Industri telefon pintar kini terus melancarkan telefon andalan (flagship) generasi baharu untuk 2025, yang dilengkapi cipset terkini seperti Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 atau MediaTek Dimensity 9400. Untuk cipset kedua yang disebut tadi, siri vivo X200 merupakan telefon pertama dalam dunia yang menggunakannya dan bakal menawarkan saingan sengit terhadap cipset Qualcomm.
Untuk varian yang terunggul dalam siri ini, vivo X200 Pro, ia mengetengahkan prestasi fotografi zum yang amat jauh, di samping fungsi lensa ZEISS yang sudah pun ditawarkan dalam telefon-telefon vivo X sebelum ini. Kebolehan zum jauh dalam kamera telefon bukanlah tidak pernah didengari sebelum ini, namun vivo X200 Pro menjanjikan kualiti gambar zum yang jauh lebih cantik, termasuklah dalam situasi malap. Jadi, dalam ulasan ini, kami cuba sendiri vivo X200 Pro dan lihat sama ada prestasi dan kebolehan fotografinya boleh memenuhi kenyataan yang dibuat oleh vivo.
Rekaan – Lebih kemas berbanding vivo X100, tapi warna paling cantik tiada di Malaysia
vivo X200 Pro menampilkan rekaan yang hampir sama dengan vivo X100 Pro yang dilancar pada awal Januari tahun ini. Di belakang, ia mempunyai bonggol kamera berbentuk bulat yang agak besar dan tebal, dan bonggol tersebut menempatkan empat lensa. Sungguh pun begitu, susunan lensa vivo X200 Pro telah diubah sedikit berbanding vivo X100 Pro, manakala logo ZEISS masih jelas berada di tengah-tengah.
Daripada segi warna dan kemasan, unit yang dipinjamkan kepada kami mempunyai warna kelabu Titanium Grey dengan sudahan pusam (matte) yang kemas dan langsung tidak meninggalkan kesan cap jari, namun ini juga membuatkannya nampak tidak unik dan sama seperti kebanyakan telefon dalam pasaran. Untuk pasaran Malaysia, telefon ini ditawarkan dalam satu lagi pilihan warna iaitu hitam Carbon Black.
Amat malang sekali bahawa warna biru tidak ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Kami sebenarnya sempat melihat vivo X200 Pro berwarna biru sewaktu kami menghadiri pelancarannya di Beijing, China dan warna biru yang berkilauan itu jauh lebih menawan berbanding warna lain yang ditawarkan.
Satu perkara yang saya harus puji adalah vivo akhirnya membuang cogan kata “Xtreme Imagination” yang terdapat pada bahagian belakang vivo X90 Pro dan vivo X100 Pro sebelum ini, kerana teks tersebut sebenarnya membuatkan dua telefon itu nampak seperti telefon kelas pertengahan sahaja. vivo X200 Pro kini nampak lebih kemas dan elegan, tanpa sebarang teks yang menjengkelkan.
Bahagian sisinya mempunyai rangka yang membulat sedikit, jadi ia tidak tajam dan lebih selesa digenggam. vivo tidak mengikut jejak langkah Apple atau OPPO yang meletakkan butang kamera khas di bahagian sisi, namun mana tahu, mungkin ia akan diperkenalkan pada tahun hadapan.
Spesifikasi – MediaTek generasi baharu!
Berikut adalah spesifikasi penuh untuk vivo X200 Pro:
- Skrin AMOLED 6.78 inci, resolusi 1260×2800, kadar segar semula 1~120Hz, kecerahan puncak 4,500 nits
- Cipset MediaTek Dimensity 9400
- RAM LPDDR5X 16GB
- Storan dalaman UFS 4.0 512GB
- Kamera utama 50MP + kamera ultra-lebar 50MP + kamera telefoto periskop 200MP
- Kamera hadapan 32MP
- Bateri 6,000mAh
- Pengecasan pantas 90W, pengecas disertakan dalam kotak
- Pengecasan wayarles 30W
- Sistem operasi Android 15 dengan Funtouch OS 15
- Rating kalis air IP68 dan IP69
- Menyokong Bluetooth 5.4, Wi-Fi 7
- Pilihan warna hitam Carbon Black dan kelabu Titanium Grey
- Harga: RM4,699
Memandangkan ini adalah telefon kategori andalan, saya rasa ramai pengguna sudah boleh jangkakan kualiti skrin yang bagus pada vivo X200 Pro, dengan panel AMOLED 120Hz yang boleh menghasilkan imej yang sangat terang dan berwarna-warni, resolusi 1260p yang mempunyai butiran jelas, kadar segar semula 120Hz untuk animasi tatal (swiping) yang lancar dan kecerahan setinggi 4,500 nits yang sesuai digunakan bawah cahaya matahari terik.
