Sebulan sudah berlalu dengan pelancaran telefon lipat Samsung terbaru iaitu Galaxy Z Flip6 dan Z Fold6. Dalam artikel ini, saya akan mengulaskan kehebatan dan kekurangan yang anda perlu tahu mengenai Galaxy Z Flip6 sekiranya anda bercadang untuk membelinya. Telefon lipat kali ini banyak membawa ciri-ciri baharu terutamanya dalam penggunaan teknologi AI.
Rekaan – Tidak banyak berubah berbanding pendahulunya
Pilihan warna tahun ini membawa warna-warna yang lembut terutamanya hijau mint, perak, biru dan kuning, menambah sentuhan ceria kepada rekaan telefon yang anggun ini. Rangka aluminium kini dengan kemasan matte berbanding kilat, memberikan rupa dan rasa yang mewah. Kemasan matte ini bukan sahaja meningkatkan estetika telefon, tetapi juga menghalang kesan cap jari dan kotoran daripada melekat bagi memastikan peranti ini sentiasa kelihatan terbaik.
Hinge (engsel) pada Galaxy Z Flip6 perlu diberikan pujian khas. Rekaan engsel dwi-rel yang baru ini adalah peningkatan yang ketara bagi menawarkan operasi yang lebih lancar dan ketahanan yang lebih baik. Ia bergerak dengan lancar, tanpa bunyi dan boleh memegang telefon pada hampir semua sudut sambil menambah kepada kegunaan keseluruhan Z Flip6. Kali ini, kesan lipatan peranti juga semakin berkurangan, masih boleh dilihat tetapi tidak terlalu jelas.
Cincin kamera kali ini membawa warna yang sama dengan badannya dalam kemasan matte menambahkan rupa premiumnya. Lampu flash masih dalam kedudukan yang sama manakala pembesar suaranya membawa reka bentuk baharu seperti pil kurus dan panjang, bukan lagi lubang-lubang kecil yang sukar dibersihkan.
Kedudukan butang lain pula adalah sama dan tidak membawa sebarang perubahan daripada segi fungsi. Dulang SIM di bahagian kiri, butang kuasa dan kawalan audio di sisi kanan serta port USB-C untuk pengecasan dan satu pembesar suara di bahagian bawah peranti. Kamera swafoto yang terdapat pada skrin utama tidak menghalang sebarang penggunaan dan tontonan seperti dalam gambar di bawah.
Namun, satu perubahan ketara adalah sisi telefon yang rata bagi menambah lagi penampilan yang lebih moden namun ia menjejaskan ergonomik, menjadikan Flip6 kurang selesa dipegang. Walaupun sisi rata ini membantu penutupan skrin yang lebih rapat tetapi ia agak sukar dibuka dengan satu tangan. Ini boleh mengecewakan pengguna yang sudah terbiasa dengan sisi yang lebih bulat dan akses yang lebih mudah.
Darpada segi positif, sisi rata pada telefon Flip kali ini lebih stabil ketika didirikan dah tidak mudah bergerak. Oeh itu, sekiranya sisi rata bukanlah pilihan anda, saya mencadangkan pengguna untuk membeli sarung pelindung dengan sisi bulat.
Walau bagaimanapun, di sebalik semua kelebihan ini, Galaxy Z Flip6 tidak membawa banyak pembaharuan jika dibandingkan dengan pendahulunya, Galaxy Z Flip5. Rekaan keseluruhannya kekal hampir sama dan walaupun konsistensi ini mungkin menarik bagi sesetengah pihak, ia boleh dilihat sebagai kekurangan inovasi oleh pihak yang lain.
