fbpx
More

    Ulasan Infinix Smart 8 Pro – Cukup murah, cukup segalanya!

    Memilih telefon pintar baharu boleh menjadi tugas yang sukar terutama jika anda mencari telefon pintar dalam kategori bajet dan menawarkan ciri menarik yang boleh memenuhi semua keperluan anda. Infinix Smart 8 Pro secara asasnya ialah telefon pintar mesra bajet berharga RM399 yang mempunyai ciri yang mengagumkan. 

    Peranti ini mempunyai persediaan dwi kamera 50MP yang agak mantap, paparan dengan kadar penyegaran 90Hz yang lancar dan bateri 5,000mAh yang tahan lama. Saya dapat merasakan telefon ini direka untuk memenuhi setiap keperluan pengguna. Ciri sorotan lain untuk peranti ini ialah pemberitahuan Magic Ring, pemprosesan audio DTS dan ciri ketahanan yang diuji oleh Makmal Kualiti Ujian 360°. 

    Dengan cipset MediaTek Helio G36, RAM 4GB dan storan dalaman 128GB, Smart 8 Pro memastikan fungsi berbilang tugas dengan lancar serta ruang yang mencukupi untuk semua fail. Kami menerima unit berwarna biru gelap dan warna ini kelihatan sangat elegan. Tambahan, ia dapat menyembunyikan kesan cap jari pada belakang telefon. Jom kita teroka kelebihan dan kekurangan yang terdapat pada Infinix Smart 8 Pro ini!

    Rekaan – Solid!

    Kemasan berus pada bahagian belakang

    Reka bentuk Smart 8 Pro kelihatan solid pada pandangan pertama. Telefon ini hadir dengan tepi bulat dan bahagian sisi rata yang menawarkan rasa yang hebat serta selesa di tangan. Bahagian panel belakangnya terdapat bonggolan kamera berbentuk empat segi menempatkan dua kamera disusun secara menegak dan denyar berbentuk cincin.

    Untuk bahagian port dan butangnya, Smart 8 Pro menampilkan bicu audio 3.5mm, mikrofon, port pengecasan USB-C dan gril pembesar suara di bahagian bawah manakala tiada apa-apa di bahagian atas telefon. Telefon ini mempunyai butang kelantangan dan butang kuasa di sebelah kanan manakala terdapat slot kad SIM di sebelah kiri. Ia menawarkan rupa berunsurkan elegan dan berat yang sesedap rasa ketika dipegang.

    Bahagian sisi kanan
    Bahagian sisi kiri
    Pakej yang anda akan dapat

    Dalam kotak, telefon ini didatangkan dengan palam pengecasan 10W, kabel dan sebuah sarung lutsinar yang boleh dipakai untuk melindunginya daripada sebarang kesan calar atau retak. Bercakap tentang skrin, kini mari kita beralih kepada spesifikasi telefon ini pula untuk bercakap lebih lanjut tentangnya.

    Spesifikasi teknologi – Kena dengan harga

    • Skrin IPS LCD 6.6 inci, 720 × 1612 piksel, kadar segar semula 90Hz, nisbah aspek 20:9, kecerahan puncak 500nits dan menawarkan Magic Ring
    • Mediatek Helio G36
    • RAM 4GB boleh dibesarkan secara maya sebanyak 4GB, storan 128GB
    • Kamera utama 50 MP, f/1.9, (lebar), AF + 0.08 MP (Lensa Tambahan)
    • Kamera swafoto 8 MP, f/2.0, (lebar)
    • Bateri 5,000mAh dengan pengecasan 10W
    • Sistem operasi XOS 13 berdasarkan Android 13
    • Bicu audio 3.5mm, port USB-C
    • Menyokong rangkaian 4G sahaja, dwi-kad SIM
    • Pembesar suara stereo, pengimbas cap jari sisi
    Bahagian dagu yang agak tebal

    Secara keseluruhan, Infinix Smart 8 Pro mempunyai spesifikasi yang lengkap untuk telefon kelas permulaan. Infinix Smart 8 Pro menampilkan panel LCD IPS bersaiz besar 6.6 inci dengan kadar penyegaran 90Hz dan kecerahan puncak 500 nits. Walaupun paparannya cerah dan berwarna-warni, kecerahan puncak 500 nits hanya dapat menawarkan jumlah warna dalam kategori baik sahaja. 

