fbpx
More

    Ulasan POCO M3: Rekaan unik, pembunuh telefon kelas permulaan lain!

    Selepas POCO berdiri sendiri, ia kini dilihat rancak melancarkan peranti dengan penawaran yang baik. Berkonsepkan peranti jimat kos, POCO telah menarik minat pengguna dan pasaran dalam industri ini.

    Selain POCO X3 NFC yang disifatkan sebagai pembunuh kepada peranti kelas pertengahan, POCO kini melancarkan peranti kelas permulaan POCO M3. Jadi, apakah pengalaman kami sepanjang menggunakan peranti ini? Ketahuinya melalui ulasan di bawah!

    Reka bentuk – Bertekstur kulit, peranti kelas permulaan juga boleh nampak mahal

    Sewaktu kali pertama saya melihat gambar POCO M3 di internet, saya amat tertarik dengan rekaannya yang unik. Seperti yang dilihat, rekaan belakang POCO M3 seakan rekaan OnePlus 8T Cyberpunk 2077 Limited Edition. Namun, peranti OnePlus tersebut adalah peranti andalan, berlawanan dengan POCO M3 yang merupakan peranti berharga RM599, tetapi dengan rekaan andalan.

    Saya perlu memuji POCO yang menghasilkan rekaan sebegini untuk peranti pada harga bermula RM599. Dari segi material, walaupun ia diperbuat daripada plastik, tetapi terdapat penambahan tekstur kulit yang memberi daya penarik kepada peranti ini. Apa yang paling penting adalah ia tidak mudah kotor dengan cap jari dan peranti tidak akan mudah panas berbanding peranti lain dengan litupan cermin kaca. Jadi, ianya selesa dipegang di tangan.

    Untuk kamera belakang, POCO M3 hadir dengan tetapan kamera asas yang mudah digunakan. Walaupun susunan kameranya menegak, tetapi modul kameranya adalah melintang dengan paparan logo POCO yang mana memberi keunikan yang tersendiri. Walaupun rekaan ini lebih cepat dikenali, tetapi ramai yang tertarik dengannya. Sekalipun ia peranti kelas permulaan dengan rekaannya mudah dikenali, tetapi ia nampak mahal.

    POCO M3 mungkin tidak terlalu ringan, dan agak berat untuk perempuan. Namun, ia adalah perkara biasa untuk peranti dengan kapasiti bateri 6000mAh. Beratnya juga tidak membebankan walaupun jika anda memegangnya dalam jangka masa yang lama.

    Saya telah mendapat POCO M3 dalam pilihan warna Power Black. Walaupun warna ini kelihatan lebih ringkas berbanding Cool Blue dan Power Yellow, namun saya merasa seperti memegang peranti bergaya dengan rekaan kulit.

    POCO M3 dilengkapi rekaan setiap bahagian yang membulat, jadi ia tidak akan menyakitkan tangan ketika anda menggenggamnya untuk bermain game. Bahagian hadapan peranti hadir dengan rekaan takuk titisan air dan bezel bawahnya agak tebal, tetapi tidak mengganggu penggunaan skrin peranti.

    Ciri teknologi dan spesifikasi – Harga kelas permulaan, spesifikasi kelas pertengahan

    • Skrin 6.53 inci FHD+ takuk titisan air
    • Cipset Snapdragon 662
    • RAM 4GB + storan 64GB/128GB
    • Tiga kamera utama, 48MP (lensa utama) + 2MP (makro) + 2MP (kedalaman)
    • Kamera swafoto 8MP
    • 6000mAh
    • Menyokong cas pantas 18W
    • Menyokong sensor cap jari di sisi, Face Unlock
    • Bicu audio 3.5mm, port USB Type-C
    • Diperasikan MIUI 12 berasaskan Android 10
    • Pilihan warna: Cool Blue, POCO Yellow and Power Black

    Walaupun POCO M3 dianggap sebagai peranti kelas permulaan, namun ia dilengkapi cipset kelas pertengahan Snapdragon 662. Ia turut dilengkapi RAM 4GB dan dua pilihan storan 64GB atau 128GB. Storannya boleh ditambah melalui kad microSD dan dilengkapi sokongan dua kad pada slot SIM. Jadi, anda tidak perlu mengorbankan kad SIM untuk kad microSD.

    Menyokong dua kad SIM dan satu microSD

    Dari segi konfigurasi, POCO M3 sebenarnya dilengkapi beberapa spesifikasi kelas pertengahan sehingga saya sendiri salah anggap bahawa peranti ini adalah peranti kelas pertengahan.

    Apa yang mengejutkan saya adalah POCO M3 juga hadir dengan dua pembesar suara. Walaupun kualiti audionya tidak sempurna, tetapi ia sudah memadai. Tidak kedengaran kecacatan bunyi walaupun muzik dimainkan dalam kelantangan tertinggi. Kehadiran bicu audio 3.5mm juga membantu memberi pengalaman baik untuk gaming dan tontonan video.

    Kamera utama yang menyokong mod malam. Slow-Mo, mod makro dan filter

    POCO M3 dilengkapi tiga kamera belakang, 48MP + 2MP makro + 2MP kedalaman yang menyokong mod malam, rakaman Slow-Mo, pelbagai filter dan zum digital sehingga 8x.

    Dari segi fotografi, ia kekurangan lensa ultra lebar. Walaupun masih ada segelintir yang tidak menggunakan lensa ultra lebar, namun terdapat kekurangan jika anda ingin mengambil gambar landskap. Kamera hadapan POCO M3 pula dilengkapi lensa 8MP yang menyokong fungsi kecantikan raut wajah seperti membesarkan mata, membentuk raut wajah dan sebagainya.

    Pra-tangkapan gambar; sokongan fungsi kecantikan

    POCO M3 menyokong sensor cap jari di sisi dan ciri Face Unlock. Kelajuan sensor cap jari adalah pantas selagi jari anda tidak basah atau mempunyai bendasing. Untuk ciri Face Unlock pula, anda perlu menunggu sebentar untuk menyahkunci. Lebih melecehkan, peraturan pemakaian pelitup muka akan melambatkan ciri Face Unlock, jadi kami menyarankan anda menggunakan sensor cap jari sahaja.

    POCO M3 menyokong fungsi Game Turbo yang boleh dicapai melalui gerakan seret dari kiri ke kanan skrin semasa anda bermain game. Selain melihat informasi semasa bermain game, fungsi ini turut membenarkan anda menutup aplikasi di latar belakang untuk meningkatkan prestasi peranti.

    Berkenaan jangka hayat bateri, POCO M3 dilengkapi bateri 6000mAh yang menyokong cas pantas 18W. Semasa saya bermain game Honor of Kings, permainan selama 20 minit hanya menyedut kuasa bateri 4-5% sahaja. Tontonan video dalam masa 1 jam 50 minit pula menyedut kuasa bateri sebanyak 15%.

    Untuk penggunaan harian, anda tidak perlu khuatir tentang masalah bateri cepat habis. Pengecasan juga hanya diperlukan sekali dalam setiap dua hari. Walaupun POCO M3 menyokong cas pantas 18W, masa untuk mengecas penuh agak lama iaitu dari 0% hingga 100% selama 3 jam, dari 0% hingga 20% selama 20 minit dan dari 0% hingga 56% selama 1 jam 20 minit.

    Prestasi – Agak memuaskan seperti yang dijangka

    POCO M3 dilengkapi Snapdragon 662, RAM 4GB, storan 64GB/128GB, namun yang berada di tangan kami adalah varian 128GB. Di platform Geekbench, markah ujian untuk Single-Core adalah 311, manakala Multi-Core adalah 1334. Di platform 3DMark pula, POCO M3 mendapat 1173 poin dalam OpenGL ES 3.1.

    Melalui prestasi sebenarnya, saya boleh merasakan terdapat kelewatan ketika ingin kembali kepada halaman utama. Terdapat juga sedikit kelewatan ketika membuka aplikasi, tetapi tidak mendatangkan masalah besar untuk kegunaan harian.

    King of Glory

    Semasa bermain Honor of Kings, skrin telah tersekat seketika (mungkin kerana kali pertama ia dibuka) kerana ia tidak terjadi ketika saya bermain game. Setelah memainkan 3 game, barulah peranti ini terasa panas. Seperti yang dinyatakan tadi, kepanasan peranti kurang di bahagian belakang kerana litupan kulit yang ada, namun masih terasa di bahagian modul kamera dan skrin.

    Semasa bermain Genshin Impact, kualiti imejnya tidak terlalu ideal dan persembahan grafik karakter agak tidak memuaskan. Kadang-kadang, skrin juga tersekat semasa bermain game. Oleh itu, prestasinya adalah memadai sahaja.

    Genshin Impact

    Mengenai prestasi fotografi pula, warna yang dihasilkan dalam gambar melalui POCO M3 adalah terang dan mempunyai butiran baik jika diambil dalam pencahayaan yang baik. Tangkapan pada waktu malam pula menghasilkan warna yang cerah dari keadaan sebenar dan butirannya masih jelas jika tangan anda tidak menggeletar semasa mengambil gambar waktu malam.

    Apabila mod malam diaktifkan, gambar sememangnya akan lebih cerah jika anda mengambilnya dalam keadaan yang mempunyai cahaya walaupun sedikit. Namun, mod malam tidak mendatangkan apa-apa kesan jika anda mengambil gambar dalam suasana yang gelap, hingar juga hadir pada gambar. Semestinya, POCO perlu menambah baik mod malamnya. Namun, prestasi kamera secara keseluruhannya adalah baik untuk sebuah peranti kelas permulaan.

    Kesimpulan – Sememangnya pembunuh peranti kelas permulaan lain

    Sebagai kesimpulan, POCO M3 diklasifikasikan sebagai peranti kelas permulaan, tetapi spesifikasinya lebih menjurus kepada peranti kelas pertengahan. Dengan harga bermula pada RM599, ia sememangnya boleh dipanggil pembunuh peranti kelas permulaan lain. Jika anda bertuah, anda boleh mendapatkan POCO M3 pada harga lebih rendah semasa promosi dilangsungkan (promosi yang lepas sudah tamat tempoh).

    Mungkin terdapat kekurangan pada POCO M3 dari segi prestasi gaming atau kamera, namun ia selari dengan harga dan fungsinya sebagai peranti berharga RM599. Jika anda inginkan lebih prestasi, anda mungkin boleh mempertimbangkan POCO X3 NFC.

    Pesaing POCO M3 ialah realme Narzo 20. Jika anda menyukai peranti dengan prestasi kamera baik, anda boleh memilih realme Narzo 20 yang memiliki lensa ultra lebar. Namun, POCO M3 sudah memadai jika anda ingin menggunakan peranti yang mencukupi penggunaan harian sahaja.

    Komen ulasan anda pula di laman Facebook kami dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk ulasan gajet terkini.

     

    Artikel Terkini

    Apple mengalih keluar WhatsApp dan Thread daripada App Store di China

    Menurut Reuters, Apple melaporkan bahawa Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) meminta Apple untuk mengalih keluar aplikasi WhatsApp dan Threads daripada App Store...

    Nubia Neo 2 5G akan dilancar di Malaysia pada 22 April 2024

    ZTE Malaysia telah memberi petunjuk ketibaan telefon pintar gaming jarak pertengahan di halaman Facebook yang akan dilancarkan pada 22 April 2024. Telefon...

    Meta AI umum akan datang ke Facebook, WhatsApp, Messenger dan Instagram kelak

    Meta AI yang dibina dengan Meta Llama 3 kini tersedia untuk beberapa negara di luar AS tetapi Malaysia masih belum menerimanya...

    HUAWEI nova 12i dilancar di Malaysia: SD 680, kamera 108MP dan storan 256GB pada...

    HUAWEI memperkenalkan HUAWEI nova 12i di seluruh negara, tambahan terbaru kepada siri nova dengan reka bentuk anggun. Ia menampilkan reka bentuk Cincin...

    Sony menukar polistirena kepada biopolimer biodegradasi dalam bungkusan untuk pelihara alam

    Sony merupakan syarikat pertama dalam industri yang menghapuskan penggunaan bahan kusyen buih polistirena untuk TV besar melibatkan BRAVIA 9 dan TV LED...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X