fbpx
More

    Ulasan Xiaomi 13T Pro – Selamat tinggal kamera 200MP, hello kamera Leica!

    Baru-baru ini, Xiaomi Malaysia telah melancarkan siri telefon pintar kelas andalan (flagship) mampu milik Xiaomi 13T yang terdiri daripada Xiaomi 13T dan Xiaomi 13T Pro. Buat mereka yang tidak mengetahui, siri Xiaomi T adalah telefon-telefon yang dilengkapi spesifikasi tercanggih dalam sesebuah tahun, namun dijual pada harga yang lebih murah berbanding model bernombor seperti Xiaomi 13.

    Untuk Xiaomi 13T Pro, Xiaomi nampaknya mengabaikan sensor kamera utama 200MP yang digunakan pada Xiaomi 12T Pro, dan menggantikannya dengan sensor kamera Leica seperti dalam Xiaomi 13 Pro yang dilancar pada awal tahun ini. Lebih menarik lagi, harga pelancaran untuk varian asas juga telah diturunkan daripada RM2,699 untuk Xiaomi 12T Pro, kepada RM2,499 untuk Xiaomi 13T Pro.

    Jarang sekali sebuah telefon yang baru dilancar dijual pada harga lebih murah berbanding model tahun sebelumnya. Jadi untuk lihat sama ada penurunan harga ini berbaloi atau tidak, ayuh baca ulasan penuh untuk telefon ini:

    Rekaan – Lebih cantik daripada tahun lepas!

    Siri Xiaomi T selalunya mempunyai rekaan yang agak hambar, mungkin kerana Xiaomi tidak mengutamakan rekaannya supaya ia boleh dijual pada harga yang lebih mampu milik. Mujurlah untuk Xiaomi 13T Pro, rekaannya tidak “dianaktirikan” kerana ia masih mempunyai rekaan cantik yang setanding dengan telefon andalan lain.

    Di belakang, ia mempunyai kaca berkilauan seperti pada Xiaomi 13. Warna yang dipinjamkan kepada kami adalah hijau, warna yang terang ini membuatkan kesan cap jari sukar dilihat. Jika anda mendapatkannya dalam warna hitam, permukaan yang gelap dan berkilauan itu mungkin akan membuatkan cap jari anda lebih mudah dilihat, terutamanya dengan pantulan cahaya.

    Rekaan belakang Xiaomi 13T Pro dalam warna hijau

    Pada pendapat saya, warna yang paling menarik adalah warna biru yang ditawarkan dengan permukaan kulit vegan (vegan leather) yang membuatkannya nampak lebih premium. Permukaan kulit itu bermaksud ia tidak akan meninggalkan sebarang kesan cap jari serta membuatkan telefon ini lebih mudah dipegang.

    Di belakang, bonggol kameranya berbentuk petak dan lebih besar sedikit berbanding Xiaomi 12T Pro, namun ia tidaklah terlalu tebal. Kali ini ia mempunyai logo Leica bagi menunjukkan kewujudan teknologi Leica yang digunakan dalam kameranya.

    Bonggol kamera dengan logo Leica
    Bonggol kameranya agak tebal

    Bahagian sisinya pula dibuat daripada rangka plastik yang menurunkan sedikit penampilan telefon ini, nampak seperti telefon kelas pertengahan. Mungkin pada bahagian sisi inilah Xiaomi memutuskan untuk menggunakan komponen yang lebih murah bagi merendahkan harga telefon ini.

    Bahagian sisi juga agak rata, kecuali pada bucu belakang yang melengkung sedikit. Di bawah, ia mempunyai port USB-C, dulang dwi-kad SIM dan pembesar suara. Satu lagi pembesar suara berada di atas bagi menghasilkan pengalaman pembesar suara stereo.

    Selain itu, ini juga adalah telefon Xiaomi T pertama yang mempunyai rating kalis air IP68, jadi anda tidak perlu risau jika Xiaomi 13T Pro terkena percikan air atau serbuk pasir.

