fbpx
More

    Ulasan Wiko Power U20 – Untuk mereka yang inginkan bateri tahan lama

    Pada bulan Mac lalu, Wiko Malaysia telah melancarkan dua telefon pintar baru untuk tahun ini dan salah satu di antaranya adalah Wiko Power U20, di mana Wiko mengatakan ciri utamanya adalah pada bateri besar yang mampu bertahan sehingga empat hari.

    Jenama telefon Perancis ini bukanlah jenama yang popular di kalangan pengguna Malaysia, jadi adakah telefon kelas permulaan ini mempunyai fungsi yang cukup untuk meningkatkan tarikannya kepada para pengguna? Ayuh baca ulasan kami untuk mengetahui sama ada peranti Wiko ini bakal menjadi telefon anda yang seterusnya.

    Rekaan – Tiada yang istimewa

    Sebagai sebuah telefon kelas permulaan, Wiko Power U20 mempunyai rekaan luaran yang tidak banyak bezanya dengan puluhan lagi telefon lain dalam pasaran. Di belakang, ia mempunyai permukaan plastik berwarna hitam yang licin namun ia tidak mudah meninggalkan kesan cap jari seperti yang terdapat pada telefon-telefon mahal.

    Bonggol kameranya yang berbentuk petak di bahagian atas kiri adalah nipis dan membuatkan telefon ini boleh diletakkan secara rata di atas meja. 

    Di bahagian sisi kanan telefon, Power U20 mempunyai susunan tiga butang yang agak menarik iaitu butang suis, butang kawalan suara dan butang khas untuk Google Assistant. Saya tidak pasti jika ramai di kalangan rakyat Malaysia yang menggunakan fungsi pembantu Google ini, namun jika anda kerap menggunakannya, anda akan gembira dengan kewujudan butang tersebut. Selain itu, satu perkara menarik tentang butang suis telefon ini adalah ia mempunyai tekstur menggerutu pada permukaannya.

    Ruang dwi-kad SIM dan kad memori microSD berada di bahagian sisi kiri. Seperti yang boleh dijangka untuk telefon kelas ini, terdapat bicu audio 3.5mm yang terdapat di bahagian atas telefon.

    Satu ciri yang membuatkan telefon ini agak ketinggalan zaman adalah port microUSB yang berada di bahagian bawah. Pada tahun 2021 ini, pelbagai telefon kelas permulaan dan pertengahan sudah pun dilengkapi port USB-C yang lebih universal namun Power U20 masih lagi berada di takuk yang lama dengan port microUSB. Turut mendampingi port tersebut adalah sebuah pembesar suara dan mikrofon.

    Di hadapan, ia mempunyai skrin yang agak besar iaitu berukuran 6.8 inci jadi ia bukanlah telefon yang mudah digunakan jika anda mempunyai tangan kecil. Skrin ini mempunyai sempadan bezel yang agak tebal di bahagian atas dan bawah serta terdapat sebuah kamera swafoto yang berada dalam takuk (notch) di bahagian tengah atas. 

    Secara keseluruhan, Power U20 mempunyai mutu buatan yang kukuh dan boleh dijangka untuk telefon kelas ini. Selain daripada port microUSB, saya tidak mempunyai banyak rungutan terhadap luaran telefon ini.

    Spesifikasi – Satu benda saja yang “Power”

    Saya rasa tiada siapa yang akan terkejut dengan spesifikasi untuk Wiko Power U20. Berikut adalah spesifikasi penuh untuk telefon kelas permulaan ini:

    • Cipset MediaTek Helio G35
    • RAM 3GB + storan 32GB (boleh ditambah melalui microSD sehingga 256GB)
    • Paparan IPS TFT 6.8 inci HD+, nisbah skrin-ke-badan 80.9%
    • Kamera utama 13MP + sensor kedalaman 2MP + lensa AI
    • Kamera swafoto 5MP
    • Bateri 6000mAh (mampu bertahan sehingga 4 hari)
    • Pengecasan 10W
    • Sokongan butang Google Assistant dan Face Unlock
    • Sistem operasi Android 11 asal (stock)

    Ciri yang paling menonjol dalam spesifikasi ini pastinya adalah bateri besar 6,000mAh yang Wiko mengatakan mampu bertahan sehingga empat hari.  

    Memorinya agak kecil dengan RAM 3GB jadi anda tidak boleh membuka banyak aplikasi serentak kerana ia pasti akan menjejaskan prestasi telefon. Perkara yang sama juga boleh dikatakan untuk storan dalamannya yang sekadar 32GB, mujur ia boleh dibesarkan dengan kad microSD sehingga 256GB.