Mungkin yang lebih menarik adalah ini telefon pertama yang menggunakan cipset MediaTek Dimensity 9400 iaitu cipset andalan generasi baharu oleh MediaTek untuk telefon andalan yang dilancar pada hujung 2024 dan sepanjang 2025. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang prestasinya, saya akan ulas dalam seksyen Prestasi di bawah.
Telefon ini menggunakan sistem operasi Android 15 dengan antara muka Funtouch OS 15 dan seperti kebanyakan telefon andalan yang dilancar pada 2024, ia mempunyai beberapa ciri berdasarkan kecerdasan buatan (AI) seperti AI Note Assist, AI Transcript Assist, vivo Live Call Translation dan Circle to Search with Google, namun segala fungsi AI vivo memerlukan pendaftaran vivo Account.
Prestasi – Adakah ia mampu menumpaskan Snapdragon 8 Elite?
Berikut adalah markah penanda aras yang kami sudah lakukan untuk vivo X200 Pro:
Jika dilihat pada markah penanda aras sahaja, cipset MediaTek Dimensity 9400 memang mengalahkan cipset andalan tahun lepas seperti Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 atau Samsung Exynos 2400. Sungguh pun begitu, ia ketinggalan sedikit berbanding Qualcomm Snapdragon 8 Elite yang merupakan pesaing utama kepadanya.
Sebagai rujukan, dalam ulasan realme GT 7 Pro sebelum ini yang menggunakan cipset Snapdragon 8 Elite, penanda aras Geekbench menunjukkan markah 2,990 mata dalam ujian teras tunggal (2,386 mata untuk vivo X200 Pro) dan 9,145 mata dalam ujian multi-teras (7,428 mata untuk vivo X200 Pro). Jika dilihat pada 3D Mark Solar Bay Stress Test, realme GT 7 Pro mendapat markah 11,360, lebih tinggi sedikit berbanding 11,283 pada vivo X200 Pro.
Tetapi adakah perbezaan markah penanda aras yang tipis ini perlu dipertimbangkan oleh anda? Saya rasa tidak, terutamanya jika anda bukanlah seorang pemain game tegar yang mahukan prestasi sepantas mungkin, dan ingin utamakan prestasi kamera sahaja. Untuk kegunaan harian seperti menonton video, melayari media sosial dan menghantar mesej, telefon ini menawarkan pengalaman yang pantas.
Sepanjang pengalaman saya menggunakan telefon ini, saya tidak pernah rasa tersangkut-sangkut atau lag semasa membuka sebarang aplikasi. Malah, sewaktu bermain game Genshin Impact selama berjam-jam pun, saya tidak mengalami sebarang penurunan kadar bingkai dan boleh memainkannya pada kadar 60 fps dengan sekata, pada tetapan grafik tertinggi.
Baterinya yang berkapasiti besar 6,000mAh juga mampu bertahan selama lebih daripada sehari untuk penggunaan biasa, walaupun anda menggunakan kadar skrin 120Hz pada resolusi 1260p. Jika anda kerap bermain game dan tidak mempunyai sumber pengecasan yang berdekatan, saya nasihatkan anda tidak mengaktifkan Boost Mode dan sebaliknya hanya mainkannya dalam Balanced Mode.
Sebagai rujukan, jika saya memainkan Genshin Impact pada tahap grafik tertinggi dengan mengaktifkan Boost Mode dan mula bermain daripada tahap bateri 100%, selepas 60 minit, bateri sudah turun kepada 87%. Suhunya pula boleh jadi agak panas.
Untuk pengecasan pula, vivo X200 Pro didatangkan bersama pengecas 90W dalam kotak. Untuk pengecasan penuh daripada 0%, ia mengambil masa sekitar 40 ke 50 minit. Perlu diingati bahawa jika anda ingin manfaatkan kadar pengecasan yang paling pantas, anda perlu hidupkan sendiri fungsi “Fast Charging” dalam tetapan bateri, kerana secara lalai (by default) ia tidak dihidupkan.
