fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy Z Fold6 – Kini dengan Galaxy AI dan pengalaman pengguna yang diperbaharui

    Pada waktu ini, telefon lipat telah pun lama berada dalam pasaran dan ia tidak lagi dianggap sebagai peranti yang unik. Jika anda ingat, Samsung merupakan jenama pertama yang melancarkan telefon lipat secara komersial iaitu Samsung Galaxy Z Fold pada 2019. Jenama Korea Selatan itu kini bukan lagi satu-satunya pengeluar telefon lipat, namun siri Galaxy Fold masih mempunyai tarikannya sendiri berbanding para pesaingnya.

    Kini dalam generasi keenam, Samsung Galaxy Z Fold6 masih mengekalkan ciri-ciri yang serupa seperti peranti pendahulunya. Jadi apakah yang baru untuk telefon lipat dengan skrin besar ini? Ayuh baca ulasan oleh penulis TechNave Bahasa Cina untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Perubahan kecil berbanding Fold5

    Walaupun nampak seperti tidak banyak perubahan berbanding telefon tahun lalu, Samsung Galaxy Z Fold6 masih mempunyai beberapa perubahan yang perlu diketengahkan. Rangkanya kini mempunyai lengkungan yang lebih kecil di bahagian sisi, membuatkannya nampak lebih petak.

    Skrin utamanya masih menggunakan panel 7.6 inci (resolusi 1856×2160), namun rangka yang lebih kecil membuatkan skrin ini lebih imersif dan menawrkan pengalaman visual yang lebih baik. Malangnya, garis lipatan di tengah-tengah skrin masih boleh dilihat dengan jelas dan besar kemungkinan tidak akan hilang, walaupun dalam generasi akan datang. Sungguh pun demikian, ia tidak akan menjejaskan pengalaman tontonan anda dengan ketara.

    Rekaan luaran Galaxy Z Fold6

    Satu lagi perkara yang berubah adalah ukurannya. Apabila dilipat, Fold6 mempunyai ketebalan yang lebih nipis berbanding Fold5 kerana engselnya membenarkan lipatan yang lebih rata (flushed). Jika bercakap tentang pengalaman genggaman, mungkin tidak banyak bezanya (12.1mm dan 13.4mm tidak banyak beza) tetapi saya berpendapat ia nampak lebih kemas.

    Ini adalah sesuatu yang saya sudah pun biasa, jadi secara keseluruhan, pengalaman penggunaan tidak banyak berubah berbanding Fold5. Sempadan bezel pada skrin pula kini nampak sama sahaja di semua sisi dan ini adalah penambahbaikan yang sangat elok.

    Spesifikasi – Kini dengan Galaxy AI

    • Skrin utama Foldable Dynamic LTPO AMOLED 2X 7.6 inci, kadar 120Hz, sokongan HDR10+ kecerahan puncak 2,600 nits, kaca Corning Gorilla Glass Victus 2
    • Skrin luaran Dynamic LTPO AMOLED 2X 6.3 inci, kadar 120Hz, kecerahan puncak 2,600 nits, kaca Corning Gorilla Glass Victus 2
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy
    • RAM 12GB
    • Storan dalaman UFS 4.0 256GB, 512GB atau 1TB
    • Kamera utama 50MP + kamera telefoto 10MP + kamera ultra-lebar 12MP
    • Kamera swafoto 10MP (pada skrin luaran), kamera swafoto 4MP (pada skrin utama)
    • Bateri 4,400mAh
    • Pengecasan pantas 25W
    • Rating kalis air IP48
    • Pengimbas cap jari sisi
    • Sistem keselamatan Samsung Knox dan Samsung Knox Vault
    • Pembesar suara stereo AKG
    • Pilihan warna biru Navy, perak Silver Shadow, merah jambu, hitam dan putih

    Sebagai sebuah telefon flagship, kelengkapan Galaxy Z Fold6 ini memang tidak boleh disangkal, dengan cipset Snapdragon 8 Gen 3 yang overclocked, RAM sehingga 12GB dan storan dalaman UFS 4.0 sehingga 512GB. Ini adalah spesifikasi yang boleh dijangka untuk telefon flagship pada waktu ini.

    Sudah tentu, spesifikasi sahaja bukan aspek utama Fold6, kerana sistem operasinya dengan antara muka OneUI 6.1.1 adalah antara penarik utama telefon ini.