    Kameranya mendatangkan fungsi yang agak standard seperti HDR, sela masa (time lapse), bokeh dan penapis (filter) menarik, namun saya tidak pasti apakah fungsi ‘lensa AI’ yang terdapat pada bonggol kamera. Penggemar fotografi mungkin akan kecewa dengan ketiadaan kamera ultra-lebar atau kamera makro dalam telefon ini.

    Kamera Wiko Power U20 dilengkapi fungsi kamera yang standard, dengan beberapa efek menarik
    Wiko Power U20 menampilkan antaramuka Android 11 asal (stock)

    Sistem antara muka pengguna (user interface) dalam telefon ini berdasarkan Android 11 asal (stock) jadi anda boleh menjangkakan pengalaman yang ringkas dan lancar sepanjang anda menggunakannya. Daripada segi perisian remeh (bloatware), terdapat beberapa aplikasi seperti Wiko Health dan game Assassin’s Creed Unity, namun ia boleh dibuang jika anda tidak ingin menggunakannya.

    Prestasi – Memang boleh tahan sampai empat hari

    Dalam media pengiklanan untuk Wiko Power U20, Wiko mengetengahkan kebolehan utama telefon ini iaitu baterinya yang mampu tahan sehingga empat hari, jadi saya ingin ulas mengenai dakwaan itu terlebih dahulu untuk seksyen Prestasi ini.

    Selepas menggunakan telefon ini untuk beberapa minggu, Power U20 memang boleh bertahan selama empat hari dengan satu pengecasan penuh. Malah, tempoh empat hari ini mampu dicapai tanpa sebarang mod penjimatan kuasa, jadi kalau anda ingin memanjangkan lagi hayat bateri yang tinggi ini, anda boleh mengaktifkan mod Power Saving atau Ultra Power Saving untuk penggunaan bateri yang lebih lama, namun dengan prestasi telefon yang lebih perlahan.

    Bateri Wiko Power U20 memang boleh bertahan dengan lama, sehingga empat hari tanpa sebarang mod penjimatan kuasa

    Saya berpendapat penggunaan sehingga empat hari ini hanya boleh berlaku jika anda sekadar menggunakan telefon ini untuk tugasan asas. Saya sendiri hanya menggunakan telefon ini untuk membaca mesej, melayari media sosial, mengambil gambar dan menonton video YouTube, di mana Wiko Power U20 memang boleh bertahan selama empat hari untuk kegunaan tersebut. 

    Jika anda kerap membuka aplikasi berkuasa tinggi seperti game, saya rasa bateri ini tidak akan tahan sehingga empat hari namun masih boleh capai penggunaan dua hari.

    Wiko Power U20 bukanlah satu-satunya telefon dengan bateri 6,000mAh, namun saya berpendapat telefon lain yang dilengkapi bateri berkapasiti serupa tidak akan mampu mencapai penggunaan sehingga empat hari. Ini adalah kerana prestasi telefon ini yang tidaklah terlalu tinggi, seperti yang boleh dilihat dalam ujian penanda aras di bawah:

    Markah penanda aras AnTuTu (kiri) dan 3D Mark Sling Shot. Kedua-duanya menunjukkan markah yang rendah untuk Wiko Power U20

    Daripada segi prestasi keseluruhan, tidak banyak yang istimewa tentang telefon ini. Prestasi yang dijana oleh cipset Helio G35 sekadar cukup untuk kegunaan biasa dan RAM 3GB juga hanya membenarkan anda untuk membuka beberapa aplikasi sahaja sebelum prestasinya jadi lebih perlahan daripada biasa. Jika anda ingin membuka aplikasi sekali pun, terdapat sedikit lag sebelum aplikasi itu dipaparkan dalam skrin.

    Sungguh pun begitu, Power U20 masih mampu untuk memainkan pelbagai game dalam tetapan grafik rendah. Sepanjang saya bermain Call of Duty Mobile, saya tidak mengalami sebarang masalah yang ketara dan boleh memainkannya dengan kadar bingkai (frame rate) sekata. Walau bagaimanapun, saya tidak menggemari prestasi untuk PUBG Mobile kerana telefon ini tidak dapat menjana sesi gaming yang lancar untuk game battle-royale ini.

    Tetapan grafik COD Mobile setakat pada tahap rendah

    Dengan skrin sebesar 6.8 inci, ia memang sesuai digunakan untuk menonton video-video anda, namun warnanya nampak pudar berbanding skrin yang lebih berkualiti tinggi seperti AMOLED. Di samping itu, keterangannya (brightness) juga tidak cukup tinggi untuk digunakan di bawah cahaya matahari terik. Kualiti audio yang dijana daripada satu pembesar suara dalam telefon ini pula biasa-biasa sahaja, dengan kelantangan sederhana.

