Tidak lama selepas HONOR Malaysia melancarkan tablet HONOR MagicPad 2 (berharga RM2,799) pada September lalu yang menampilkan pelbagai fungsi AI canggih, syarikat teknologi itu melancarkan sebuah tablet yang sangat mampu milik pula iaitu HONOR Pad X8a, berharga RM799.
Ini merupakan harga yang sangat bagus untuk sebuah tablet 11 inci, dan pastinya menarik perhatian golongan yang ingin beli peranti murah seperti para pelajar. Jadi, adakah ia peranti yang berbaloi dengan harga berikut? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya.
Daripada segi luaran, Pad X8a merupakan tablet ringkas yang tidak mempunyai ciri-ciri menarik. Bahagian belakangnya mempunyai warna kelabu Space Grey dengan permukaan matte dan dibuat daripada plastik, memang boleh dijangka untuk peranti kelas ini. Bahagian rangkanya juga dibuat daripada plastik, namun ia masih menghasilkan mutu buatan yang kukuh.
Lebih menarik, tablet ini mempunyai empat pembesar suara Hi-Res Audio yang boleh menghasilkan audio jelas dan lantang, jadi anda boleh dengar lagu atau tonton filem dengan pengalaman audio yang bagus. Malah dengan ketebalan senipis 7.25mm dan berat 495 gram sahaja, ia sangat mudah dibawa ke mana-mana dan dimasukkan ke dalam beg.
Perlu diingati bahawa tablet ini tidak mempunyai rating kalis air, jadi anda harus berhati-hati jika menggunakannya berhampiran kawasan air atau bawah hujan.
Pada pendapat saya, ciri paling menarik pada tablet ini adalah skrinnya yang berukuran 11 inci. Benar, ia sekadar menggunakan panel TFT LCD yang tidak menghasilkan warna secantik AMOLED, namun untuk sebuah tablet yang berharga RM799, ia sudah menghasilkan kualiti imej yang memuaskan untuk pelbagai kegunaan, seperti menonton video atau membaca dokumen.
Resolusinya yang sekadar 1920×1200 dan ketumpatan piksel 207 piksel per inci (ppi), bermaksud anda boleh melihat imej yang berpiksel (pixelated) jika anda melihatnya daripada jarak dekat. Tapi ini bukanlah isu yang besar untuk tablet bajet, malah kadar segar semula setinggi 90Hz bermaksud ia menghasilkan pengalaman menatal (swiping) yang lancar.
Satu isu yang anda perlu tahu adalah kecerahan puncaknya setakat 400 nits sahaja, bermaksud tablet ini tidak sesuai digunakan di bawah cahaya matahari kerana ia tidak cukup cerah untuk mengatasi silau. Selain itu, saya tidak pasti jika skrin tablet ini menyokong penggunaan stilus.
Kini saya ingin beralih kepada prestasi dan pengalaman penggunaannya. Ia menggunakan cipset lapan teras (octa-core) Qualcomm Snapdragon 680 yang dibuat dengan nod proses 6nm dan ini bukanlah cipset yang boleh menghasilkan prestasi tinggi. Untuk kegunaan biasa seperti membaca laman web, menaip dokumen dan menonton YouTube, pengalaman saya menggunakan tablet ini rasa lancar.Â
Cuma, apabila saya buka beberapa aplikasi serentak dan ingin bertukar-tukar di antaranya, saya memang boleh rasa lag yang agak ketara. Selain itu, jika anda ingin mengubah sebarang tetapan (settings), perubahannya tidak berlaku dalam masa yang singkat. Sebagai contoh, sewaktu saya ingin menukarkan daripada Light Mode kepada Dark Mode, saya memang boleh rasa lag sewaktu tablet ini ingin bertukar kepada mod yang dipilih.
Seperti tablet lain, Pad X8a juga boleh membuka dua aplikasi serentak dan ia berfungsi dengan agak baik, meskipun bukan lancar sepenuhnya kerana kadang-kala saya masih boleh rasa lag ketika menatal ke bawah dalam laman web. Untuk bermain game pun tiada masalah sangat, selagi anda menetapkan kualiti grafik pada tetapan rendah.
Tablet ini mempunyai kapasiti yang sangat besar iaitu 8,300mAh dan ia boleh bertahan selama lebih daripada sehari, walaupun saya banyak menonton video dan mendengar lagu. Sungguh pun begitu, satu kekurangan pada tablet ini adalah kadar pengecasannya yang rendah iaitu 10W sahaja melalui port USB-C.
Bayangkan dengan bateri sebesar 8,300mAh, ia perlukan pengecasan selama hampir empat jam untuk mengecas penuh. Memandangkan ia mengambil masa yang lama, saya cadangkan anda biarkan tablet ini dicas sepanjang malam sewaktu anda tidur. Sekurang-kurangnya, pengecas 10W disertakan dalam kotak Pad X8a.
Untuk fotografi, ia mempunyai kamera belakang 5MP dan kamera hadapan 5MP. Kualiti gambar yang diambil nampak agak hambar, namun ini bukanlah masalah besar kerana saya yakin tidak ramai orang di luar sana kerap mengambil gambar menggunakan tablet. Jika anda ingin gunakannya sekadar untuk mengimbas dokumen atau mengambil gambar-gambar objek untuk dihantar ke dalam WhatsApp, ia boleh melakukannya dengan baik. Untuk video, ia boleh rakam pada resolusi 1080p dengan kadar 30fps.
Saya rasa anda lebih tekankan pada kualiti kamera hadapan kerana anda pasti akan menyertai pelbagai panggilan video dengan tablet ini. Jangan risau kerana kualiti kamera hadapannya nampak baik, saya telah mencubanya untuk menyertai panggilan video dan kualitinya nampak bagus.
Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan HONOR Pad X8a dan saya mengesyorkannya buat para pelajar yang ingin menggunakan tablet untuk membaca slaid, membuat kajian atau menyertai panggilan video. Malah, sewaktu anda ingin berehat, anda boleh nikmati filem dalam skrin yang besar serta audio yang jelas daripada empat pembesar suaranya.
Prestasinya tidak lancar pada setiap masa namun ini adalah sesuatu yang boleh dijangka untuk tablet yang dijual pada harga ini, namun pengecasannya yang sangat perlahan adalah satu kekurangan yang perlu diambil kira jika anda ingin membandingkannya dengan tablet lain. Alternatif lain yang sesuai untuk HONOR Pad X8a termasuklah Samsung Galaxy Tab A9 (RM699), realme Pad (RM899) dan OPPO Pad Air (RM699).
Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Spesifikasi teknologi
- Skrin IPS LCD 11 inci, resolusi 1920×1200, kadar segar semula 90Hz, kecerahan puncak 400 nits
- Cipset Qualcomm Snapdragon 680
- RAM 4GB + 4GB HONOR RAM Turbo
- Storan dalaman 128GB, boleh dibesarkan dengan microSD sehingga 1TB
- Kamera belakang 5MP + kamera hadapan 5MP
- Bateri 8,300mAh
- Pengecasan 10W
- Sistem operasi Android 14 dengan MagicOS 8.0
- Empat pembesar suara Hi-Res Audio
- Port USB-C 2.0
- Menyokong rangkaian 4G LTE
- Wi-Fi 2.4GHz dan 5Hz, Bluetooth 5.1
Kelebihan: Skrin besar, boleh masukkan kad SIM dan microSD, pembesar suara yang jelas
Kekurangan: Pengecasan perlahan, skrin yang sukar diguna bawah cahaya matahari terik
Kesimpulan: Tablet bagus untuk mereka yang ingin peranti jimat