    Jadi, apa yang OneUI 6.1.1 bawa untuk telefon lipat Galaxy kali ini? Seperti siri telefon flagship Galaxy S24 yang dilancar pada awal tahun ini, ia membawa fungsi kecerdasan buatan Galaxy AI yang membawa pelbagai fungsi berdasarkan teknologi AI generatif. Jika anda masih tidak tahu manfaat yang dibawakan oleh Galaxy AI, anda boleh baca ulasan Samsung Galaxy S24 Ultra kami atau maklumat lanjut mengenai setiap fungsi yang ditawarkan.

    Secara ringkasnya, Galaxy AI boleh mencantikkan gambar, lukisan dan lakaran. Sewaktu melawat negara-negara luar pula, anda boleh gunakan Terjemahan Langsung (Live Translate) untuk berinteraksi dengan masyarakat tempatan yang bertutur bahasa lain.

    Fungsi Live Translate untuk mudahkan percakapan dengan penutur bahasa lain
    Kameranya tidak terlalu timbul, namun masih elok jika anda pakaikan sarung

    Untuk kamera belakang, Galaxy Z Fold6 mempunyai kamera utama 50MP f/1.8 23mm, kamera telefoto 10MP f/2.4 66mm dan kamera ultra-lebar 12MP f/2.4 12mm. Walaupun kekuatan utama telefon ini bukanlah pada kebolehan fotografinya, ia masih boleh menghasilkan kualiti gambar yang cantik. Untuk bateri, Fold6 mempunyai kapasiti 4,400mAh dan menyokong pengecasan pantas 25W.

    Prestasi – Bagus main game, lebih bagus untuk produktiviti

    Sedia maklum bahawa Galaxy Z Fold6 tidak mempunyai sebarang masalah untuk bermain game. Anda boleh mainkan sebarang game yang ditawarkan dalam Google Play Store serta emulator. Sungguh pun begitu, ia tidak mempunyai sistem penyejukan yang bagus. Untuk game seperti Genshin Impact, telefon ini akan menjadi panas dengan agak cepat jika anda memainkannya pada tetapan grafik tinggi. 

    Anda juga mungkin akan mengalami penurunan kadar bingkai (frame drops). Ini adalah kerana CPU Snapdragon 8 Gen 3 mengalami had throttle apabila suhu menjadi terlalu tinggi. Saya sarankan anda turunkan tetapan grafiknya dan anda boleh nikmati pengalaman bermain game yang lebih konsisten.

    Markah penanda aras 3DMark Solar Bay
    Markah penanda aras 3DMark Solar Bay Stress Test

    Sungguh pun begitu, Fold6 bukanlah peranti yang dikhaskan untuk gaming. Sebaliknya, ia lebih cemerlang dalam aplikasi produktiviti kerana saiz skrin yang besar dan membantu dalam kegiatan multi-tugas. Selain tugasan menaip dokumen, anda juga boleh gunakannya untuk menyunting gambar dan video secara ringkas. Skrin yang besar membuatkan anda lebih senang memegangnya dan menaip menggunakan kedua-dua belah tangan. Walaupun anda membuka beberapa aplikasi serentak, ia tidak akan menjejaskan pengalaman menaip.

    Daripada segi keselamatan, telefon ini mempunyai Samsung Knox untuk menyalin aplikasi seperti WhatsApp (supaya anda boleh menggunakan dua akaun serentak pada telefon). Tambahan lagi, anda boleh simpan akaun kerja atau bisnes dalam Secure Folder yang akan mencipta ruangan peribadi dan disulitkan (encrypted) dalam telefon. Anda juga boleh simpan dokumen lain dalam Secure Folder.

    Sebagai contoh, anda boleh buka dokumen PDF yang sulit dalam Samsung Notes, kemudian sunting atau tinggalkan komen, sebelum menyimpannya dalam folder untuk melindunginya daripada pihak yang tidak diingini.

    Fold6 juga menerima langganan Microsoft 365 Basic selama enam bulan dan menyediakan pengalaman Microsoft Office secara mudah alih yang sangat bagus. Jika anda tidak guna Microsoft Office dan tidak ingin menyambung langganan, Google Docs juga berfungsi dengan baik.

    Tiada masalah untuk buka beberapa aplikasi serentak

    Bagaimana pula dengan hayat bateri? Secara jujurnya, tidak banyak yang boleh dikatakan. Walaupun cipset ini lebih efisien, kami tidak melihat sebarang peningkatan dalam hayat bateri berbanding Galaxy Z Fold5. Ini bukanlah bermakna hayat baterinya tidak bagus. Melainkan anda seorang yang kerap bermain game, pengecasan penuh sudah cukup untuk memastikan penggunaan selama lebih daripada sehari.