    Daripada segi pengecasan, telefon ini menyokong kadar yang agak perlahan iaitu setakat 10W sahaja. Jangan risau, pengecasnya masih disertakan dalam kotak.

    Pengecasan dari 8% hingga 92% mengambil masa 2 jam 14 minit. Pengecasan penuh dari 100% akan memerlukan masa sekitar 2 jam 30 minit

    Beralih kepada kamera, saya berpuas hati dengan mutu imej yang dihasilkan oleh kamera Power U20. Jika anda berada dalam situasi yang mempunyai cahaya terang, ia mampu menghasilkan gambar yang cantik, dengan butiran yang jelas dan warna yang agak pekat. Sensor kedalaman (depth sensor) 2MP juga boleh menghasilkan efek bokeh yang kemas namun tidaklah sempurna.

    Walau bagaimanapun, sebaik sahaja anda menggunakan kamera ini di dalam bangunan atau situasi malap, mutu gambar yang dihasilkan jatuh dengan agak mendadak. Warnanya nampak lebih pudar dan butiran juga menjadi agak kabur. Akan tetapi, ini adalah sesuatu yang boleh dijangkakan untuk telefon kelas ini.

    Daripada segi rakaman video, tidak banyak yang saya boleh katakan kerana mutu rakaman 1080p tidak banyak bezanya dengan mutu fotografi. Ia tidak mempunyai sebarang jenis penstabilan imej, jadi pastikan anda memegang telefon ini dengan erat jika anda tidak mahukan rakaman yang mempunyai banyak getaran.

    Satu keburukan yang saya perasan dalam rakaman video Power U20 adalah pada kualiti audionya yang agak menghampakan. Seperti yang anda boleh lihat pada sampel video, audionya tidak jelas langsung dan seolah-olah mikrofon telefon tersebut ditenggelami air. Ini adalah sesuatu yang aneh kerana kebanyakan telefon lain yang dijual pada harga serupa boleh merekod audio dengan jelas.

    Pada pendapat saya, terdapat satu keburukan yang ketara dalam Power U20 ini iaitu ia tidak mempunyai pengimbas cap jari. Untuk membuka kunci skrin (screen unlock), anda boleh menggunakan fungsi Face Unlock yang agak responsif, namun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana pemakaian pelitup muka adalah satu kewajipan, Face Unlock bukanlah sesuatu yang praktikal.

    Oleh yang demikian, pengimbas cap jari adalah satu keperluan pada masa ini dan kebanyakan telefon kelas permulaan sudah pun dilengkapi pengimbas cap jari di belakang atau sisi telefon. Malang sekali, Power U20 tidak dilengkapi fungsi yang sangat penting ini.

    Kesimpulan – Sesuai untuk mereka yang mengutamakan bateri sahaja

    Pada hemat saya, Wiko Power U20 ini ada satu sahaja ciri yang memisahkannya daripada telefon-telefon lain iaitu bateri yang lebih besar dan boleh tahan selama empat hari. Saya rasa ada di kalangan pembaca tidak kisah pun tentang keburukan yang saya sudah senaraikan dan mungkin hanya mengutamakan penggunaan bateri yang lama. Malah, jika anda sekadar ingin menggunakan fungsi asas dalam telefon dan inginkan bateri besar, Wiko Power U20 adalah telefon yang sangat sesuai untuk anda.

    Lagipun, telefon ini ada satu lagi kelebihan iaitu pada harganya yang sangat mampu milik iaitu sekadar RM429 sahaja. Alternatif lain terhadap Wiko Power U20 adalah Samsung Galaxy A02s (RM529), realme C21 (RM499) atau vivo Y20 (RM599).

    Beritahu kami di Facebook jika ulasan ini membantu anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    Malaysia negara kedua paling ketagih gajet di Asia pada 2024, luang masa 8 jam...

    Agensi kajian pemasaran antarabangsa Electronics Hub telah menerbitkan senarai untuk negara yang paling banyak menggunakan gajet dalam masa sehari secara purata (average...

    Fujifilm instax mini 99 dilancar di Malaysia: Kamera analog yang boleh cetak gambar berharga...

    Pada hari ini, Fujifilm Malaysia melancarkan model kamera analog segera (instant analog camera) yang terbaru dalam siri instax*1 iaitu instax mini 99....

    Siri iQOO Z9 5G dilancar di Malaysia: SD 7 Gen 1 & bateri 6,000mAh...

    Seperti khabar angin sebelum ini, iQOO Malaysia telah melancarkan dua model telefon pintar terbaru mereka untuk pasaran tempatan iaitu iQOO Z9 5G...

    KWSP umumkan Akaun 3, penstrukturan semula bermula 11 Mei 2024

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X