Spesifikasi – Keistimewaannya lebih kepada fungsi AI
- Cipset Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy
- RAM 12GB dan storan 256GB / RAM 12GB dan storan 512GB
- Skrin penutup: Super AMOLED FlexWindow 3.4 inci
- Skrin utama: Dynamic AMOLED 2X FHD+ 6.7 inci dengan kadar segar semula 120Hz
- Kamera belakang: Kamera lebar 50MP dan kamera ultra lebar 12MP
- Kamera swafoto 10MP
- Bateri 4,000mAh dengan pengecasan 25W
- Penarafan kalis air IP48
- Keselamatan: Samsung Knox with Samsung Knox Vault
- Warna: Biru, kuning, Mint dan Silver Shadow
Jika dilihat daripada segi spesifikasi sahaja, paparan pada Galaxy Z Flip6 tidak menunjukkan perbezaan ketara berbanding Galaxy Z Flip5, baik pada paparan dalamannya mahupun luaran. Paparan utama dalamannya adalah Super AMOLED 2x FHD+ bersaiz 6.7 inci dengan kadar segar semula sehingga 120Hz. Dengan warna kontras yang baik, ia sangat sesuai untuk menonton video atau bermain game.
Paparan luar atau lebih dikenali sebagai FlexWindow adalah skrin sentuh AMOLED bersaiz 3.4 inci dengan kadar segar 60Hz. Walaupun spesifikasi ini memuaskan, saya masih berharap Samsung akan meningkatkan saiz paparan luarannya. Paparan ini juga memberikan pilihan yang lebih banyak untuk disuai dan diperibadikan. Anda bukan sahaja boleh menukar widget pada paparan ini, tetapi kini terdapat pilihan untuk menggabungkan beberapa widget ke dalam satu susun atur skrin utama, menjadikannya lebih mudah untuk melihat perkara penting tanpa perlu membuka telefon
Selain itu, saya sangat menyukai skrin kunci interaktif yang baru yang bertindak balas terhadap sentuhan dan pergerakan, seperti skrin kunci dengan donut yang bergerak apabila anda memiringkan atau memutar Galaxy Z Flip6. Walaupun semua pilihan personalisasi baru dengan FlexWindow ini hebat, akses kepada aplikasi penuh masih memerlukan jalan penyelesaian dengan memuat turun aplikasi Good Lock.
Galaxy Z Flip6 menggunakan cip yang sama seperti dalam Samsung Galaxy S24 iaitu Snapdragon 8 Gen 3 yang mampu memberikan kuasa pemprosesan yang cemerlang. Pengalaman navigasi perisian terasa sangat lancar dengan setiap pergerakan bertindak balas dengan pantas. Ini juga merangkumi aspek lain seperti rutin penggunaan aplikasi dan penukaran antara aplikasi.
Galaxy Z Flip6 dilengkapi dengan Android 14 dan antara muka Samsung One UI 6.1.1. Walaupun antara muka Samsung bukan kegemaran saya, versi terbaru One UI ini sangat lancar, kemas dan sarat dengan ciri-ciri. Jika anda pernah menggunakan telefon Samsung dalam beberapa tahun kebelakangan ini, anda akan merasakan perisian kali ini lebih mudah dan selesa digunakan.
Semua ciri-ciri AI Galaxy yang diperkenalkan dengan siri Galaxy S24 juga terdapat pada Galaxy Z Flip6. Ini termasuk Circle to Search, aplikasi Interpreter, Chat Assist dan lain-lain. Ciri-ciri ini berfungsi pada Z Flip6 seperti pada setiap telefon Samsung lain dengan Galaxy AI tetapi Flip6 mempunyai beberapa tambahan eksklusif.
Contohnya, Photo Assist membolehkan anda mengambil swafoto dan foto diri anda dan menukarnya menjadi foto studio, comic, 3D cartoon, watercolour dan sketch dengan bantuan AI generatif. Generative Edit membolehkan anda menyesuaikan sudut gambar, mengalihkan, mengeluarkan atau mengubah saiz orang dan objek serta mengisi sebarang jurang dalam latar belakang.