    Spesifikasi – Setaraf dengan flagship jenama lain

    Seperti yang anda boleh jangkakan untuk Xiaomi 13T Pro, telefon ini padat dengan spesifikasi terkini untuk 2023. Berikut adalah spesifikasi penuh untuk telefon ini: 

    • Skrin AMOLED 6.67 inci, resolusi 2712×1220, kadar segar semula 144Hz, kadar bacaan sentuh 480Hz, kecerahan puncak 2,600 nits, gamut warna DCI-P3, HDR10+, Dolby Vision, kaca Corning Gorilla Glass 5
    • Cipset MediaTek Dimensity 9200+ 4nm
    • RAM LPDDR5X 12GB atau 16GB
    • Storan dalaman UFS 4.0 256GB, 512GB atau 1TB
    • Kamera utama Leica Vario-Summicron 50MP + kamera telefoto Leica 50MP + kamera ultra-lebar Leica 12MP
    • Menyokong rakaman video 8K 24fps dengan penstabilan OIS+EIS
    • Kamera swafoto 20MP
    • Bateri 5,000mAh
    • Pengecasan pantas 120W HyperCharge
    • Sistem operasi Android 13 dengan antara muka MIUI 14
    • Pembesar suara stereo Dolby Atmos
    • Rating kalis air IP68
    • Pilihan warna Alpine Blue, Meadow Green dan Black
    • Menyokong 5G, Bluetooth 5.4, NFC, Wi-Fi 6, dwi-SIM
    • Harga:
      • 12GB+256GB: RM2,499 (pra-tempahan awal RM2,399)
      • 12GB+512GB: RM2,699
      • 16GB+1TB: RM3,499

    Skrin AMOLED yang agak besar pada telefon ini pastinya membuatkan sebarang tontonan filem atau video nampak menarik. Ia juga menyokong kandungan HDR10+ dan Dolby Vision, jadi jika kandungan video anda disediakan dalam format tersebut, Xiaomi 13T Pro boleh memaparkannya dengan cantik.

    Kecerahannya yang mencapai 2,600 nits juga sangat bagus dan saya tidak mempunyai masalah menggunakannya di bawah cahaya matahari terik. Kadar segar semula (refresh rate) juga sangat tinggi, iaitu sehingga 144Hz dan setaraf dengan telefon gaming. Sungguh pun begitu, anda hanya boleh tetapkan di antara 60Hz dan sehingga 144Hz sahaja, anda tidak boleh tetapkan kadar tengah-tengah seperti 90Hz atau 120Hz.

    Warna yang terang dan cantik daripada skrin Xiaomi 13T Pro

    Pembesar suara stereo pula menghasilkan kualiti bunyi yang jelas sewaktu mendengar lagu dan menonton video, namun kelantangan maksimumnya tidak cukup tinggi.

    Untuk memori, nampaknya Xiaomi Malaysia hanya menawarkan RAM dalam kapasiti 12GB dan 16GB sahaja. Anda boleh besarkan lagi RAM tersebut secara virtual sebanyak 4GB, 6GB atau 8GB, menjadikan RAM tertinggi boleh jadi sehingga 24GB. Pada pendapat saya, itu agak melampau, malah RAM 12GB itu sahaja sudah memadai untuk kebanyakan aplikasi pada waktu ini.

    Storan dalamannya ditawarkan dalam varian 256GB, 512GB atau 1TB dan malangnya ia tidak boleh dibesarkan dengan kad memori microSD.

    Xiaomi 13T Pro mempunyai sistem operasi Android 13 yang menggunakan antara muka MIUI 14 dan ia sangat mudah digunakan. Apa yang lebih bagus lagi adalah ia tidak mempunyai jumlah perisian remeh (bloatware) yang banyak, jadi anda tidak perlu membuang masa menyahpasang aplikasi yang tidak diingini.

    Antara muka (UI) untuk Xiaomi 13T Pro
    Ruang pemberitahuan (kiri) dan Quick Settings (kanan)

    Seperti versi MIUI yang lain, jika anda leret jari daripada bahagian atas kanan, anda akan mengakses Quick Settings dan daripada atas kiri pula akan mengakses ruang pemberitahuan. Jika anda leret daripada bawah ke atas (swipe up) anda akan mengakses carian Google, bukannya App Drawer seperti kebanyakan telefon Android.

    Paling penting, Xiaomi 13T Pro akan menerima kemas kini Android utama selama empat tahun, manakala kemas kini keselamatan selama lima tahun. Ini bermaksud telefon ini boleh digunakan sehingga 2027 dan anda masih boleh menikmati fungsi Android terkini sepanjang tempoh tersebut.

