fbpx
More

    Ulasan Samsung Galaxy S25 – Telefon dengan fungsi AI canggih dalam saiz kompak

    Sekali pandang, siri telefon pintar andalan (flagship) Samsung Galaxy S25 yang terdiri daripada tiga varian utama – S25, S25+ dan S25 Ultra – seolah-olah tidak mempunyai perbezaan yang ketara dengan siri Galaxy S24 pada tahun lepas. Selain daripada lensa kamera yang mempunyai “cincin” lebih tebal mengelilinginya seperti kamera Samsung Galaxy Z Fold6, siri Galaxy S25 mempunyai rekaan yang sangat serupa dengan generasi pendahulunya.

    Sungguh pun begitu, Samsung mengutamakan pembaharuan dalam fungsi Galaxy AI untuk siri Galaxy S25, sesuatu yang sukar dinilai jika dilihat daripada luaran sahaja. Memandangkan kebanyakan jenama telefon andalan Android sudah pun menawarkan fungsi-fungsi AI mereka sendiri, Samsung perlu tawarkan fungsi AI yang unik untuk memisahkannya daripada saingan.

    Dengan Samsung Galaxy S25 yang standard yang berharga RM3,999, ia mempunyai satu keunikan yang tiada pada telefon andalan lain iaitu saiz skrin 6.2 inci yang lebih kecil berbanding skrin 6.5 hingga 6.7 inci yang kerap didapati pada telefon lain. Jadi adakah ini telefon andalan kompak yang terbaik untuk tahun ini? Ayuh baca ulasan ini untuk mengetahuinya:

    Rekaan – Seperti copy-paste

    Tidak banyak yang perlu dihuraikan tentang rekaan Samsung Galaxy S25 kerana ia adalah hampir serupa dengan Galaxy S24. Perbezaan yang ketara hanyalah pada lensanya, di mana anda boleh lihat bulatan yang lebih tebal berbanding sebelum ini, dan membuatkannya mirip lensa pada Galaxy Z Fold6. Ia tidak mempunyai bonggol kamera yang besar, sebaliknya setiap lensa itu sendiri tertimbul daripada badan telefon. Jadi mungkin lebih sesuai dipanggil sebagai “bonggol lensa,” bukan “bonggol kamera.”

    Rekaan belakang Samsung Galaxy S25
    Cincin yang lebih tebal mengelilingi setiap lensa

    Ia masih mempunyai bahagian sisi yang rata serta bucu yang membulat, manakala skrin di hadapan pula rata sepenuhnya. Satu perkara yang saya suka ialah warna yang dipinjamkan kepada kami adalah merah Coral Red, membuatkannya sangat unik. Warna ini mempunyai sudahan matte, jadi ia tidak meninggalkan sebarang kesan cap jari.

    Perlu diketahui bahawa warna Coral Red hanya boleh didapati daripada laman web Samsung, sama seperti warna Blue Black dan Pink Gold. Jika anda beli daripada mana-mana pihak pengedar ketiga atau kedai fizikal, telefon ini hanya boleh didapati dalam warna Navy, Icy Blue, Silver Shadow dan Mint.

    Bahagian sisi yang rata
    Bahagian bawah menempatkan port USB-C, mikrofon, ruang kad SIM dan pembesar suara
    Bahagian skrin yang rata sepenuhnya di hadapan
    Kandungan yang diterima dalam kotak

    Daripada segi perlindungan, telefon ini mempunyai kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 di hadapan dan belakang, manakala rangkanya dibuat daripada Aluminium Armor 2. Secara teori, ini membuatkan Galaxy S25 sangat tahan lasak dan tidak mudah calar. Ia juga mempunyai rating kalis air IP68.

    Ringkasnya, segala pendapat anda tentang rekaan Galaxy S24 boleh dipakai untuk Galaxy S25. Malah, berani saya katakan bahawa rekaan ini mungkin akan terus diguna untuk Galaxy S26 pada tahun hadapan.

    Spesifikasi – Lengkap dengan Snapdragon 8 Elite

    Berikut adalah spesifikasi penuh untuk Samsung Galaxy S25:

    • Skrin Dynamic AMOLED 2X, kadar segar semula 120Hz
    • Saiz skrin 6.2 inci, resolusi Full HD+
    • Cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite
    • RAM 12GB
    • Storan 256GB atau 512GB
    • Kamera utama 50MP + kamera telefoto 10MP + kamera ultra-lebar 12MP
    • Kamera hadapan 12MP
    • Bateri: 4,000mAh
    • Kadar pengecasan: 25W berwayar (30 minit boleh cas 50%), Fast Wireless Charging 2.0, Wireless Powershare
    • Sistem operasi Android 15 dengan One UI 7
    • Menyokong rangkaian 5G, Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4
    • Rating kalis air IP68, boleh tenggelam 1.5 meter selama 30 minit

    Telefon ini mempunyai segala spesifikasi yang boleh dijangka untuk telefon andalan yang dilancar pada 2025, termasuklah cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite For Galaxy yang menawarkan prestasi lebih pantas sehingga 40%. Daripada aspek yang lain, ia tidak mempunyai perubahan yang ketara daripada Galaxy S24.