Tempoh pengecasan (minit) | Peratusan bateri |
0 | 2% |
10 | 27% |
20 | 50% |
40 | 87% |
50 | 100% |
Kini saya ingin ulas mengenai ciri yang paling utama pada vivo X200 Pro iaitu pada kameranya. Jika anda layari laman web vivo atau menonton sebarang iklan video mengenainya, vivo mengetengahkan kebolehan kamera telefon ini untuk zum jauh serta mengambil gambar dan merakam video zum yang jauh lebih cantik berbanding telefon lain.
Ia mempunyai kamera telefoto ZEISS APO 200MP yang menawarkan zum optikal sejauh 3.7x dan zum digital sehingga 100x. vivo memasarkan telefon ini dengan slogan “The Ultimate Concert Phone” kerana sewaktu konsert, anda boleh gunakan kamera telefon ini untuk zum jauh dan ambil gambar seperti anda berada betul-betul di hadapan penyanyi.
Saya telah menggunakan kamera vivo X200 Pro di beberapa konsert untuk mencuba kebolehan zum ini dan saya memang berpuas hati dengan prestasi zum. Jarang sekali sesebuah telefon boleh mengambil gambar yang jelas apabila zum jauh, namun pemprosesan imej AI dalam telefon ini berjaya menghasilkan butiran yang jelas.
Perlu diingati bahawa apabila anda zum 50x ke atas, anda boleh lihat beberapa efek pemprosesan AI yang agak palsu dan nampak aneh. Selain itu, terdapat juga detik di mana telefon ini gagal memproses gambar sebaiknya dan mempunyai banyak noise.
Saya boleh lihat bahawa kebolehan zum ini bukan sahaja boleh dimanfaatkan dalam konsert, malah dalam pelbagai situasi lain seperti menghadiri ceramah atau kuliah universiti.
Bagaimana pula dengan situasi harian atau luar konsert? vivo X200 Pro masih menawarkan prestasi fotografi yang bagus, dengan butiran yang jelas dan kawalan cahaya yang seimbang. Untuk pemprosesan warna, anda boleh pilih antara Vivid, Textured atau ZEISS Natural. Pilihan ketiga mempunyai warna yang lebih menyerupai subjek sebenar, dan jika anda gemarkan warna yang lebih pekat (seperti saya), mod Vivid adalah lebih sesuai.
Selain itu, segala efek bokeh ZEISS yang diperkenalkan dalam siri vivo X sebelum ini, masih lagi ditawarkan dalam vivo X200 Pro. Efek bokeh ini membuatkan gambar potret anda nampak lebih menarik, di mana latar belakang anda mempunyai pelbagai efek cahaya yang lebih unik berbanding telefon biasa.
Untuk video, ia boleh merakam pada resolusi sehingga 8K 30fps, namun yang lebih menarik bagi saya adalah ia boleh merakam video 4K pada kadar 120fps, sesuatu yang jarang terdapat pada telefon lain. Ini membenarkan anda untuk rekod video gerak perlahan (slow-motion) sambil mengekalkan butiran tinggi yang terdapat dalam resolusi 4K.
Kualiti videonya nampak cantik dan jika anda merakam sambil berjalan, penstabilan OIS berfungsi dengan baik tanpa perlu mengaktifkan Ultra Stabilisation. Malah jika anda gemar merakam vlog, penstabilan kamera hadapan juga berfungsi dengan baik.
Kesimpulan – Mesti bawa kalau pergi konsert!
Tidak keberatan untuk saya katakan bahawa vivo X200 Pro merupakan telefon dengan kamera zum terbaik setakat ini. Walaupun cipset MediaTek Dimensity 9400 yang dilengkapi dalam telefon ini tidak menawarkan prestasi yang setaraf dengan Snapdragon 8 Elite, telefon ini mempunyai fungsi kamera yang tidak boleh disaingi oleh banyak telefon andalan pada waktu ini.
Jika anda ingin mempertimbangkan alternatif kepada vivo X200 Pro, telefon andalan lain seperti realme GT 7 Pro (RM3,699) dan ASUS ROG Phone 9 (RM3,999) menawarkan prestasi yang lebih pantas untuk gaming dan situasi harian kerana ia menggunakan cipset Snapdragon 8 Elite. Satu lagi telefon andalan yang mengutamakan kamera adalah OPPO Find X8 Pro (RM4,999), namun ia tidak mempunyai mod khas untuk konsert dan tidak boleh merakam video pada resolusi 8K.
Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.