    Prestasi – Cemerlang dengan fungsi kamera baharu

    Berikut adalah markah penanda aras untuk Xiaomi 13T Pro:

    Walaupun markah penanda aras ini tidak setanding dengan cipset Snapdragon 8 Gen 2, Xiaomi 13T Pro masih boleh jana prestasi yang sangat tinggi. Dengan cipset tercanggih oleh MediaTek setakat ini iaitu Dimensity 9200+, pastinya anda boleh memainkan sebarang game terkini tanpa sebarang masalah. Saya telah mencuba tiga game dalam telefon ini iaitu Call of Duty Mobile, Genshin Impact dan PUBG Mobile, semuanya boleh dimainkan pada tetapan grafik tertinggi tanpa sebarang masalah ketara.

    Malah, apa yang menghadkan prestasi sebuah game masih lagi datang daripada game itu sendiri, seperti Genshin Impact yang hanya boleh dimainkan pada kadar 60fps dan PUBG pula sehingga 90fps. Sepanjang saya bermain game, saya tidak pernah rasa telefon jadi terlalu panas dan suhunya rasa terkawal sepanjang masa.

    Baterinya yang berkapasiti 5,000mAh adalah sangat besar untuk kegunaan harian dan pasti boleh bertahan selama lebih daripada sehari. Saya sendiri telah menggunakannya dan jika ia dicas penuh pada pagi, apabila malam saya masih mempunyai kapasiti sekitar 20 peratus. Jika anda mengaktifkan mod penjimatan kuasa, ia boleh dipanjangkan lagi.

    Xiaomi 13T Pro meneruskan lagi kadar pengecasan pantas 120W HyperCharge yang diperkenalkan dalam Xiaomi 12T Pro pada tahun lalu. Walaupun Xiaomi mengatakan pengecasan penuh daripada kosong akan mengambil masa 19 minit, ia sebenarnya mengambil masa yang lebih lama iaitu sekitar 25 minit. Ia bukanlah masa yang panjang, masih lagi boleh dikira sangat pantas, namun tidak sepantas seperti yang diiklankan oleh Xiaomi. Lebih penting lagi, pengecas 120W itu turut disertakan dalam kotak.

    Pengecasan daripada 6% kepada 98% mengambil masa 26 minit (11:32am hingga 11:58am)
    Kadar 120W hanya boleh diaktifkan jika skrin dimatikan, juga bermaksud anda tidak boleh menggunakan telefon sewaktu mengecas untuk dapatkan kadar 120W

    Perlu diketahui bahawa untuk mengecas pada kadar 120W, anda tidak boleh menggunakan telefon ini sambil mengecas. Jika anda berbuat demikian, kadar pengecasan akan diturunkan untuk tujuan keselamatan. Di samping itu, Xiaomi 13T Pro tidak mempunyai sebarang pengecasan wayarles.

    Sekarang mari kita beralih kepada bahagian fotografi, iaitu penarik utama untuk Xiaomi 13T Pro. Seperti dalam siri Xiaomi 13, kamera dalam telefon ini mempunyai dua stail fotografi utama iaitu Leica Authentic dan Leica Vibrant, di mana Leica Authentic menghasilkan warna yang nampak lebih dekat dengan objek sebenar manakala Leica Vibrant menghasilkan warna yang lebih terang dan pekat.

    Pada pendapat saya, warna dalam mod Leica Vibrant nampak terlalu terang dan sama seperti telefon andalan jenama lain, manakala mod Leica Authentic nampak lebih kemas dan asli. Saya sendiri lebih gemar Leica Authentic kerana warnanya yang tidak terlalu menonjol, namun saya sedar mungkin ada di luar sana yang lebih menggemari warna pekat dalam Leica Authentic.

    Tetapan Leica Vibrant/Authentic (kiri) dan pilihan penapis Leica (kanan)

    Kamera ini juga menyediakan penapis (filter) dan efek fotografi yang datang dengan kamera Leica. Malah, anda boleh aktifkan tera air (watermark) khas Leica jika anda betul-betul peminat jenama kamera Jerman ini.

    Kedua-dua stail fotografi ini boleh digunakan dalam mod kamera utama, kamera ultra-lebar dan telefoto. Untuk gambar pada waktu malam pula, kamera telefon ini boleh menghasilkan gambar dengan sangat baik dan kurang noise, namun efek pemprosesan kadang-kala boleh dilihat dengan jelas. Saya berpendapat untuk Night Mode, telefon ini tidak boleh menyaingi Xiaomi 13 Ultra kerana telefon itu mempunyai saiz sensor kamera yang jauh lebih besar dan boleh menyerap lebih banyak cahaya.

