fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy S21 Ultra – Prestasi tinggi yang berbaloi dengan harganya

    Pada tahun ini, Samsung telah melancarkan telefon pintar andalan Samsung Galaxy S21 Ultra lebih awal daripada tahun-tahun sebelum ini, membuatkan ramai tertanya-tanya jika Samsung mampu menawarkan prestasi yang lebih tinggi dalam tempoh yang sangat singkat selepas pelancaran Galaxy S20 Ultra pada tahun lalu.

    Selepas menggunakannya untuk beberapa minggu, kami berpendapat bahawa Samsung berjaya menghasilkan sekuel yang bagus kepada Galaxy S20 Ultra, terutamanya pada segi rekaan luaran, prestasi dan kamera. Tanpa membuang masa, ayuh baca ulasan kami untuk peranti hebat ini.

    Rekaan – Sangat mudah dikenali

    Kami mulakan dulu ulasan ini dengan perkara yang paling menonjol pada telefon ini iaitu bonggol kameranya. Rekaan baru yang diperkenalkan dalam Samsung Galaxy S21 Ultra menggabungkan bonggol kamera dengan rangka telefon, membuatkannya nampak sangat berlainan dengan telefon Galaxy S sebelum ini. Rekaan ini juga meningkatkan lagi keunikannya berbanding telefon daripada jenama-jenama pesaing.

    Warna yang kami dapat adalah perak Phantom Silver, berlainan dengan satu lagi pilihan iaitu hitam Phantom Black. Kedua-duanya menampilkan sudahan pusam (matte) pada badan telefon dan bonggol kamera di mana warnanya memang membuatkan telefon ini nampak unggul. Nampaknya Galaxy S21 Ultra berjaya menyelesaikan masalah kesan cap jari pada badan telefon, tanpa mengabaikan rekaan yang premium untuk telefon kelas andalan.

    Di depan, Galaxy S21 Ultra dilengkap skrin Dynamic AMOLED 2X Infinity-O dengan kadar segar semula 120Hz. Pengguna pasti berpuas hati dengan mutu gambar yang dihasilkan dengan resolusi WQHD+ dengan kadar segar semula 120Hz, membuatkan sebarang leretan nampak sangat lancar dan sedap mata memandang.

    Bagi mengekalkan tahap warna dan butiran yang jelas, kadar segar semula dalam skrin ini boleh berubah secara automatik mengikut aplikasi yang sedang digunakan tanpa sebarang efek koyak (screen tearing) atau warna yang tidak sekata. Selain itu, walaupun skrinnya bukanlah skrin rata, lengkungan di bahagian sisi tidaklah terlalu ketara jadi anda tidak akan mengalami sebarang masalah sentuhan yang tidak dikehendaki.

    Buat kali pertama dalam sejarah Samsung, telefon ini tidak mempunyai pengecas yang disertakan bersama dalam kotak, jadi pengguna perlu membelinya secara berasingan atau menggunakan pengecas daripada telefon lama. Pengecas 25W yang disertakan bersama Samsung Galaxy Note 10+ masih boleh digunakan dengan Galaxy S21 Ultra. Di samping itu, S-Pen daripada Galaxy Note 10+ juga boleh dipakai pada skrin Galaxy S21 Ultra.

    Spesifikasi – Adakah ia betul-betul lebih baik dari tahun lepas?

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Samsung Galaxy S21 Ultra:

    • Skrin Dynamic AMOLED 2X Infinity-O WQHD+ 10~120Hz berukuran 6.8 inci
    • Cipset Exynos 2100 5nm
    • RAM 12GB
    • Storan 128GB atau 256GB
    • Kamera utama 108MP dengan OIS + kamera ultra-lebar 12MP + kamera telefoto 3x 10MP + kamera telefoto 10x 10MP
    • Kamera swafoto 40MP
    • Fungsi kamera Laser Autofocus, 100x Space Zoom dengan Zoom Lock, rakaman video 8K dengan Video Snap, rakaman 4K 60fps pada semua lensa, Super Steady Mode, Director View, Single Take
    • Rating Kalis air IP68
    • Dwi-pembesar suara stereo AKG, Samsung DeX, pengimbas cap jari ultrasonik
    • Sokongan S Pen, rangkaian 5G dan WiFi 6E
    • bater 5,000mAh dengan Wireless PowerShare, Super Fast Charging, Fast Wireless Charging

    Seperti yang boleh dijangkakan, Samsung Galaxy S21 Ultra dilengkapi spesifikasi yang tercanggih dalam siri Galaxy S21, terutamanya daripada segi storan dalaman. Samsung menyediakan storan 256GB untuk pasaran Malaysia pada tahun ini, memudahkan pengguna untuk menyimpan lebih banyak data.