    Seperti yang boleh dijangka untuk telefon andalan Samsung, kualiti skrin Galaxy S25 adalah antara yang terbaik. Warna yang dihasilkan nampak cantik, kadar segar semula sehingga 120Hz membuatkan segala animasi nampak sangat lancar, dan kecerahan sehingga 2,600 nits memudahkan saya melihat skrin ini di bawah cahaya terik. Terdapat juga pengimbas cap jari ultrasonik yang responsif di bahagian bawah skrin.

    Skrin yang terang dan cantik, serta sempadan bezel yang nipis

    Satu perkara yang menarik adalah Galaxy S25 kini didatangkan dengan RAM minimum sebanyak 12GB, lebih tinggi berbanding 8GB pada Galaxy S24.

    Pembaharuan yang ketara pada Galaxy S25 boleh dilihat pada perisiannya iaitu One UI 7 yang berasaskan Android 15. Saya harus puji komitmen Samsung yang menawarkan kemas kini perisian selama tujuh tahun, ini bermaksud telefon ini akan kekal menerima kemas kini sehingga Android 22 pada tahun 2032 kelak.

    Anda kini boleh tekan butang kuasa (power button) dengan lama untuk mengakses Gemini yang boleh memahami tugas yang lebih kompleks. Selain itu, Circle to Search with Google kini bukan sahaja boleh mencari maklumat tentang imej yang dipaparkan, malah boleh cari maklumat untuk sebarang audio yang dimainkan.

    Saya menggunakan Gemini untuk menetapkan penggera dalam situasi tertentu
    Carian “beautiful buildings” dalam Gallery saya
    Dua contoh carian dalam Settings, dengan kata arahan “make battery last longer” dan “screen is too bright for me.”

    Selain itu, dalam Settings dan Gallery, anda boleh cari perkara yang anda inginkan, tanpa perlu menaip perkataan yang spesifik. Sebagai contoh, dalam Gallery, saya hanya perlu taip “beautiful buildings” dan ia akan menunjukkan segala gambar yang menunjukkan bangunan menarik. Dalam Settings pula, saya boleh buat carian berdasarkan tetapan yang ingin diubah dengan hanya menanyakan soalan ringkas, seperti “make battery last longer” atau “screen is too bright for me.”

    Bercakap tentang Gallery, seperti Galaxy S24 sebelum ini, anda boleh gunakan Generative Edit untuk menyunting gambar dengan pelbagai cara, seperti melukis elemen tambahan, membuang objek yang tidak diingini, membuat karya seni daripada gambar dan banyak lagi. Lihat contoh-contoh di bawah:

    Saya gunakan Portrait Studio untuk hasilkan karikatur
    Saya gunakan Generative Edit untuk buang orang yang tidak dikehendaki dalam gambar
    Saya gunakan Sketch to Image untuk masukkan kapal terbang pada langit
    Sketch to Image membenarkan contengan saya ditukar kepada karya seni yang lebih cantik

    Satu lagi ciri yang saya kerap gunakan adalah AI Summary dalam pelayar web yang akan meringkaskan sebarang artikel panjang. Telefon ini mempunyai beberapa fungsi AI berdasarkan penterjemahan seperti Interpreter, Call Assist dan Writing Assist dalam pelbagai bahasa terkenal seperti Bahasa Inggeris, Mandarin, Perancis dan Korea, namun malangnya ia tidak menawarkan penterjemahan dalam Bahasa Melayu. Paling terdekat adalah Bahasa Indonesia.

    Fungsi AI yang baharu untuk Galaxy S25 adalah Now Brief yang menunjukkan cuaca terkini, perkara yang perlu dilakukan pada hari tertentu dan cadangan video YouTube. Saya sebenarnya jarang buka Now Brief untuk lihat “laporan harian” yang dikhaskan untuk saya, namun mungkin ada pengguna di luar sana yang berminat dengan fungsi seperti ini.

    Selain itu, Now Bar memaparkan beberapa notifikasi ringkas untuk aplikasi yang aktif, seperti aplikasi muzik yang sedang memainkan lagu, aplikasi jam randik yang sedang menjejak masa atau Google Maps yang sedang menyediakan arahan ke destinasi. Senang cerita, Now Bar adalah Now Brief yang lebih ringkas dan hanya dipaparkan dalam skrin kunci (lock screen). Untuk pengalaman saya, Now Bar adalah fungsi yang lebih bermanfaat dan mudah diguna berbanding Now Brief. Malah, Now Bar nampak seperti Dynamic Island yang popular dalam iPhone, namun versi khas untuk Samsung.