    Malangnya, kadar pengecasan 25W sudah dianggap agak lapuk pada waktu telefon flagship lain sudah pun mencapai kadar ratusan Watt, malah ada yang sampai 100W. Jadi, saya nasihatkan anda supaya jangan lupa cas Fold6 sebelum anda tidur pada waktu malam.

    Seterusnya, mari kita bincang tentang prestasi kamera kerana Galaxy Z Fold6 mempunyai kebolehan fotografi dan videografi yang bagus. Gambar yang diambil pada waktu siang mempunyai butiran yang sangat jelas, manakala gambar yang diambil dalam suasana malap nampak jelas dengan noise latar belakang yang rendah.

    Masalah yang ketara datang apabila anda menggunakan kamera swafoto 4MP pada skrin utama, kerana kamera swafoto ini berada di bawah skrin (under-screen camera) dan gambarnya mempunyai butiran yang agak kabur. Ini mungkin kerana resolusi yang lebih rendah atau lapisan kaca tambahan yang berada di hadapan lensa. Jika anda ingin mengambil swafoto dengan Fold6, lebih baik anda gunakan kamera swafoto 10MP yang terletak pada skrin luaran.

    Kesimpulan – Masih lagi salah satu telefon lipat terbaik

    Secara jujurnya, sukar untuk saya bandingkan telefon lipat ini dengan telefon flagship lain. Ia dijual pada harga yang sangat mahal, jadi anda perlu berfikir panjang untuk mengetahui sama ada ia berbaloi untuk kegunaan anda. Jika anda suka dengan saiz skrin utama yang besar, skrin tambahan pada bahagian luar dan kebolehan untuk melakukan tugas produktiviti dalam peranti yang sangat mudah dibawa ke mana-mana, Samsung Galaxy Z Fold6 yang berharga RM7,299 adalah peranti yang sesuai untuk anda.

    Sudah tentu, anda boleh beli Fold6 jika anda inginkan sesuatu yang lain daripada lain, namun pada pendapat saya, keunikan skrin lipat ini jadi bosan dengan agak cepat.

    Bagaimana pula dengan telefon lipat lain yang boleh bersaing dengan Fold6? HONOR Magic V3 merupakan pilihan yang amat sesuai, dengan harga RM6,999 sahaja dan rekaan yang lebih menyerupai sebuah telefon konvensional, walaupun sewaktu ia dilipat. Di samping itu, terdapat juga OPPO Find N3 yang dilancar pada tahun lepas, kini dijual pada harga RM6,999 sahaja (mungkin lebih rendah jika anda lihat di Lazada atau Shopee). Ia mempunyai fungsi bagus, kamera cantik dan rekaan nipis, pastinya pilihan yang bagus jika anda gemar produk OPPO.

    Adakah ulasan ini membantu anda? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

    [Diterjemahkan daripada TechNave Bahasa Cina]

     

    Artikel Terkini

    Infinix ZERO FLIP bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 1 Oktober ini

    Infinix, jenama teknologi yang direka untuk pengguna muda teruja untuk memperkenalkan telefon boleh lipat pertamanya iaitu Infinix ZERO FLIP secara rasmi di...

    Harga PlayStation 5 Pro di Malaysia diumum, lebih mahal sebanyak RM400 berbanding Singapura

    Selepas PlayStation 5 Pro diperkenalkan buat kali pertama pada awal bulan ini, kini Sony Malaysia mengumumkan bahawa PlayStation 5 Pro akan dijual...

    Kerajaan akan menubuhkan Akademi Keselamatan Siber

    Kerajaan akan menubuhkan Akademi Keselamatan Siber untuk mengisi lebih 26,000 kekosongan dalam bidang tersebut. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid...

    Xiaomi kini jenama telefon pintar kedua terbesar di dunia

    Menurut Counterpoint Research, Xiaomi telah mengatasi Apple buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun. Xiaomi kini memegang takhta jenama telefon pintar kedua...

    Nothing Ear (Open) didedah sepenuhnya sebelum pelancaran rasmi

    Nothing kini masuk sebagai pesaing baharu dalam pasaran fon telinga terbuka. Ia telah disahkan melalui laporan oleh WinFuture yang turut mendedahkan kumpulan...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X