    Galaxy S21 Ultra yang dijual dalam Malaysia dilengkapi cipset Exynos 2100 yang lebih stabil berbanding generasi sebelumnya dan membenarkan peranti ini untuk menyokong rangkaian 5G. Walaupun negara kita masih belum mempunyai infrastruktur 5G, sekurang-kurangnya pengguna Galaxy S21 Ultra boleh memanfaatkannya sebaik sahaja ia disediakan dalam masa terdekat.

    Daripada segi kamera, Galaxy S21 Ultra menampilkan kamera 108MP generasi kedua dan dua kamera telefoto, di mana satu boleh zum sejauh 3x manakala satu lagi boleh zum sehingga 10x untuk meningkatkan kualiti gambar zum serta penstabilannya. Fungsi yang ditawarkan agak lengkap seperti Galaxy Note20, namun Galaxy S21 Ultra mempunyai fungsi Zoom Lock yang membenarkan pengguna untuk mengambil gambar yang stabil walaupun apabila zum sehingga 30x.

    Perisian OneUI 3.1 dalam Galaxy S21 Ultra adalah mesra pengguna dan rasa amat serupa dengan peranti Samsung lain, termasuklah dengan fungsi keselamatan Samsung Knox dan sokongan untuk dihubungkan ke elektronik Samsung lain seperti Galaxy Buds, Galaxy SmartTag, tablet dan televisyen.

    Jika anda memiliki stilus S Pen, anda boleh menggunakannya pada Galaxy S21 Ultra dan kegunaannya adalah sangat lengkap dan responsif. Anda boleh gunakan S Pen daripada telefon Galaxy Note sebelum ini atau anda boleh membelinya bersama Galaxy S21 Ultra. Di samping itu, S Pen ini juga tidak perlu dicas, jadi anda tidak perlu risau tentang tenaga untuk stilus tersebut.

    Fungsi Secure Folder dalam Samsung Knox masih terdapat dalam telefon ini

    Prestasi – Pantas seperti yang boleh dijangkakan untuk Galaxy S

    Dengan cipset andalan Exynos 2100, prestasi Samsung Galaxy S21 Ultra memang tidak mengecewakan kami. Sebagai pemproses 5nm pertama oleh Samsung, ia mengoperasikan pelbagai game dan aplikasi dengan baik. Jika dilihat pada perkhidmatan penanda aras GeekBench, telefon ini mendapat markah teras tunggal sebanyak 861 dan markah multi-teras sebanyak 2713. Dalam 3D Mark pula, Galaxy S21 Ultra mendapat markah antara yang paling tinggi, jadi anda tidak perlu risau langsung tentang prestasi gaming.

    Bercakap tentang gaming, aplikasi Game Launcher dalam Galaxy S21 Ultra telah dikemas kini dengan Priority Mode di mana pengguna boleh mematikan fungsi panggilan telefon dan untuk memfokuskan keupayaan RAM kepada prestasi gaming. Selain itu, pengguna juga boleh mengaktifkan fungsi anti-silap sentuh (anti-mistouch), memilih kadar bingkai (frame rate) dan mod prestasi. Jika anda ingin memanjangkan hayat bateri, lebih elok untuk mematikan Priority Mode sewaktu bermain game. Sungguh pun begitu, Galaxy S21 Ultra masih boleh menjana prestasi yang bagus.

    Daripada segi skrin, walaupun telefon ini menyokong kadar bingkai 120Hz, sesetengah game seperti Genshin Impact hanya boleh dimainkan pada kadar 60Hz. Untuk COD Mobile pula, kami boleh meningkatkan kadar bingkai ke tahap tertinggi. Kadar bacaan sentuhan 240Hz juga akan memudahkan anda untuk bermain game dengan lebih kompetitif.

    Untuk hayat bateri pula, cipset Exynos 2100 menunjukkan kecekapan yang lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya. Anda pasti boleh menggunakannya lebih daripada sehari, manakala penggunaan tenaga sewaktu gaming juga tidaklah terlalu tinggi iaitu sekitar 30 minit untuk 10% daripada kapasiti bateri.