    Malangnya, perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk kamera swafoto. Kualiti kamera hadapan pada Xiaomi 13T Pro nampak agak hambar, dengan kualiti yang kabur dan warna yang agak pudar. Selain itu, stail fotografi Leica tidak ditawarkan untuk kamera swafoto, jadi anda tidak boleh memanfaatkan teknologi Leica untuk swafoto. 

    Sewaktu mengambil gambar dalam mod potret pula, pemisahan antara subjek dengan latar belakang nampak agak cacat dan aneh. Ini adalah sesuatu yang boleh dimaafkan untuk telefon kelas pertengahan, namun untuk telefon andalan seperti Xiaomi 13T Pro, ini adalah perkara yang agak serius.

    Untuk rakaman video, Xiaomi 13T Pro boleh mengambil video dengan resolusi sehingga 8K 24fps dan kualitinya nampak cantik. Malangnya, anda tidak boleh aktifkan stail fotografi dalam mod video. Pada kamera hadapan pula, rakaman hanya boleh dilakukan dengan resolusi sehingga 1080p yang agak rendah, jadi ini bukanlah kamera yang sesuai untuk membuat rakaman vlog.

    Kesimpulan – Kualiti naik, harga turun

    Jika anda menanyakan kepada saya apakah telefon terbaik oleh Xiaomi pada tahun ini, pastinya saya akan menjawab Xiaomi 13T Pro. Benar, ia tidak memiliki spesifikasi yang lebih mewah dan lengkap pada Xiaomi 13 Pro atau Xiaomi 13 Ultra, namun dengan harga bermula RM2,499, ia adalah sebuah telefon yang amat berbaloi untuk harganya.

    Kekurangan utama pada telefon ini hanyalah ketiadaan pengecasan wayarles dan penampilannya yang nampak lebih “marhaen” daripada telefon andalan lain. Pada pendapat saya ini bukanlah isu yang besar dan saya boleh melihat diri saya menggunakan telefon ini pada waktu yang lama.

    Pada harga ini, tidak banyak saingan yang boleh dihadapi oleh Xiaomi 13T Pro. Anda boleh dapatkan telefon andalan 2022 pada harga ini, namun itu bermaksud anda akan menggunakan spesifikasi tahun lepas. Alternatif yang sesuai termasuklah OnePlus Nord 3 5G (RM2,199) jika anda tidak kisah dengan spesifikasi yang lebih rendah, ASUS ROG Phone 6 MLBB (RM2,299) jika anda utamakan prestasi gaming, atau TECNO Phantom V Flip 5G (RM2,899)  jika anda inginkan telefon lipat.

    Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

     

    Artikel Terkini

    KWSP bakal umumkan Akaun 3 pada hari ini sebagai Akaun Fleksibel

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersedia untuk mendedahkan Akaun 3 atau akaun Fleksibel pada 25 April hari ini, menandakan penstrukturan semula yang...

    AS akan haramkan TikTok jika ia tidak dilepaskan daripada syarikat China

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden telah menandatangani satu rang undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan platform media sosial TikTok dalam negara itu,...

    Qualcomm umumkan Snapdragon X Plus, cipset komputer riba berasaskan ARM

    Qualcomm Technologies, Inc. memperkenalkan Snapdragon X Plus, mengembangkan portfolio platform siri Snapdragon X yang terkenal. Snapdragon X Plus adalah CPU Qualcomm Oryon...

    WhatsApp sedang uji ciri berkongsi fail tanpa sambungan internet

    WhatsApp sedang bersiap untuk kemas kini penting yang satu memberi tumpuan kepada membolehkan perkongsian fail melalui rangkaian tempatan dan menambah ciri mengambil...

    CelcomDigi perkenalkan pakej “roaming” khas untuk jemaah umrah dan haji

    Syarikat telekomunikasi CelcomDigi kini memperkenalkan pakej perayauan baharu Hajj Roaming Pass yang dikhaskan untuk para pelanggan yang ingin menunaikan ibadat haji atau...

    Artikel Berkaitan

    Ulasan / Featured

    X