    Contoh laporan Now Brief
    Contoh Now Bar pada lock screen yang memaparkan muzik yang sedang dimainkan
    Jika anda seret daripada bucu atas kiri, anda akan mengakses notifiikasi (gambar kiri), manakala jika anda seret daripada bucu atas kanan, anda akan mengakses Quick Settings (gambar kanan)

    Daripada segi penggunaan biasa, One UI mempunyai antara muka yang mesra pengguna, mudah difahami dan sangat responsif. Satu pembaharuan adalah jika anda tatal daripada bucu atas kanan, anda akan mengakses ikon Quick Settings, manakala jika anda tatal daripada bucu atas kiri, anda akan mengakses ruang notifikasi. Ya, ini sama seperti iOS dalam iPhone.

    Prestasi – Sangat laju, tapi baterinya mungkin tak tahan sangat

    Berikut adalah beberapa penanda aras yang kami lakukan untuk Samsung Galaxy S25:

    Penanda aras Geekbench dengan perbandingan telefon-telefon lain
    Penanda aras 3D Mark Steel Nomad Light Stress Test yang menunjukkan prestasi tinggi, namun kestabilan yang kurang konsisten

    Sebagai sebuah peranti andalan yang dilengkapi cipset Qualcomm Snapdragon 8 Elite, Samsung Galaxy S25 boleh menghasilkan prestasi yang sangat tinggi dalam setiap penggunaan, daripada aplikasi-aplikasi harian hinggalah game berat. Saya memainkan Genshin Impact pada tahap grafik tertinggi pada kadar 60fps dan saya langsung tidak merasakan sebarang penurunan prestasi sewaktu bermain.

    Suhu telefon juga terkawal, ia tidak pernah melebihi 50°C walaupun saya bermain selama lebih daripada setengah jam. Saya akui, rasa kekok sedikit bermain game dalam skrin sekecil 6.2 inci, namun saya tidak mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri.

    Tiada masalah dalam memainkan Genshin Impact

    Walau bagaimanapun, hayat baterinya mungkin tidak cemerlang seperti varian Galaxy S25 yang lebih besar. Untuk Galaxy S25 standard, ia mempunyai kapasiti bateri 4,000mAh sahaja yang agak kecil untuk telefon andalan pada 2025. Untuk penggunaan biasa seperti media sosial, menonton video dan bermesej, bateri ini boleh bertahan selama sehari, namun jika anda kerap bermain game dan merakam video, bateri ini boleh habis dengan cepat.

    Sebagai contoh, sesi bermain Genshin Impact selama 30 minit sahaja mengggunakan sekitar 12% daripada kapasiti bateri dan ini adalah penggunaan bateri yang agak tinggi. Biasanya telefon andalan lain dengan bateri sekitar 5,000mAh, boleh memainkan game sama selama sejam dengan menggunakan kapasiti sekitar 10%. Oleh yang demikian, jika anda serius untuk menggunakan telefon ini sebagai peranti gaming, pastikan anda bawa power bank bersama.

    Untuk pengecasan, telefon ini menyokong kadar pengecasan 25W secara berwayar, namun malangnya pengecas tidak disertakan dalam kotak. Sewaktu saya mengecasnya menggunakan pengecas pihak ketiga berkadar 65W, ia mengambil masa sekitar 1 jam 10 minit untuk pengecasan penuh daripada kosong.

    Pengecasan daripada 4% hingga 97% mengambil masa 1 jam 12 minit (7:34am hingga 8:46am)

    Untuk pengecasan wayarles, ia menyokong kadar 15W seperti Galaxy S24 namun perlu diketahui untuk Galaxy S25 bahawa ia kini menyokong Qi 2.1 yang bermaksud ia menyokong pengecasan wayarles secara magnetik. Sungguh pun begitu, anda perlu dapatkan sarung (casing) yang mempunyai magnet untuk memanfaatkan ciri ini kerana Galaxy S25 tidak mempunyai magnet dalaman.

    Kini saya ingin ulas mengenai prestasi fotografi pada telefon ini. Ia sebenarnya mempunyai spesifikasi kamera yang sama dengan Galaxy S24, malah telah dikekalkan sejak Galaxy S22 lagi. Saya berpendapat ia boleh menghasilkan gambar yang memuaskan dalam setiap situasi, anda boleh nilai sendiri kualiti gambar yang diambil:

    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama
    Gambar kamera utama

    Kamera utama boleh menghasilkan gambar yang cantik jika subjek berada dalam cahaya yang mencukupi, dengan tona warna yang seimbang. Untuk gambar zum pula, kamera ini menawarkan zum optikal sehinga 3x dan zum digital sehingga 30x. Gambar zum sehingga 5x masih boleh diterima, namun apabila melebihi zum 10x, artefak yang tidak diingini seperti noise mula kelihatan. Tidak seperti telefon andalan Android yang lain, Galaxy S25 mempunyai pemprosesan AI yang sederhana sahaja untuk gambar zum jauh.

