fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy A31 – Sekadar baik untuk semua tugasan harian

    Samsung Malaysia telah melancarkan sebuah lagi model dalam barisan telefon pintar kelas pertengahan Galaxy A, iaitu Galaxy A31. Pasaran telefon kelas ini nampaknya memang sengit, terutamanya apabila ada sahaja telefon baru daripada pelbagai jenama yang dilancarkan pada setiap bulan.

    Jadi apakah yang membezakan Galaxy A31 dengan telefon lain dan yang lebih penting, adakah ia telefon yang bagus? Ayuh baca ulasan kami dan mari lihat sama ada ia mempunyai “Awesome Scren, Awesome Camera, Long Lasting Battery Life” seperti dalam lagu iklan Galaxy A.

    Rekaan – Rasa premium walaupun pada harga kelas pertengahan

    Mari kita lihat pada perkara pertama yang anda boleh lihat pada telefon ini, iaitu rekaan luarannya. Sebaik sahaja anda memegang telefon ini, anda boleh merasakan mutu binaan (build quality) yang sangat premium. Malah, saya rasa tidak jauh bezanya dengan telefon flagship Galaxy S20+ yang saya ulas beberapa bulan lalu.

    Permukaan belakangnya rasa seperti gelas, namun ia bukanlah dibuat daripada bahan itu. Ia sebenarnya adalah material yang dinamakan ‘glasstic’ oleh Samsung, iaitu permukaan plastik yang telah telah diolah untuk nampak dan rasa seperti gelas. Sungguh pun begitu, saya tidak mempunyai sebarang rungutan terhadap permukaan ini, terutamanya untuk telefon kelas pertengahan.

    Walaupun ia sebenarnya adalah plastik, ia nampak sangat premium dan rasa seperti kaca!
    Varian warna yang diberikan kepada kami adalah hitam Prism Crush Black, biru Prism Crush Blue dan putih Prism Crush White.

    Di belakangnya juga terdapat sebuah bonggol kamera yang dihuni oleh empat kamera dan ia direka seperti dalam siri Galaxy S20.

    Sewaktu syarikat telefon pintar kerap menghasilkan bonggol kamera yang tebal dalam produk mereka, Galaxy A31 tidak mengikuti trend itu. Ia adalah agak nipis dan nampak hampir selari dengan permukaan belakang telefon tersebut.

    Bonggol kamera Galaxy A31 yang nipis.

    Untuk bahagian sisi, terdapat butang suis dan kawalan kelantangan bunyi di sebelah kanan manakala di sebelah kiri pula terdapat ruang dwi-kad SIM serta kad memori microSD.

    Di bahagian bawah pula terdapat bicu audio 3.5mm, penghubung USB Type-C, mikrofon dan pembesar suara.

    Bahagian atas, bawah dan sisi Galaxy A31.

    Sekarang mari kita lihat pada paparannya, iaitu skrin Super AMOLED berukuran 6.4 inci dengan resolusi HD Penuh+ (1080 x 2400) dan nisbah skrin-ke-badan setinggi 84.9%.

    Sewaktu telefon kelas pertengahan lain dilengkapi nisbah skrin-ke-badan dalam lingkungan 90%, agak mengecewakan apabila Galaxy A31 hanya mempunyai 84.9%. Ini jelas boleh dilihat pada sempadan bezel yang agak tebal di bahagian bawah. Terdapat juga lubang punch hole kecil yang berada di bahagian atas tengah skrin dan menempatkan kamera selfie.

    Paparan Super AMOLED dalam Galaxy A31 yang sangat cantik dan berwarna.
    Terdapat juga sebuah lubang kecil ‘punch hole’ yang menempatkan kamera selfie, manakala di bawah pula terdapat sempadan ‘bezel’ yang agak tebal.

    Spesifikasi – Usah risau tentang hayat bateri

    Skrin Super AMOLED yang terdapat pada Galaxy A31 memberikan imej yang sangat cantik dengan warna yang terang, seperti yang kita boleh jangkakan daripada Samsung. Walaupun dengan kadar segar semula yang biasa pada 60Hz, kualiti imej yang cantik mengimbangi kekurangan tersebut. Selain itu, terdapat juga pengimbas cap jari yang berada di bawah skrin.

    Daripada segi dalaman, ia dioperasi oleh cipset MediaTek Helio P65, cipset untuk peranti kelas pertengahan yang turut terdapat dalam Galaxy A41. Kita akan ulas prestasi penggunaan Galaxy A31 dalam seksyen Prestasi di bawah.

    Sudah menjadi kelaziman untuk kamera dalam lingkungan harga ini untuk mempunyai empat kamera dan A31 juga tidak terkecuali. Ia terdiri daripada kamera utama 48MP, kamera ultra-lebar 8MP, kamera makro 5MP dan sensor kedalaman 5MP, manakala di bahagian hadapan pula adalah kamera selfie 20MP.

    Galaxy A31 mempunya susunan kamera mirip Galaxy S20.

    Dengan kapasiti 5,000mAh, bateri dalam Galaxy A31 ini agak besar dan tentunya tiada masalah untuk anda gunakannya sepanjang hari. Untuk mengecasnya, telefon ini dilengkapi pengecasan pantas 15W.

    Berikut adalah senarai spesifikasi penuh Galaxy A31:

    • Cipset MediaTek Helio P65
    • RAM 6GB, storan 128GB
    • Paparan Super AMOLED 6.4 inci beresolusi 1080 x 2400
    • Kamera utama 48MP, kamera ultra-lebar 8MP, kamera makro 5MP dan sensor kedalaman 5MP
    • Kamera selfie 20MP
    • Bateri 5,000mAh dengan pengecasan pantas 15W
    • Sistem operasi One UI 2.0 berdasarkan Android 10
    • Pengimbas cap jari bawah skrin, bicu audio 3.5mm

    Prestasi – Serba boleh untuk kebanyakan tugas

    Menurut ujian penanda aras dalam AnTuTu yang telah saya lakukan, Samsung Galaxy A31 mendapat markah sebanyak 156579, lebih rendah berbanding telefon kelas pertengahan lain seperti HONOR 9X Lite (166879), HONOR 9X (184545), Redmi Note 9S (252662) dan realme C3 (178152). Tetapi adakah ini bermaksud anda boleh memandang rendah terhadap telefon ini?

    Seperti yang saya nyatakan tadi, skrin Super AMOLED memberikan imej yang sangat cantik dan amat memuaskan sewaktu saya menonton video YouTube, melayari media sosial atau bermain game

    Walau bagaimanapun, saya mengalami kesukaran sewaktu menggunakan Galaxy A31 di bawah matahari terik. Walaupun dengan keterangan (brightness) tertinggi, ia masih tidak dapat menyaingi kesan silau. Selain itu, saya juga rasa terganggu sedikit dengan sempadan bezel yang tebal di bahagian bawah skrin.

    Pengimbas cap jari yang berada di bawah skrin pula sangat responsif, ia boleh membaca cap jari saya dengan sangat cepat. Jika anda ingin menggunakan pengecaman wajah untuk membuka skrin, anda juga boleh berbuat demikian melalui kamera selfie. Fungsi pengecaman wajah ini juga sangat responsif seperti pengimbas cap jarinya. Malah, ia juga berfungsi dalam keadaan malap namun mengambil masa yang lebih lama sedikit untuk mengecam muka saya.

    Apabila saya bermain game dalam telefon ini, saya boleh lihat mengapa markah AnTuTu-nya lebih rendah daripada telefon yang saya sebutkan tadi. Saya telah mencuba game seperti PUBG Mobile dan COD Mobile yang tidak terlalu membebankan terhadap cipset dalam telefon, namun frame rate masih tidak konsisten.

    Ini bukanlah bermakna game tersebut tidak boleh dimainkan dalam Galaxy A31. Untuk pengalaman gaming yang lebih lancar, saya hanya perlu menurunkan seting grafik. Jika anda adalah gamer yang mementingkan mutu grafik sewaktu bermain dan inginkin prestasi lancar pada waktu yang sama, A31 mungkin bukan telefon untuk anda. 