Penyelesaian AI ini dapat mengenali objek dengan mudah dan memberikan cadangan yang relevan untuk memperbaiki foto, membolehkan pengguna mengambil gambar terlebih dahulu dan membaikinya kemudian dengan mudah. Photo Ambient pula membolehkan anda mencipta wallpaper kunci yang berubah secara dinamik mengikut cuaca dan masa berdasarkan gambar landskap yang diambil oleh kamera anda.
Dengan Instant Slow-mo, anda boleh menyimpan dan berkongsi klip gerakan perlahan segera daripada video sedia ada atau segera mencipta video gerakan perlahan baru daripada rakaman tanpa perlu disunting. Ciri Sketch to Image menukar lakaran anda kepada gambar yang lebih kreatif dengan teknologi AI yang dikuasakan oleh Galaxy Z Flip6.
Kemudian, ciri Interpreter pada Galaxy Z Flip6 turut meningkatkan komunikasi merentas bahasa. Mod Standard menawarkan terjemahan langsung perbualan yang dituturkan, tersedia sebagai output suara atau teks. Mod Dual Screen menyediakan interpretasi bersemuka melalui skrin penutup, memaparkan terjemahan pada kedua-dua skrin yang menjadikan proses terjemahan bebas tangan dan lancar.
Seperti yang ditunjukkan dalam iklan Samsung Galaxy Z Flip6, ciri Suggested Reply memberikan beberapa cadangan balasan pantas dengan menganalisis sepuluh mesej terakhir anda. Walaupun mesej yang dihantar adalah dalam bahasa Melayu, Suggested Reply masih dapat menganalis mesej tersebut, memberikan respons yang tepat namun diberi cadangan dalam bahasa Inggeris. Ini menjimatkan masa dan memastikan respons anda yang tepat.Â
Samsung Galaxy Z Flip6 mungkin tidak membawa perubahan besar daripada segi spesifikasi jika dibandingkan dengan model sebelumnya, tetapi peningkatan dalam prestasi, kecerahan paparan, dan ciri-ciri AI memberikan pengalaman yang lebih baik secara keseluruhan. Walaupun terdapat beberapa kekurangan seperti saiz paparan luar yang tidak ditingkatkan, Galaxy Z Flip6 masih menawarkan prestasi yang kukuh dan pengalaman penggunaan yang menyenangkan.
Prestasi – Lebih laju, lebih mantap
Samsung Galaxy Z Flip6 membuktikan dirinya sebagai pesaing kuat dalam pasaran telefon lipat, dengan prestasi yang kini benar-benar menyerlah. Ujian penanda aras menunjukkan kekuatannya dengan skor GeekBench sebanyak 1,666 untuk satu teras dan 5875 untuk berbilang teras menandakan peningkatan ketara berbanding pendahulunya.
Peningkatan prestasi ini amat ketara dalam pemprosesan grafik, di mana Z Flip6 mengekalkan kadar bingkai purata yang mengagumkan sebanyak 124 FPS dalam ujian 3DMark Wild Life Stress. Ini diterjemahkan kepada pengalaman game yang lancar, walaupun dalam situasi intensif grafik ketika gaming seperti Mortal Kombat dan Mobile Legends: Bang Bang.
Multi-tugas (multitasking) adalah satu lagi aspek di mana Galaxy Z Flip6 cemerlang. Ia mampu mengendalikan tiga aplikasi secara serentak tanpa sebarang masalah, terima kasih kepada gabungan mod berbilang tetingkap dan ciri pandangan pop-up. Telefon ini kekal responsif dan pantas, menjadikannya ideal untuk pengguna yang perlu melakukan multi-tugas serentak.