    Kamera ultra-lebar pula boleh menghasilkan gambar yang cantik, dengan distortion yang rendah di bahagian bucu gambar.

    Gambar zum 3x
    Gambar zum 3x
    Gambar zum 3x
    Gambar ultra-lebar
    Gambar ultra-lebar
    Gambar ultra-lebar

    Gambar yang diambil dengan Night Mode juga nampak kemas, dengan jumlah noise yang rendah dan cahaya yang terkawal. Sungguh pun begitu, gambar Night Mode yang diambil dengan kamera ultra-lebar masih nampak agak kabur berbanding kamera utama.

    Untuk mereka yang gemar mengambil swafoto, Galaxy S25 boleh mengambil gambar swafoto yang kemas di bawah cahaya yang terang, dengan warna tona kulit yang nampak natural. Gambar swafoto potret juga nampak menawan, dengan pemisahan yang kemas antara subjek dengan latar belakang

    Gambar Night Mode
    Gambar Night Mode
    Gambar Night Mode ultra-lebar
    Gambar swafoto biasa
    Gambar swafoto potret

    Untuk rakaman video, telefon ini boleh merakam pada resolusi sehingga 8K 30fps dan kualitinya nampak bagus. Ia mempunyai penstabilan imej optikal yang akan kekal menstabilkan video anda walaupun anda merakam video sambil berjalan.

    Satu ciri yang menarik adalah Audio Eraser, di mana jika anda bercakap dalam rakaman video, Galaxy AI akan cuba mengurangkan bunyi bising di sekeliling anda supaya suara anda didengari dengan lebih jelas. Fungsi ini berfungsi dengan agak baik untuk mengurangkan bunyi bising, namun ada kalanya suara saya sendiri rasa seperti dikaburkan (muffled).

    Kesimpulan – Telefon menarik untuk peminat peranti kompak

    Jika anda mengutamakan saiz telefon Android yang kecil namun tidak mahu berkompromi dengan prestasi tinggi, Samsung Galaxy S25 adalah telefon yang sangat sesuai dan tidak banyak produk lain yang mengutamakan ciri-ciri seperti ini. Anda boleh menikmati reka bentuk yang kecil dan ringan, serta pada masa yang sama boleh menikmati prestasi pantas dan pelbagai fungsi Galaxy AI.

    Meskipun begitu, kapasiti baterinya yang kecil perlu diambil perhatian jika anda berada dalam situasi yang banyak menggunakan bateri, seperti sesi bermain game yang intensif, atau sewaktu anda melancong ke luar negara di mana anda pasti akan banyak gunakan telefon ini untuk semak peta dan mengambil ratusan gambar.

    Alternatif yang sesuai kepada Galaxy S25 adalah Google Pixel 9 (RM3,999) yang mempunyai skrin 6.3 inci, namun cipsetnya agak ketinggalan. Selain itu, jika anda lebih gemar dengan ekosistem iOS, anda boleh pilih iPhone 16 (RM3,999) atau iPhone 16e (RM2,999).

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Apple sarankan pengguna iPhone 16 untuk tidak gunakan sarung pelindung

    Apple dilaporkan menggalakkan pengguna untuk menggunakan iPhone 16 tanpa sebarang sarung pelindung (case). Menurut laporan terkini, iPhone 16 hadir dengan binaan baharu...

    Pulau Pinang perkenal sistem saman parkir automatik berasaskan kamera

    Pulau Pinang kini memperkenalkan sistem saman parkir automatik berteknologi tinggi yang menggunakan kamera untuk mengesan pelanggaran peraturan letak kenderaan. Sistem ini dilancarkan...

    India bakal jadi hab utama pengeluaran iPhone untuk AS

    Apple merancang untuk memindahkan sepenuhnya pengeluaran iPhone untuk pasaran Amerika Syarikat ke India, menurut laporan Reuters. Langkah ini diambil susulan ketegangan perdagangan...

    TSMC dedahkan teknologi cip 1.4nm yang bakal digunakan pada iPhone, GPU Nvidia akan datang

    Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) telah mengumumkan teknologi proses terbaharu 1.4nm atau dikenali sebagai A14 dalam acara European Technology Symposium baru-baru ini....

    Ini 5 fungsi komputer riba NVIDIA GeForce RTX 50 Series yang tingkatkan pengalaman “gaming”...

    Buat para pemain game PC yang sentiasa dahagakan prestasi tertinggi untuk komputer, anda pasti kerap menggunakan desktop besar bagi mendapatkan komponen tercanggih....

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured