Teknologi kamera dalam telefon pintar kini telah mengalami kemajuan yang sangat besar, sehingga ia memang membuktikan kenyataan popular yang berbunyi “kamera terbaik adalah kamera yang sentiasa berada di samping anda.” Selain daripada kamera periskop dan sensor imej yang lebih besar, kemajuan ini didorong juga oleh jenama-jenama kamera tradisional seperti Leica, Hasselblad dan ZEISS.
Namun siapakah sebenarnya jenama-jenama kamera ini? Dengan pelbagai model telefon yang bekerjasama dengan mereka, adakah ini memberi sebarang kelebihan kepada kameranya? Jika soalan ini menghantui anda, penulis TechNave Bahasa Inggeris ini akan menjelaskan bagaimana ia mempengaruhi kebolehan fotografi telefon anda.
Leica – Jenama kamera perintis
Kami mulakan dulu dengan Leica sebagai jenama kamera tradisional pertama yang membuat kolaborasi dengan jenama telefon pintar. Leica Camera menghasilkan kamera, lensa optik, lensa fotografi, binokular, skop dan banyak lagi dari Jerman. Syarikat ini ditubuhkan oleh Ernst Leitz pada 1869 dengan nama “Leitz”, sebelum menukar namanya kepada “Leica” pada 1986. Nama baharu itu diambil daripada gabungan tiga huruf pertama pada nama pengeasasnya (Leitz) serta dua huruf pertama dalam perkataan “camera.”
Seperti yang anda jangkakan, Leica adalah jenama yang amat popular di Eropah. Apabila ditanya bagaimana kamera Leica adalah lebih bagus, 48% daripada responden menjawab “mutu buatan + mudah diguna,” diikuti 19% menjawab “kualiti imej (warna, hitam-putih, gaya Leica)” dan 15% menjawab “mahukan rangefinder digital.” Tiga faktor ini bersaling kait kerana terdapat waktu di mana para pengguna mahukan kamera rangefinder digital yang bagus bagi menggantikan kamera DSLR yang besar.
Menurut laman web ini, Leica memperkenalkan siri Leica M kerana tiga faktor tersebut. Kamera rangefinder mempunyai lensa yang kecil dan menawarkan fokus lebih baik, dengan fokus pada fotografi hitam-putih. Jadi apabila seorang ahli fotografi ingin mencuba kamera digital Leica buat kali pertama, antara komen yang ditimbulkan termasuklah:
- “Wow gambarnya nampak cantik daripada kamera terus”
- “Warna daripada kamera Leica ini nampak cantik”
- “Kamera Leica hasilkan gambar hitam-putih yang kemas”
- “Ini sangat bagus”
- “OK, saya perlukan kamera Leica”
Kami boleh huraikan lagi tentang Leica dan sejarahnya, namun itu adalah kisah untuk artikel lain. Mengimbau kembali kepada 2016, HUAWEI dan Leica mengumumkan kerjasama jangka panjang apabila HUAWEI ingin memperbaharui teknologi fotografi mudah alih dengan lebih jauh. HUAWEI telah membina telefon sejak awal 2000-an dan kita boleh lihat bahawa siri HUAWEI P9 merupakan telefon pertama yang mencipta sejarah baharu, dengan lensa hitam-putih yang khas dan unik hasil daripada teknologi kamera Leica.
Kerjasama HUAWEI-Leica diteruskan sehingga 2020 apabila siri HUAWEI P40 dilancar. Malangnya, kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada waktu itu memutuskan untuk menghalang peranti-peranti HUAWEI daripada menggunakan Google Mobile Services dan menyebabkan kesukaran dalam pembangunan 5G. Pada 2022, HUAWEI mengumumkan bahawa kolaborasinya dengan Leica ditamatkan, kemudian Xiaomi pula menjadi jenama telefon baharu yang bekerjasama dengan jenama kamera Jerman itu.
Apa-apa pun, Leica Camera dikenali dengan mutu buatannya yang tinggi, inovasi canggih serta reputasi mewah, serta fokus pada fotografi hitam-putih. Ini menyumbang kepada kamera telefon dengan penggredan (gradation) hitam-putih yang lebih kemas untuk lebih banyak kedalaman, seperti yang dilihat pada siri Xiaomi 15.
Hasselblad – Satu lagi jenama “abang long”
Pada tahun yang sama (2022), OPPO mengumumkan kerjasamanya dengan Hasselblad. Seperti Leica, Hasselblad adalah jenama kamera tradisional dengan sejarah lama sejak era 1800-an. Ia ditubuhkan pada 1841 di Sweden oleh Fritz Wiktor Hasselblad sebagai sebuah syarikat perdagangan, namun anaknya Arvid Viktor Hasselblad yang mengasaskan divisyen fotografi dalam syarikat ini.
Hasselblad mempunyai beberapa titik sejarah yang penting, seperti Hasselblad 1600F sebagai kamera pertama untuk para pengguna yang dijual pada 1948 selepas Perang Dunia Ke-2. Pada 1962, Hasselblad bekerjasama dengan agensi angkasa lepas AS, National Aeronautics and Space Administration (NASA), apabila angkasawan dan penggiat fotografi Walter Schirra membawa kamera Hasselblad 500C dengan lensa Planar f/2.8, 80mm ke angkasa lepas. Jika anda pernah melihat gambar-gambar angkasa lepas yang ikonik (terutamanya dengan pesawat Apollo 11), besar kemungkinan ia diambil menggunakan kamera Hasselblad.
Kamera Hasselblad (serta Leica) adalah sangat mahal namun ahli-ahli fotografi masih membelinya, kerana ia dikenali dengan kualiti imej yang bagus, ketepatan warna yang tinggi, jurang dinamik yang luas dan banyak lagi manfaat lain. Sungguh pun begitu, satu ciri yang mengasingkan Hasselblad daripada jenama-jenama lain adalah pada shutter, kerana Hasselblad merupakan satu-satunya jenama kamera yang masih menghasilkan kamera mirrorless dengan lensa boleh ditukar dan leaf shutter. Ini diletakkan dalam lensa dan bukannya dalam badan kamera, seperti kebanyakan DSLR.
OPPO bukanlah jenama telefon pertama yang bekerjasama dengan Hasselblad. Pada 2021, Hasselblad pernah bekerjasama dengan OnePlus untuk bangunkan teknologi kamera baharu dalam siri OnePlus 9, namun ia hanyalah kerjasama yang sementara dan sekadar membuat perubahan pada penentukuran warna (colour calibration) dan antara muka (interface) kamera. Buat masa ini, OPPO dan Hasselblad sudah berada pada tahun kedua dalam kerjasama mereka, dengan siri OPPO Find X8 sebagai produk terbaru yang dihasilkan dengan kerjasama tersebut.
Zeiss – Syarikat yang membentuk dunia moden
Akhir sekali, Zeiss merupakan syarikat optik utama yang berpengkalan di Jerman. Ia diasaskan pada 1846 oleh Carl Zeiss sebagai bengkel mekanik dan optik, dengan fokus pada penghasilan mikroskop. Sejarah Zeiss adalah berdasarkan perantisan (apprenticeship), di mana Zeiss melatih para pekerja awalnya dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran, kemudian ia diturunkan kepada generasi seterusnya untuk membesarkan syarikat.
Tokoh penting dalam sejarah syarikat ini adalah Ernst Abbe yang menyertai Zeiss sebagai ahli fizik untuk memperbaik mikroskopnya. Kemudian beliau menjadi rakan kongsi dalam syarikat lalu membentuknya kepada syarikat yang menggabungkan sains dan industri. Abbe turut melatih para pelajarnya dan berjaya mencapai kemajuan sains yang penting dengan Zeiss.
Sumbangan Abbe tidak boleh diambil ringan. Zeiss kini menghasilkan lensa kamera, lensa sinema, pelbagai jenis mikroskop, planetarium, lensa cermin mata, optik lithography, mikroskop elektron, photomask, teknologi perubatan dan banyak lagi. Dalam erti kata lain, Zeiss bertanggungjawab dalam membina dunia moden dan bukan sekadar dalam industri fotografi sahaja.
Untuk kamera, Zeiss paling dikenali dengan kualiti bokeh atau latar belakang kabur dalam gambar-gambar potret. Beberapa jenama telefon pernah bekerjasama dengan Zeiss, seperti HMD/Nokia dan Sony dengan Sony Xpeira 1 II, namun vivo adalah jenama telefon yang paling memanfaatkan kerjasama Zeiss sepenuhnya. Kerjasama vivo-Zeiss bermula pada 2020 dengan siri vivo X60, kemudian ia masih diteruskan hingga hari ini.
Sewaktu artikel ini ditulis, siri vivo X200 telah mendapat pelbagai pengiktirafan di atas kebolehan kameranya yang tinggi. Beberapa YouTuber terkenal seperti Mrwhosetheboss dan MKBHD telah mengiktiraf telefon ini sebagai antara telefon terbaik pada tahun 2024, malah kami sendiri mengiktiraf vivo X200 Pro sebagai telefon dengan kamera terbaik pada 2024.
Leica, Hasselblad dan Zeiss bukan sekadar gimik pada telefon anda
Laman web ini memberi kesimpulan yang tuntas, “jenama-jenama kamera legasi ini menghasilkan lensa yang paling tajam dengan penghasilan warna yang paling tepat.” Para saintis sendiri gemar menggunakan lensa jenama-jenama ini untuk fotografi langit (astrophotography) serta menangkap butiran flora dan fauna. Mudah cerita, kerana kebolehan mereka untuk menghasilkan lensa tercanggih dalam dunia, membuatkan jenama-jenama telefon berluma-lumba untuk bekerjasama dengan mereka bagi menghasilkan teknologi fotografi yang tinggi dalam telefon mereka.
Jadi jenama telefon dan kamera manakah yang menjadi pilihan anda? Adakah Xiaomi+Leica, OPPO+Hasselblad atau vivo+Zeiss? Atau pun anda mahu lebih banyak jenama kamera seperti Canon, Nikon dan Sigma bekerjasama dengan jenama-jenama telefon? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
[Diterjemahkan daripada TechNave]