Galaxy Z Flip6 dilengkapi dengan bateri 4,000mAh yang terbesar pernah ada dalam model Z Flip. Walaupun ia masih merupakan telefon untuk penggunaan satu hari, ia menawarkan penggunaan seharian yang lebih selesa berbanding pendahulunya. Dengan lebih tiga setengah jam masa skrin yang merangkumi pelbagai aplikasi seperti YouTube, X dan Telegram, Flip6 boleh bertahan bermula 7 pagi sehingga 11 malam dengan baki bateri sekitar 25%. Walaupun masih ada ruang untuk penambahbaikan, ini adalah satu langkah ke hadapan.
Samsung juga telah memperbaiki sistem penyejukan dengan ruang wap yang 50% lebih besar berbanding Galaxy S23 Ultra. Ini membantu menjaga Z Flip6 agar tetap sejuk di bawah tekanan, dan semasa penggunaan biasa. Satu-satunya masa ia menjadi sedikit hangat adalah selepas hampir satu jam menstrim video YouTube pada 2160p sambil menjalankan aplikasi lain serentak.
Sistem kamera Galaxy Z Flip6 adalah baik, walaupun tidak luar biasa. Ia dilengkapi dengan kamera utama 50MP sama seperti pada Galaxy S24 dan S24 Plus ditambah dengan kamera ultra lebar 12MP dan kamera swafoto 10MP. Gambar yang diambil adalah tajam, terperinci dan memaparkan warna yang terang dan semula jadi. Lonjakan daripada kamera 12MP kepada 50MP utama amat ketara, memberikan gambar yang lebih tajam dan peningkatan ciri zum digital.
Kamera ultralebar 12MP dengan sudut pandangan 123 darjah, menangkap lebih banyak dalam bingkai, walaupun terdapat sedikit herotan (distortion) di tepi. Walaupun dengan resolusi yang lebih rendah, ia masih memberikan butiran yang baik dan prestasi warna yang konsisten dengan kamera utama. Secara keseluruhan, walaupun kamera Z Flip6 boleh diharap dan berkemampuan, ia mungkin tidak mencapai tahap beberapa peranti andalan yang lain, tetapi ia menawarkan kepelbagaian dan kualiti yang sepatutnya memuaskan kebanyakan pengguna.
Bukan itu sahaja, fungsi kamera turut menawarkan ciri-ciri baharu seperti Single Take bagi memudahkan sambil memberikan beberapa pilihan tangkapan gambar dan video yang diambil dalam satu video. AR Zone juga dapat menyerlahkan kreativiti anda daripada segi membina karakter AI, emoji, stickers, Doodle, Deco Pic dan ukuran pantas.
Kesimpulan – Berfokuskan peningkatan prestasi dan tambahan ciri AI
Samsung Galaxy Z Flip6 merupakan sebuah peranti yang menarik dalam pasaran telefon lipat, menawarkan peningkatan prestasi berbanding pendahulunya bersama ciri AI yang menarik. Walaupun rekaannya tidak banyak berubah, Flip6 mengekalkan estetika premium dan ketahanan yang ditingkatkan, terutamanya melalui rekaan engsel yang lebih baik dan kemasan matte yang elegan.
Daripada segi spesifikasi, peranti ini terus mengukuhkan kedudukannya dengan cipset Snapdragon 8 Gen 3, memastikan pengalaman pengguna yang lancar dan responsif, walaupun dalam situasi multi-tugas dan gaming yang berat. Bateri yang lebih besar juga memberikan penggunaan seharian yang lebih selesa. Tetapi, harganya RM4,999 adalah agak mahal bagi saya jika dibandingkan dengan telefon Flip yang lain.
Sekiranya anda inginkan telefon lipat yang jauh lebih murah, nubia Flip 5G yang baru sahaja dilancarkan boleh menjadi pilihan anda, Ia berharga RM2,499 menawarkan skrin lipat OLED, storan dalaman 256GB dan bateri 4,310mAh. Untuk telefon yang setaraf, anda boleh memilih OPPO Find N3 Flip dengan cipset Dimensity 9200 bersama 3 kamera talaan Hasselblad berharga RM4,399.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.