T dan Xiaomi 17T Pro. Model paling berkuasa...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    Ulasan Edifier W60 – Pilihan bajet dengan audio Hi-Res

    Edifier W60 merupakan fon telinga wayarles jenis over-ear yang direka khusus bagi pengguna yang mahukan fungsi pembatalan hingar aktif (ANC) pada harga...

    Ulasan vivo X300 Pro – Kamera ZEISS generasi baru untuk vivo!

    Dengan 2025 yang semakin hampir kepada penamatnya, vivo Malaysia tidak ketinggalan untuk melancarkan telefon pintar flagship generasi seterusnya dengan melancarkan vivo X300...