    Dengan bateri sebesar 5,000mAh, banyak tugas yang anda boleh buat dalam Galaxy A31 dalam sehari dan anda masih akan mempunyai baki hayat bateri yang banyak pada malam hari. Dalam ujian penggunaan harian saya di mana Galaxy A31 telah dicaj penuh pada waktu pagi, bateri tersebut masih mempunyai 30% sewaktu saya ingin tidur pada waktu malam. Jadi, bateri yang besar tentunya adalah daya penarik utama untuk telefon ini.

    Namun, daripada segi pengecasan ia tidaklah menakjubkan. Samsung Malaysia tidak memberikan saya unit pengecas bersama telefon ini, namun saya memiliki sebuah Galaxy A50 yang turut dilengkapi pengecasan 15W yang sama. Menggunakan pengecas tersebut, saya memerlukan masa hampir dua jam untuk pengecasan penuh daripada 5%.

    Pengecasan daripada 4% ke 95% mengambil masa 1 jam 55 minit. Biasanya pengecasan penuh mengambil masa lebih kurang dua jam.

    Bagaimana pula dengan kamera? Sukacita saya katakan bahawa kamera Galaxy A31 mengambil gambar yang sangat cantik dalam kebanyakan situasi.

    Berikut adalah contoh gambar yang diambil menggunakan kamera utama 48MP:

    Warna-warni donat ini nampak sangat menyelerakan.
    Tiada masalah untuk gambar ‘indoor’.
    Suasana petang di sebuah ‘skate park’.
    Gambar nasi lemak ini diambil menggunakan mod Food.
    Banjaran bukit Tabur.
    Walaupun berada di teduhan pokok dan situasi membelakangkan cahaya (backlit) kamera ini masih mampu menampakkan butiran pokok tersebut.

    Kamera ultra-lebar juga memberikan hasil yang agak memuaskan, walaupun sedikit efek bengkok (distortion) terhasil.

    Berikut adalah contoh gambar yang diambil daripada kamera ultra-lebar:

    Suasana senja di ‘skate park’ Lembah keramat.
    Berdasarkan menara masjid ini, anda boleh lihat sedikit ‘distortion’ dalam gambar ultra-lebar, namun ia tidaklah terlalu ketara.
    Berjaya mendapatkan seluruh banjaran Bukit Tabur.

    Kamera makro pula sangat berguna apabila anda ingin mengambil gambar subjek dengan dekat, namun warna dalam kamera makro nampak seperti lebih terang daripada dalam kamera utama.

    Berikut adalah gambar beberapa bunga yang diambil menggunakan kamera makro:

    Tentunya fungsi makro amat berguna untuk mengambil gambar bunga secara dekat.
    Boleh nampak semut dengan sangat jelas.
    Perbandingan warna antara kamera utama (kiri) dan kamera makro (kanan).

    Walaupun Galaxy A31 adalah telefon kelas pertengahan, ia mampu mengambil gambar pada waktu malap dengan baik dalam mod auto. Selalunya dalam telefon kelas ini, penggambaran malap adalah sesuatu yang tidak begitu bagus, namun tidak untuk Galaxy A31.

    Walaupun dengan sumber cahaya yang rendah, ia mampu menerangkan subjek dalam gambar. Berikut adalah contoh gambar malap yang diambil:

    Lampu di bawah pokok ini sebenarnya sangat malap.
    Cantik kan moped ni?
    Hijau daun masih terang walaupun dalam cahaya yang kurang.
    Contoh gambar yang diambil dalam situasi yang sangat malap. Mata saya pun tidak boleh nampak seterang ini. Walaupun tidak sempurna, hijau pada daun pokok masih boleh dilihat.

    Satu perkara yang saya minati adalah mod Live Focus yang akan memfokuskan muka anda sewaktu mengambil gambar dan mengkaburkan latar belakang.

    Tentunya ini akan membawa selfie anda ke tahap yang lebih cantik. Walau bagaimanapun, fungsi ini hanya untuk gambar sahaja dan bukan video.