    Masalah paling ketara apabila saya menggunakannya ketika dalam keadaan panas terik dan saya tidak dapat melihat visual dengan jelas. Ia mempunyai nisbah skrin-ke-badan yang bagus iaitu 90.8% dan telefon ini mempunyai sempadan bezel yang agak tebal terutamanya pada bahagian bawah. Menariknya, Smart 8 Pro mempunyai skrin lubang tebuk interaktif Magic Ring yang bertindak seperti Dynamic Island dalam siri iPhone.

    Magic Ring ketika mengimbas muka
    Magic Ring ketika mengecas

    Ia membolehkan pengguna mengakses maklumat dalam masa nyata termasuk statistik pengecasan, pemberitahuan panggilan suara dan banyak lagi. Sebaliknya, saya tidak begitu berpuas hati dengan warna pada paparan kerana ia akan menjadi sukar dilihat ketika hari cerah.

    Walaupun begitu, paparannya bagus ketika dalam rumah dan ia adalah salah satu kelemahan yang perlu anda fikirkan bagi mempertimbangkan telefon dalam segmen mampu milik. Secara keseluruhannya, paparan Infinix Smart 8 Pro menawarkan keseimbangan saiz, resolusi dan kadar penyegaran yang baik untuk pengalaman tontonan yang menyeronokkan.

    Contoh paparan semasa memainkan video YouTube

    Prestasi – Memuaskan

    Infinix Smart 8 Pro telah dikuasakan dengan cipset MediaTek Helio G36 yang dianggap sebagai cipset berprestasi paling asas. Telefon ini dilengkapi dengan RAM 4GB yang boleh dikembangkan sehingga 8GB dengan storan 128GB. Dengan Enjin Permainan Octa-Core, ia mempunyai prestasi yang lebih baik. Walau bagaimanapun, anda hanya boleh bermain permainan biasa kerana cipset hanya boleh mengendalikan permainan ringan.

    Saya cuba memuat turun aplikasi penanda aras untuk mengukur tahap prestasi telefon ini. Malangnya, aplikasi yang sering digunakan untuk melakukan ujian penanda aras tidak serasi dengan peranti. Jadi, saya tidak dapat menyertakan tangkapan skrin untuk penanda aras telefon ini. Berikut adalah tangkapan skrin untuk permainan serta tetapan grafik yang boleh digunakan:

    Pilihan grafik sederhana sahaja
    Mungkin tidak sesuai untuk memainkan game yang berat

    Saya cuba memainkan permainan Mobile Legends Bang Bang dan PUBG Mobile, ternyata ia merupakan permainan yang tidak sesuai untuk dimainkan pada Infinix Smart 8 Pro kerana ia secara asasnya ialah telefon segmen permulaan. Namun, jika anda ingin bermain juga, saya sarankan untuk memilih tetapan grafik paling rendah bagi menjaga kestabilan bingkai permainan.

    Infinix Smart 8 Pro dilengkapi dengan sistem operasi XOS 13 berdasarkan Android 13 memberikan antara muka biasa dan mesra pengguna. Disebabkan itu, telefon pintar ini memaparkan pilihan kertas dinding baharu, menawarkan pengalaman pengguna yang intuitif dan interaktif. Telefon pintar ini turut menampilkan Galeri berkuasa AI, Pengimbas Pintar dan banyak lagi. Selain itu, Smart 8 Pro dilengkapi dengan pilihan aplikasi prapasang yang memenuhi keperluan berbeza. 

    Sekali lagi diingatkan bahawa telefon ini hadir dengan perisian bloatware yang memberi kesan kepada ruang storan peranti. Walau bagaimanapun, antara muka telefon adalah bersih dan mudah. Secara keseluruhan, perisian Infinix Smart 8 Pro menyediakan keseimbangan yang baik antara kemesraan pengguna, pilihan penyesuaian dan aplikasi prapasang yang penting.

    Mengenai bateri dan kapasiti pengecasan, Smart 8 Pro hadir dengan hayat bateri 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 10W membolehkan saya menggunakannya selama hampir sehari penuh dan kadang-kadang lebih lama (jika tidak menggunakannya sangat). Sementara itu, semuanya bergantung pada penggunaan. Perlu diingatkan bahawa pengecasannya mengambil masa yang agak lama sekitar 2 jam untuk mengecas penuh kerana palam pengecas hanya menawarkan kuasa 10W sahaja.