    Jika Priority Mode diaktifkan, penggunaan bateri akan meningkat sewaktu gaming. Daripada segi suhu, ia tidaklah terlalu panas namun saya masih tidak mengesyorkan anda untuk bermain game sambil mengecas telefon ini.

    Antara fungsi utama dalam Galaxy S21 Ultra adalah pada kamera 108MP yang mampu menghasilkan gambar berkualiti tinggi. Dengan sensor yang besar, mutu gambar pada waktu malap juga adalah sangat terang. Kamera telefoto dan sudut ultra-lebar juga boleh menghasilkan gambar bermutu profesional dengan warna dan butiran tinggi. Dengan megapiksel yang tinggi, anda juga boleh menggunakan kamera utama untuk mengambil gambar makro.

    Daripada segi video, telefon ini boleh merakam dalam resolusi 8K di mana ia boleh menghasilkan gambar beresolusi tinggi daripada rakaman tersebut dengan fungsi Video Snap. Berikut adalah contoh gambar yang diambil menggunakan kamera Galaxy S21 Ultra:

    Contoh gambar kamera ultra-lebar

    Kesimpulan – Peranti terhebat Samsung yang tidak harus dipandang remeh

    Pada pendapat kami, Samsung Galaxy S21 Ultra adalah pilihan yang lebih baik berbanding Samsung Galaxy Note20 Ultra. Walaupun kami lebih menggemari Note20 Ultra daripada segi rekaan luaran, Galaxy S21 Ultra mempunyai naik taraf daripada segi skrin, prestasi, kamera dan banyak lagi. Di samping itu, anda juga boleh gunakan S Pen pada skrin Galaxy S21 Ultra (anda perlu beli sarung khas untuk menempatkan S Pen) yang menambahkan lagi daya tarikan telefon itu.

    Malang sekali, harga Galaxy S21 Ultra mungkin akan membuatkan anda untuk berfikir dua kali sebelum membelinya. Lagipun, telefon berharga RM5,299 ini bukanlah untuk semua orang. Walaupun terdapat varian 128GB untuk pasaran Malaysia, ia masih dijual pada harga RM4,999. Jika anda inginkan alternatif yang lebih murah, Samsung Galaxy S21+ (RM3,999) masih lagi sebuah peranti yang relevan walaupun dengan kamera yang tidak setaraf S21 Ultra dan tiada sokongan S Pen.

    Pesaing utamanya di Malaysia adalah telefon pertama dengan cipset Snapdragon 888 iaitu Xiaomi Mi 11. Telefon ini menawarkan spesifikasi dan prestasi yang hebat, dan apa yang paling menarik tentang telefon ini adalah harganya yang jauh lebih murah iaitu RM2,799 sahaja. Walau bagaimanapun, Mi 11 tidak mempunyai fungsi hubungan kepada Windows atau prestasi kamera yang mampu menyaingi Galaxy S21 Ultra.

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Anda kini boleh tukar iPhone lama anda dalam talian dengan kredit sehingga RM3,900

    Akhirnya, Apple membenarkan pertukaran iPhone lama oleh pelanggan kepada yang baru. Pada mulanya, ia hanya terdapat di negara luar dan kini, program...

    Red Magic 9 Pro+ Bumblebee Transformers Edition dilancar berharga ~RM4,252

    Nubia telah melancarkan telefon pintar Red Magic 9 Pro+ Bumblebee Transformers Edition di China selepas mendedahkan imej promosi pada beberapa hari yang...

    Dyson Airstrait kini boleh didapati di Malaysia pada harga RM2,599

    Dyson memperkenalkan Dyson Airstrait, alat penggayaan rambut revolusioner yang menawarkan pelurus basah ke kering menggunakan udara, menghapuskan keperluan untuk plat panas dan...

    Siri HUAWEI P70 mungkin dilancar pada 2 April 2024

    HUAWEI bersedia untuk memperkenalkan siri HUAWEI P70 pada 2 April 2024, seperti yang ditunjukkan oleh tangkapan skrin yang tersebar di Weibo. Kebocoran...

    Siri vivo V30 5G dedahkan rahsia kesempurnaan potret dengan kelebihan Zeiss

    Dengan bangga, vivo Malaysia mempersembahkan siri vivo V30 5G yang begitu dinantikan di negara kita. Penuhi keperluan teknologi anda dengan peranti yang...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X