    Perbandingan antara gambar selfie ‘Live Focus’ (kiri) dengan selfie biasa (kanan). Efek bokeh pada latar belakang di sebelah kiri nampak kemas.

    Namun, jika anda adalah seorang yang betul-betul meminati fotografi, mungkin kamera dalam Galaxy A31 bukan untuk anda. Ini adalah kerana kamera ini tidak mempunyai banyak fungsi ekstra selain daripada fungsi automatik. 

    Jika anda memilih untuk tidak mengambil gambar secara automatik, anda hanya boleh memilih mod Food, Panorama dan Macro sahaja. Dalam tetapan Pro pun, anda hanya sekadar boleh memilih nilai ISO, exposure value dan white balance sahaja. Mod malam (night mode) pun tidak ada dalam kamera ini.

    Kamera dalam Galaxy A31 tidak memberikan kawalan yang banyak kepada anda.

    Daripada segi video, ia mampu merakam video 1080p pada 30 bingkai sesaat (frames per second). Ia tidak menyokong rakaman 4K, namun pada tanda harga ini, ia adalah sesuatu yang boleh dijangkakan. Kualiti videonya baik dan fungsi autofokusnya juga berfungsi dengan amat laju.

    Namun, ia tidak dilengkapi sebarang teknologi penstabilan imej jadi kalau anda merakam sambil berjalan, getaran dalam video akan nampak sangat jelas.

    Kesimpulan – Telefon yang elok untuk majoriti tugasan harian

    Pengalaman saya menggunakan Samsung A31 adalah sangat baik dan saya mengesyorkannya jika anda inginkan telefon pintar kelas pertengahan yang tidak mempunyai gimik keterlaluan dan tidak akan mengecewakan anda sewaktu anda memerlukannya. Jika saya ingin menggunakan semula lagu dalam iklan Galaxy A untuk menghuraikan telefon ini, ia mempunyai “Awesome Screen, OK Camera, Long Lasting Battery Life.”

    Pada harga RM1,099, ia adalah sebuah produk yang sangat berbaloi Namun, jika anda adalah pengguna yang mengutamakan prestasi gaming atau fotografi, mungkin anda boleh cari telefon kelas pertengahan yang lain. Untuk gaming, anda boleh dapatkan HONOR 9X atau Redmi Note 9S, manakala untuk fotografi pula anda boleh lihat pada OPPO A92.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dalam membuat pilihan sewaktu membeli telefon pintar dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Siri HUAWEI nova 12 dilancar di Malaysia: Kamera 108MP & EMUI 14 bermula RM1,299

    HUAWEI mengumumkan ketibaan siri HUAWEI nova 12 di Malaysia yang terdiri daripada nova 12s, nova 12 SE dan nova 12i. Barisan ini menawarkan pengguna pelbagai...

    realme 12 5G dilancar di Malaysia: Kamera 108MP, skrin 6.72″, cas pantas 45W bermula...

    Pada hari ini, realme Malaysia melancarkan telefon kelas pertengahan terbaru dalam siri realme Number Series iaitu realme 12 5G. Ia merupakan model...

    Pelan suku tahunan Disney+ Hotstar akan dinaikkan kepada RM79.90 bermula 24 April ini

    Seperti yang dijangka, harga langganan untuk Disney+ Hotstar akan dinaikkan bermula pada 24 April 2024. Selain itu, syarikat tersebut juga akan mengeluarkan...

    Apple akui pertimbangkan Apple Watch untuk Android berikutan mahkamah Amerika Syarikat

    Apple telah mengesahkan bahawa ia pernah mempertimbangkan untuk mencipta Apple Watch yang serasi dengan peranti Android sebagai sebahagian daripada tindak balasnya terhadap...

    WhatsApp bakal perkenalkan ciri untuk alih keluar pratonton pautan

    Versi semasa WhatsApp untuk Android secara automatik menjana pratonton untuk pautan laman web yang dihantar dalam sembang dengan memaparkan tajuk, perihalan dan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X