    Infinix Smart 8 Pro dilengkapi dengan persediaan dwi kamera 50MP yang baik dalam menyampaikan kualiti imej untuk pelbagai keadaan persekitaran. Dengan ciri seperti pengecaman pemandangan AI dan mod potret, kamera menyesuaikan sistem dengan baik kepada persekitaran yang berbeza sama ada fotografi siang hari atau rakaman dalaman.

    Malangnya, kamera tidak dilengkapi dengan penstabilan imej. Dengan ketiadaan penstabilan imej, video yang direkodkan juga agak gegar kerana direkodkan hanya menggunakan tangan. Walau bagaimanpun, kamera menawarkan mod HDR dan panorama untuk merakam pemandangan dengan julat dinamik yang luas.

    Untuk bahagian kamera, saya merasakan mod AR Shot tidak perlu disertakan dalam pilihan mod kamera kerana ianya membuatkan telefon ini nampak lebih murah. Dan saya percaya bahawa kebanyakan daripada kita tidak akan menggunakan ciri ini melainkan untuk suka-suka sahaja. Mengenai rakaman video, Infinix Smart 8 Pro boleh merakam dalam resolusi 1080p.

    Prestasi kameranya untuk mengambil gambar agak baik namun untuk bahagian video, Infinix perlu membuat penambahbaikan. Sekali lagi perlu diingatkan bahawa telefon ini harganya hanya RM399, jadi banyak perkara perlu anda fikirkan. Berikut adalah contoh imej yang saya ambik menggunakan Infinix Smart 8 Pro:

    Warna yang dihasilkan terang
    Mod auto sudah cukup
    Mod malam
    Mod auto x2 zum
    Boleh tahan cantik untuk kamera 50MP!
    Mod malam
    Tak terlambat untuk ucapkan Selamat Tahun Baharu

    Kesimpulan – Cukup untuk tugasan harian

    Infinix Smart 8 Pro mempersembahkan pakej menarik untuk pengguna yang mencari telefon pintar mesra bajet dengan prestasi dan keupayaan kamera yang baik. Dengan persediaan kamera dwi belakang 50MP yang mengagumkan, paparan 6.6 inci yang memuaskan dan bateri 5,000mAh yang tahan lama, peranti ini menawarkan nilai untuk wang anda.

    Saya mengesyorkan pembaca untuk membandingkan dahulu Infinix Smart 8 Pro dengan telefon pintar lain seperti Xiaomi Redmi Note 10 (RM531), Samsung Galaxy A12 (RM499), realme Narzo 30A (RM599) dan Tecno Spark 7 (RM479). Walaupun terdapat kekurangan seperti kualiti bunyi dan tahap kecerahan, keseluruhan pengalaman pengguna adalah memuaskan.

    Mengambil kira harga yang kompetitif dan set cirinya, Infinix Smart 8 Pro muncul sebagai pilihan yang mantap bagi mereka yang mencari telefon pintar yang boleh dipercayai dan berbaloi. Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    vivo Y200i dilancar: SD 4 Gen 2, bateri 6,000mAh, cas pantas 44W, skrin 120Hz...

    vivo telah memperkenalkan telefon pintar kelas permulaan terbaru di China iaitu vivo Y200i. Ia merupakan varian terbaru yang menggunakan penjenamaan tersebut, selepas...

    Infinix Malaysia ajak anda ke XFans Road Tour, boleh cuba sendiri NOTE 40 Series...

    Infinix Malaysia akan menganjurkan jelajah jerayawara XFans Road Tour di dua bandar utama dalam Semenanjung Malaysia bagi mengajak para pengguna untuk cuba...

    DNB: Kami sentiasa telus dalam pemberian tender dan kontrak untuk pembinaan infrastruktur 5G

    Agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membina infrastruktur 5G negara, Digital Nasional Berhad (DNB), menyatakan mereka sentiasa terbuka dan telus dalam soal pemberian...

    realme 12x 5G akan dilancar di Malaysia pada 2 Mei 2024

    realme Malaysia bakal melancarkan varian terbaru dalam siri telefon pintar kelas pertengahan realme 12 iaitu realme 12x 5G. realme mengatakan ia adalah...

    MediaTek Dimensity 6300 diumum, cipset 5G untuk telefon pintar segmen pertengahan

    MediaTek menawarkan pasaran telefon segmen pertengahan dengan cipset Dimensity 6300 5G terbaharu. Cip ini dihasilkan dengan proses 6nm dan menawarkan peningkatan sederhana...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X